Thursday, February 18, 2010

Jawapan Selamat


Assalamualaikum

Aku tidak berniat untuk mengupas isu sambutan Maulud Nabi di Pulau Pinang yang sedang hangat dimainkan ketika ini. Aku hanya berminat untuk berkongsi pandangan peribadiku sebagai 'Public Muslim' tanahair.


Secara ilmiah, tiada dalam hukum Islam tentang keperluan sambutan Maulud Nabi ini. Mudahnya, upacara ini aku fikirkan tidak perlulah disambut oleh umat Islam. Tiada saranan daripada baginda SAW, tiada juga contoh-contoh atau catatan sejarah yang menunjukkan para sahabat RA melakukan perayaan ini. Oleh itu, adalah wajar kita mengikut mereka yang jauh lebih afdhal daripada kita ini.

Tetapi, apabila hal di Pulau Pinang ini diajukan kepadaku oleh sahabat-sahabat, suka untuk aku memberi pandangan kedua, selain pandangan di atas yang aku kelaskan sebagai pandangan sudut ilmu dan pengetahuan.


Pandangan kedua lebih kepada konteks semasa dan negara. Sungguhpun aku berpegang kepada kefahaman bahawa sambutan Maulud Nabi SAW tiada keperluan untuk diraikan, samada atas tiket ibadah ataupun ummah, yang seharusnya berkait rapat, aku yakin sebagai Muslim Malaysia, kita harus melihat isu ini dalam ruang yang lebih luas.

Masakan suatu amalan atau perayaan dalam agama kita ini (Islam), yang jatuh di bawah kategori 'tidak mengikut syariat sebenar, bidaah dsb' (dalam konteks ini sambutan Maulud Nabi- tiada nas atau dalil tentang keperluannya), digugurkan atau diharamkan atau dibatalkan atau ditidakkan oleh seorang non-Muslim?

Mungkin ada sahaja golongan atau pihak tertentu yang mahu berfikiran positif atas dasar pelaku (Ketua Menteri tersebut) merupakan rakan politik mereka. Tetapi tepatkah waktunya?

Patutkah kita tunggu sehingga hal-hal yang lebih fardhu atau bersifat syiar disentuh? Itu yang aku pohon semua Muslimin dan Muslimat renungkan.

Maulud Nabi bukan tersenarai sebagai syiar Islam. Nabi SAW bukan untuk diraikan, tetapi untuk dijadikan panduan dan ikutan. Tetapi menghentikan hal ini oleh seorang yang bukan Muslim adalah tidak betul. Atas dasar apa sekalipun, ia tetap dilihat sesuatu yang serong dan berunsur provokasi. Ini melibatkan sensitiviti pengamal.


Sedangkan pejuang sunnah tulen juga berhati-hati dalam mereform amalan umat Islam supaya sejajar dengan amalan salafussoleh yakni para sahabat RA, yang semestinya lebih afdhal daripada kita, masuk akalkah jika tindakan seorang yang bukan Muslim diperakui dan diisytihar sebagai tepat?

Dan apabila aku memerhatikan dan membaca pandangan beberapa orang tokoh, makin nyata kepada kesedaranku betapa terdapat tokoh-tokoh tertentu memilih jalan untuk menjawab hal ini secara selamat. Selamat atas kepentingan politik!

Waktu-waktu beginilah baru mereka-mereka ini (tokoh-tokoh politik) mahu bicara tentang ketidakperluan sambutan Maulud Nabi. Mengapa tidak semasa ceramah-ceramah dan kempen-kempen politik mereka? Mengapa baru hari ini dengan sungguh-sungguh baru kalian semua mahu menolak perayaan ini? Sebab kepentingan agama atau politik?

Mungkin risau kalau-kalau perkara ini diperangi di luar atmosfera politik, label wahabi akan dilekatkan di dahi? Segalanya mungkin..

Aku sudah jelek dengan suasana ini. Seharusnya dalam keadaan sekarang, umat Islam wajib menyelesaikan hal rumah tangga mereka sendiri. Ini melibatkan ruang lingkup agama, bukan hal ehwal makan minum atau berbelanja.


Mungkin pandangan mantan Mufti Perlis boleh aku anggap sebagai pandangan yang berunsur solusi bukan manipulasi. Sementara letusan YB Kulim, mungkin banyak benarnya tetapi sedikit kurang dari segi caranya.

Dan maaf untuk mengatakan yang pandangan Tuan Guru Mursyidul Am perlu lebih teliti dan tidak perlu berbaur politik. Bukan untuk mencabar kewibawaan beliau, malah aku harap janganlah dibandingkan antara aku dan beliau dari segi reputasi, sebaliknya nilailah penulisan aku atas dasar pandangan, kerana ilmu perlu ditegakkan dengan hujjah dan tafsiran.


Akhir kata, polemik Maulud Nabi perlu dirungkai secara ilmiah kepada umat Islam khasnya di Malaysia, dengan mengetengahkan nas-nas dan dalil-dalil daripada Al Quran dan As Sunnah, untuk dihujjahkan. Biar kita terdedah tentang perlu atau tidak diadakan sambutan.

Dan yang paling utama, biarlah kita sesama Islam yang menyelesaikan hal ini. Kalau mahu ditegakkan sunnah baginda SAW, biarlah diperjuangkan dan dihebahkan oleh Muslim itu sendiri. Bukan oleh non-Muslim, sekalipun orang itu peminat setia Khalifah Umar bin Abd Aziz.

Luahkanlah jawapan yang selamat, tetapi biarlah selamat kepada umat, bukan selamat demi dendam kesumat!

Islamkanlah politik itu dan segala isinya, inshaAllah.

Barakallahufikum.

1 comment:

mohad said...

info yang menarik...cantik foto matahari tu...saya copy satu ya..