Thursday, December 27, 2012

Longlai


Diterpa kebuntuan sang petapa,
Tidak pasti mana pijaknya,
Tidak nampak apa arahnya,
Tidak tahu apa mahunya..

Datang rasa bikin dosa,
Datang pula perasaan bertanya,
Soal pada hitam hadirkan gembira,
Cari jawapan insaf menjelma..

Caca marba menanti mati,
Mungkin sementara mungkin selamanya,
Tunggu sahaja esok nanti,
Andai bangun adalah harinya..

Meruntun jiwa di tempat orang,
Kala tenang selalu mengenang,
Masa siang siapa tak memasang,
Ingin jiwa terang benderang..

Maafkan aku wahai jiwa,
Falsafah nyawa tak dapat diteka,
Selagi dikandung selamanya bergelora,
Andai dibiar melaratlah jadinya..

Ampunkanlah aku wahai Pencipta,
Jika kabut ini menyerlahkan kabusnya,
Bukan ditempah dunia sengsara,
Aku hamba dulu, kini dan selamanya..

Tuesday, October 2, 2012

73

Cari satu sampai berpeluh,
Sebab di depan berpuluh-puluh,
Satu terus yang lain jatuh,
Kelak jatuh semuanya luluh.
Kalau dua dah cukup sengsara,
Inikan pula tujuh puluh tiga,
Kalau mahu selamat di sana,
Cari yang satu paut padanya.
Pecahan itu adalah realiti,
Kesudahannya pula dah tentu pasti,
Jalan dipilih penentu destinasi,
Destinasi hakiki selepas mati.
Pohonlah...aku sengkek,
Pohonlah...Engkau tak lokek,
Mintalah...kita sengkek,
Mintalah...Dia tak lokek.

Wednesday, March 21, 2012

Demokrasi Oh Demokrasi


Atas hamparan ini manusia beraja,
Dalam dunia yang pelbagai warnanya,
Apa hendak katakan sahaja,
Kehendak yang ada asasnya,
Kehendak yang ada perlunya,
Kehendak yang ada nafsunya,
Kehendak yang ada gilanya..

Dulu monarki dulu sosialis,
Tak cukup layak martabatkan kemahuan,
Lalu kau disanjung dipuja,
Sebagai pembebas kejumudan,
Sebagai penebus kekurangan,
Sebagai pembela keinginan,
Sebagai penentu hala tujuan..

Jadi mengapa perlu halangan?
Mengapa perlu pertimbangan?
Bukankah kau agama impian?
Yang bisa izinkan segala permintaan,
Yang bisa menjamin hak kebebasan,
Yang bisa menukar fitrah kehidupan,
Yang bisa robohkan segala perbezaan..

Kau memahami mimpi manusia,
Mengerti bicara rakus penyanjungmu,
Memahami dansa nafsu penganutmu,
Yang tegar pada hubungan tak berskala,
Yang tegar pada cinta sejenisnya,
Yang tegar pada kemaruk kuasanya,
Yang tegar pada hak yang bukan miliknya..

Demokrasi oh demokrasi,
Kau agama manusia tuhannya,
Dakyahmu mencabut nilai kewarasan,
Hujjahmu mengundang sifat kegilaan,
Ilmumu menggalak lahirnya penindasan,
Seruanmu menjurus kepada kehancuran..

Demokrasi oh demokrasi,
Kau tak mampu merubah haluan,
Janji manismu penuh kepalsuan,
Kebebasanmu menjemput banyak perbalahan,
Tuhan-tuhan ciptaanmu pula terus bercakaran,
Keadilan tajaanmu merosak binasakan..

Demokrasi oh demokrasi,
Mungkin tak semua racun kau hidangkan,
Tapi manusia tak perlu menjadi tuhan,
Kerana jiwa ini perlukan pedoman,
Oleh Dia yang menguasai penciptaan,
Dia yang satu dan Dialah sebenarnya tuhan.

Monday, March 19, 2012

Perantau Yang Pelik


Tidur di jalan memandu di kamar,
Makan di cawan minum di pinggan,
Bersih dibuang diteguknya khamar,
Dunia sementara jadi kayangan..

Kuda terbang burung berlari,
Rimba kebiruan lautan kehijauan,
Teruna dan dara tak segan menari,
Khayalan cinta membawa ke awan..

Perantau belum pulang,
Tak jumpa jalan balik,
Buruk berulang-ulang,
Baik dah jadi pelik..

Perantau tak mahu balik,
Tak cari jalan pulang,
Hina dah tak pelik,
Mulia dah jadi malang..

Mandi di kamar tidur di jalan,
Minum di pinggan makan di cawan,
Kata hikmah bukan pilihan,
Singkap kain pilihan pahlawan..

Burung berlari kuda terbang,
Lautan kehijauan rimba kebiruan,
Apa sahaja janji tumbang,
Ikrar soldadu di medan kekuasaan..

Perantau belum balik,
Tak jumpa jalan pulang,
Hina dah tak pelik,
Mulia dah jadi malang..

Perantau tak mahu pulang,
Tak cari jalan balik,
Buruk berulang-ulang,
Baik dah jadi pelik..



Memandu tidur di kamar di jalan,
Minum makan di pinggan di cawan,
Buat yang lima jadi persoalan,
Buat yang kosong jadi kebiasaan..

