Sunday, February 1, 2009

Islam Sebagai Penyelesaian



Assalamualaikum

Setiap agama di atas muka bumi ini ada kitab suci masing-masing. Islam dengan Al Qurannya, Kristian dengan Bible yang pelbagai, Judaism atau agama Yahudi dengan Talmudnya, Rig Veda untuk Hindu dsb.

Kitab-kitab ini adalah sumber terpenting sebagai rujukan bagi pendokong agama masing-masing. Umpama manual, kitab-kitab ini haruslah sesuatu yang menepati piawaian, iaitu sempurna dan lengkap agar ia sesuai untuk digelar suci.

Alhamdulillah, Allah memberikan aku peluang untuk membaca sedikit sebanyak kitab-kitab agama lain. Aku mencari kebenaran, bukan kerana Islam dan Al Quran itu bermasalah, tetapi hanyalah kerana niatku untuk memahami jiwa manusia yang cuba mencari kebenaran rekaan sendiri.

Apa yang aku dapat simpulkan ialah betapa hebatnya pendedahan yang terkandung di dalam Al Quran. Wahyu Allah ini tiada cacat celanya. Bila aku membaca Bible misalnya, apa yang aku perolehi selain daripada isi-isinya yang bercelaru ialah keagungan Al Quran itu sendiri.

Itulah jawapan yang aku berikan kepada dua orang perempuan Kristian berpangkat rahib yang datang kepadaku di satu petang untuk berda'awah tentang agama mereka.

Perbincangan yang tenang dan penuh toleransi itu sangat berharga dalam pengalaman da'awahku. "Apa yang anda dapati selepas membaca kitab agama kami?" Tanya salah seorang daripada perempuan tersebut. Jawabku, "Aku sangat gembira, kerana kebenaran makin terserlah. Tuhan memimpinku untuk sedar betapa kebenaran itu hanyalah Islam."

Aku sertakan beberapa fakta agar dakwaanku itu tidak tinggal dakwaan, dan terpulang kepada mereka untuk menilainya.

Namun, bukan kisah aku dan dua rahib itu yang ingin aku kongsi kali ini. Itu hanyalah contoh, dan inshaAllah kalau ada kesempatan, aku menulis tentang pengalaman tersebut.

Kali ini, aku ingin mengajak semua saudara-saudaraku untuk menyelami apa yang ada disebalik da'awah.

Aku membaca dan mentelaah kitab-kitab lain, bukanlah dengan niat untuk keluar kepada masyarakat seterusnya menggariskan satu persatu kepalsuan yang ada. Bukan itu keperluannya.

Sebab itulah bila ada beberapa sahabat dan hamba Allah meminta aku melebihkan penulisan-penulisan tentang perbezaan antara agama, aku rasa penumpuan yang terlalu mendalam tentang hal-hal itu tidaklah terlalu penting.

Bukan tidak perlu, tetapi yang paling utama adalah kita sendiri perlu mengigit Islam itu sekuat-kuat gigitan, agar kita boleh bertindak sebagai mana yang sepatutnya.

Sepanjang pengalamanku, untuk mengganggu kepercayaan penganut Kristian tentang konsep bapa dan anak tuhan bukanlah perkara yang sukar, kerana seperti yang aku selalu katakan sebelum ini, kebenaran yang didakwa oleh mana-mana agama pun ciri wajibnya adalah tidak bertentangan dengan naluri manusia itu sendiri.

Dan konsep tersebut (bapa dan anak tuhan) sebenarnya tidak dapat diterima oleh akal dan jiwa manusia yang mahu berfikir.

Sedangkan Islam adalah satu agama yang meraikan perasaan. Kajilah setiap inci ilmu Islam, baik tauhid, fiqh dsb, pasti kita akan bertemu logik serta keperluannya. Betapa berkuasa dan bijaknya Allah Azzawajjal.

Sebab itulah apa yang harus kita lakukan ialah mendatangi mereka dan berusaha menunjukkan Islam sebagai penyelesaian untuk apa sahaja persoalan di atas muka bumi ini.

InshaAllah, hati yang mencari pasti akan tertarik dengan kesempurnaan Islam. Dan kemampuan kita sebagai umat Islam untuk menghuraikan setiap unsur-unsur Islam dalam mode yang menyokong keperluan jiwa dan minda serta berdasarkan fact and figure, pasti dapat menzahirkan betapa Islam itulah jalan kehidupan yang sempurna.

Bukan menerangkan kebenaran Islam dengan mengatakan ada tok guru atau syeikh yang boleh berjalan di atas air, atau kerana ada kalimah-kalimah suci di langit dsb.

Dan bukan juga setakat menggariskan kecacatan agama mereka, kesalahan dalam konsep kepercayaan dsb.

Sebaliknya, da'awah yang tepat dan berkesan ialah seperti yang ditunjukkan oleh nabi SAW dan para sahabat RA, iaitu sesuatu yang betul-betul dapat mencengkam akal fikiran serta mengusap-usap jiwa nurani manusia.

Tidak ada gunanya kita dapat mengeluarkan mereka daripada kekeliruan konsep agama mereka, tetapi tidak menyediakan penyelesaiannya.

Oleh itu, bukalah Al Quran dan hayatilah apa yang Allah SWT telah dedahkan kepada kita semua. Rujuklah hadith-hadith baginda SAW agar kita dapat mengerti mekanisme terbaik dalam menjalankan kehidupan sebagai manusia serta melakukan tanggungjawab sebagai penda'awah. Ingat, da'awah itu bukan kerjaya, tetapi merupakan tugas dan kewajipan semua.

Moga penulisanku kali in memberi manfaat inshaAllah.

Selamat berda'awah!

Barakallahufikum.

1 comment:

Anonymous said...

aku setuju benar dengan kate2 saudara ku ini....saudara memang benar dlm mengeluarkan pendapat,tidak bias, dan menpunyai bukti2 yang kukuh....tetapi, saudara jgn lupa, mengapa kuasa di perlukan di malaysia, kerana kite mahu menghapuskan kuasa2 yang zalim di negara ini...setiap kali kate-2 yang benar keluar dari pemimpin-2 tertentu, mesti di putarbelitkan....bagaimana harus kite menegakkan keadilan.insan mencari kebenaran.wassalam