Saturday, November 29, 2008

Menanam Janji Menternak Kuasa




Tanah airku,
Ada ramai petani dan penternak,
Ada yang seagama denganku, ada yang tidak,
Pelbagai bangsa pelbagai sukunya,
Majmuk laksana pesta budaya,

Macam-macam asal minda dan pasukannya,
Ada yang merah, hijau, biru cair,
Ada yang menghunus,
Ada yang terbit di kaki malam,
Dan ada yang sebelah matanya,

Ada yang kerana cinta bangsanya,
Ada yang kerana perintah agamanya,
Ada yang kononnya untuk semua,
Ada yang bercantum di bawah lambang neraca,
Ada pula yang bercantum mengikut masa..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Agenda rakyat jadi cerita..'

Tahukah apa yang ditanam sebahagian mereka?
Mereka menanam satu benih yang lazat,
Mana ada benih yang manis sebelum ia menjadi buah,
Tetapi benih bernama janji tidak begitu,
Ianya manis dan memikat kalbu..

Belum pun berbunga apa lagi berbuah,
Mereka kembali dengan benih baru,
Benda yang sama, cuma lain rupanya,
Kita pula yang pening kepala dan susah hati,
Gelombang biru dan kuning punya angkara..

Cangkul yang digunakan unik sekali,
Nak tanam benih janji, kata-kata perlu berapi,
Kain pihak satu lagi perlu tahu apa isinya,
Supaya yang dengar jadi asyik,
Betapa indahnya caci dan maki..

Yang mengikut jadi emosi,
Pak turut semuanya gagah berani,
Akibat terlalu banyak makan buah yang ditanam si petani,
Habis tuhan dan nabi dikaitkan sekali,
Asalkan mati musuh diperangi..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Takwilan biar memihak kita..'

Si penternak juga boleh tahan lagaknya,
Almaklumlah sudah setengan abad lamanya,
Jawatan bendahara miliknya belaka,
Tiada dua pertiga tidak mengapa,
Asalkan takhta yang diternak tidak kemana-mana

Menternak kuasa tidak seperti menternak lembu,
Menternak kuasa ada masanya membawa ke awan biru,
Terbang berfoya-foya bagai orang mulia,
Mulia kononnya atas pilihan rakyat semua,
Tanpa kalian tahu apa yang menunggu..

Bila petani mula menternak,
Risau penternak bukan kepalang,
Perlukah penternak bertani semula?
Atau rosakkan sahaja hasil musuhnya?
Ya, barangkali itulah jawapannya.

Provokasi durjana terpampang di layar,
Yang menonton tersentuh jiwanya,
Mulalah sembang itu ini di kedai kopi,
Pihak itu celaka pihak ini mulia,
Pihak itu mulia pihak ini celaka..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Orang gila terus menganiaya..'

Tidak aku mengatakan semuanya,
Ada sahaja yang jujur, ikhlas dalam bekerja,
Tetapi kadangkalan pujangga merantai di jiwa,
Sehingga tidak boleh disentuh perihal sang perwira,
Adakah mereka itu maksum belaka?

Setelah ku kenal betapa diriku ini hamba,
Hamba kepada yang empunya dunia,
Jiwaku betul-betul rasa bebas merdeka,
Merdeka daripada cengkaman jagoan politik dunia,
Yang antaranya berbelit laksana ular berbisa..

Aku sayang para pejuang agama,
Cuma ku doakan lekaslah sedar,
Bukan kerajaan itu yang kita kehendaki sebenarnya,
Tugas da'awah, ramai lagi yang masih alpa,
Maklumlah, politik dan kuasa punya penangan..

Menang kalah belakang cerita,
Kalau sudah layak, tuhan tidak akan menunda,
Yang penting marilah renung-renungkan,
Segala yang bukan-bukan tamatkan sahaja,
Muhasabah diri dan bangkitlah kembali..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Risalah Illahi keutamaan hakiki..'


Barakallahufikum.




Beratnya Wang dan Profesionalisme Di Atas Timbangan Manusia


Assalamualaikum

Bila bercakap tentang menggadai maruah untuk menyara hidup@mendapatkan duit, pasti kita terbayang kerja-kerja kotor dan jijik seperti pelacuran dan seumpamanya. Memang teruk sekali mereka-mereka yang bekerjaya sedemikian, walau apa juga alasannya. Pelacuran itu nyata haramnya kerana ia adalah zina.

Dan janganlah kamu dekati perzinaan, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan yang keji dan jalan yang salah.
Surah AlIsraa'. Ayat 032.


Melihat keperluan melakukan yang haram atas dasar kewangan adalah sangat keji dan membinasakan. Sedangkan Allah telah menghalalkan pelbagai jalan untuk mencari rezeki kurniaanNya.

Katakan: Adakah kamu fikirkan tentang rezeki yang telah diturunkan Allah untukmu, lalu kau jadikan sebahagiannya terlarang (haram), dan sebahagiannya boleh (halal)? Katakan: Adakah Allah mengizinkan itu kepadamu, atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah?
Surah Yunus. Ayat 059.


Tetapi kali ini bukan hal pelacuran yang hendak aku bicarakan di sini. Apalah sangat pelacuran itu, kerana manusia, kalau tidak Islam sekalipun boleh sahaja nampak keburukan bidang itu.

Yang menjadi sasaran kali ini ialah betapa umat Islam zaman sekarang melahirkan penilaian yang tidak kurang bezanya dengan penilaian non-muslim dalam sesuatu hal, sedangkan jika beralaskan disiplin syarak, pertimbangan itu amat tidak wajar atau berdosa sama sekali!

Lupakan yang haram kerana nyata haramnya (hal tersebut).

Duit dan kedudukan/posisi seolah-olah menjadi priority atau keutamaan dalam sesuatu pertimbangan. Inilah punca mengapa manusia sewenang-wenangnya mengetepikan hukum Allah Azzawajjal. Maruah sebagai Muslim begitu murah agaknya.

Berapa ramai manusia yang bernama Islam dengan senang hati meninggalkan kewajipan solat hanya untuk mempertahankan jawatan dan sumber kewangannya dalam sesebuah syarikat? Inilah hakikat zaman sekarang!

Solat dipandang sepi. Profesionalisme dijunjung mengalahkan yang fardhu. Takut kepada Allah tidak lagi atau sudah kurang dirasai, sebaliknya takut kepada kefakiran duit@harta dan kedudukan adalah segala-galanya.

…Sesungguhnya solat itu suatu kewajipan yang ditentukan waktunya untuk orang-orang yang beriman.
Surah AnNisaa'. Ayat 103.

Amanah sebagai hamba dipisahkan dengan amanah sebagai pekerja. Kerjaya mengatasi batasan perintahNya. Akhirnya manusia itu tidak lebih hanyalah menganiaya dirinya sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak ingin menganiaya manusia sedikitpun, tetapi manusia itu yang menganiaya dirinya sendiri.
Surah Yunus. Ayat 044.


Ya, mungkin memelihara sesuatu yang difardhukan, tidak semua nampak hasilnya di kala hayat ini, tetapi mempertahankan darjat keprofesionalisme itu ukurannya kedudukan dan harta, itu yang menyebabkan manusia menjadi khayal. Racun terma buatan manusia ini sungguh kuat sehingga menghakis naluri kehambaan seseorang manusia itu. Nauzubillah.

Tidak syak lagi mengapa Allah merahsiakan perihal pahala dan dosa seseorang itu hingga kiamat, kerana yang Allah duga itu adalah kejujuran kita sebagai hambanya. Beruntunglah mereka yang taat dan berpegang kepada janji Allah. Sesungguhnya akhirat itu sebaik-baik tempat pembalasan.

Dan sesungguhnya pahala akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang beriman, dan memelihara dirinya (dari kejahatan).
Surah Yusuf. Ayat 057.


Hayati pula peringatan ini.


Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: "Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: "Benar, demi Tuhan kami!" Allah berfirman lagi: "Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar".

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Surah AlAn'aam. Ayat 030 - 032.


Janganlah kita berhabis-habisan mencari dunia ini, sedangkan akhirat itu adalah yang kekal. Aku bukan pemberi rahmat juga bukan pemberi ampun, itu hak Allah Azzawajjal. Tetapi aku hanya saudara seIslam, sekadar menulis berkongsi peringatan!

Barangsiapa yang ingin keuntungan hari kemudian, akan Kami berikan tambahan keuntungannya itu. Dan barangsiapa yang ingin keuntungan di dunia ini, akan Kami berikan keuntungan itu kepadanya, tetapi dia tiada mempunyai bahagian lagi pada hari kemudian.
Surah AsySyuraa. Ayat 020.

Umpama meletakkan professional dan kuasa duit di sebelah kiri neraca, manakala di kanannya pula diletakkan tanggungjawab sebagai hamba Allah, akhirnya yang berat dalam pertimbangan tersebut adalah yang sebelah kiri. Maka terabailah sesuatu yang diamanahkan oleh Allah. Nauzubillah.

Jadi, apalah bezanya penilaian kita yang kononnya Islam ini dengan penilaian bukan Islam? Sedangkan rasulullah SAW yang tercinta pernah bersabda:

"Yang membezakan di antara orang Islam dan kafir ialah solat".
Hadis Sahih Bukhari


Akhirnya, ada benda tertentu itu wujudnya sahaja sudah haram, seperti kerjaya pelacuran (kecuali mereka yang sesat, mengganggapnya bidang yang hebat dan mencabar, gila!), tetapi ada juga benda yang tidak salah malahan halal, cuma atas kesombongan dan sikap alpa manusia, ia secara tidak langsung menjadi angin yang memesongkan manusia itu daripada jalan Islam.

Islam ini tidak sempit, malah aturan-aturannya, yang datang daripada ilmu Allah SWT adalah yang terbaik untuk sekalian alam dan isinya. Dulukanlah penilaian Allah dalam apa juga perbuatan, semoga kita beroleh kebaikan dunia dan akhirat.

Kalau syurga untuk kita, kita juga yang merasa kemanisan dan keindahannya. Tetapi kalau neraka pula untuk kita, kitalah juga yang akan menanggung dan merasa perit, azab, seksa dan pelbagai lagi kesakitan yang tidak terperi.

Tepuk dada, tanya selera!

Barakallahufikum.




Pesanan Kekasih


Barakallahufikum

Tuesday, November 25, 2008

Ambillah Peluang Ini



Assalamualaikum

Seseorang yang memberi kelebihan atau peluang kepada seseorang yang lain pada hakikatnya melakukan sedemikian kerana orang itu (pemberi peluang) memiliki kepentingan atau interest tersendiri, boleh jadi besar ataupun kecil.

Contoh mudah ialah, apabila sesebuah syarikat menawarkan jawatan kosong kepada masyarakat awam, kita sering menyangka bahawasanya syarikat tersebut membuka peluang kepada orang yang berkelayakan, agar mereka (orang yang ditawarkan) dapat memanfaat peluang tersebut untuk memajukan diri, tanpa kita sedari, si tukang tawar (syarikat) itu sendiri memiliki keperluan untuk mendapatkan atau memanfaatkan kebolehan orang lain bagi menjana sesuatu yang berfaedah bagi mereka, yakni syarikat tersebut.

Dengan kata lain, inilah win-win situation.

Aku menggambarkan apabila berlakunya keadaan ini di antara manusia dengan manusia, wujud kesedaran tentang kepentingan orang lain yang boleh dimanipulate untuk kepentingan sendiri.


Dengan mengambil contoh di atas, pemilik syarikat sedar bahawasanya lulusan sesuatu bidang itu sangat memerlukan kerja, dalam masa yang sama bidang tersebut berkaitan dengan bisnes syarikat itu. Lalu syarikat tersebut memanipulasi keperluan orang/lulusan bidang itu, iaitu keperluan mendapatkan kerja, dengan menawarkan jawatan dalam syarikatnya agar bakat mereka yang layak dapat digunakan.

Tiada manusia yang memberi sesuatu tanpa melibatkan keperluan mereka sendiri dalam hal tersebut. Lagi-lagi zaman sekarang, buat kebajikan atau charity pasti perlu adanya liputan, agar 'kebaikan' yang dilakukan itu dapat meningkatkan lagi positive value si pembuat kebajikan. Ikhlas sungguh manusia zaman ini.

Seikhlas-ikhlas manusia (dengan erti ikhlas yang benar) juga mempunyai kepentingan atas sesuatu perbuatannya. Seorang yang memberi sedekah kepada seorang yang miskin, pasti berharap agar tindakannya itu boleh membenihkan rahmat kepadanya dikemudian hari. Ini adalah sebaik-baik harapan.

Mudahnya, manusia itu, samada berdarjat tinggi (Tun, Tan Sri dsb) atau orang biasa pasti memiliki kepentingan sendiri dalam mereka memberi atau menawarkan kelebihan/peluang kepada pihak lain. Kerana manusia itu tetap manusia.

Tetapi ada satu hubungan, yang dalamnya wujud pemberi tawaran dan juga penerima/orang yang memerlukan tawaran/peluang, tetapi tidak sama isi atau hukumnya dengan hubungan manusia dengan manusia.
Itulah dia Allah sebagai pemberi tawaran dengan manusia yang memerlukan tawaran tersebut.

Sedarlah kita, dalam Allah menyuruh kita melakukan sesuatu yang diinginiNya, atau mudahnya menyuruh kita menyebarkan risalah Islam di atas muka bumi ini, Allah sama sekali tidak memerlukan apa-apa pun daripada kita. Allah itu Maha Pemurah, sebab itu Allah, yang juga Maha Kaya ini memberi kita peluang itu, untuk keselamatan kita di hari kemudian.

Nah, betapa pemurahnya Allah Azzawajjal. Sudahlah Dia tidak memerlukan apa-apa pun, malah memberi gandaan tidak terhingga kepada mereka-meraka yang mengambil tawaran keemasan ini, untuk menjadi hambaNya yang soleh dan solehah. Subhanallah.

Dan katakan: Wahai Tuhanku! Berilah ampun dan kurnia! Engkau paling baik dari antara orang-orang yang memberi kurnia!
Surah AlMu’minun. Ayat 118.


Peluang yang dikurniakan oleh Allah ini amat tidak ternilai. Tidak terkesan sedikit pun Allah yang Maha Esa ini sekiranya ada manusia yang angkuh, tidak mahu menerima tawarannya untuk selamat di sana nanti. Akhirnya, yang terbakar di Jahannam nanti orang itu sendiri. Nauzubillah.

Dan kepunyaan Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada orang-orang yang telah diberi Kitab sebelum kamu, dan juga kepada kamu: supaya kamu patuh kepada Allah. Dan kalau kamu ingkar, sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi, dan Allah itu serba cukup dan terpuji
Surah AnNisaa'. Ayat 131.


Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu serta ingatlah perjanjianNya yang telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: "Kami dengar dan kami taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)" Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
Surah AlMaa’idah. Ayat 007.

Sekali lagi aku mengajak kepada anda dan diriku sendiri, agar ambillah peluang ini, iaitu peluang untuk menjadi hamba yang taat dan menyerahkan jiwa dan raga hanya kepada Allah Taala kerana jika kita tidak mahu mengambilnya, Allah sedikit pun tidak terkurang keagunganNya, malah Allah boleh sahaja membangunkan hati orang lain yang lebih ikhlas dan taat kepadaNya. Dan janganlah hendaknnya kita tergolong dalam kumpulan mereka yang rugi, kerana kesilapan tidak memanfaatkan pemberiaan Allah SWT.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).

[Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
Surah AlKahf. Ayat 103 - 108.


'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia Allah yang beri..'

Jadikanlah rasulullah SAW sebagai panduan dalam kita memanfaatkan peluang dan janji-janji Allah ini. Rasulullah sendiri tidak putus-putus menghidupkan malam baginda dengan beribadah. Semoga kita makin cekal dalam melayari kehidupan sebagai seorang Islam dalam zaman yang penuh onak dan duri fitnah ini.

InshaAllah aku akan menulis lagi.

Barakallahufikum.






Monday, November 24, 2008

Memisahkan Emas Daripada Tanah






Assalamualaikum

Pernahkah kita sedar bagaimanakah sesuatu proses melombong itu dilakukan? Galian seperti emas, timah, bauksit(Teluk Ramunia) dsb pada asalnya bercampur dengan unsur-unsur lain seperti tanah. Kerja melombong itu dilakukan bagi memperolehi sasaran semata-mata, dengan kata lain, galian tersebut. Tanah bukanlah keperluan, malah kehadirannya bersama-sama emas amat tidak diperlukan, kerana nilai emas tersebut itu akan terganggu.

Bayangkanlah kalau anda ke kedai emas untuk membeli produk emas, didapati cincin (emas) itu masih terpalit tanah di mana mula-mula emas itu dilombong, apakah perasaan anda? Tentu sahaja kejadiaan itu menimbulkan keraguan dan menggugat nilai cincin itu.

Dengan kata lain kita perlu menghilangkan tanah itu terlebih dahulu, barulah keanggunan cincin itu akan kembali terserlah. Kerana sememangnya cincin itu adalah daripada emas tulen yang bernilai.

Aku ingin mengajak anda semua berfikir lagi. Bagaimana pula sekiranya benda yang terpalit tanah itu bukan sesuatu yang bernilai, seperti usus tapir barangkali, adakah perlu kita singkirkan tanah daripada benda tersebut, atau adakah dengan menghilangkan tanah, benda itu akan menjadi sesuatu yang bernilai? Aku percaya sudah tentu tidak. (Maaf jika contoh kurang berkesan atau kurang sopan.)

Ada juga benda, pada mulanya ia tidak begitu bernilai, tetapi selepas sesuatu unsur lain disingkirkan, barulah nampak nilainya, seperti kereta buruk yang sudah tiada gunanya, apabila ditarik keluar segala benda-benda yang sudah rosak atau binasa seperti enjin yang tidak berfungsi, tempat duduk yang sudah rabak, cermin yang sudah pecah dsb, dengan kata lain, akhirnya ada juga nilainya, iaitu pada besi-besi yang tinggal, kerana besi-besi itu boleh sahaja dijual kepada pengutip besi. (Maaf jika sekali lagi contohnya kurang berkesan.)

‘Walaubagaimanapun, Allah Azzawajjal tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.’


Aku ini bukan pemberi hukum jauh sekali fatwa. Aku hanya ‘TheTinystone’, yang ingin mengajak kearah pemikiran yang lebih kritikal dan fokus, dengan berpandukan disiplin Islam, yakni Al Quran dan sunnah kekasihku SAW. Dalam penulisan kali ini, aku ingin mengutarakan pandangan dan ideaku berkaitan isu semasa, yang dekat dengan keperluan ummah. Bukan isu wanita Umno, yang boleh tahan asyiknya, sebaliknya tentang isu pengharaman Yoga.

Terus terang di sini, aku tidak tahu secara detail tentang yoga. Yang aku tahu ianya sejenis senaman, yang dipercayai banyak khasiatnya, sehingga pengamalnya lebih obses dengan khasiatnya berbanding khasiat solat yang mengikut nabi SAW. Dan satu lagi yang aku tahu tentang yoga, ianya sering dikaitkan dengan ajaran Hindu. Ada satu lagi, aku pula sering memahami yang yoga ini banyak dilakukan oleh gadis-gadis moden, sebagai amalan hidup sihat.

Apapun, inilah yang aku faham tentang yoga. Maaf jika tersilap.

Yoga diharamkan oleh majlis fatwa kebangsaan. Ya, selepas aku membaca berita tersebut, aku sangat setuju ianya diharamkan (untuk umat Islam sahaja.) berdasarkan alasan majlis tersebut. Mengapa?

Teruskan membaca..

Sudah pastilah aku bersetuju, kerana dalam alasan pengharaman tersebut, ada dinyatakan sebab pengharamannya iaitu terdapat unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam di dalamnya, seperti bacaan mentera, keyakinan boleh bersatu dengan tuhan dan beberapa gerakan yang menyamai amalan agama lain. Jika benar, tidak syak lagi keperluan mengharamkannya! Kemungkinan berlaku syirik dan pemesongan akidah sudah tentulah satu ancaman kepada pengamal yang beragama Islam.

Sesungguhnya Allah itu tidak mengampuni dosa jika Dia dipersekutukan, tetapi diampuniNya selain dari itu bagi siapa yang disukaiNya. Siapa yang mempersekutukan Allah, sesungguhnya dia telah membuat dosa yang besar.
Surah AnNisaa'. Ayat 048.


Kalau sesuatu itu ada elemen yang bertentang dengan syiar Islam, seperti syirik, khurafat serta penciptaan amalan yang baru, maka wajiblah hal tersebut diperangi!

Jangankan yoga, silat batin atau apa-apa lagi yang batin-batin dan mengandungi amalan menyeru sesuatu haruslah ditegah! Sekalipun yang diseru itu Allah, kalau bentuk amalan tersebut adalah bertentangan dengan Islam, tiada nilainya sama sekali. Nauzubillah.

Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang mengamalkan suatu amal (ibadat) yang tidak pernah kami lakukan, maka amalnya itu ditolak."
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1701.


Tetapi, sekiranya yoga itu tidak lebih hanya sekadar senaman yang menguntungkan manusia (kesihatannya), dan bukan bentuk ibadah atau kepercayaan rohani, maka wajarlah ianya diamalkan.

Islam itu bukan agama yang kolot, asal sahaja perkara-perkara tersebut tidak bercanggah dengan kehendak Allah dan rasulNya, maka bolehlah kita amalkan. Rasulullah SAW sendiri banyak kali mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan yang tidak beragama Islam di masa baginda sedang sakit. Ini jelas membuktikan, selagi sesuatu amalan itu tidak songsang dari jalan Islam, tiada sebab untuk menidakkannya. Islam itu sangatlah adil, kerana Islam itu daripada Allah, bukan tangan manusia yang lemah.

Jadi, bagi pencinta yoga yang bersungguh-sungguh mempertahankannya, silalah pisahkan emas anda itu daripada tanah yang terpalit padanya, agar yang keluar nanti hanya emas tersebut. Buangkanlah mentera-mentera yang bukan-bukan itu (jika ada) serta gerakan-gerakan yang menyerupai ibadah agama lain, kerana Islam tidak membenarkan kita meniru perbuatan (ibadah, budaya) agama lain.

Kita harus menjunjung syiar Islam dalam melakukan apa juga perkara. Dengan itu, barulah amalan dan aktiviti kita itu ada nilainya, disisi Allah Azzawajjal dan juga kebaikannya pulang kepada kita juga, inshaAllah.

Yoga, sama juga seperti tai chi, kawad kaki dsb, yang bukan berasal daripada amalan specific dalam Islam, tidak salahlah diikuti sekiranya mengikut piawaian syarak. Tetapi, pengamal yoga ini murah hati untuk menunjukkan bahagian tubuhnya (wanita). Itu sedikit merimaskan. Sebab itulah aku mengatakan perlunya syiar atau ruh Islam itu dijunjung, agar perkara yang dilakukan itu benar-benar ada nilainya, sekali lagi, sesuai dengan kehendak Illahi dan suruhan rasulullah SAW.

Turutlah perintah Allah dan turutlah perintah Rasul! Tetapi kalau kamu membelakang, kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan dengan seterang-terangnya.
Surah AtTaghabun. Ayat 012.


Pencinta yoga, tutuplah aurat anda itu ya!

Kepada majlis fatwa, Alhamdulillah kerana bertindak, tetapi alangkah indahnya jika penjelasan lebih terperinci, ditambah dengan idea atau altenatif lain kepada yoga, samada apa-apa adjustment yang perlu atau cadangan lain agar para pencinta yoga tidak panas hati atau menentang habis-habisan fatwa itu.

Maaf, aku ini orang biasa, tetapi aku mengimpikan satu pekerjaan yang lebih terurus, penuh fakta dan bukti serta berjalan dengan hujah yang serba ilimiah daripada pakar-pakar agama suci ini, agar nilai fatwa itu seperti namanya.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengugut orang-orang yang mempertikai fatwa ini dengan gelaran sekular, tidak Islamik dan lain-lain kerana kita perlu kenal pasti fokus rungutan tersebut. Kalau fatwa itu dikeluarkan dalam keadaan yang sedikit tidak terurus, no wonderlah gang-gang ini akan habis-habisan menentang titik kekurangan tersebut.

Aku tidak menyebelahi mana-mana pihak, kalau ada pun aku hanya ingin memberi pandangan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan kerana mereka ini adalah penjaga nilai-nilai Islam, dan juga aku ingin selami hati para pencinta yoga yang terluka dek fatwa ini. (Kakak-kakak dalam Islam umpamanya.)

Sebelum aku mengakhiri tulisanku yang agak ringkas kali ini, aku ingin mengutarakan sesuatu yang aku dapati (Subhanallah) dan mungkin ramai lagi memperolehinya, kehebatan ibadah Solat! Bukan kerana pahalanya, itu adalah ketentuan Allah SWT, tetapi akan khasiatnya yang sangat indah dan menenagkan (menghilangkan stress, bukan yoga sahaja yang boleh), dengan syarat, patuhilah sabda nabi SAW yang tercinta ini:-
Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat
Hadis Sahih Bukhari


Stress atau tekanan boleh ditangani dengan solat yang betul cara dan tertibnya, seperti yang diajar baginda SAW. Ada masanya, lega hati ini bila bersolat, mengenangkan pelbagai janji Allah Azzawajjal, tuhan yang Maha Pemegang Janji, dalam kalamNya.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -
Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
Surah AlMu’minun. Ayat 001 - 011.

(ayat hafazan SPM)


Wahai semua, kita baikilah solat kita, disamping boleh meningkatkan value solat kita agar
diterima Allah SWT dan mematuhi suruhan nabi SAW, kita inshaAllah boleh perolehi khasiatnya, yang barangkali jika kita bersungguh-sungguh dalam melakukannya, kita tidak perlu lagi berhabis-habis dengan senaman yoga yang kononnya hebat sangat itu!

Maaf sekiranya sedikit melampau (atau mungkin sangat melampau). Aku tidak menentang apa-apa aktiviti (selagi tidak haram), cumanya aku rimas dengan sikap bermati-matian mempertahankan trend ini. Hargailah nilai-nilai yang ada dalam Islam itu sendiri, kerana tidak Allah menyuruh kita kepada sesuatu melainkan untuk kebaikan kita sendiri serta peluang memperoleh rahmatNya nanti kelak.

Kepada sahabat-sahabat atau pembaca yang berpeluang untuk menjalankan kajian tentang khasiat solat, pohon sangat-sangat agar anda memperuntukkan masa anda untuk perkara ini, sebagai sebahagian cabang dakwah (bukan politik semata-mata sebagai cabang dakwah), agar kebenaran Islam itu dapat dizahirkan lagi.

Barakallahufikum.





