Saturday, February 27, 2010

Muhammad bin Abdullah



Assalamualaikum

Semalam dunia umat Islam (yang terbabit sahaja) menyambut Maulud Nabi. Aku tidak bertujuan untuk membincangkan tentang perbezaan yang wujud tentang 'perayaan' ini, meskipun aku berada di pihak yang percaya rasulullah SAW tidak perlu diraikan.

Malah banyak lagi hal-hal lain yang mendorong aku untuk berpendapat sedemikian, seperti percanggahan para sarjana dan ahli sejarah Islam tentang tarikh sebenar kelahiran rasulullah SAW, fakta sejarah yang menunujukkan para sahabat ra yang tidak meraikannya, serta kedapatan persamaan dengan budaya agama lain, yang menyambut kelahiran tokoh mereka.

Selawat itu setiap hari, bukan setahun sekali! Tidak mengapa, kita tinggalkan hal itu untuk dibincangkan oleh mereka-mereka yang sepatutnya.

Rasulullah SAW merupakan seorang manusia yang telah dilantik oleh Allah SWT, agar kita dapat menjadikan baginda contoh untuk diikuti. Sebab itulah Allah menghadirkan rasul terakhir ini dari kalangan manusia, bukan malaikat, agar kita boleh mengikut sunnah-sunnahnya.

Rasullulah SAW bukan tinggalan sejarah semata-mata, bukan sesuatu yang utamanya untuk dikenangi. Baginda SAW bukannya bergantung undian rambang orang ramai atau pandangan individu tertentu dalam menentukan reputasinya.

Tetapi, hari ini kedudukan baginda SAW dinilai seolah-olah baginda SAW berada di luar atmosfera kemanuisaan yang normal. Apabila dibentangkan perihal kehidupan dan akhlak baginda yang hebat dan ampuh, kebanyakan umat Islam akan mengatakan "sebab baginda nabi'..

Ya, memang Muhammad bin Abdullah ini seorang nabi, tetapi pemikiran sedemikian rupa hanya akan menjadikan kita semakin perlahan dalam menilai setiap tinggalan dan pesanan baginda untuk dijadikan panduan. Jadi apa rasionalnya nabi ulung ini datang dari kalangan manusia?

Sebab itu, hal-hal seperti perkahwinan baginda dengan isteri-isteri baginda SAW misalnya tidak dapat kita lihat sebabnya, selain lidah asyik mengatakan "dah baginda tu nabi"..

Sebab itu hal seperti apa yang berada disebalik tindakan rasulullah SAW menikahi Siti Aisyah RA semasa beliau masih kanak-kanak gagal kita rungkaikan, sebaliknya jawapan "dah baginda tu nabi" terus dimanipulasikan.

Sebab itu kehebatan da'awah dan hujjah baginda SAW pun sampai dipinggirkan. Yang mendapat temapat ialah kewalian tok guru, yang kononnya boleh membaca hati orang lain, yang solat kononnya 1000 rakaat semalaman, yang boleh jalan atas air dan berbagai-bagai lagi kelabihan luar biasa, yang tidak dimiliki oleh Muhammad bin Abdullah, kekasih Allah Azzawajjal.

Sebab itu kehebatan da'awah dan hujjah baginda SAW pun dianaktirikan, sebaliknya kitab-kitab pemikiran barat yang dijulang. Malah, umat Islam dicabar memeluk demokrasi. Adakah ini kesan menuruti panduan nabi SAW?

Cuma, untuk menutup pekung ini, kebanyakan umat Islam diseluruh dunia, akan bersungguh-sungguh 'meraikan' kelahiran baginda SAW. Seolah-olah hal ini adalah syiar Islam, dan saat inilah kedengaran suara-suara yang bersemangat mahukan pesta selawat dan banner ini diraksasakan!

Maaf! Aku cuma pertikaikan, termasuk ke atas diriku sendiri, tentang apa yang sepatutnya kita cari. Apa yang sepatutnya kita turuti dan apa yang sepatutnya kita dekati.

Dan jangan pula menyangka aku bersekongkol (secara pendapat) dengan krisis Maulud di Pulau Pinang. Hal ini aku telah kupas dalam penulisan bertajuk Jawapan Selamat sebelum ini.

Muhammad bin Abdullah itu adalah rahmat seluruh alam, yang apabila tidak makan baginda boleh menjadi lapar, yang ada masa dan ketika berkeinginan untuk berkasih sayang dengan para isterinya, yang ada ketika bergurau senda dengan para sahabat, yang ada masanya mengantuk dan perlukan rehat, yang gemar daging kambing dibahagian bahu dan banyak lagi aktiviti atau perilaku kemanusiaan yang normal.

Cumanya, baginda SAW membawa pakej berupa akhlak daripada Al Quran. Apa itu Al Quran? Siapa yang mengkalimahkan Al Quran?

Bawalah rasulullah SAW dalam kehidupan kita sehari-hari. Olahlah dengan tertib dan tidak melanggar nas-nas Islam akan segala tunjuk ajar baginda SAW, samada perbuatnnya, lisannya atau reaksinya, agar dapat diselaraskan dengan keadaan semasa.

Dan yang paling utama, buktikan kecintaan terhadap baginda SAW melabihi cintanya kita kepada sang kekasih, sayangnya kita kepada alam kehidupan, anak isteri dan harta benda.

Pertahankanlah maruah baginda SAW, yang sering cuba digodam dan dibelasah musuh-musuh Islam, yang mungkin ada di antara mereka yang masih belum sedar akan kehebatan insan bernama Muhammad bin Abdullah ini.

Dan marilah hidupkan atau suburkan kembali kempen tauhid yang telah dipelopori baginda SAW hampir 1500 tahun yang lalu.

Percayalah, jika semua ini boleh kita lakukan, jalan menuju syurga dan peluang menerima naungan rahmat Allah itu semakin jelas, inshaAllah.


Barakallahufikum.

No comments: