Saturday, November 29, 2008

Menanam Janji Menternak Kuasa




Tanah airku,
Ada ramai petani dan penternak,
Ada yang seagama denganku, ada yang tidak,
Pelbagai bangsa pelbagai sukunya,
Majmuk laksana pesta budaya,

Macam-macam asal minda dan pasukannya,
Ada yang merah, hijau, biru cair,
Ada yang menghunus,
Ada yang terbit di kaki malam,
Dan ada yang sebelah matanya,

Ada yang kerana cinta bangsanya,
Ada yang kerana perintah agamanya,
Ada yang kononnya untuk semua,
Ada yang bercantum di bawah lambang neraca,
Ada pula yang bercantum mengikut masa..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Agenda rakyat jadi cerita..'

Tahukah apa yang ditanam sebahagian mereka?
Mereka menanam satu benih yang lazat,
Mana ada benih yang manis sebelum ia menjadi buah,
Tetapi benih bernama janji tidak begitu,
Ianya manis dan memikat kalbu..

Belum pun berbunga apa lagi berbuah,
Mereka kembali dengan benih baru,
Benda yang sama, cuma lain rupanya,
Kita pula yang pening kepala dan susah hati,
Gelombang biru dan kuning punya angkara..

Cangkul yang digunakan unik sekali,
Nak tanam benih janji, kata-kata perlu berapi,
Kain pihak satu lagi perlu tahu apa isinya,
Supaya yang dengar jadi asyik,
Betapa indahnya caci dan maki..

Yang mengikut jadi emosi,
Pak turut semuanya gagah berani,
Akibat terlalu banyak makan buah yang ditanam si petani,
Habis tuhan dan nabi dikaitkan sekali,
Asalkan mati musuh diperangi..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Takwilan biar memihak kita..'

Si penternak juga boleh tahan lagaknya,
Almaklumlah sudah setengan abad lamanya,
Jawatan bendahara miliknya belaka,
Tiada dua pertiga tidak mengapa,
Asalkan takhta yang diternak tidak kemana-mana

Menternak kuasa tidak seperti menternak lembu,
Menternak kuasa ada masanya membawa ke awan biru,
Terbang berfoya-foya bagai orang mulia,
Mulia kononnya atas pilihan rakyat semua,
Tanpa kalian tahu apa yang menunggu..

Bila petani mula menternak,
Risau penternak bukan kepalang,
Perlukah penternak bertani semula?
Atau rosakkan sahaja hasil musuhnya?
Ya, barangkali itulah jawapannya.

Provokasi durjana terpampang di layar,
Yang menonton tersentuh jiwanya,
Mulalah sembang itu ini di kedai kopi,
Pihak itu celaka pihak ini mulia,
Pihak itu mulia pihak ini celaka..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Orang gila terus menganiaya..'

Tidak aku mengatakan semuanya,
Ada sahaja yang jujur, ikhlas dalam bekerja,
Tetapi kadangkalan pujangga merantai di jiwa,
Sehingga tidak boleh disentuh perihal sang perwira,
Adakah mereka itu maksum belaka?

Setelah ku kenal betapa diriku ini hamba,
Hamba kepada yang empunya dunia,
Jiwaku betul-betul rasa bebas merdeka,
Merdeka daripada cengkaman jagoan politik dunia,
Yang antaranya berbelit laksana ular berbisa..

Aku sayang para pejuang agama,
Cuma ku doakan lekaslah sedar,
Bukan kerajaan itu yang kita kehendaki sebenarnya,
Tugas da'awah, ramai lagi yang masih alpa,
Maklumlah, politik dan kuasa punya penangan..

Menang kalah belakang cerita,
Kalau sudah layak, tuhan tidak akan menunda,
Yang penting marilah renung-renungkan,
Segala yang bukan-bukan tamatkan sahaja,
Muhasabah diri dan bangkitlah kembali..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Risalah Illahi keutamaan hakiki..'


Barakallahufikum.




No comments: