Friday, February 27, 2009

Pokok Da'awah



Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu dan memberi hidayat petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat). (13)

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab agama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu. (14)

Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan). (15)

Dan orang-orang yang berhujah menyangkal dan membantah tentang kebenaran agama Allah sesudah disambut dan diterima agamaNya itu bantahan (dan tuduhan palsu) mereka itu sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka dan mereka pula ditimpa kemurkaan (dari Allah) serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya. (16)

Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya). (17)

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong. (18)

Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan) dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (19)


Surah Ash-Shura Ayat 013 - 019

Barakallahufikum.

Saturday, February 21, 2009

Hak Memilih Bukti KeadilanNya



Assalamualaikum

Seringkali kita dengari ungkapan atau keluhan yang berbunyi "Sudah takdir Tuhan, nak buat apa lagi.." dan yang sewaktu dengannya.

Manusia memang begitu. Sifat mencari sesuatu untuk disalahkan seakan-akan sudah menjadi tabiat wajib dalam diri masing-masing. Asal boleh dicari, pasti ada sesuatu untuk dijadikan kambing hitam.

Tetapi lain pula jika yang dikecapi itu sesuatu yang manis. Manusia lebih cenderung untuk mencari seberapa banyak kebaikan daripada diri sendiri agar dapat dihebahkan kepada umum.

Apa pun,kita harus sedar bahawa di dalam hidup ini segala yang kita lakukan adalah atas pilihan kita sendiri. Ketahuilah sesungguhnya Allah Azzawajjal telah menganugerahkan kita dengan kebolehan membuat pilihan, berdasarkan batas jiwa dan minda kita.

Banyak ayat di dalam Al Quran yang menunjukkan manusia ini diizinkan Allah untuk memilih apa yang mereka mahu.

Tetapi kamu memilih kehidupan dunia,

Surah AlA'laa. Ayat 016.

Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang mengandungi amaran) ini menjadi peringatan oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah ia mengambil/memilih jalan yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat).

Surah AlMuzammil. Ayat 019.


Menyedari tentang hakikat ini sangat penting, supaya kita dapat mengerti dengan lebih jelas akan hubungan kita dengan Pencipta, serta dapat mendalami lagi apa itu Maha Berkuasa dan Maha Adil.

Allah dan rasulNya telah menyediakan jalan yang terbaik untuk kita pilih demi survival kita, iaitu jalan Al Quran dan As Sunnah. Tetapi dalam masa yang sama, Allah Yang Maha Adil memberi hak memilih kepada manusia, sekalipun yang dipilih itu adalah jalan derhaka. Nauzubillah.

Mari kita fahami dua potong ayat suci ini:

Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.


Surah AlAhzab. Ayat 035 - 036.


Allah mentakdirkan atau mengizinkan sesuatu itu terjadi, tetapi kebebasan memilih adalah milik manusia, cumanya yang harus kita faham, semua pilihan itu akan dinilai olehNya. Akhirnya, Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Adil dalam masa yang sama.


Baru-baru ini aku berbual dengan beberapa orang sahabat. Aku menyentuh perihal manusia yang suka menyalahkan orang atau benda lain, dan kalau boleh di Masyar nanti syaitan dan iblis pun hendak disalahkan!

Dalam rancak aku berkata-kata, seorang sahabat melontarkan pandangan. Beliau percaya yang syaitan iu diciptakan oleh Allah sebegitu rupa, yakni jahat dan derhaka, hanyalah untuk menjadi medium menyalurkan anasir jahat.

Aku tidak bersetuju, dan meminta ruang untuk memberikan pendapatku. Perbualan itu sangat tenang.

Memang syaitan dan iblis itu laknatullah. Mereka adalah penghuni neraka, dan kewujudan mereka kini adalah demi mempengaruhi seberapa banyak manusia untuk bersama mereka di Jahannam. Nauzubillah.

Tetapi kita harus sedar, Allah SWT tidak mencipta sesuatu itu sebagai buruk dan jahat kalau bukan mereka sendiri yang memilihnya! Hayati kembali sejarah pernderhakaan iblis laknatullah, yang terkandung di dalam Al Quran.

Dan ketika Kami mengatakan kepada malaikat: Tunduklah kamu kepada Adam. Lalu mereka tunduk, selain iblis; dia enggan dan menyombongkan dirinya, dan dia termasuk orang-orang yang tidak beriman.

Surah AlBaqarah. Ayat 034.

Bukankah iblis asalnya beriman dan tingaal di syurga? Penderhakaan itu berlaku atas pilihannya, dan itulah dosa yang besar dan sangat berat. Lalu Allah menyesatkan mereka, tetapi barang di ingat, bukan sengaja disesatkan kalau bukan kerana penderhakaan itu.

Mereka memilih untuk berdendam dengan Nabi Adam AS serta keturunannya daripada memilih untuk bertaubat kepada Allah SWT. Inilah hakikat sebenar kekafiran iblis.

Aku terus memberikan beberapa hujah. Pada pandanganku, perkara ini bukan perkara remeh, kerana jika kita salah faham mengenainya, kita boleh secara tidak sedar menyalahkan takdir atau ketentuan, tanpa kita tahu Allah SWT itu Maha Adil.

Umpama seorang perogol mengatakan "Nak buat macam mana, sudah ditakdirkan aku menjadi perogol oleh Allah.." Bukankah salah anggapan ini? Sedangkan orang itu yang memilih untuk menjadi hamba kepada nafsunya, serta melupakan pesanan Allah agar berwaspada terhadap iblis dan tenteranya.

Kedurjanaan Yahudi juga adalah kerana kegelapan hati mereka, serta sikap angkuh dan racism/perkauman mereka yang melampau. Dinafikan kebenaran Islam antara puncanya ialah kerana junjungan tercinta Muhammad SAW itu bukan daripada kalangan mereka.

Alla itu Maha Adil. Tidakalah Yahudi ini (sebahagian) diciptakanNya untuk menjadi penjenayah di dunia ini. Begitu juga iblis, melalui Al Quran kita dapat mengetahui bahawa merekalah yang memilih jalan yang sesat.

Cumanya Allah akan menambahkan keteguhan iman seseorang yang benar-benar mencari ketaatan dan ketaqwaan, dan dalam masa yang sama menambahkan kesesatan orang-orang yang jahat dan tidak insaf.

Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih kecil dari itu, dan orang-orang yang beriman itu mengetahui bahawa perumpamaan itu kebenaran dari Tuhan. Orang-orang yang tidak beriman mengatakan: Apa maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan? Disesatkan Tuhan dengan perumpamaan itu kebanyakan orang dan dipimpinNya pula dengan itu kebanyakan orang, sedang yang disesatkanNya dengan perumpamaan itu hanya orang-orang jahat.

Surah AlBaqarah. Ayat 026.

Jadi, wajarlah kita ketahui bahawa Allah telah menyerahkan hak memilih itu kepada kita, sebagai bukti keadilanNya. Cuma terserah kepada kita sama ada mahu menjadikan petunjuk Allah dan rasulNya sebagai panduan, atau mengalah kepada hasutan iblis serta tuntutan nafsu yang melampaui batas.

Hayati kata-kata Ali Zainal Abidin, cicit rasulullah SAW.

"Wahai Tuhanku, jangan Engkau serahkan aku ini pada diriku kerana aku tidak mampu untuk menguruskannya. Dan jangan pula Engkau serahkan diriku ini kepada orang lain, nescaya mereka akan mencuaikanku.."


Carilah petunjuk Allah melalui kitabNya, serta pesanan rasulullah SAW melalui hadith-hadithnya, agar kita dapat memanfaatkan hak yang diberikanNya ini, untuk mencerahkan jalan menuju ke syurga.


Fahamilah akan keagungan Allah, serta selamilah ke dasar lubuk sanubari kita, agar kita kenal akan diri ini. InshaAllah, kita akan nampak betapa besarNya kekuasaan Allah, dan betapa pentingnya menjejaki jalan baginda SAW, demi keselamatan di dunia dan akhirat.