Burung kuda berlari terbang,
Lautan rimba kehijaun kebiruan,
Jalan lurus tidak bercabang,
Demi nafsu diikut jangan..

Perantau mahu pulang,
Dah jumpa jalan balik,
Janganlah dihalang,
Tak sanggup jadi pelik..

Perantau mahu balik,
Dah jumpa jalan pulang,
Selama ini pelik,
Kini nak berjuang.

Friday, March 16, 2012

Amah, Malaysia dan Jiran


Assalamualaikum

Hari ini heboh tentang isu gaji amah Indonesia yang membingitkan ramai orang, samada yang memang pengguna tetap perkhidmatan ini ataupun pencari kesilapan orang lain.

Terus kepada isu, apa sebenarnya yang wajar kita hayati? Hal amah Indonesia ini patut dihurai kepada beberapa aspek iaitu hubungan dua negara, keperluan, taraf kualiti yang membawa kepada tahap puas/tidak puas hati dan juga renungan.

HUBUNGAN DUA NEGARA:
Malaysia dan Indonesia adalah jiran tertangga. Biasalah hidup berjiran, pasti mudah terasa. Selama ini kita sentiasa dihidangkan dengan rajukan mengada-ngada jiran kita tersebut, yang biasanya membawa kepada respon biadap sesetengah rakyatnya.

Persoalan di sini, adakah mereka sahaja yang berhak merajuk? Apakah kita sahaja yang sentiasa terlajak perbuatan? Lalu adakah undang-undang baru skop kerja dan gaji amah ini menunujukkan kita sedang memujuk negara jiran atau takut dikutuk?

Tidak! Ini adalah cara paling kemas dan berhemah untuk mengajar mereka. Ya, seolah-olahnya kita tunduk dan terus menatang mereka dengan undang-undang baru ini, tetapi apa natijahnya?

Akhirnya, dengan sistem baru ini, pihak yang ingin mendapatkan amah akan mula mencari alternatif lain. Di sini jiran kita yang akan merasa kesannya.



TARAF KUALITI:
Mengapa kebarangkalian mencari alternatif lain itu tinggi? Ya, kerana kualiti itu sendiri.

Indonesia gagal memanfaatkan peluang untuk menjadi pengeluar amah berkualiti tinggi. Mereka hanyalah pengeluar amah berkuantiti tinggi.

Ini bukan dakwaan tetapi fakta. Ramai orang merungut tentang tahap perkhidmatan amah Indonesia yang tidak berkualiti sepeti tidak hebat dalam membuat kerja rumah, yang sepatutnya menjadi teras kepada perkhidmatan mereka.

Jadi, dengan merubah undang-undang pengambilan amah ini, secara perlahan-lahan kejelekan pihak jiran akan kita atasi. Buku bertemu ruas. Kamu sentiasa komplen dan kadang-kadang begitu kurang ajar terhadap kami di Malaysia. Jadi jangan disangka undang-undang baru ini sebagai tanda kami tunduk kepada kamu, sebaliknya ini adalah cara halus mengajar kamu.

Dengan kualiti yang tidak bagus dan tindak balas rakyat Indonesia yang melampaui batas selama ini, kesanggupan orang untuk membayar gaji tersebut pasti pudar. Buat apa bayar lebih pada kualiti yang tidak kemana. Baik dicari sahaja alternatif lain.

KEPERLUAN:
Tidak dinafikan perkhidmatan amah ini satu keperluan, tetapi amah Indonesia bukan segalanya.

Tindakan melaksanakan undang-undang baru ini sebenarnya membuka banyak lagi ruang untuk orang Malaysia khususnya membangunkan perkhidmatan amah secara domestik. Peluang pekerjaan akan bertambah, tanpa merugikan negara dalam hal ehwal pertukaran matawang.

Cumanya, semua perkara perlu ada perancangan dan perlaksanaan yang komprehensif. Jadikan kerjaya amah ini lebih menarik, dan didiklah masyarakat tentang kepentingan menghargainya, baik sebagai satu jenis pekerjaan mahupun dalam aspek tatasusila hubungan kemanusiaan. Tidak perlu memandang rendah dan rasa malu terhadap kerjaya ini.

Dan yang utama, ramai orang di alam Malaysia yang bertuah ini masih memerlukan pekerjaan!

RENUNGAN:
Janganlah sentiasa prejudis. Ini bukan masanya untuk menghentam kerajaan. Kalau ya pun tidak menyokong, ajarlah diri ini untuk menyabung pemikiran.

Takkanlah kerajaan Malaysia perlu berterus terang dalam mengajar perangai mengada-ngada jiran kita ini? Biar berkias dan berlapik, itu seninya.


Bayangkan kalau jiran sedar akan strategi ini, pasti mereka akan muhasabah demi masa depan industri amah mereka. Kalau ditegur secara terus, mungkin kedutaan kita diserang lagi.

Oleh itu, buanglah unsur skeptikal yang sangat melampau. Hargailah, kalau bukan selalu, tindakan pemerintah. InshaAllah, kita akan lebih dekat kepada mereka yang adil.

Akhir kata, ini cuma pandangan sahaja. Tetapi aku puas hati dengan perlaksanaan ini, demi perubahan kearah kebaikan. Cuma, jangan duduk membatu menunggu pembaharuan. Jangan sentiasa terburu-buru menzahirkan pemikiran.

Barakallahufikum.