Saturday, February 27, 2010

Muhammad bin Abdullah



Assalamualaikum

Semalam dunia umat Islam (yang terbabit sahaja) menyambut Maulud Nabi. Aku tidak bertujuan untuk membincangkan tentang perbezaan yang wujud tentang 'perayaan' ini, meskipun aku berada di pihak yang percaya rasulullah SAW tidak perlu diraikan.

Malah banyak lagi hal-hal lain yang mendorong aku untuk berpendapat sedemikian, seperti percanggahan para sarjana dan ahli sejarah Islam tentang tarikh sebenar kelahiran rasulullah SAW, fakta sejarah yang menunujukkan para sahabat ra yang tidak meraikannya, serta kedapatan persamaan dengan budaya agama lain, yang menyambut kelahiran tokoh mereka.

Selawat itu setiap hari, bukan setahun sekali! Tidak mengapa, kita tinggalkan hal itu untuk dibincangkan oleh mereka-mereka yang sepatutnya.

Rasulullah SAW merupakan seorang manusia yang telah dilantik oleh Allah SWT, agar kita dapat menjadikan baginda contoh untuk diikuti. Sebab itulah Allah menghadirkan rasul terakhir ini dari kalangan manusia, bukan malaikat, agar kita boleh mengikut sunnah-sunnahnya.

Rasullulah SAW bukan tinggalan sejarah semata-mata, bukan sesuatu yang utamanya untuk dikenangi. Baginda SAW bukannya bergantung undian rambang orang ramai atau pandangan individu tertentu dalam menentukan reputasinya.

Tetapi, hari ini kedudukan baginda SAW dinilai seolah-olah baginda SAW berada di luar atmosfera kemanuisaan yang normal. Apabila dibentangkan perihal kehidupan dan akhlak baginda yang hebat dan ampuh, kebanyakan umat Islam akan mengatakan "sebab baginda nabi'..

Ya, memang Muhammad bin Abdullah ini seorang nabi, tetapi pemikiran sedemikian rupa hanya akan menjadikan kita semakin perlahan dalam menilai setiap tinggalan dan pesanan baginda untuk dijadikan panduan. Jadi apa rasionalnya nabi ulung ini datang dari kalangan manusia?

Sebab itu, hal-hal seperti perkahwinan baginda dengan isteri-isteri baginda SAW misalnya tidak dapat kita lihat sebabnya, selain lidah asyik mengatakan "dah baginda tu nabi"..

Sebab itu hal seperti apa yang berada disebalik tindakan rasulullah SAW menikahi Siti Aisyah RA semasa beliau masih kanak-kanak gagal kita rungkaikan, sebaliknya jawapan "dah baginda tu nabi" terus dimanipulasikan.

Sebab itu kehebatan da'awah dan hujjah baginda SAW pun sampai dipinggirkan. Yang mendapat temapat ialah kewalian tok guru, yang kononnya boleh membaca hati orang lain, yang solat kononnya 1000 rakaat semalaman, yang boleh jalan atas air dan berbagai-bagai lagi kelabihan luar biasa, yang tidak dimiliki oleh Muhammad bin Abdullah, kekasih Allah Azzawajjal.

Sebab itu kehebatan da'awah dan hujjah baginda SAW pun dianaktirikan, sebaliknya kitab-kitab pemikiran barat yang dijulang. Malah, umat Islam dicabar memeluk demokrasi. Adakah ini kesan menuruti panduan nabi SAW?

Cuma, untuk menutup pekung ini, kebanyakan umat Islam diseluruh dunia, akan bersungguh-sungguh 'meraikan' kelahiran baginda SAW. Seolah-olah hal ini adalah syiar Islam, dan saat inilah kedengaran suara-suara yang bersemangat mahukan pesta selawat dan banner ini diraksasakan!

Maaf! Aku cuma pertikaikan, termasuk ke atas diriku sendiri, tentang apa yang sepatutnya kita cari. Apa yang sepatutnya kita turuti dan apa yang sepatutnya kita dekati.

Dan jangan pula menyangka aku bersekongkol (secara pendapat) dengan krisis Maulud di Pulau Pinang. Hal ini aku telah kupas dalam penulisan bertajuk Jawapan Selamat sebelum ini.

Muhammad bin Abdullah itu adalah rahmat seluruh alam, yang apabila tidak makan baginda boleh menjadi lapar, yang ada masa dan ketika berkeinginan untuk berkasih sayang dengan para isterinya, yang ada ketika bergurau senda dengan para sahabat, yang ada masanya mengantuk dan perlukan rehat, yang gemar daging kambing dibahagian bahu dan banyak lagi aktiviti atau perilaku kemanusiaan yang normal.

Cumanya, baginda SAW membawa pakej berupa akhlak daripada Al Quran. Apa itu Al Quran? Siapa yang mengkalimahkan Al Quran?

Bawalah rasulullah SAW dalam kehidupan kita sehari-hari. Olahlah dengan tertib dan tidak melanggar nas-nas Islam akan segala tunjuk ajar baginda SAW, samada perbuatnnya, lisannya atau reaksinya, agar dapat diselaraskan dengan keadaan semasa.

Dan yang paling utama, buktikan kecintaan terhadap baginda SAW melabihi cintanya kita kepada sang kekasih, sayangnya kita kepada alam kehidupan, anak isteri dan harta benda.

Pertahankanlah maruah baginda SAW, yang sering cuba digodam dan dibelasah musuh-musuh Islam, yang mungkin ada di antara mereka yang masih belum sedar akan kehebatan insan bernama Muhammad bin Abdullah ini.

Dan marilah hidupkan atau suburkan kembali kempen tauhid yang telah dipelopori baginda SAW hampir 1500 tahun yang lalu.

Percayalah, jika semua ini boleh kita lakukan, jalan menuju syurga dan peluang menerima naungan rahmat Allah itu semakin jelas, inshaAllah.


Barakallahufikum.

Thursday, February 18, 2010

Mungkin Kau Sudah Tiada Tempat Lagi?


Dampingi semua umpama bayang,
Pagi, petang, malam dan siang,
Sampai masa dirimu menyerang,
Bawa dirinya ke dunia seberang..

Kau itu adalah janji,
Janji yang tak akan di tukar ganti,
Janji yang mustahil untuk dimungkiri,
Kerana pemegang janji adalah Illahi..

Mungkin kau sudah tiada tempat lagi?
Di jiwa mereka kau dilayan sepi,
Di hati mereka kau dipinggirkan,
Kau hanyalah beban untuk diingati..

Orang sekarang mahu sentiasa hidup,
Mahu dunia ini kekal abadi,
Supaya banyak masa dan hari,
Boleh seronok dengan anak isteri..

Orang sekarang tak mahu pada kau,
Mahu terus tinggal di sini,
Cari, kumpul dan simpan harta,
Boleh pakai sampai bila-bila..

Mengenang kau menggundahkan hati,
Mengenang kau tak hadirkan gembira,
Walau beribu garis-garis di muka,
Mereka tetap tak mahukan kau..

Wahai kau yang bernama mati,
Mungkinkah kau sudah tiada tempat lagi?
Walaupun urusan kau adalah hakikat?
Walaupun kehadiran kau semakin dekat?

Barakallahufikum.

Jawapan Selamat


Assalamualaikum

Aku tidak berniat untuk mengupas isu sambutan Maulud Nabi di Pulau Pinang yang sedang hangat dimainkan ketika ini. Aku hanya berminat untuk berkongsi pandangan peribadiku sebagai 'Public Muslim' tanahair.


Secara ilmiah, tiada dalam hukum Islam tentang keperluan sambutan Maulud Nabi ini. Mudahnya, upacara ini aku fikirkan tidak perlulah disambut oleh umat Islam. Tiada saranan daripada baginda SAW, tiada juga contoh-contoh atau catatan sejarah yang menunjukkan para sahabat RA melakukan perayaan ini. Oleh itu, adalah wajar kita mengikut mereka yang jauh lebih afdhal daripada kita ini.

Tetapi, apabila hal di Pulau Pinang ini diajukan kepadaku oleh sahabat-sahabat, suka untuk aku memberi pandangan kedua, selain pandangan di atas yang aku kelaskan sebagai pandangan sudut ilmu dan pengetahuan.


Pandangan kedua lebih kepada konteks semasa dan negara. Sungguhpun aku berpegang kepada kefahaman bahawa sambutan Maulud Nabi SAW tiada keperluan untuk diraikan, samada atas tiket ibadah ataupun ummah, yang seharusnya berkait rapat, aku yakin sebagai Muslim Malaysia, kita harus melihat isu ini dalam ruang yang lebih luas.