Barakallahufikum.

Sunday, February 15, 2009

Hayat dan Legasi


Assalamualaikum

Pastikan hari ini lebih baik daripada hari semalam. Pastikan hari esok akan lebih baik daripada hari ini.

Ini adalah baris-baris yang aku rasa sudah sinonim dengan kehidupan manusia yang berjangka hayat. Berjangka hayat?

Kita ada hari, minggu, bulan dan tahun. Kita ada istilah dekad, suku abad, setengah abad dan satu abad. Kita ada saat, minit dan jam. Semua ini kerana manusia itu berjangka hayat.

Jangka hayat menyebabkan manusia memerlukan sesuatu panduan untuk menongkat survival kehidupan mereka. Sama ada ianya berbentuk assumption/andaian atau fakta kukuh, manusia tetap tidak akan lari daripada mencari sesuatu yang boleh dijadikan sebagai asas kepada tindakan mereka.

Di kala ini misalnya, ahli ekonomi umpama nujum, di mana andaian mereka sangat ditagih oleh pelbagai pihak terutamanya kerajaan. Apa sahaja buah fikiran dan analisa mereka akan diberi fokus yang tinggi, memandangkan suasana semasa ekonomi dunia yang tidak menentu.

Ramalan kaji cuaca, analisa politik, sukan dsb. Semua perkara ini mendapat tempat dalam penilaian manusia yang mahu menilai (sesuatu).

Namun, jika kita selidiki betul-betul, apakah yang sebenarnya perlu dinilai oleh manusia amnya dan Muslim khasnya? Apakah sekadar mengenal pasti solution atau alternatif terhadap sesuatu kemungkinan?

Apa yang seharusnya diadakan agar hari ini akan menjadi lebih baik daripada semalam? Dan apa pula yang perlu dilaksanakan esok agar ianya lebih baik daripada hari ini?

Itulah legasi. Hari ini (semasa) adalah warisan hari semalam. Dan begitulah seterusnya.


Manusia pula memiliki umur. Inilah sifat sesuatu yang berjangka hayat. Umur bukan dibawah kawalan manusia, ia ketentuan Pencipta.

Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari air mani, kemudian itu dijadikanNya kamu berpasangan (laki-laki dan perempuan). Seorang perempuan tiada akan mengandung dan tiada akan melahirkan kandungannya, melainkan dengan ilmu Allah. Dan tiada akan dipanjangkan umur orang yang panjang umurnya, dan tiada akan dikurangi umurnya, melainkan tertulis dalam Kitab. Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah mudah belaka.

Surah Faatir. Ayat 011.


Bila jangka hayat ini dihubungkan dengan legasi, manusia seharusnya boleh mencapai satu kepastian yang lebih tepat. Manusia akan lebih nampak realiti yang rasional.

Realiti perlu sesuatu yang bersifat rasional. Realiti semata-mata tetapi tidak rasional akan melahirkan tindakan yang bersifat dangkal, lemah dan yang paling besar sekali adalah bongkak atau penting diri.

Apabila realiti bersifat rasional, pelaku akan meninggalkan sesuatu yang sangat bermanfaat untuk pewaris.

Umpamanya dalam perjuangan. Apabila seseorang yang berada di kerusi pemimpin bertindak tanpa sesuatu yang rasional, realiti yang dilahirkan nanti akan mengundang pelbagai petembungan yang menggugat perjalanan kerja dan perjuangan itu sendiri.

Bukan mencari salah, tetapi inilah kepentingan berpandangan jauh dan bertindak atas prinsip fardhu kifayah.

Lihatlah apa jadi kepada struktur pendidikan negara kita sendiri. Walaupun setiap tahun kita melahirkan para pelajar yang membalun semua A selagi boleh, adakah kita sudah boleh mendabik dada tentang kekuatan bidang ilmu di negara kita, atau setidaknya berpuas hati dengan sistem tersebut?