Saturday, November 22, 2008

Lokap Budaya





Insan itu bermacam warna,
Sengaja begitu atas kehendakNya,
Wajah tak sama cakapnya berbeza,
Tidak ketinggalan adat dan budaya..

Datang dirinya membawa cahaya,
Hati yang gelap dicantas akarnya,
Keteguhan iman menjadi agenda,
Jiwa terdidik maruah bahagia..

Dirinya pergi baru seketika,
Muncul dalang memulakan bencana,
Asal manusia kuat mereka,
Fitnah durjana mula melanda..

Dakyah iblis makin melata,
Ajaran yang indah diubah rupa,
Diikat dibelenggu kuasa budaya,
‘Bangsa’ memacu akidah manusia..

Persaudaraan hilang dek sempadan negara,
Amalan pula mengikut negerinya,
Madah orang lama bagaikan mutiara,
Sunnah di lupa adat dipelihara..

Inilah dia lokap budaya,
Meminggir wahyu memulau aturanNya,
Agama yang suci terus di penjara,
Ayuhlah semua keluar membelanya..

Bukan bermaksud menghentam semua,
Jauh sekali mencabar yang tua,
Cuma yang hak itulah segala-galanya,
Akan ditegakkan selagi terdaya..

Belalah ia dengan beretika,
Penuhkan dulu ilmu di dada,
Agar jiwa dan fikiran merdeka,
Biar kebenaran kembali bertakhta..

Islam tulen terasing semula,
Saling tak tumpah seperti asalnya,
Namun bahagia masih ada,
Begitulah sabda junjungan tercinta..

Biarlah apa orang nak kata,
Biar apa pun juga cop dan labelnya,
Kerana rahmatNya menunggu di sana,
Beruntunglah mereka yang mempertahankannya.

Barakallahufikum.





Wednesday, November 19, 2008

Suka Sama Suka vs Halal

Assalamualaikum

Jiwa manusia terkandung di dalamnya pelbagai jenis naluri, yang boleh sahaja menjadi positif atau negatif, kerana setiap tindakan manusia itu akan mengalir keluar melalui salah satu daripada 2 pintu ini. (positif dan negatif).

Aku suka memberikan sedikit contoh. Manusia itu memiliki naluri seksual, iaitu keinginan untuk melakukan hubungan seks. Semua manusia ada naluri ini, termasuklah orang yang kurang waras. Aliran naluri ini (nafsu seks), boleh sahaja keluar menjadi baik atau buruk.

Aku membayangkan dalam konteks hubungan sesama manusia terlebih dahulu. Positifnya hubungan ini ialah apabila manusia melakukannya atas dasar suka sama suka, tanpa paksaan dan juga kekerasan. Sebaliknya, rogol, cabul dsb adalah aliran naluri seksual dari pintu yang negatif. Tiada win win situation di sini.

Tetapi positif dalam nilaian manusia belum tentu sah atau halal di sisi Allah. Sebab itulah Islam wujud, kerana pemilik alam ini, iaitu Allah Azzawajjal, yang juga pencipta manusia ini zahir dan batinnya, mahukan setiap manusia itu mengalirkan naluri kurniaanNya itu melalui pintu-pintu yang halal, sesuai dengan kehendakNya dan contoh yang ditunjukkan oleh nabi SAW.

Turutlah perintah Allah dan turutlah perintah Rasul! Tetapi kalau kamu membelakang, kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan dengan seterang-terangnya.
Surah AtTaghabun. Ayat 012.

Sesungguhnya halal dari sisi syarak itu jauh lebih besar kepentingannya daripada positif ukuran manusia. Ini kerana kita bercakap tentang hablumminallah (hubungan dengan Allah).

Islam itu ad-deen, Islam itu harta bernilai untuk jiwa, Islam itu memacu keadilan dan keamanan sejagat dan sebagainya.

Itulah antara motto-motto indah untuk menggambarkan Islam, agama suci pilihan Allah sebagai satu-satunya agama yang diredhaiNya.

…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…
Surah AlMaa’idah. Ayat 003.

Aku kembali kepada contoh berkaitan naluri seksual manusia. Andaikan pasangan yang ingin melakukan hubungan tersebut sudah senada dan rela merelakan, belum tentu mereka dapat mengalirkan naluri mereka itu melalui pintu halal atau yang dibenarkan oleh Allah SWT. Apakah nilai suka sama suka sekalipun sehingga memeterai ikatan perkahwinan kalau 2 jiwa yang terlibat adalah daripada kaum sejenis!? Negara-negara barat sudah mula mengizinkan amalan songsang ini, Nauzubillah.

Dan Nabi Luth juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas".

Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Luth dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri".

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.

Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.

Surah AlA’raaf. Ayat 080 - 084.

Hubungan sejenis adalah tindakan melampau di sisi Allah. Ianya jijik. Terma hak asasi yang dilaung-laungkan sesetengan pihak yang mendakwa sebagai pejuang hak kemanusian sebenarnya adalah tindakan durjana daripada pencabul hak asasi manusia!!

Mereka seolah-olah menganggap Islam yang merobek hak manusia, yang tanpa mereka sedari agama suci inilah yang memimpin dan meraikan jiwa dan keinginan naluri manusia itu, agar manusia bukan sahaja mendapat redha Illahi, malah dalam masa yang sama kepentingan sejagat itu terpelihara.

Bukankah yang bernama lelaki itu untuk mereka yang bernama wanita? Sungguh tergamak pencabul-pencabul ini memperjuangkan keinginan kaum abnormal, yang sama sekali jika diturutkan akan menyebabkan hak-hak wanita@manusia normal akan digugat, populasi alam akan terganggu di sebabkan tiada persenyawaan dapat diadakan oleh benih pasangan tersebut dan lain-lain lagi kesan yang buruk. Gila! Barangkali haiwan juga ingin sahaja mentertawakan mereka ini.

Sekali lagi, suka sama suka belum tentu menjamin ‘halalnya’ hubungan tersebut. Jika tadi contoh yang aku utarakan berkaitan dengan hubungan sejenis yang kotor dan menjijikkan, kini aku ingin berikan contoh yang lebih berleluasa di era kini, suka sama suka tanpa ikatan pernikahan.

Nilaian manusia belum sah ketepatannya, kerana manusia itu tetap manusia. Kunci kereta sendiri boleh jadi terlupa di manakah letaknya, inikan pula hendak mengeluarkan hukum? Omong kosong.

Seks di luar pernikahan (zina) adalah haram di sisi Allah!

Dan janganlah kamu dekati perzinaan, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan yang keji dan jalan yang salah.
Surah AlIsraa'. Ayat 032.

Hubungan seks menjadi haram tanpa pernikahan tetapi halal jika sebaliknya. Nah, lihatlah betapa pentingnya pernikahan di dalam Islam. Satu perkara yang sama, tetapi boleh menjadi lain hukumnya. Dengan kata lain, nikah itu memisahkan haq dan bathil berkaitan hubungan lelaki dan perempuan.

Mengapa Islam menganjurkan pernikahan? Sudah tentu banyak sebabnya, tetapi sekurang-kurangnya, aku percaya nikah menyebabkan manusia lebih berdisiplin dalam mengalirkan naluri seksual mereka dan keinginan berteduh dengan pasangannya.

Manusia akan kenal siapa yang harus dijadikan pasangan, dengan kata lain yang bukan mahram mereka. Lalu terelaklah perlakuan sumbang ala-ala binatang seperti bersekedudukan anak beranak, adik beradik dsb. Nauzubillah.

Terlarang bagimu (mengahwini) ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan dari bapamu, saudara-saudara perempuan dari ibumu, anak-anak perempuan dari saudaramu laki-laki, anak-anak perempuan dari saudaramu perempuan, ibu yang menyusukan kamu, saudaramu yang sama menyusu kepada seorang perempuan, ibu isterimu (mertua), anak tiri yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu tidaklah mengapa (kamu kahwin dengan anak tiri itu), isteri dari anakmu yang dari punggungmu sendiri (anak kandung) dan mengumpulkan dua perempuan yang bersaudara, kecuali pada masa yang telah sudah; sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyayang.
Surah AnNisaa'. Ayat 023.

Nikah juga melahirkan rasa hormat antara pasangan yang terlibat. Nikah menjamin maruah mereka yang mengangkat hubungan tersebut. Anak akan dikongsi sebagai zuriat bersama, berbeza dengan seks luar nikah atau zina, lelaki yang keji sering mengambil kesempatan untuk tidak bertanggungjwab atas produk yang terjadi melalui rasa cinta biadap mereka. Nauzubillah.

Nilai atau value wanita telah dipertahankan malah diangkat ke satu tahap yang lebih baik oleh agama Islam. Mahukan wanita itu, nikahilah dia dengan cara yang telah digariskan syarak.

Hai orang-orang yang beriman! Tidak dibolehkan bagi kamu mempusakai perempuan-perempuan dengan paksa, dan janganlah kamu menyusahkan perempuan-perempuan itu, kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali jika mereka terang melakukan perbuatan keji. Dan bergaullah dengan perempuan-perempuan secara patut, dan jika kamu kurang suka kepadanya, mungkin kiranya apa yang kurang kamu sukai itu, tetapi Allah mengadakan kebaikan yang banyak di dalamnya.
Surah AnNisaa'. Ayat 019.