Masakan suatu amalan atau perayaan dalam agama kita ini (Islam), yang jatuh di bawah kategori 'tidak mengikut syariat sebenar, bidaah dsb' (dalam konteks ini sambutan Maulud Nabi- tiada nas atau dalil tentang keperluannya), digugurkan atau diharamkan atau dibatalkan atau ditidakkan oleh seorang non-Muslim?

Mungkin ada sahaja golongan atau pihak tertentu yang mahu berfikiran positif atas dasar pelaku (Ketua Menteri tersebut) merupakan rakan politik mereka. Tetapi tepatkah waktunya?

Patutkah kita tunggu sehingga hal-hal yang lebih fardhu atau bersifat syiar disentuh? Itu yang aku pohon semua Muslimin dan Muslimat renungkan.

Maulud Nabi bukan tersenarai sebagai syiar Islam. Nabi SAW bukan untuk diraikan, tetapi untuk dijadikan panduan dan ikutan. Tetapi menghentikan hal ini oleh seorang yang bukan Muslim adalah tidak betul. Atas dasar apa sekalipun, ia tetap dilihat sesuatu yang serong dan berunsur provokasi. Ini melibatkan sensitiviti pengamal.


Sedangkan pejuang sunnah tulen juga berhati-hati dalam mereform amalan umat Islam supaya sejajar dengan amalan salafussoleh yakni para sahabat RA, yang semestinya lebih afdhal daripada kita, masuk akalkah jika tindakan seorang yang bukan Muslim diperakui dan diisytihar sebagai tepat?

Dan apabila aku memerhatikan dan membaca pandangan beberapa orang tokoh, makin nyata kepada kesedaranku betapa terdapat tokoh-tokoh tertentu memilih jalan untuk menjawab hal ini secara selamat. Selamat atas kepentingan politik!

Waktu-waktu beginilah baru mereka-mereka ini (tokoh-tokoh politik) mahu bicara tentang ketidakperluan sambutan Maulud Nabi. Mengapa tidak semasa ceramah-ceramah dan kempen-kempen politik mereka? Mengapa baru hari ini dengan sungguh-sungguh baru kalian semua mahu menolak perayaan ini? Sebab kepentingan agama atau politik?

Mungkin risau kalau-kalau perkara ini diperangi di luar atmosfera politik, label wahabi akan dilekatkan di dahi? Segalanya mungkin..

Aku sudah jelek dengan suasana ini. Seharusnya dalam keadaan sekarang, umat Islam wajib menyelesaikan hal rumah tangga mereka sendiri. Ini melibatkan ruang lingkup agama, bukan hal ehwal makan minum atau berbelanja.


Mungkin pandangan mantan Mufti Perlis boleh aku anggap sebagai pandangan yang berunsur solusi bukan manipulasi. Sementara letusan YB Kulim, mungkin banyak benarnya tetapi sedikit kurang dari segi caranya.

Dan maaf untuk mengatakan yang pandangan Tuan Guru Mursyidul Am perlu lebih teliti dan tidak perlu berbaur politik. Bukan untuk mencabar kewibawaan beliau, malah aku harap janganlah dibandingkan antara aku dan beliau dari segi reputasi, sebaliknya nilailah penulisan aku atas dasar pandangan, kerana ilmu perlu ditegakkan dengan hujjah dan tafsiran.


Akhir kata, polemik Maulud Nabi perlu dirungkai secara ilmiah kepada umat Islam khasnya di Malaysia, dengan mengetengahkan nas-nas dan dalil-dalil daripada Al Quran dan As Sunnah, untuk dihujjahkan. Biar kita terdedah tentang perlu atau tidak diadakan sambutan.

Dan yang paling utama, biarlah kita sesama Islam yang menyelesaikan hal ini. Kalau mahu ditegakkan sunnah baginda SAW, biarlah diperjuangkan dan dihebahkan oleh Muslim itu sendiri. Bukan oleh non-Muslim, sekalipun orang itu peminat setia Khalifah Umar bin Abd Aziz.

Luahkanlah jawapan yang selamat, tetapi biarlah selamat kepada umat, bukan selamat demi dendam kesumat!

Islamkanlah politik itu dan segala isinya, inshaAllah.

Barakallahufikum.

Aku dan Hari Ini


Assalamualaikum

Aku menulis lagi. Perihal keadaan sekeliling yang jika kita amati betul-betul, segalanya makin meruncing.

Aku bukanlah siapa-siapa selain salah seorang penghuni zaman penghujung ini. Walaupun belum berada di zon yang paling hujung (sekurang-kurangnya sehingga saat ini), sebagai seorang Muslim, yang sedang melakukan percubaan bagi menjadi seorang Muslim yang baik, aku dapat merasakan cubaan dan ancaman dalam mendakap ketenangan Islam berhiaskan iman. Sungguh kuat cabaran dan ancaman tersebut.

Cuma apa yang dapat aku nyatakan adalah, Allah SWT menyalurkan segala hikmah, barakah, ilmu dan rahmatNya dengan kepelbagaian saluran/channel. Dan seperti yang dijanjikanNya, jalan paling utama dalam meraih perhatianNya adalah melalui ujian-ujian yang diberikanNya kepada mereka-mereka yang berimpian menuju ke jalanNya.

Dan di kala senjanya alam ini, aku sedar betapa pentingnya membersihkan hati dan menyuburkan akal fikiran, agar kerangka sebenar seorang Muslim (seperti yang dipromosikan oleh rasulullah SAW) terus berada dalam matlamat aku dalam melayari detik-detik kehidupan yang fana ini.

Barakallahufikum.

Thursday, February 11, 2010

Panduan Atau Upacara?


Assalamualaikum

Pagi ini terpapar gambar mayat bayi dihurung serangga dan kerengga. Takziah kepada semua umat manusia atas kejadian sedih ini. Akhbar turut menyelitkan kejadian hampir serupa yang berlaku sebelum ini.

Ya, manusia semakin binasa. Binasa atas kelebihan sebegai manusia. Binasa akibat penyalahgunaan nafsu dan akal. Binasa kerana berkasihkan dunia. Binasa dengan keasyikan hiburan. Binasa bila agama diupacarakan!

Keluarkan lagi perihal-perihal buruk dan jijik yang dibuat oleh manusia yang memilih binasa yang bertopengkan ceria. Penderaan seksual, sumbang mahram dsb, pasti membuat kita yang berfikir ini sengsara.

Ahli politik merangkap pemimpin 'sukarela' berangka-angka. Gaduh sini, gaduh sana, maki sini, maki sana. Apa cerita?

Manusia pencinta binasa? Tidak sama sekali kalau semua sedar hakikatnya. Tapi itulah sebabnya mengapa tercipatanya neraka. Nauzubillah.

Wahai semua, binasa rohani dan jasmani itu adalah atas permainan kita sendiri. Yang nyata nampak pedihnya, yang tak nyata buruk padahnya. Mungkin kita mahu hukum manusia yang membuang bayinya ini, tapi jangan dilupakan pula mereka-mereka yang menyumbang kebathilan yang tidak nyata, seperti mereka-mereka yang gila kuasa dan harta dsb.


Agama itu jangan diupacarakan. Agama itu jalan kehidupan. Namun, apa yang terjadi kini ialah agama dinilai sebagai upacara. Dan yang paling kritikal, umat Islam yang dikurniakan Allah satu jalan hidup sempurna turut terjebak.



Tidak dinafikan, inilah hakikat akhir zaman. Tetapi, status sebagai penghuni akhir zamanlah yang seharusnya membuat kita semua insaf dan beringat.

Zaman semakin senja. Perasuah, pemecah amanah, penzina, penyangak, penipu dsb masih sahaja ke masjid. Masih sahaja berfizikalkan Muslim. Kerana apa?

Aku mahu berfikiran baik, tetapi aku juga manusia yang cuba beranalisa. Manusia Islam bolah sahaja kekal pembuat dosa tetapi masih Islam. Kerana Islam itu tinggal sebagai upacara. Islam itu jadi budaya semata-mata. Satu kebiasaan yang mengikat zahir, tetapi tiada tempat dalam ruang hati penganutnya.

Nauzubillah. Aku menulis bukan berniat menghukum sesiapa. Kepada yang melakukan angkara, bertaubatlah kerana taubatlah ubat paling mujarab.

Renungkanlah akan agama itu sendiri. Apa faedahnya? Apa luahannya? Apa natijahnya?

Kalaulah agama itu hanya sandaran sebagai upacara kehidupan, apa lagi jalan yang kita ada? Kalau berdoa kepada Allah itu pun dilakukan atas dasar upacara, apakah nilainya?



Barakallahufikum.