Wednesday, November 19, 2008

Suka Sama Suka vs Halal

Assalamualaikum

Jiwa manusia terkandung di dalamnya pelbagai jenis naluri, yang boleh sahaja menjadi positif atau negatif, kerana setiap tindakan manusia itu akan mengalir keluar melalui salah satu daripada 2 pintu ini. (positif dan negatif).

Aku suka memberikan sedikit contoh. Manusia itu memiliki naluri seksual, iaitu keinginan untuk melakukan hubungan seks. Semua manusia ada naluri ini, termasuklah orang yang kurang waras. Aliran naluri ini (nafsu seks), boleh sahaja keluar menjadi baik atau buruk.

Aku membayangkan dalam konteks hubungan sesama manusia terlebih dahulu. Positifnya hubungan ini ialah apabila manusia melakukannya atas dasar suka sama suka, tanpa paksaan dan juga kekerasan. Sebaliknya, rogol, cabul dsb adalah aliran naluri seksual dari pintu yang negatif. Tiada win win situation di sini.

Tetapi positif dalam nilaian manusia belum tentu sah atau halal di sisi Allah. Sebab itulah Islam wujud, kerana pemilik alam ini, iaitu Allah Azzawajjal, yang juga pencipta manusia ini zahir dan batinnya, mahukan setiap manusia itu mengalirkan naluri kurniaanNya itu melalui pintu-pintu yang halal, sesuai dengan kehendakNya dan contoh yang ditunjukkan oleh nabi SAW.

Turutlah perintah Allah dan turutlah perintah Rasul! Tetapi kalau kamu membelakang, kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan dengan seterang-terangnya.
Surah AtTaghabun. Ayat 012.

Sesungguhnya halal dari sisi syarak itu jauh lebih besar kepentingannya daripada positif ukuran manusia. Ini kerana kita bercakap tentang hablumminallah (hubungan dengan Allah).

Islam itu ad-deen, Islam itu harta bernilai untuk jiwa, Islam itu memacu keadilan dan keamanan sejagat dan sebagainya.

Itulah antara motto-motto indah untuk menggambarkan Islam, agama suci pilihan Allah sebagai satu-satunya agama yang diredhaiNya.

…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…
Surah AlMaa’idah. Ayat 003.

Aku kembali kepada contoh berkaitan naluri seksual manusia. Andaikan pasangan yang ingin melakukan hubungan tersebut sudah senada dan rela merelakan, belum tentu mereka dapat mengalirkan naluri mereka itu melalui pintu halal atau yang dibenarkan oleh Allah SWT. Apakah nilai suka sama suka sekalipun sehingga memeterai ikatan perkahwinan kalau 2 jiwa yang terlibat adalah daripada kaum sejenis!? Negara-negara barat sudah mula mengizinkan amalan songsang ini, Nauzubillah.

Dan Nabi Luth juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".

Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Luth dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri".

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.

Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

Surah AlA’raaf. Ayat 080 - 084.

Hubungan sejenis adalah tindakan melampau di sisi Allah. Ianya jijik. Terma hak asasi yang dilaung-laungkan sesetengan pihak yang mendakwa sebagai pejuang hak kemanusian sebenarnya adalah tindakan durjana daripada pencabul hak asasi manusia!!

Mereka seolah-olah menganggap Islam yang merobek hak manusia, yang tanpa mereka sedari agama suci inilah yang memimpin dan meraikan jiwa dan keinginan naluri manusia itu, agar manusia bukan sahaja mendapat redha Illahi, malah dalam masa yang sama kepentingan sejagat itu terpelihara.

Bukankah yang bernama lelaki itu untuk mereka yang bernama wanita? Sungguh tergamak pencabul-pencabul ini memperjuangkan keinginan kaum abnormal, yang sama sekali jika diturutkan akan menyebabkan hak-hak wanita@manusia normal akan digugat, populasi alam akan terganggu di sebabkan tiada persenyawaan dapat diadakan oleh benih pasangan tersebut dan lain-lain lagi kesan yang buruk. Gila! Barangkali haiwan juga ingin sahaja mentertawakan mereka ini.

Sekali lagi, suka sama suka belum tentu menjamin ‘halalnya’ hubungan tersebut. Jika tadi contoh yang aku utarakan berkaitan dengan hubungan sejenis yang kotor dan menjijikkan, kini aku ingin berikan contoh yang lebih berleluasa di era kini, suka sama suka tanpa ikatan pernikahan.

Nilaian manusia belum sah ketepatannya, kerana manusia itu tetap manusia. Kunci kereta sendiri boleh jadi terlupa di manakah letaknya, inikan pula hendak mengeluarkan hukum? Omong kosong.

Seks di luar pernikahan (zina) adalah haram di sisi Allah!

Dan janganlah kamu dekati perzinaan, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan yang keji dan jalan yang salah.
Surah AlIsraa'. Ayat 032.

Hubungan seks menjadi haram tanpa pernikahan tetapi halal jika sebaliknya. Nah, lihatlah betapa pentingnya pernikahan di dalam Islam. Satu perkara yang sama, tetapi boleh menjadi lain hukumnya. Dengan kata lain, nikah itu memisahkan haq dan bathil berkaitan hubungan lelaki dan perempuan.

Mengapa Islam menganjurkan pernikahan? Sudah tentu banyak sebabnya, tetapi sekurang-kurangnya, aku percaya nikah menyebabkan manusia lebih berdisiplin dalam mengalirkan naluri seksual mereka dan keinginan berteduh dengan pasangannya.

Manusia akan kenal siapa yang harus dijadikan pasangan, dengan kata lain yang bukan mahram mereka. Lalu terelaklah perlakuan sumbang ala-ala binatang seperti bersekedudukan anak beranak, adik beradik dsb. Nauzubillah.

Terlarang bagimu (mengahwini) ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan dari bapamu, saudara-saudara perempuan dari ibumu, anak-anak perempuan dari saudaramu laki-laki, anak-anak perempuan dari saudaramu perempuan, ibu yang menyusukan kamu, saudaramu yang sama menyusu kepada seorang perempuan, ibu isterimu (mertua), anak tiri yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu tidaklah mengapa (kamu kahwin dengan anak tiri itu), isteri dari anakmu yang dari punggungmu sendiri (anak kandung) dan mengumpulkan dua perempuan yang bersaudara, kecuali pada masa yang telah sudah; sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyayang.
Surah AnNisaa'. Ayat 023.

Nikah juga melahirkan rasa hormat antara pasangan yang terlibat. Nikah menjamin maruah mereka yang mengangkat hubungan tersebut. Anak akan dikongsi sebagai zuriat bersama, berbeza dengan seks luar nikah atau zina, lelaki yang keji sering mengambil kesempatan untuk tidak bertanggungjwab atas produk yang terjadi melalui rasa cinta biadap mereka. Nauzubillah.

Nilai atau value wanita telah dipertahankan malah diangkat ke satu tahap yang lebih baik oleh agama Islam. Mahukan wanita itu, nikahilah dia dengan cara yang telah digariskan syarak.

Hai orang-orang yang beriman! Tidak dibolehkan bagi kamu mempusakai perempuan-perempuan dengan paksa, dan janganlah kamu menyusahkan perempuan-perempuan itu, kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali jika mereka terang melakukan perbuatan keji. Dan bergaullah dengan perempuan-perempuan secara patut, dan jika kamu kurang suka kepadanya, mungkin kiranya apa yang kurang kamu sukai itu, tetapi Allah mengadakan kebaikan yang banyak di dalamnya.
Surah AnNisaa'. Ayat 019.

Nyatalah di sini dakwaan manusia tentang sesuatu hak itu belum tentu menjamin sahnya perkara tersebut di sisi Allah, dan halal dan haramnya sesuatu itu di sisi Allah sudah pasti untuk kebaikan hambanya dunia dan akhirat, kerana Allah itu Maha Mengetahui, dan apa sahaja ciptaanNya sudah tentu untuk memudahkan manusia, bagi mereka yang berfikir, agar lebih tekun dalam beribadah inshaAllah.

Orang-orang yang mengingati Allah, ketika berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi mengatakan: Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami dari seksa neraka!
Surah Ali'Imran. Ayat 191.


Bercintalah dengan normal, dan yang paling penting mengikut aturan Allah dan contoh nabi SAW. Jangan biar perasaan memimpin perasaan, sebaliknya pimpinlah perasaan tersebut dengan iman.

Barakallahufikum.




1 comment:

Anonymous said...

aku setuju dengan pendapat anda.memang jelas Hukum Allah hanyalah untuk memudahkan manusia didunia ini.