Thursday, November 13, 2008

Jawapan Kepada 2 Persoalan Utama Jiwa


Assalamualaikum

Manusia normal keseluruhannya dibekalkan dengan pelbagai perasaan atau sifat semulajadi oleh penciptanya. Manusia tidak perlu diajar untuk makan apabila lapar. Manusia tidak perlu ditunjukkan cara-cara untuk tidur apabila mengantuk. Lelaki juga tidak pelu diajar untuk menyukai perempuan, begitu juga sebaliknya. Persoalan seperti:-“Siapa yang harus aku cari untuk di jadikan isteri? Lelaki atau perempuan?” tidak akan telintas dalam naluri lelaki normal.

Namun tidak dinafikan ada juga lelaki mahupun perempuan yang cuba menentang kebiasaan ini. Mereka ini sebenarnya tetap normal,tetapi keadaan sekeliling serta mungkin pengalaman hidup mendesak mereka memilih untuk menjadi songsang. Nauzubillah.

Ada dua perkara besar yang dibekalkan tuhan ke dalam jiwa manusia, yang merupakan sepenting-penting perkara dimana dua perkara ini menjadi demand naluri seorang yang bergelar manusia, di mana sahaja individu itu berada.

Perkara pertama ialah tuhan (ketuhanan). Manusia normal pasti mengenal tuhan. Mungkin berbeza istilahnya, tetapi fokusnya sama. Manusia sedar adanya konsep ketuhanan dalam alam ini, akibat berdiri teguhnya alam ini melampaui kemampuan manusia untuk melakukannya. Alam ini dengan sifat siang malamnya, flora dan faunanya, anginnya, hujannya serta pelbagai fenomena lain disedari oleh manusia bukan tindakan mereka, tetapi ada sesuatu kuasa yang mengawal semuanya. Sebab itu hampir semua manusia di dunia ini beragama.

Dan hakikat semua agama adalah mencari atau mendekatkan diri kepada tuhan. Bagaimana pula dengan golongan yang tidak percaya tuhan? Sebenarnya mereka ini bukan tidak percaya tuhan, tetapi mereka tidak percayakan agama. Jauh di sudut hati, mereka pasti menyedari tentang adanya kuasa lain yang mengawal gerak geri alam ini. Seperti juga lelaki yang ingin menjadi pondan atau perempuan yang ingin menjadi tomboi, bila ke tempat awam, mereka pasti masuk ke tandas jantina asal mereka. Kerana manusia itu tetap manusia.

Dan itulah asal usul wujudnya pelbagai gambaran tuhan di dalam dunia ini. Jiwa manusia yang mengenal dan mencari tuhan bergabung dengan imaginasi mereka yang terbatas melahirkan bermacam-macam rupa dan bentuk berhala. Nauzubillah.

Perkara kedua adalah selepas mengenal adanya kuasa atau tuhan, manusia, yang memiliki nature takut, memuja dan berkeinginan pasti mahu menyeru atau mempersembahkan sesuatu kepada kuasa/tuhan tersebut, dengan harapan tidak menerima bencana ataupun sebaliknya ingin mendapat hasil lumayan. Akhirnya wujudlah jalan untuk worshiping atau beribadah kepada kuasa/tuhan itu. Ada yang menyembah ciptaan tangan mereka sendiri, ada yang menyembah hidupan lain serta pelbagai lagi, mengikut definisi ‘tuhan’ melalui minda manusia itu semata-mata.

Manusia, dengan kapasiti minda dan jiwa mereka, akan mengada-adakan jalan ibadah kepada tuhan, mengikut selera mereka. Agama yang memandang tuhan itu sebagai bengis, pasti akan mengadakan upacara ibadah yang agak menyakitkan, seperti jalan di atas api, mencederakan diri sendiri dan sebagainya, manakala agama yang merasakan tuhan itu bersifat penyayang pasti mencipta amalan yang sangat ringan, seperti bertafakur seminggu sekali atau cukuplah sekadar ingat/percaya tuhan.

Akhirnya manusia mengelirukan diri mereka sendiri. Tuhan serta amalan diupdate atau diperbaharui dari masa ke semasa selari dengan kepentingan yang ada.

Allah memutuskan perkara dengan adil. Dan apa yang mereka seru (puja) selain dari Allah, tiadalah dapat memutuskan perkara apa pun. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Melihat.
Surah Al Ghaafir. Ayat 020.

Namun, seorang manusia bernama Muhammad bin Abdullah telah diutus oleh tuhan sebenar yakni Pemilik alam ini, untuk membantu manusia, iaitu dengan memimpin keperluan sedia ada dalam jiwa insani mereka kearah jalan yang tepat.

Katakanlah: Hai manusia! Sesungguhnya aku adalah Utusan Allah kepada kamu seluruhnya. Tuhan yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Tak ada Tuhan selain daripadaNya, Yang menghidupkan dan Yang mematikan. Sebab itu, hendaklah kamu beriman kepada Allah dan UtusanNya, Nabi yang ummi yang percaya kepada Allah dan perkataan-perkataanNya. Ikutlah dia supaya kamu mendapat petunjuk.
Surah Al A’raaf. Ayat 158.

Katakan: Hai manusia! Aku hanya (diutus) untuk kamu pemberi peringatan yang terang.
Surah AlHajj. Ayat 049.

Dia yang mengutus RasulNya, membawa pimpinan dan agama kebenaran, supaya ditempatkanNya agama itu di atas dari segala agama, biarpun orang-orang musyrik itu tidak menyukai.
Surah AtTaubah. Ayat 033.

Hakikatnya, semua rasul diutus oleh Allah sebagai penyebar risalah untuk menampakkan jalan selamat kepada kaum mereka.

Hai anak-anak Adam! Kalau datang kepada kamu Utusan-utusan (Tuhan) di antara kamu, diceritakannya kepada kamu keterangan-keteranganKu, maka barangsiapa yang memelihara dirinya (dari kejahatan) dan membuat perbaikan, nescaya mereka tidak merasa ketakutan dan tidak menanggung dukacita.
Surah AlA’raaf. Ayat 035.

Itulah sebabnya kenapa para rasul diutus oleh Allah Azzawajjal. Jiwa manusia yang sudah menyedari adanya tuhan, akan dipimpin oleh risalah para rasul untuk mengenali the real god atau tuhan sebenar. Inilah yang dijawab oleh Islam yang disebarkan oleh baginda tercinta, Nabi Muhammad SAW. Dan inilah intipati kalimah tauhid kita sendiri menegaskan ‘tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah’ menunjukkan manusia ini sama sekali sudah mengenal tuhan, tetapi perlu panduan untuk mencari satu-satunya tuhan yang layak disembah, yakni Allah SWT yang memiliki seluruh alam ini dengan segala sifat kesempurnaanNya. Allahuakhbar!

Tiadalah yang kamu sembah selain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu buat dan dibuat bapa-bapa kamu saja. Allah tidak menurunkan keterangan tentang itu; keputusan hanya kepunyaan Allah. Dia memerintahkan, bahawa janganlah kamu sembah selain Dia. Itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan orang tidak mengetahui.
Surah Yusuf. Ayat 040.


Penganut agama lain pasti mempunyai alasan mereka yang tersendiri berkaitan dengan konsep ketuhanan yang mereka ikuti dan percayai, dengan kata lain tauhid
agama mereka. Tetapi sedarlah semua, kita tidak perlu sama sekali mencari dengan detail tentang kepincangan agama-agama lain, cukuplah dengan meneliti konsep tauhid agama mereka itu sendiri, yang sememangnya mengelirukan serta bersifat andaian! Bandingkanlah konsep ketauhidan dalam ajaran Islam dengan agama-agama lain jika anda kurang jelas.

Akhirnya, jelaslah di sini bahawa jiwa insani manusia itu mendambakan tuhan yang satu yang tiada apa yang sama denganNya, tetapi hakikatnya masih ramai yang tidak sedar, akibat kurang keikhlasan dalam mencari-Nya, atau leka berfoya-foya.