Nyatalah di sini dakwaan manusia tentang sesuatu hak itu belum tentu menjamin sahnya perkara tersebut di sisi Allah, dan halal dan haramnya sesuatu itu di sisi Allah sudah pasti untuk kebaikan hambanya dunia dan akhirat, kerana Allah itu Maha Mengetahui, dan apa sahaja ciptaanNya sudah tentu untuk memudahkan manusia, bagi mereka yang berfikir, agar lebih tekun dalam beribadah inshaAllah.

Orang-orang yang mengingati Allah, ketika berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi mengatakan: Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami dari seksa neraka!
Surah Ali'Imran. Ayat 191.


Bercintalah dengan normal, dan yang paling penting mengikut aturan Allah dan contoh nabi SAW. Jangan biar perasaan memimpin perasaan, sebaliknya pimpinlah perasaan tersebut dengan iman.

Barakallahufikum.




Saturday, November 15, 2008

Oh, tua sudah aku ini..


Ingat mengingat supaya ligat,
Sebelum dia datang tercegat,
Kiri, kanan dan semua tempat,
Tiada jalan kecuali lahad.

Walau manusia tapi berbeza,
Asalnya semua diberi minda,
Agar iman terlekat di dada,
Jangan asyik leka bercanda.

Ingat mengingat supaya ligat,
Sebelum dia datang tercegat,
Kiri, kanan dan semua tempat,
Tiada jalan kecuali lahad.

Dalam akaun berangka-angka,
Masih sahaja tamak haloba,
Mata terbeliak mulut ternganga,
Indahnya hidup bertemankan harta.

Ingat mengingat supaya ligat,
Sebelum dia datang tercegat,
Kiri, kanan dan semua tempat,
Tiada jalan kecuali lahad.

Baik dan jahat semasa di dunia,
Di sana nanti syurga dan neraka,
Sedarlah kita akan adatnya,
Manusia itu selamanya hamba.

Ingat mengingat supaya ligat,
Sebelum dia datang tercegat,
Kiri, kanan dan semua tempat,
Tiada jalan kecuali lahad.

24 jam itu sungguh cepat,
Asal tersedar ku rasakan lewat,
Jiwa risau mungkinkah sempat,
Dapatkah nanti rahmat dan syafaat?

Ingat mengingat supaya ligat,
Sebelum dia datang tercegat,
Kiri, kanan dan semua tempat,
Tiada jalan kecuali lahad.

Nafas ini pasti 'kan tamat,
Entah cepat ataupun lambat,
Al Mizan itu timbangannya tepat,
Berat di kanan tentulah selamat.

Ingat mengingat supaya ligat,
Sebelum dia datang tercegat,
Kiri, kanan dan semua tempat,
Tiada jalan kecuali lahad.


Dan neraca pada hari itu betul, maka siapa yang berat timbangan (kebaikannya), itulah orang-orang yang beruntung.
Surah AlA’raaf. Ayat 008.

Barakallahufikum.





Mengajar, Takut, Trauma dan Ghaib

Assalamualaikum

Perasaan atau psikologi merupakan market atau ruang niaga bagi asas pendidikan Islam. Apa yang aku maksudkan di sini ialah, Islam itu keseluruhannya menyokong keperluan naluri manusia, apa sahaja, dan dengan sebab itulah Islam itu bersifat tepat dan benar.

Islam bukan sahaja menyediakan manusia jawapan kepada persoalan jiwa mereka, bahkan sasaran masej Islam itu juga mudah, iatu sesuai dengan unsur-unsur yang ada dalam naluri manusia. Islam tidak mengadakan sesuatu yang tiada dalam kehendak manusia. Islam hadir dalam naluri manusia yang mahukan perlindungan, teman, kesenangan zahir dan batin, pertahanan, kegembiraan, ketakutan dsb.

Manusia ini boleh mencapai sesuatu tahap ilmu berdasarkan kefahaman mereka, yang sudah pasti bersangkut paut dengan subunit yang ada dalam jiwa mereka sendiri. Sebab itulah mengapa Allah, melalui kalam dan rasulNya mendedahkan perihal pahala dan dosa, syurga dan neraka, fadilat dan azab dsb.

Banyak sekali firman-firman Allah serta sabda nabi SAW berkaitan hal-hal di atas. Manusia ini, dalam jiwanya memang mengharap sesuatu hadiah atau reward, dan dalam masa yang sama tidak mahukan demerit atau ‘potong markah’ (maaf, tiada istilah yang lebih menarik).

Ibu yang meminta anak membuat sesuatu pasti menyelitkan hadiah atau upah yang bakal diterima si anak selepas selesai apa yang ibunya mahukan. “ Kalau kamu tolong cabutkan uban mak, mak bagi RM 5.00 untuk setiap seratus helai” Jadi, selain ingin berbakti, sedikit sebanyak hadiah tersebut menjadi pemangkin kepada khidmat si anak itu. Itulah manusia.

Anda juga pasti biasa mendengar ini, “ Kamu berani-beranilah pergi mandi sungai dekat belakang tu, banyak jembalang sungai menunggu. Jembalang suka budak-budak.” Lalu si anak mula ragu-ragu untuk mengikut keinginannya mandi sungai. Ibu mengajar anaknya dengan menghadirkan rasa bimbang dan takut dalam hati budak itu. Itulah manusia.

Ada lagi, “ Kalau kamu malas belajar dan dapat keputusan yang teruk dalam peperiksaan kamu, ayah hantar kamu tinggal di kampung, tetapi jika kamu rajin dan mendapat keputusan yang bagus, ayah sanggup keluar belanja besar menghantar kamu belajar di luar negara.” Sudah pasti si ayah mengugut begitu kerana kampung merupakan lembah seksaan kepada si anak. Dan si anak pasti sedikit terkesan dengan kata-kata ayahnya itu. Itulah manusia.

Sebab itulah Islam ini sentiasa menekankan akibat atas sesuatu perbuatan, baik dalam bentuk yang menyeronokkan ataupun yang sebaliknya. Kerana manusia itu tetap manusia. Manusia tidak boleh diserang jiwanya dari satu arah sahaja.

Di dalam Al Quran sendiri, ada keadaanya Allah akan menyuruh kita mengharap kepadaNya, kerana dalam jiwa manusia ini ada unsur mengharap. Ada keadaanya Allah menjanjikan pahala dan rahmatNya kepada manusia yang mengejar darjat keimanan, kerana dalam jiwa manusia ini bersifat mahukan ganjaran.

Siapa yang menghendaki pahala dunia, maka di sisi Allah terdapat pahala dunia dan akhirat. Allah itu mendengar dan melihat.
Surah AnNisaa'. Ayat 134.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik, sudah tentu Kami tiada akan membuang saja pahala orang-orang yang melakukan perbuatan baik.
Surah AlKahfi. Ayat 030.

Begitulah Kami berikan kedudukan tinggi di negeri (Mesir) kepada Yusuf, dia dapat tinggal di mana saja disukainya. Kami limpahkan kurnia Kami kepada siapa yang Kami sukai, dan Kami tiada mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
Surah Yusuf. Ayat 056.

Sesungguhnya Allah telah membeli diri dan harta orang-orang yang beriman dengan memberikan syurga untuk mereka; mereka berperang di jalan Allah, sebab itu mereka membunuh dan terbunuh, menurut janji yang sebenarnya dari Tuhan di dalam Taurat, Injil dan Quran. Siapakah yang lebih memenuhi janjinya selain Allah? Sebab itu, bergembiralah kamu terhadap perjanjian yang telah ada antara kamu dengan Tuhan. Dan itulah keberuntungan yang besar.
Surah AtTaubah. Ayat 111.

Ada juga keadaanya Allah menyuruh kita takut kepadaNya. Allah juga menjanjikan neraka kepada orang kafir, pembuat dosa atau fasik, munafiq dsb. Banyak keadaan di dalam Al Quran di mana Allah mendedahkan tentang akibat yang pedih bagi mereka yang tidak patuh kepada Allah dan nabiNya.

Dan orang-orang yang memperhubungkan apa yang disuruh hubungkan oleh Allah, dan mereka takut kepada Tuhannya, dan mereka takut terhadap perhitungan yang buruk.
Surah ArRa’d. Ayat 021.

Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti.
Surah AlIsraa'. Ayat 057.

Adapun orang-orang yang jahat, kediaman mereka neraka. Setiap mereka yang hendak keluar dari sana, mereka dikembalikan ke dalamnya. Dan dikatakan kepada mereka: Rasailah olehmu seksaan neraka, yang kamu dustakan dahulu.
Surah AsSajdah. Ayat 020.

Di hari Kami bertanya kepada neraka jahanam: Sudah penuhkah engkau? Neraka itu menjawab: Masih adakah tambahannya?
Surah Qaf. Ayat 030.


Nauzubillah


Teranglah di sini bahawasanya Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana itu mendidik serta memberi peringatan sesuai dengan komposisi hati nurani manusia ciptaanNya itu. Subhanallah.

Begitu juga rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah serta menyuburkan kefahaman sahabat-sahabat baginda SAW. Pendekatan menceritakan fadilat dalam melakukan amal atau perbuatan serta azab meninggalkannya selalu digunakan oleh baginda SAW. Di sini aku sertakan 3 contoh.

Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 3. Hadis Nombor 2151.
Mewartakan kepada kami Muhammad bin Rumh; mewartakan kepada kami Al-Laits bin Sa'ad dari Nafi', dari al-Qasim bin Muhammad, dari 'Aisyah, bahawasanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya para pelukis gambar (yang bernyawa) akan diazab pada hari kiamat nanti. Dikatakan kepada mereka: "Hidupkanlah apa yang telah kalian ciptakan!"

Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 0209.
Mewartakan kepada kami Abu Bakr bin Abu Syaibah, mewartakan kepada kami Zaid bin Al-Hubab, mewartakan kepada kami Katsir bin Abdullah bin Amru bin Auf Al-Muzanniy, mewartakan kepadaku ayahku -yakni: Abdullah bin Amr", dari datukku "yakni: Amru bin Auf, pnt.--: Bahawa Rasulullah SAW. bersabda: "Barangsiapa yang menghidupkan Sunnahku, kemudian diamalkan sunnah itu oleh orang lain, maka baginya mendapat seperti pahala orang yang mengamalkannya, tanpa terkurangi sedikitpun pahala-pahala mereka sama sekali. Barangsiapa yang berbuat bidaah, kemudian diikuti perbuatannya -oleh orang lain-, maka baginya memperoleh dosa-dosa orang yang melakukannya, tanpa terkurangi sedikitpun dosa-dosa yang melakukannya sama sekali."

Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 2. Hadis Nombor 0804.
Hannad menceritakan kepada kami, 'Abdur Rahim bin Sulaiman memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari 'Abdul Malik bin Abu Sulaiman dari 'Atha' dari Zaid bin Khalid Al-Jahanni di mana ia berkata: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang memberi buka orang yang berpuasa maka ia mendapatkan pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tanpa kurang sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu." Abu 'Isa berkata: "Hadis ini adalah hadis hasan sahih."

Itulah hebatnya gaya penyampaian dan pendidkan dalam agama suci ini. Sesetengah agama di atas muka bumi ini ada yang menyogokkan penganutnya dengan keseronokan semata-mata tanpa mengetahui hakikat manusia ini flexible jiwanya.

Teruskan membca…


Baru-baru ini, kecoh sedikit berkaitan isu ‘Sajak Kematian’. Aku ingin memberi pandangan dan pendirian ringkas aku berkaitan hal ini. Aku amat menyokong perlunya pelajar-pelajar, daripada peringkat terendah dalam sistem pendidikan, diberikan atau diceritakan hal-hal berkaitan seksaan atau azab, sesuai dengan kapasiti minda meraka. Mengapa perlu? Hayatilah peneranganku di perenggan-perenggan sebelum ini. Dan aku menentang sekiranya ada ibu bapa atau kumpulan tertentu mengatakan jangan menakut-nakutkan budak-budak dalam mengajar.

(Menteri-menteri juga harus diberi pengajaran yang serupa, lagi-lagi isteri-isteri mereka yang tidak bertudung!)

Tetapi aku amatlah tidak bersetuju menggunakan kaedah lakonan atau apa sahaja visual atau audio dalam tujuan menggambarkan atau menghadirkan rasa real keadaan azab tersebut. Mengapa perlu? Ghaib tetap ghaib. Allah dan rasulNya sudah terangkan kepada kita tentang wajibnya percaya hal-hal yang ghaib.

Alif, Laam, Miim.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Surah AlBaqarah. Ayat 001 - 003.


Bagaimanakah hal ghaib itu kekal ghaibnya kalau manusia pandai-pandai mahu menggambarkan hal tersebut secara nyata, lagi-lagi kepada public atau awam? Aku mengaku aku sendiri kadang kala menggambarkan hal-hal ghaib, apa rupanya syurga, neraka, kiamat, malaikat dsb, tetapi cukuplah di dalam mindaku sendiri, dan sudah pasti gambaran aku itu salah sama sekali, kerana kebenaran hal-hal tersebut menjadi milik eksklusif Allah Azzawajjlal semata-mata. Allahuakhbar!

Pada hari Rasul-rasul dikumpulkan oleh Allah, lalu Tuhan mengatakan: Bagaimanakah sambutan terhadap kamu? Mereka mengatakan: Kami tidak tahu, tentulah Engkau yang amat tahu perkara-perkara yang ghaib.
Surah AlMaa’idah. Ayat 109.

Dan di sisi Tuhan kunci-kunci perkara yang ghaib, tidak ada yang tahu selain Tuhan. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut, dan sehelai daun yang gugur diketahui Tuhan juga. Tidak ada sebutir biji dalam kegelapan bumi, yang basah dan yang kering semuanya tertulis dalam Kitab yang terang.
Surah AlAn'aam. Ayat 059.

Jangan diturutkan sangat semangat ingin tahu itu sehingga melanggar prinsip dan disiplin ilmu Islam, warisan rasulullah SAW yang mendapat bimbingan langsung Allah dan malaikatNya. Berpada-padalah, supaya kita tidak keliru dan binasa. Rujuk kembali hadith-hadith sahih serta perjalanan hidup nabi SAW dan para sahabat. Mereka ini mengambil peringatan tersebut (daripada Allah dan rasulullah) dengan sekuat-kuat genggaman, tanpa rasa selfish atau mahu lihat bukti zahir/tangible dahulu baru ikut!

Jangan mengambil contoh kaum-kaum yang telah dibinasakan olah Allah akibat ketelanjuran mereka serta sifat melampau dalam mempersoalkan sesuatu. Islam tidak anti ilmu dan kemajuan, cumanya Islam ini ada garis panduannya, bukan untuk apa, tetapi hanya untuk kesenangan manusia itu sendiri dunia akhirat, bagi mereka yang menggunakan akal kurniaan Allah untuk berfikir.

Gunakanlah bajet membikin ‘Sajak Kematian’ tersebut untuk perkara-perkara yang lebih berfaedah, dan lebih penting, mengikut landasan Islam agar persoalan dalam ummah, yang terlalu banyak dan menggerunkan, dapat kita atasi dengan berhemah. Luaskan pengajaran ilmu hadith di sekolah-sekolah, agar maksud way of life itu dapat dizahirkan.

Terimalah hakikat bahawa di Malaysia, pendidikan hadith/sunnah kekasihku rasulullah SAW sangat kurang. Bagaimanakah kita dapat menerbitkan rasa cinta dan kasih kita kepada nabi SAW kalau kita tidak didedahkan perihal perbuatan baginda SAW dan para sahabat yang baginda umpamakan bintang-bintang di langit itu? Adakah hanya di bibir atau di atas kertas peperiksaan semata-mata, atau setahun sekali semasa menyambut Maulid? Fikirkanlah!

Niat untuk menyedarkan anak-anak tentang akibat pedih meninggalkan solat itu amat terpuji, tetapi ikutlah jalan yang lebih tepat. Aku di sini bukan sebagai penghukum, sekadar menyatakan pendirian dan ideaku semata-mata.

Barakallahufikum.



Thursday, November 13, 2008

Jawapan Kepada 2 Persoalan Utama Jiwa


Assalamualaikum

Manusia normal keseluruhannya dibekalkan dengan pelbagai perasaan atau sifat semulajadi oleh penciptanya. Manusia tidak perlu diajar untuk makan apabila lapar. Manusia tidak perlu ditunjukkan cara-cara untuk tidur apabila mengantuk. Lelaki juga tidak pelu diajar untuk menyukai perempuan, begitu juga sebaliknya. Persoalan seperti:-“Siapa yang harus aku cari untuk di jadikan isteri? Lelaki atau perempuan?” tidak akan telintas dalam naluri lelaki normal.

Namun tidak dinafikan ada juga lelaki mahupun perempuan yang cuba menentang kebiasaan ini. Mereka ini sebenarnya tetap normal,tetapi keadaan sekeliling serta mungkin pengalaman hidup mendesak mereka memilih untuk menjadi songsang. Nauzubillah.

Ada dua perkara besar yang dibekalkan tuhan ke dalam jiwa manusia, yang merupakan sepenting-penting perkara dimana dua perkara ini menjadi demand naluri seorang yang bergelar manusia, di mana sahaja individu itu berada.

Perkara pertama ialah tuhan (ketuhanan). Manusia normal pasti mengenal tuhan. Mungkin berbeza istilahnya, tetapi fokusnya sama. Manusia sedar adanya konsep ketuhanan dalam alam ini, akibat berdiri teguhnya alam ini melampaui kemampuan manusia untuk melakukannya. Alam ini dengan sifat siang malamnya, flora dan faunanya, anginnya, hujannya serta pelbagai fenomena lain disedari oleh manusia bukan tindakan mereka, tetapi ada sesuatu kuasa yang mengawal semuanya. Sebab itu hampir semua manusia di dunia ini beragama.

Dan hakikat semua agama adalah mencari atau mendekatkan diri kepada tuhan. Bagaimana pula dengan golongan yang tidak percaya tuhan? Sebenarnya mereka ini bukan tidak percaya tuhan, tetapi mereka tidak percayakan agama. Jauh di sudut hati, mereka pasti menyedari tentang adanya kuasa lain yang mengawal gerak geri alam ini. Seperti juga lelaki yang ingin menjadi pondan atau perempuan yang ingin menjadi tomboi, bila ke tempat awam, mereka pasti masuk ke tandas jantina asal mereka. Kerana manusia itu tetap manusia.

Dan itulah asal usul wujudnya pelbagai gambaran tuhan di dalam dunia ini. Jiwa manusia yang mengenal dan mencari tuhan bergabung dengan imaginasi mereka yang terbatas melahirkan bermacam-macam rupa dan bentuk berhala. Nauzubillah.

Perkara kedua adalah selepas mengenal adanya kuasa atau tuhan, manusia, yang memiliki nature takut, memuja dan berkeinginan pasti mahu menyeru atau mempersembahkan sesuatu kepada kuasa/tuhan tersebut, dengan harapan tidak menerima bencana ataupun sebaliknya ingin mendapat hasil lumayan. Akhirnya wujudlah jalan untuk worshiping atau beribadah kepada kuasa/tuhan itu. Ada yang menyembah ciptaan tangan mereka sendiri, ada yang menyembah hidupan lain serta pelbagai lagi, mengikut definisi ‘tuhan’ melalui minda manusia itu semata-mata.

Manusia, dengan kapasiti minda dan jiwa mereka, akan mengada-adakan jalan ibadah kepada tuhan, mengikut selera mereka. Agama yang memandang tuhan itu sebagai bengis, pasti akan mengadakan upacara ibadah yang agak menyakitkan, seperti jalan di atas api, mencederakan diri sendiri dan sebagainya, manakala agama yang merasakan tuhan itu bersifat penyayang pasti mencipta amalan yang sangat ringan, seperti bertafakur seminggu sekali atau cukuplah sekadar ingat/percaya tuhan.

Akhirnya manusia mengelirukan diri mereka sendiri. Tuhan serta amalan diupdate atau diperbaharui dari masa ke semasa selari dengan kepentingan yang ada.

Allah memutuskan perkara dengan adil. Dan apa yang mereka seru (puja) selain dari Allah, tiadalah dapat memutuskan perkara apa pun. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Melihat.
Surah Al Ghaafir. Ayat 020.

Namun, seorang manusia bernama Muhammad bin Abdullah telah diutus oleh tuhan sebenar yakni Pemilik alam ini, untuk membantu manusia, iaitu dengan memimpin keperluan sedia ada dalam jiwa insani mereka kearah jalan yang tepat.

Katakanlah: Hai manusia! Sesungguhnya aku adalah Utusan Allah kepada kamu seluruhnya. Tuhan yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Tak ada Tuhan selain daripadaNya, Yang menghidupkan dan Yang mematikan. Sebab itu, hendaklah kamu beriman kepada Allah dan UtusanNya, Nabi yang ummi yang percaya kepada Allah dan perkataan-perkataanNya. Ikutlah dia supaya kamu mendapat petunjuk.
Surah Al A’raaf. Ayat 158.

Katakan: Hai manusia! Aku hanya (diutus) untuk kamu pemberi peringatan yang terang.
Surah AlHajj. Ayat 049.

Dia yang mengutus RasulNya, membawa pimpinan dan agama kebenaran, supaya ditempatkanNya agama itu di atas dari segala agama, biarpun orang-orang musyrik itu tidak menyukai.
Surah AtTaubah. Ayat 033.

Hakikatnya, semua rasul diutus oleh Allah sebagai penyebar risalah untuk menampakkan jalan selamat kepada kaum mereka.

Hai anak-anak Adam! Kalau datang kepada kamu Utusan-utusan (Tuhan) di antara kamu, diceritakannya kepada kamu keterangan-keteranganKu, maka barangsiapa yang memelihara dirinya (dari kejahatan) dan membuat perbaikan, nescaya mereka tidak merasa ketakutan dan tidak menanggung dukacita.
Surah AlA’raaf. Ayat 035.

Itulah sebabnya kenapa para rasul diutus oleh Allah Azzawajjal. Jiwa manusia yang sudah menyedari adanya tuhan, akan dipimpin oleh risalah para rasul untuk mengenali the real god atau tuhan sebenar. Inilah yang dijawab oleh Islam yang disebarkan oleh baginda tercinta, Nabi Muhammad SAW. Dan inilah intipati kalimah tauhid kita sendiri menegaskan ‘tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah’ menunjukkan manusia ini sama sekali sudah mengenal tuhan, tetapi perlu panduan untuk mencari satu-satunya tuhan yang layak disembah, yakni Allah SWT yang memiliki seluruh alam ini dengan segala sifat kesempurnaanNya. Allahuakhbar!

Tiadalah yang kamu sembah selain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu buat dan dibuat bapa-bapa kamu saja. Allah tidak menurunkan keterangan tentang itu; keputusan hanya kepunyaan Allah. Dia memerintahkan, bahawa janganlah kamu sembah selain Dia. Itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan orang tidak mengetahui.
Surah Yusuf. Ayat 040.


Penganut agama lain pasti mempunyai alasan mereka yang tersendiri berkaitan dengan konsep ketuhanan yang mereka ikuti dan percayai, dengan kata lain tauhid
agama mereka. Tetapi sedarlah semua, kita tidak perlu sama sekali mencari dengan detail tentang kepincangan agama-agama lain, cukuplah dengan meneliti konsep tauhid agama mereka itu sendiri, yang sememangnya mengelirukan serta bersifat andaian! Bandingkanlah konsep ketauhidan dalam ajaran Islam dengan agama-agama lain jika anda kurang jelas.

Akhirnya, jelaslah di sini bahawa jiwa insani manusia itu mendambakan tuhan yang satu yang tiada apa yang sama denganNya, tetapi hakikatnya masih ramai yang tidak sedar, akibat kurang keikhlasan dalam mencari-Nya, atau leka berfoya-foya.

Selepas mendidik jiwa manusia dengan ketauhidan tulen dan sebenar, Nabi Muhammad SAW membawa satu lagi amanah daripada Allah Azzawajjal, iaitu ibadah yang disukai dan dikehendaki olehNya. Islam ini lengkap, sangat lengkap. Keinginan naluri manusia untuk berbuat baik, memohon sesuatu dan meminta maaf (taubat) kepada yang Maha Esa dipenuhi dengan adanya konsep ibadah yang diajar oleh rasulullah SAW.

Mengapa perlunya diajar cara beribadah? Kerana hanya ibadah yang termaktub sahaja yang diterima oleh Allah. Sebarang bentuk ibadah, walaupun ikhlas kepada Allah tapi bukan dengan cara yang dikehendakiNya adalah salah dan tidak diterima sama sekali. Mungkin nampak cantik dan bagus melalui penilaian manusia, tetapi jangalah cuba membandingkan penilaian kita dengan Allah Azzawajjal! Rakaat solat Subuh diwartakan oleh Allah melalui rasulullah SAW sebanyak 2 rakaat. Walaupun kita dalam mood membuat amal soleh, menambah rakaat Subuh sehingga 10 rakaat misalnya, tetap salah. Nampak lagi baik, tetapi apakah baik jika kita melanggar apa yang Allah perintahkan?

Manusia ini kebanyakannya dihukum kerana tindakan dan amalan mereka. Niat memang penting, kalau yang disusuli itu cara yang kurang atau tidak tepat, tiadalah ertinya. Menegakkan Islam tetapi dengan pendekatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya, sudah tentu tidak disukai oleh Allah.

Aku tidak pernah mempertikaikan kejujuran atau ketekunan pengibadah atau abid-abid tidak kira apa anutan mereka, kerana barangkali tindakan mereka itu sangat-sangatlah jujur, tetapi, seperti yang aku jelaskan, buatlah seperti yang diwartakan Allah, bukan atas dasar pemikiran sendiri.

Sami-sami yang tidak mahu berkahwin, makan daging dan pelbagai lagi sekatan yang diwujudkan dengan alasan untuk mendekatkan diri kepada tuhan sebenarnya melakukan sesuatu yang tidak disuruh oleh Allah. Allah meletakkan pelbagai perisa dalam naluri kita, seperti ingin berpasangan dan berzuriat, makan makanan yang enak-enak dsb, tetapi adakah Allah juga yang mahu kita melawan keinginan itu sebagai jalan mendekatkan diri kepadaNya? Sudah tentu tidak. (perkara ini akan cuba aku jelaskan dalam tajuk ‘Islam menghargai naluri insan’)

Sembahlah Allah sesuai dengan kehendakNya serta yang ditunjukkan oleh rasulullah SAW. Solat itu bukan budaya atau aturan yang direka-reka, tetapi adalah perintah Allah.

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
Surah Taahaa. Ayat 132.

Sabda Nabi SAW dalam sahih Bukhari yang bermaksud, Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat membuktikan lagi Islam ini datang dengan pakej, bukan hanya teori atau asas, tetapi juga lengkap dengan amalinya.

Kita berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji (inshaAllah) semua berpandukan dalil-dalil daripada Al Quran serta sabda-sabda rasulullah yang sahih. Kerana itulah teras atau asas kepada ibadah itu memerlukan dalil. Bukan sahaja agama lain, ibadah dalam agama Islam juga harus disokong dengan pengesahan daripada 2 sumber yang utama iaitu Al Quran dan Sunnah.

Terjawablah sudah 2 persoalan dalam diri manusia itu melalui pendekatan Islam. Mungkin huraian aku banyak kekurangan, tetapi hakikatnya Islam itu sentiasa menawarkan jawapan kepada permintaan naluri manusia, kerana agama ini adalah lautan ilmu yang penuh dengan hujahnya.

Mohon kehadrat Allah agar kita mati dalam agama ini. Perhitungan terakhir nanti yang bakal menentukan segala yang kita usahakan di atas muka bumi ini. Tunaikanlah ibadah kepada Allah, selepas kita mengiakan keesaanNya. Dengar dan patuh, percaya dan beramallah, agar kita beroleh peluang untuk mendapat naungan Allah dan syafaat rasulullah SAW di hari pembalasan.

Barakallahufikum.



Sunday, November 9, 2008

Hero

Assalamualaikum

Obama harapan baru dunia? Sebab beliau bukan ‘kebiasaan’ Amerika. Kulitnya tidak cerah, karekternya nampak lebih berwibawa dan lain-lain. Dan manusia mula menaruh harapan terhadap beliau untuk menjadi hero baru dunia, selepas hero lama tidak lebih hanya sebagai seorang yang berjiwa kejam dan berhati ‘bushuk’.

Orang-orang awam mula menaruh harapan agar beliau dan pasukannya berupaya memulihkan masalah ekonomi. Kaum-kaum yang tidak berkulit putih mula mengharapkan agar beliau dapat mengurangkan superior mat saleh atas pentas dunia, tidak kurang juga musuh-musuh besar Amerika mengharapkan agar beliau ini menjadi salah satu punca kejatuhan Amerika, yang mula terlihat dalam sistem kapitalis ekonomi mereka, agar jawatan polis dunia dapat mereka warisi. Tetapi dalam banyak-banyak kelompok yang mengharap ini, terselit umat Islam, satu umat yang dipimpin oleh petunjuk Allah dan rasulNya, yang mengharap sesuatu yang aku kira sangat menyedihkan, iaitu agar Mr President ini dapat merawat hubungan Islam dan barat serta menzahirkan perkembangan yang lebih menyeronokkan di timur tengah.

Tidak salah mengharap, kerana itulah initipati jiwa manusia yang dikurniaakan Allah Azzawajal. Tetapi wahai umat Islam sekalian, sudah berapa puluh tahun kita mendambakan kesejahteraan Islam melalui tangan orang lain? Adakah tangan orang yang tidak percaya Islam itu ingin memenangkan agama ini? Sudah tentu tidak, malah sama sekali mereka-mereka ini ingin terus mengganyang kita, sama ada dengan darah kita, atau dengan nafsu kita. Bunuh dan lalaikan lagi umat ini! Tetapi,bukan semua mereka bersifat begini, malah dalam Al Quran sendiri Allah merakamkan firmanNya yang bermaksud Nasrani/Kristian itu paling hampir dengan kita umat Islam.

Tetapi dalam Al Quran jugalah Allah sering mengingatkan kita agar berhati-hati dengan sebahagian daripada mereka-mereka ini kerana mereka ingin memesongkan kebenaran daripada kita semua, nauzubillah!

Orang Yahudi tidak akan senang kepada engkau, begitupun orang Kristian, hanyalah jika engkau mengikut agama mereka. Katakan: Sesungguhnya pimpinan Allah itulah pimpinan yang benar, dan kalau engkau turut kemahuan mereka, sesudah pengetahuan datang kepadamu, tentulah Allah tidak lagi menjadi Pelindung dan Penolong bagimu.

Surah AlBaqarah. Ayat 120.


Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu ambil orang-orang Yahudi dan Kristian menjadi pemimpin, sebahagian mereka menjadi pemimpin bagi yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang melanggar aturan.

Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: "Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya
Surah AlMaa’idah. Ayat 051 - 052.

Mungkin aku ini agak skeptical terhadap mereka, tetapi mengapa perlu aku mengetepikan peringatan Allah tersebut? Dan mengapa anda juga perlu berbuat demikian? Tidakkah Allah sudah berjanji bahawa tiada perubahan terhadap ketentuanNya?

Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu.
Surah AlAhzab. Ayat 062.

Aku tidak mengajak atau menyeru kita membenci mereka, demi Allah tidak! Itu bukan cara rasulullah SAW dalam berhubungan dengan mereka Nabi kita yang tercinta ini begitu lembut dan mulus dalam berhubungan dengan bukan Islam, kecuali bila berhadapan dengan mereka yang melampau dan di medan perang. Kenanglah kembali kisah rasulullah SAW dengan pengemis Yahudi yang buta, kesudian baginda SAW menerima jemputan wanita Yahudi sehingga baginda diracun, kisah rasulullah dengan dengan pembesar Kristian serta sokongan terhadap kerajaan Rom yang beragama Kristian semasa mereka berperang dengan Parsi. Banyak lagi tauladan daripada kekasihku ini. Ya Allah, rindunya aku pada pesuruh dan kekasihMu, Muhammad SAW.

Umat Islam perlukan perubahan! Islamkanlah hati kita ini 100%. Jangan berangan membawa panji atau gagasan Islam kalau kita tidak mengikut lunas dan contoh yang disediakan. Sedarlah semua, Islam itu milik Allah. Bagaimana anda mendakwa anda ini pejuang syariat Allah tetapi dalam masa yang sama anda tidak mengikut aturan ‘tuan punya’ syariat. Umpama anda mewakili persatuan silat dan masuk satu pertandingan silat, tetapi anda mendendangkan lagu inang. Tidak layak sama sekai. Unqualified!

Aku tidak sempurna, samalah kita semua. Jangan marah jika ada yang rasa aku hanya berkata-kata atau berani menulis.

Menangkanlah Islam dengan tangan dan upaya kita sendiri (ilmu, sahsiah dsb). Dan selagi mana jalan atau kaedah yang kita pilih ada kecacatan, sekalipun jiwa kita ini membara untuk menegakkan syiar, jangan haraplah Allah sebagai pemilik syiar yang suci dan benar ini akan mengizinkan kita untuk berjaya, kerana ini bukan soal kecil, ini soal perjuangan Islam. Kejayaan Islam hanya layak dicapai dan diterokai oleh orang yang betul-betul beriman dan mengikut syariat ini, bukan ambil ini tolak itu, tolak ini ambil itu!

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Surah AlBaqarah. Ayat 208.

Kepada penceramah, pakar motivasi, politikus, penyanyi nasyid, pemimpin dsb yang mengaku atau mendakwa anda memperjuangkan Islam, sedarlah, bidang-bidang anda itu (politik, seni, ceramah dsb) tidak lebih hanyalah medium atau perkakas kepada dakwah ini, bukan dakwah yang menjadi alatnya. Apalah gunanya mementingkan medium berbanding risalah? Ungkapan-ungkapan orang seperti “kita memerlukan kuasa baru mudah untuk berdakwah” adalah ungkapan berbaur politik semata-mata, tetapi bukan madah seorang pendakwah sejati!

Jangan sesekali membisneskan Islam (menjadikan ia sebagai modal). Allah itu Maha Mengetahui segala yang tersembunyi. Ikhlaslah kita semua, lagi-lagi yang memayungi perjuangan mereka dengan nama Islam. Tukarkanlah fitnah dan cacian itu kepada hujah dan tauladan.

Lambat laun Islam akan menang juga, seperti dijanjikan Allah dan juga yang telah digambarkan oleh rasulullah SAW. Kebenaran tetap mengatasi kebathilan. Dan ada tangan-tangan pejuang yang ikhlas dalam menegakkan syiar ini serta meluaskan risalah ini keseluruh dunia, iaitu mereka yang mengikut Al Quran dan As Sunnah dengan sebetulnya, bukan dengan lisan ataupun manifestonya semata-mata. Biarlah kita menjadi salah seorang yang daripada pejuang ini, amin.

Betulkan diri kita, saling tegur menegur, sayang menyayang dan maaf memaafkan antara satu sama lain. Sesungguhnya kita sahajalah yang boleh menjadi hero kepada diri kita sendiri, melalui petunjuk Allah dan contoh nabi SAW, selama mana kita ikhlas dalam menimbanya. Kita ini orang Islam, kita tidak perlukan satu wizurai atau wakil untuk mengorbankan dirinya semata-mata untuk membersihkan diri kita. Bak kata orang, ‘sendiri buat sendiri tanggung’.

Wallahualam.

InshaAllah aku akan menulis lagi.

Barakallahufikum.