Cuba renung kembali, bukankah kita masih sahaja bergantung dengan bijak pandai dari luar negara? Kita masih sahaja menagih pelaburan dari syarikat luar, hatta industri makanan sekalipun. Mana perginya semua bjak pandai itu?

Tanpa menafikan kecemerlangan pelajar itu sendiri, aku berpendapat mereka semua akhirnya hanyalah alat yang akan jadi pengukur kepada prestasi pemimpin, dalam konteks ini ialah barisan Kementerian Pendidikan itu sendiri.

Kalau boleh, setiap kali bertukar tangan jawatan-jawatan ini, akan lahirlah sistem baru dan penghapusan sistem lama, tanap menilai sedalam-dalamnya akan keperluan dan rasionalnya mempertahankan atau memansuhkan yang lama.

Inilah antara masalah yang boleh timbul jika tiada kesinambungan dalam legasi. Salah ini harus ditanggung oleh yang lama dan juga penggantinya.

Kita perlu berjuang untuk membentuk legasi perjuangan itu sendiri. Lihatlah apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sendiri. Adakah baginda SAW memohon kepada Allah SWT agar dipanjangkan umur baginda SAW supaya da'awah boleh disambung terutamanya ke kawasan luar Mekah dan Madinah? Tidak bukan!

Baginda SAW telah tinggalkan landasan perjuangan yakni da'awah yang berdasarkan Al Quran dan As Sunnah. Baginda SAW, sebagai manusia normal, yang akan menghadapi kematiaan atau pengakhiran hayat kehidupan telah melakukan sesuatu yang sewajarnya, sesuatu yang kena dan tepat untuk zaman awal Islam, iaitu memperkukuhkan minda dan rohani Muslimin zaman itu.

Lihatalah kesannya. Hasil pembangunan rohani itulah terbentuknya legasi perjuangan yang sangat utuh, di mana Islam tersebar dengan sungguh meluas di zaman para sahabat RA.

Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman di antara kamu dan mengerjakan perbuatan baik, bahawa mereka akan diberi warisan kekuasaan di muka bumi, sebagaimana telah diberikan kepada orang-orang yang sebelum mereka, dan akan diteguhkan kedudukan agama mereka yang telah disukai oleh Tuhan, dan akan menukar mereka sesudah ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka menyembah Aku dan tidak mempersekutukan barang sesuatu dengan Daku. Barangsiapa yang ingkar sesudah itu, merekalah orang-orang yang jahat.

Surah AnNuur. Ayat 055.


Kita perlu ukur baju di badan sendiri. Kita tidak boleh syok sendiri. Terimalah hakikat tentang hayat dan umur kita, dan mulalah berfikir serta bertindak dengan serasional mungkin, agar landasan yang bakal ditinggalkan adalah yang sebaik mungkin untuk generasi kemudian.

Jika kita sentiasa mahu melihat dengan mata kepala kita sendiri akan kejayaan, nescaya kita akan menghalalkan banyak perkara yang salah. Kita akan jadi penting diri.

Lihatlah perjuangan Israel. Mereka memang perosak yang durjana, tetapi jika kita teliti perancangan mereka, kita boleh lihat betapa bersistemnya hal tersebut.

Mereka ini tidak sedikit pun mengejar darjat peribadi, sebaliknya apa yang mereka sasarkan ialah kemenangan total untuk puak mereka. Setiap pemimpin mereka akan menyambung legasi perjuangan pemimpin terdahulu.

Walaupun tetap ada perubahan, namun ia tidak sehingga merencatkan kesinambungan agenda mereka. Mekanisme sebeginilah yang penting dalam mewujudkan legasi perjuangan yang teratur.

Aku tidak memuji, tetapi sekadar mahu kita berfikir.

Padahal, Rasulullah SAW dan para sahabat RA telah meninggalkan satu legasi yang cukup baik dan kemas. Cumanya, kesilapan demi kesilapan serta sabotaj pihak musuh menyebabkan kita alpa dan tersasar!

Inilah hakikatnya. Perjuangan kebanyakan pihak sekarang adalah bersifat peribadi. Naik pemimpin yang baru, habis dicantasnya tinggalan pemimpin lama, baik perkara positif mahupun negatif.

Perjuangan ini bukan kerana nama. Perjuangan ini adalah tanggungjawab, iaitu bagaimana mahu memastikan da'awah Islam sentiasa relevan.

Kita tiada jaminan akan hidup di zaman kemenangan Islam, tetapi Allah SWT memberikan kita segenap peluang untuk menjadi sebahagian daripada jemaah yang akan mempelopori perjuangan suci ini.

Sekiranya ia berlaku di masa depan, biarlah landasannya di bina daripada sekarang, dan moga kitalah yang menjadi buruhnya.



Barakallahufikum.

Saturday, February 14, 2009

PendedahanNya



In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful.

[1] Perish the hands of the Father of Flame! perish he!

[2] No profit to him from all his wealth, and all his gains!

[3] Burnt soon will he be in a Fire of blazing Flame!

[4] His wife shall carry the (crackling) wood; As fuel!

[5] A twisted rope of palm-leaf fibre round her (own) neck!



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[1] Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama;

[2] Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.

[3] Dia akan menderita bakaran api Neraka yang marak menjulang.

[4] Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api.

[5] Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.



Rahsia di sebalik surah yang pendek ini sangat mengagumkan. Selain menceritakan perihal Abu Lahab dan isterinya, yang sangat memusuhi nabi SAW, ketahuilah akan kita semua bahawasanya surah ini diturunkan oleh Allah Azzawajjal selepas baginda SAW diherdik oleh Abu Lahab yang membenci da'awah baginda SAW.

Apa yang ajaibnya? Surah ini menggambarkan tentang Abu Lahab dan isterinya yang bakal menjadi isi neraka, serta segala balasan yang bakal mereka terima.

Tahukah semua, surah ini diwahyukan di kala Abu Lahab masih hidup? Dan surah ini adalah bukti bahawasanya Al Quran itu satu pendedahan atau revealation. Allah Azzawajjal itu Maha Mengetahui!

Aku tidak begitu pasti tentang jumlah tahunnya, tetapi Abu Lahab mati beberapa tahun selepas turunnya surah ini. Nah, Abu Lahab mati tanpa berpeluang atau terfikir bahawa dia berpeluang untuk mensabotaj Islam.

Bukankah dia boleh sahaja memeluk Islam, kemudian secara tidak langsung(jika ini terjadi), surah ini akan kelihatan tidak relevan?

Kerana Allah SWT telah dedahkan apa yang akan berlaku di hari kemudian. Inilah kebesaran ilmu Allah. Seperti mana Allah SWT telah mendedahkan perihal Nabi Muhammad SAW dan para sahabat kepada Nabi Musa AS dan juga Nabi Isa AS, sekalipun jarak zamannya jauh.

Allah, melalui kalamNya telah menghadirkan satu petunjuk yang sangat besar untuk hambaNya, selagi mana mereka mahu berfikir. Banyak lagi yang kita boleh perolehi sekiranya kita bukan setakat mengaji berlagu-lagu ayat-ayat dalam Al Quran.

Fahami isi kandungannya. Gunakanlah petunjuk ini untuk meningkat serta memelihara iman, demi survival kita di persinggahan ini.

Islam itu mendahului zaman.

Barakallahufikum.

Thursday, February 12, 2009

Perjuangan


Perjuangan,
Kau bukan pertandingan,
Tidak pula jalan kesenangan,
Jauh sekali senda gurauan,
Maki-makian dan cerca sumpahan..

Perjuangan,
Apa sahaja aku turutkan,
Kata-kata,
Otak fikiran,
Harta benda,
Keluarga, sanak saudara,
Hingga darah dan keringat,
Kerana kau adalah aku..

Perjuangan,
Medan ini tiada memilih,
Masa pula tak pandai berkasih,
Lautan manusia tidak terduga,
Berapakah dalamnya?
Masin manakah garamnya?
Apa isi dan rahsianya?

Perjuangan,
Kerana janji aku berjanji,
Kerana impian aku bermimpi,
Kerana hidup adanya mati,
Kerana titi di bawahnya api..

Perjuangan,
Layakkah aku berangan?
Jadi penghuni di kayangan?
Kalau tunduk pada bayangan?
Kalah pula dengan ujian?

Perjuangan,
Apalah nilai sanjungan,
Jika nanti jadi bebanan,
Mengheret diri penuh kehampaan,
Jadi tahanan,
Penuh hinaan..

Perjuangan,
Kau dan aku satu,
Sama-sama meredah waktu,
Demi menderhaka pada dosa,
Biarpun pedih merana,
Asal terlepas segala seksa..

Perjuangan,
Ada bahagia di hujung sana,
Ada manis di akhir rasa,
Teruslah berjalan,
Kukuhlah bertahan..


Barakallahufikum.

Monday, February 9, 2009

Dahsyatnya Penangan Kuasa



Assalamualaikum

Aku terpanggil untuk mencoret luahan dan pandangan tentang isu semasa. Sungguhpun aku bukan tahi politik, tetapi sedikit sebanyak terasa juga gelombangnya, tambah lagi sebagai anak Melayu, politik sudah jadi adat, kesan sistem pecah perintah kuasa British di era zaman penjajahan.

Sebut pasal penjajahan, selepas 51 tahun, benih yang ditanam itu sudah berbuah. Hampir semua orang Melayu, terutamanya yang terlibat dengan politik meletakkan kuasa (kuasa politik) sebagai kepala kepada apa sahaja tindakan, keputusan dsb.

Kuasa seolah-seolah petrol untuk menggerakkan kenderaan.

Sampaikan ada yang berkata, kalau mahu berda'awah, kita perlukan kuasa pemerintahan dahulu. Ini sangat melucukan, dan dalam masa yang sama hati menjadi meluat mendengarnya.

Sedangkan rasulullah SAW menolak tawaran untuk menjadi pembesar Quraisy! Mengapa tidak baginda SAW mengambil tawaran tersebut dan baru berda'awah?

Bak isi dengan kuku, begitulah orang Melayu dengan kuasa. Tidak boleh dipisahkan. Memang siasah ini penting, tetapi bukanlah segala-galanya.

Sampai memberi pandangan pun harus lihat dahulu keuntungan yang boleh dicapai, tanpa mengendahkan kebenaran. Ini yang parah. Keadilan yang diajar Islam digantikan dengan kesetiaan kepada parti. Lagi-lagi yang sudah bergabung dengan mereka yang berfahaman lain.

Maaf, tetapi semua ini menjelikkan. Aku sangat-sangat menyokong kepada perubahan kerana yang sedia ada ini sudah memualkan, tetapi harus dilihat dahulu alternatif yang ada.

Islam tidak akan tertegak dengan strategi politik, perjanjian kerjasama atau lain-lain. Islam hanya akan tertegak dengan da'awah tulen ala rasulullah SAW dan para sahabat RA.

Memang bumi ini harus dijaga oleh mereka yang mendaulatkan perintah Allah, tidak syak lagi. Tetapi perintah Allah itu menyeluruh, bukan dalam pentadbiran dan perundangan semata-mata. Allah berfirman yang bermaksud perlunya kita mengambil Islam itu secara menyeluruh, bukan bahagian-bahagian tertentu sahaja.

Apa guna berpolitik 24 jam kalau akhirnya jalan yang kita ikut atau gunakan itu tidak seIslam yang sepatutnya? Janganlah leka bertakwil (dengan mengikut kehendak kumpulan), sehingga tanpa disedari perbuatan itu sudah melampaui batas.

Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah melanggar batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melanggar batas.

Surah AlBaqarah. Ayat 190.

Sedangkan Allah sendiri, dalam menyuruh kita berjuang menghadapi musuh yang nyata (kufar) melarang keras segala tindakan yang melampaui batas.

Alangkah indahnya kalau dalam kita bermuafakat dengan mereka, atas kerjasama politik, baik pihak dacing atau tidak dacing, kita sebarkan Islam kepada mereka? Apa yang hendak ditakutkan?

Ajaklah mereka kepada jalan Tuhan dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, dan bertukar fikiranlah dengan mereka menurut cara yang sebaik-baiknya. Sesungguhnya Tuhan engkau lebih tahu siapa yang tersesat jalannya, dan Dia lebih tahu pula orang-orang yang menurut jalan yang benar.

Surah AnNahl. Ayat 125.


Kita marah dan meradang bila setiap kali mereka mengherdik atau mempersoalkan ajaran Islam, tetapi pernahkah kita mengambil pendekatan dengan berda'awah kepada mereka? Mungkin sahaja mereka belum tahu tentang kebesaran agama ini.

Janganlah kerana kuasa dan kedudukan, kita menghadkan penyebaran risalah ini.

Bukankah setiap manusia di atas planet bumi ini berhak untuk mengetahui kebenaran Islam? Adakah Islam ini milik Melayu? Atau adakah Islam ini milik parti Islam?

Atau adakah Islam sudah tidak relevan untuk semua?

Sudah pasti jawapan lisannya tidak! Tetapi mengapa sempit sekali perlaksanaannya?

Mengapa akhirnya yang dikecohkan hanyalah kedaulatan raja semata-mata? Mengapa yang dikeluh kesahkan kerusi dan undi?

Adakah semua itu indicator atau pengukur kepada kebenaran?

Sehingga berbaringan di atas jalanan, seperti orang hilang pertimbangan. Wahai saudaraku, hargailah nyawa yang dipinjamkan olehNya. Berda'awahlah, sebarkan risalahNya.

Kita mencari penilaian Allah. Biar ditolak rakyat, biar dibenci sekutu, biar disumpah musuh. Kalaulah itu yang harus dibayar demi kebenaran perjuangan ini!

Aku sudah letih dan jemu dengan persaingan ini, yang banyak mengorbankan jiwa pejuang Islam, yang asalnya tulus ikhlas, tetapi berubah menjadi keji dan penuh benci.

Dan aku juga sudah muak dengan pemimpin yang dipimpin oleh harta dunia.


Dahsyatnya penangan kuasa!

Kekasihku Muhammad SAW berpesan yang bermaksud berkata benarlah sekalipun ianya pahit.

Barakallahufikum.

Sunday, February 1, 2009

Islam Sebagai Penyelesaian



Assalamualaikum

Setiap agama di atas muka bumi ini ada kitab suci masing-masing. Islam dengan Al Qurannya, Kristian dengan Bible yang pelbagai, Judaism atau agama Yahudi dengan Talmudnya, Rig Veda untuk Hindu dsb.

Kitab-kitab ini adalah sumber terpenting sebagai rujukan bagi pendokong agama masing-masing. Umpama manual, kitab-kitab ini haruslah sesuatu yang menepati piawaian, iaitu sempurna dan lengkap agar ia sesuai untuk digelar suci.

Alhamdulillah, Allah memberikan aku peluang untuk membaca sedikit sebanyak kitab-kitab agama lain. Aku mencari kebenaran, bukan kerana Islam dan Al Quran itu bermasalah, tetapi hanyalah kerana niatku untuk memahami jiwa manusia yang cuba mencari kebenaran rekaan sendiri.

Apa yang aku dapat simpulkan ialah betapa hebatnya pendedahan yang terkandung di dalam Al Quran. Wahyu Allah ini tiada cacat celanya. Bila aku membaca Bible misalnya, apa yang aku perolehi selain daripada isi-isinya yang bercelaru ialah keagungan Al Quran itu sendiri.

Itulah jawapan yang aku berikan kepada dua orang perempuan Kristian berpangkat rahib yang datang kepadaku di satu petang untuk berda'awah tentang agama mereka.

Perbincangan yang tenang dan penuh toleransi itu sangat berharga dalam pengalaman da'awahku. "Apa yang anda dapati selepas membaca kitab agama kami?" Tanya salah seorang daripada perempuan tersebut. Jawabku, "Aku sangat gembira, kerana kebenaran makin terserlah. Tuhan memimpinku untuk sedar betapa kebenaran itu hanyalah Islam."

Aku sertakan beberapa fakta agar dakwaanku itu tidak tinggal dakwaan, dan terpulang kepada mereka untuk menilainya.

Namun, bukan kisah aku dan dua rahib itu yang ingin aku kongsi kali ini. Itu hanyalah contoh, dan inshaAllah kalau ada kesempatan, aku menulis tentang pengalaman tersebut.

Kali ini, aku ingin mengajak semua saudara-saudaraku untuk menyelami apa yang ada disebalik da'awah.

Aku membaca dan mentelaah kitab-kitab lain, bukanlah dengan niat untuk keluar kepada masyarakat seterusnya menggariskan satu persatu kepalsuan yang ada. Bukan itu keperluannya.

Sebab itulah bila ada beberapa sahabat dan hamba Allah meminta aku melebihkan penulisan-penulisan tentang perbezaan antara agama, aku rasa penumpuan yang terlalu mendalam tentang hal-hal itu tidaklah terlalu penting.

Bukan tidak perlu, tetapi yang paling utama adalah kita sendiri perlu mengigit Islam itu sekuat-kuat gigitan, agar kita boleh bertindak sebagai mana yang sepatutnya.

Sepanjang pengalamanku, untuk mengganggu kepercayaan penganut Kristian tentang konsep bapa dan anak tuhan bukanlah perkara yang sukar, kerana seperti yang aku selalu katakan sebelum ini, kebenaran yang didakwa oleh mana-mana agama pun ciri wajibnya adalah tidak bertentangan dengan naluri manusia itu sendiri.

Dan konsep tersebut (bapa dan anak tuhan) sebenarnya tidak dapat diterima oleh akal dan jiwa manusia yang mahu berfikir.

Sedangkan Islam adalah satu agama yang meraikan perasaan. Kajilah setiap inci ilmu Islam, baik tauhid, fiqh dsb, pasti kita akan bertemu logik serta keperluannya. Betapa berkuasa dan bijaknya Allah Azzawajjal.

Sebab itulah apa yang harus kita lakukan ialah mendatangi mereka dan berusaha menunjukkan Islam sebagai penyelesaian untuk apa sahaja persoalan di atas muka bumi ini.

InshaAllah, hati yang mencari pasti akan tertarik dengan kesempurnaan Islam. Dan kemampuan kita sebagai umat Islam untuk menghuraikan setiap unsur-unsur Islam dalam mode yang menyokong keperluan jiwa dan minda serta berdasarkan fact and figure, pasti dapat menzahirkan betapa Islam itulah jalan kehidupan yang sempurna.

Bukan menerangkan kebenaran Islam dengan mengatakan ada tok guru atau syeikh yang boleh berjalan di atas air, atau kerana ada kalimah-kalimah suci di langit dsb.

Dan bukan juga setakat menggariskan kecacatan agama mereka, kesalahan dalam konsep kepercayaan dsb.

Sebaliknya, da'awah yang tepat dan berkesan ialah seperti yang ditunjukkan oleh nabi SAW dan para sahabat RA, iaitu sesuatu yang betul-betul dapat mencengkam akal fikiran serta mengusap-usap jiwa nurani manusia.

Tidak ada gunanya kita dapat mengeluarkan mereka daripada kekeliruan konsep agama mereka, tetapi tidak menyediakan penyelesaiannya.

Oleh itu, bukalah Al Quran dan hayatilah apa yang Allah SWT telah dedahkan kepada kita semua. Rujuklah hadith-hadith baginda SAW agar kita dapat mengerti mekanisme terbaik dalam menjalankan kehidupan sebagai manusia serta melakukan tanggungjawab sebagai penda'awah. Ingat, da'awah itu bukan kerjaya, tetapi merupakan tugas dan kewajipan semua.

Moga penulisanku kali in memberi manfaat inshaAllah.

Selamat berda'awah!

Barakallahufikum.