Selepas mendidik jiwa manusia dengan ketauhidan tulen dan sebenar, Nabi Muhammad SAW membawa satu lagi amanah daripada Allah Azzawajjal, iaitu ibadah yang disukai dan dikehendaki olehNya. Islam ini lengkap, sangat lengkap. Keinginan naluri manusia untuk berbuat baik, memohon sesuatu dan meminta maaf (taubat) kepada yang Maha Esa dipenuhi dengan adanya konsep ibadah yang diajar oleh rasulullah SAW.

Mengapa perlunya diajar cara beribadah? Kerana hanya ibadah yang termaktub sahaja yang diterima oleh Allah. Sebarang bentuk ibadah, walaupun ikhlas kepada Allah tapi bukan dengan cara yang dikehendakiNya adalah salah dan tidak diterima sama sekali. Mungkin nampak cantik dan bagus melalui penilaian manusia, tetapi jangalah cuba membandingkan penilaian kita dengan Allah Azzawajjal! Rakaat solat Subuh diwartakan oleh Allah melalui rasulullah SAW sebanyak 2 rakaat. Walaupun kita dalam mood membuat amal soleh, menambah rakaat Subuh sehingga 10 rakaat misalnya, tetap salah. Nampak lagi baik, tetapi apakah baik jika kita melanggar apa yang Allah perintahkan?

Manusia ini kebanyakannya dihukum kerana tindakan dan amalan mereka. Niat memang penting, kalau yang disusuli itu cara yang kurang atau tidak tepat, tiadalah ertinya. Menegakkan Islam tetapi dengan pendekatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya, sudah tentu tidak disukai oleh Allah.

Aku tidak pernah mempertikaikan kejujuran atau ketekunan pengibadah atau abid-abid tidak kira apa anutan mereka, kerana barangkali tindakan mereka itu sangat-sangatlah jujur, tetapi, seperti yang aku jelaskan, buatlah seperti yang diwartakan Allah, bukan atas dasar pemikiran sendiri.

Sami-sami yang tidak mahu berkahwin, makan daging dan pelbagai lagi sekatan yang diwujudkan dengan alasan untuk mendekatkan diri kepada tuhan sebenarnya melakukan sesuatu yang tidak disuruh oleh Allah. Allah meletakkan pelbagai perisa dalam naluri kita, seperti ingin berpasangan dan berzuriat, makan makanan yang enak-enak dsb, tetapi adakah Allah juga yang mahu kita melawan keinginan itu sebagai jalan mendekatkan diri kepadaNya? Sudah tentu tidak. (perkara ini akan cuba aku jelaskan dalam tajuk ‘Islam menghargai naluri insan’)

Sembahlah Allah sesuai dengan kehendakNya serta yang ditunjukkan oleh rasulullah SAW. Solat itu bukan budaya atau aturan yang direka-reka, tetapi adalah perintah Allah.

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
Surah Taahaa. Ayat 132.

Sabda Nabi SAW dalam sahih Bukhari yang bermaksud, Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat membuktikan lagi Islam ini datang dengan pakej, bukan hanya teori atau asas, tetapi juga lengkap dengan amalinya.

Kita berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji (inshaAllah) semua berpandukan dalil-dalil daripada Al Quran serta sabda-sabda rasulullah yang sahih. Kerana itulah teras atau asas kepada ibadah itu memerlukan dalil. Bukan sahaja agama lain, ibadah dalam agama Islam juga harus disokong dengan pengesahan daripada 2 sumber yang utama iaitu Al Quran dan Sunnah.

Terjawablah sudah 2 persoalan dalam diri manusia itu melalui pendekatan Islam. Mungkin huraian aku banyak kekurangan, tetapi hakikatnya Islam itu sentiasa menawarkan jawapan kepada permintaan naluri manusia, kerana agama ini adalah lautan ilmu yang penuh dengan hujahnya.

Mohon kehadrat Allah agar kita mati dalam agama ini. Perhitungan terakhir nanti yang bakal menentukan segala yang kita usahakan di atas muka bumi ini. Tunaikanlah ibadah kepada Allah, selepas kita mengiakan keesaanNya. Dengar dan patuh, percaya dan beramallah, agar kita beroleh peluang untuk mendapat naungan Allah dan syafaat rasulullah SAW di hari pembalasan.

Barakallahufikum.



No comments: