Sunday, November 2, 2008

Sunnatullah dan Kun Fayakun.

Assalamualaikum.

‘Semua yang berlaku di dalam kehidupan ini adalah berdasarkan sunnatullah, iaitu peraturan atau ketentuan Allah terhadap semua ciptaanNya. Sunnatullah itu termasuklah janji atau pendedahan yang telah difirmankan oleh Allah dalam Al Quran seperti mati, kiamat dan tanda-tanda kedatangannya, akhirat dsb. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemegang Janji!’

Aku masih ingat semasa aku baru memasuki alam sekolah menengah, ada seorang kawan lamaku, semasa kami dalam perjalanan pulang dari kelas mengaji, beliau bertanyakan aku perihal syurga. Aku pun berceritalah sedikit sebanyak tentang hal tersebut. Tetapi yang menariknya ketika itu, kawanku itu bertanya, “Adakah kita semua akan dicampak ke dunia apabila ada penghuni syurga melakukan sesuatu yang ditegah oleh Allah?” Aku terdiam dan berfikir. Dan aku ingat lagi jawapanku ketika itu..”Aku tidak pasti, tapi yang aku penah dengar kita kekal selamanya di situ”. Sambil membuat muka seolah-olah mengerti, kawanku itu tidak menyambung persoalannya.

Selepas peristiwa tersebut, aku kerap berfikir mengenainya. Seolah-olah menjadi obsesi di dalam minda mudaku kala itu. Aku masuk ke sekolah asrama tidak lama kemudian. Dan rutin membaca Yasin setiap malam Jumaat aku sahut dengan mode dan mood yang berbeza-beza setiap minggu. Maklumlah, budak sekolah!

Ayat ke 82 surah Yasin merupakan ayat kegemaran aku ketika itu, kerana ayat tersebut begitu melekat di benakku lantaran ianya ayat kedua terakhir, dan menjadi penanda bahawa bacaan Yasin hampir selesai. Aku menunggu ayat tersebut dengan begitu semangat, kerana jiwa mudaku rasa 83 ayat (jumlah ayat dalam surah Yasin) itu terlalu lama. Uh, malu aku menceritakan perihal perangaiku..

Namun, ayat tersebut benar-benar memberi kesan kepada pemikiranku. Kun Fayakun! Jadi maka jadilah! Ya, aku kembali terkenang perbualan dengan kawan lamaku itu. Allah boleh melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Sudah pastilah begitu, kerana Allah itu Maha Berkuasa!

Ianya terhenti seketika. Aku banyak menghabiskan aktiviti mendera otak mudaku dengan berjinak-jinak dengan topik politik bersama beberapa orang kawan-kawanku, lantaran zaman reformasi muncul dengan dasyatnya.

Tidak lama kemudian (menengah atas), aku belajar bab bertajuk Sunnatullah. Jujur aku katakan, bab ini sungguh menggamit naluri ingin tahu dalam sanubariku. Wah, seperti satu pelengkap, tapi untuk siapa atau apa? Bab yang pendek ini didedahkan dengan ringkas tetapi cukup terkesan dalam membantu aku berfikir oleh ustaz yang mengajar.

Soalan kawan lamaku, kun fayakun dan sunnatullah mula berinteraksi di dalam wilayah mindaku. Aku perlahan-lahan membuat bacaan, dan memberanikan diri mengajukan pertanyaan, secara berlapik.

Oh, inilah yang aku inginkan selama ini. Memang teserlah kebenaran agamaMu ini ya Allah. Di dalam Kau menerangkan kebesaranMu kepada kami hamba-hambaMu yang tiada upaya selain dengan izinMu, Kau sertakan juga janji-janjiMu kepada kami sebagai petunjuk untuk membantu survival kami di alam dunia ini.

Allah boleh buat apa sahaja yang Dia mahu. Ya, itulah yang termuat dalam kalimah kun fayakun. Tetapi, haruslah kita berhati-hati dalam memacu kalimah ini. Biar bertempat, agar kita tidak tersalah arah. Allah telah mendedahkan sedikit rahsia ilmuNya yang maha luas kepada kita. Allah boleh sahaja mencipta sesuatu di antara malam dan siang, Allah boleh sahaja membuat lelaki dapat mengandung. Allah boleh sahaja mengizinkan beruk itu berakal dan memerintah manusia. Allah boleh sahaja menukar bulan muncul di siang hari ,matahari pula di kaki malam. Allah boleh sahaja membatalkan kiamat. Allah boleh sahaja untuk apa sahaja. Semuanya itu hanya dengan Kun Fayakun.

إِنَّمَآ أَمۡرُهُ ۥۤ إِذَآ أَرَادَ شَيۡـًٔا أَن يَقُولَ لَهُ ۥ كُن فَيَكُونُ (٨٢) فَسُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِى بِيَدِهِۦ مَلَكُوتُ كُلِّ شَىۡءٍ۬ وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ (٨٣)

Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: Jadilah engkau!. Maka ia terus menjadi. (82)

Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. (83)

Suran Yasin 82 – 83

Tetapi jangan lupa hakikat Sunnatullah kerana semua yang berlaku di dalam kehidupan ini adalah berdasarkan sunnatullah, iaitu peraturan atau ketentuan Allah terhadap semua ciptaanNya. Sunnatullah itu termasuklah janji atau pendedahan yang telah difirmankan oleh Allah dalam Al Quran seperti mati, kiamat dan tanda-tanda kedatangannya, akhirat dsb. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemegang Janji

Itulah kesimpulan yang aku fahami dalam hal ini. Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui, tetapi Allah juga pemegang janji yan Maha Agung! Malam itu pasangannya siang, syurga itu pasangannya neraka. Lelaki itu pasangannya perempuan dsb. Subhanallah. Puji-pujian untukMu kerana memberi petunjuk melalui Al Quran. Kalau tidak, nescaya kami hidup dalam kesesatan. Nauzubillah.

قُلۡ أَرَءَيۡتُمۡ إِن جَعَلَ ٱللَّهُ عَلَيۡڪُمُ ٱلَّيۡلَ سَرۡمَدًا إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ مَنۡ إِلَـٰهٌ غَيۡرُ ٱللَّهِ يَأۡتِيڪُم بِضِيَآءٍ‌ۖ أَفَلَا تَسۡمَعُونَ (٧١)
قُلۡ أَرَءَيۡتُمۡ إِن جَعَلَ ٱللَّهُ عَلَيۡڪُمُ ٱلنَّہَارَ سَرۡمَدًا إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَـٰمَةِ مَنۡ إِلَـٰهٌ غَيۡرُ ٱللَّهِ يَأۡتِيڪُم بِلَيۡلٍ۬ تَسۡكُنُونَ فِيهِ‌ۖ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ (٧٢)
وَمِن رَّحۡمَتِهِۦ جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيۡلَ وَٱلنَّهَارَ لِتَسۡكُنُواْ فِيهِ وَلِتَبۡتَغُواْ مِن فَضۡلِهِۦ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ (٧٣)

Katakanlah: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)? (71)

katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)? (72)

Dan di antara rahmat pemberianNya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti) supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan juga supaya kamu bersyukur. (73)
Surah Al Qasas 71 - 73

Bayangkanlah jika Allah tidak memberitahu kepada kita tentang tiada nabi dan rasul selepas Muhammad SAW dan tiada agama lain yang diiktiraf Allah sesudah Islam. Sudah pasti berduyun-duyun manusia keluar mengaku nabi dengan membawa agama baru dari langit. Sedangkan walaupun sudah terang lagi bersuluh, melalui Al Quran dan hadith mengatakan tiada lagi nabi selepas rasulullah SAW, masih ada sahaja orang-orang gila mengaku nabi.

Umat Islam seharusnya sedar hakikat ini, betapa besarnya pertolongan dan kasih sayang Allah kepada kita. Dan seharusnya displin berfikir kita makin kukuh, lantaran begitu cerahnya jalan yang diterangi dengan petunjuk Allah ini. (melalui Al Quran dan sunnah)

Tidak perlulah kita habiskan masa dan usia kita berpuluh-puluh tahun mengkaji UFO dan makhluk asing,yang berkemungkinan besar dakyah pihak tertentu. Tidak perlu juga kita mencari penempatan baru di Marikh, sebab Allah dan rasulNya tidak pernah menggariskan hal-hal tersebut. Berdisiplinlah dalam mengkaji, berdasarkan syarak.

Dan para pendakwah, bersedialah untuk direject, dan bersedialah untuk ditentang mereka yang kufur. Tidak salah meletak impian untuk melihat satu dunia masuk atau diIslamkan, tetapi sedarlah hakikatnya, baik dan buruk itu tetap akan ada sampai bila-bila. Itulah relevanya syurga dan neraka! Allah Maha Mengetahui.

Usahlah membuat perkara yang sia-sia atau against ketentuan Allah, kerana kita tetap akan gagal. Umpama cuba berdakwah kepada iblis dan syaitan laknatullah agar mereka ini insaf! Buang masa sahaja!

Inilah juga punca kenapa Allah murka kepada Yahudi. Mereka ini percaya akan ketentuan Allah, tetapi mereka ini gemar menentang ketentuan tersebut lantaran berasa ujub atau menganggap mereka terlalu mulia! Sia-sialah usaha golongan-golongan ini. (bukan semua yahudi)

Semoga kita semua beroleh manfaat daripada perkongsian idea ini.

Barakallahufikum.




No comments: