Sunday, December 28, 2008

Aku Lihat Aku Dengar


Aku lihat mereka beraksi,
Aku dengar mereka bicara,
Soal agama dan soal bangsa,
Soal tuan dan soal kuasa.

Katanya ketuanan perlu diubah,
Biar bunyinya lebih meriah,
Agar semua lepas sengsara,
Itulah janji penabur bicara.

Sedap bicaranya merangsang jiwa,
Yang hitam manis rasa terbela,
Yang rambut lurus bertambah gembira,
Yang satu lagi berserah sahaja.

Aku lihat mereka berpencak,
Aku dengar mereka bersorak,
Menyumpah barisan para penderhaka,
Yang sudah beraja setengah kurun lamanya.

Mereka kata merekalah pejuang,
Gagah berani laksana pendekar,
Proksi durjana akan ditentang,
Barisan penderhaka bakal dicincang.

Mendidih simerah di dalam badan,
Mendengar seruan berinti keramat,
Janji pendekar bagaikan azimat,
Perangi penderhaka ke akhir hayat.

Aku lihat mereka berikrar,
Aku dengar mereka berjanji,
Tentang dasar dan toleransi,
Tentang adil dan hak asasi.

Adakah adil itu sama rata?
Enam puluh dia dapat sepertiga,
Tiga puluh mereka sepertiga juga,
Sepuluh yang sana pun sama rasa.

Adakan janji itu ringan sahaja?
Kata klasik bagai melepas batuk di tangga,
Emosi digeletek kata nista,
Harapan disirami bodek sempurna.

Aku lihat mereka beropera,
Aku dengar mereka merencana,
Sesuatu yang cepat untuk selamat,
Sesuatu yang besar sebagai manfaat.

Semua sekali ternanti-nanti,
Malah sehingga ke hari ini,
Bagaikan lauk yang tak akan basi,
Begitulah impian yang penuh ilusi.

Hampir terbelah menjadi dua,
Akibat sasaran mula berbeza,
Dikatakan dalangnya musuh di luar
Demam kuasa melanda pendekar.

Aku lihat mereka berisyarat,
Aku dengar mereka bertegang urat,
Prinsip sahabatnya berpasak di bumi
Prinsipnya pula tinggi di langit.

Adakah mereka mencari ajaib?
Atau sekadar menguji nasib?
Tanpa menyedari betapa sulit,
Menyatukan minyak dan juga air.

Yang jadi taruhan perintah dan hukumNya,
Jadi alat penyambung nyawa,
Baik yang sini atau yang sana,
Asalkan peluru boleh mengena.

Aku lihat mereka bertarung,
Aku dengar mereka meraung,
Semuanya kerana mahukan kuasa,
Agaknya itulah definisi sang perwira!


Barakallahufikum.

Thursday, December 25, 2008

Berilah Diri Peluang Mengenal Kebenaran



Assalamualaikum

Aku diajukan tentang permintaan berkongsi pengalamanku oleh beberapa sahabat. Apakah ada nilai atas pengalaman-pengalamanku untuk dijadikan sumber rujukan, atau cuma sekadar cerita biasa santapan jiwa? Aku pun tidak pasti.

Namun, bila dikenang-kenang, mungkin ada baiknya juga aku kisahkan beberapa pengalamanku yang aku anggap ada sedikit manfaatnya, ke dalam alam siber ini. Moga-moga jadi renungan dan sumber ilham (jika ada) kepada para pembaca. Harap tiada yang persoalkan niatku, inshaAllah semuanya atas dasar perkongsian ilmu.

Terus terang, aku sangat gemar mengadakan perbincangan mengenai kehidupan, dengan skop yang luas, bukan cerita pagi ke malam. Mungkin kerana kegemaranku membaca human behavior atau perilaku manusia.

Tetapi aku lebih mendalam bila dibuka ruang untuk perbincangan bercorak keagamaan. Kerana mengikut pandanganku, perilaku manusia hanya dapat dipandu dengan baik dan selamat dengan ilham yang digerakkan oleh kepercayaan yakni agama.

Kali ini, aku ingin kongsi pengalamanku berbincang topik tentang asas agama dengan seorang lelaki Ireland, yang berusia awal 50an, berkepercayaan Katholik. Perbincangan tanpa dirancang (pada zahirnya) berlaku di dalam teksi beliau.

Sebenarnya, aku sentiasa merancang untuk berbincang persoalan kepercayaan, dengan sesiapa pun. Jangan salah faham, aku bukan minat membuka gelanggang perdebatan, kerana itu bukan tempat yang agak sesuai mencari kebenaran, kerana nama debat itu sahaja seolah-olah memerlukan seseorang yang keluar sebagai pemenang. Kemenangan belum tentu satu kebenaran!

Berbincang persoalan kepercayaan adalah pendekatanku untuk memulakan,sekiranya kena caranya, da'awah dan mempromosikan Islam. Mengapa? Bukan kerana minat atau kerjayaku, tetapi atas dorongan beberapa sebab. Harapan, cinta dan tanggungjawabku. InshaAllah aku sedang dalam proses menulis berkaitan hal-hal ini, yang akan diklasifikasikan di bawah tajuk Sabung Minda.

Berbalik kepada ceritaku tadi. Lelaki ini lembut bicaranya. Juga menyenangkan perwatakannya. Beliau memulakan dengan bertanya khabar dan begitulah juga denganku.

Mengenangkan perayaan Krismas semakin hampir dan kota Dublin begitu sesak dengan penduduknya membuat persiapan terakhir, beliau bertanya kepadaku perihal persiapanku pula. Aku menjawab yang aku tidak menyambut Krismas.

“Adakah anda Muslim?” tanya beliau kepadaku. Aku mengiakannya. Beliau kemudiannya mengkritik perayaan Krismas era moden yang mengikutnya sudah lari dengan tuntutan asal, yakni tuntutan agama Kristian itu sendiri.

“Kini, ia tidak lebih hanyalah perayaan budaya sahaja.”,tegas beliau. Aku hanya tersenyum, kerana ini bukan pertama kali aku mendengar luahan ini, yang kebanyakannya disuarakan oleh golongan-golongan veteran.

Kami meneruskan perbualan, dengan aku diajukan pertanyaan tentang status ketaatan aku kepada Islam. Aku menerangkan kepada beliau bahawa aku tidak dapat mengukurnya sendiri, tetapi sehingga hari ini aku sangat berusaha untuk patuh kepada tuntutan Islam, Alhamdulillah.

Beliau seakan bersemangat lagi untuk berbual. “ Aku ini asalnya sangat taat kepada agamaku, malah aku ini hampir menjadi mubaligh, kerana aku berlatarbelakangkan keluarga yang warak.”, katanya apabila aku mengembalikan soalan yang sama.

Belum sempat aku melanjutkan pertanyaanku, beliau menyambung lagi, “ Korupsi, samada dalam bidang harta dan kuasa oleh pihak gereja menjadikan aku tidak mahu meneruskan haluanku dalam perjuangan agama. Tetapi jauh dalam sudut hatiku aku sangat ingin membela manusia yang ditindas dan lemah.”

Aku sangat sangsi tentang alasannya untuk tidak bersungguh-sungguh dalam perjalanan keagamaanya. Aku mencelah “ Tidaklah wajar mengukur sesuatu atau membuat keputusan hanya berdasarkan pemerhatian terhadap perilaku orang lain, sekalipun orang itu tokoh agama. Kerana pada pendapatku, kebenaran sesuatu perkara itu wajarlah dilihat daripada akar atau asas perkara itu sendiri, bukan pendukungnya. Dalam Islam sendiri, bukannya sedikit penganutnya, baik yang biasa atau berstatus tinggi, beramal atau melakukan sesuatu yang tidak tepat dengan kehendak Islam itu sendiri, tetapi tidak pernah terlintas walau sekalipun di dalam jiwaku untuk mempersoalkan kebenaran Islam.”

“ Islam itu sumbernya Al Quran dan perbuatan dan penerangan Nabi Muhammad, yang kami panggil Sunnah. 2 sumber inilah rujukan asli agama ini. Berkenaan penganutnya, bukan semua boleh dijadkan rujukan kerana manusia itu ada batasan akalnya.”

Aku meneruskan. “ Bagaimana anda boleh ketepikan kepercayaan anda hanya kerana golongan yang diberi kepercayaan ( alim ulama gereja) berlaku tidak amanah? Atau ada sebab lain? Maaf sekiranya pertanyaanku kurang cermat, aku tiada niat menyerang pendirian anda.”

Terus terang, aku tidak ingin bertanya lanjut tentang rungutan beliau berkenaan gereja, cuma aku berminat untuk mengorek pendapat dan pandangannya sendiri terhadap agama. Itu short term goal aku kala itu.

Beliau menjawab, “ Aku mendapati beberapa pertikaian berkenaan dengan agamaku, yang menyebabkan aku lebih senang bermudah-mudah dalam hal agama, sebaliknya aku rasa lebih baik jika aku fokus untuk melakukan kebaikan sesama manusia, yang aku yakin menjadi keutamaan hidup ini.”

Aku terus tekun mendengar kata-katanya. “ Bukan aku tidak mahu kepada agama, tetapi kekeliruan itu menyusahkan.Akhirnya biarlah aku berbuat baik kepada semua orang yang memerlukan, itu lebih besar.”

Aku memberanikan diri untuk respon pada kata-katanya. “ Kawanku, aku amat setuju bahawasanya berbuat baik kepada sesama manusia itu sesuatu yang sangat besar, tetapi aku percaya bahawa ada lagi yang lebih besar daripada itu, iaitu berbuat sesuatu yang dikehendaki tuhan.”

Yang dikehendakai tuhan? Aku menggunakan pendekatan berkaitan mati untuk mencapai maksudku itu. “ Begini, mati itu bukankah sangat misteri? Siapa yang dapat memberi gambaran sebenar tentang kematian? Sudah pasti tiada siapa boleh menceritakannya, melainkan dengan bantuan agama. Kita tidak tahu langsung apa yang bakal dihadapi selepas kehidupan ini.”

“ Islam percaya pada perhitungan dan pembalasan, ada pula yang percaya begitu dan begini dsb.”

Beliau mencelah, “ Boleh jadi tiada ada apa-apa atau mungkin ada sesuatu yang lain selain syurga dan neraka.”

Aku kemudiannya mengambil alih peranan bersuara dengan mengatakan bahawa adakah wajar mengatasi kemisteriaan mati dengan hanya membuat andaian sendiri semata-mata?

“ Kawanku, yang aku kira paling selamat ialah membuat perbandingan tentang prospek-prospek yang ada tentang kejadiaan selepas mati, dan dalam memilihnya, sediakanlah insurans yang terbaik, agar kita boleh berdepan dengan misteri tersebut dengan secukup-cukup bekalan.”

“ Sebagai seorang Muslim, aku tidak merasakan mati itu sesuatu yang misteri lagi, yang menjadi tanda tanya adakah sudah cukup segala persiapanku? Sebab itulah aku sangat berusaha untuk jadi lebih baik daripada semalam.”

Beliau tersenyum dengan penjelasanku, dan mula memberi respon tentang persiapannya pula. “ Aku yakin kalau di sana ada tuhan, sudah pasti Dia sangat penyayang dan pemaaf. Dan sudah pasti Dia akan gembira dengan usahaku untuk berbuat baik kepada sesama manusia terutamaya mereka yang lemah.”

Aku kembali bersuara, “ Berbuat baik kepada manusia tidak cukup kawanku. Mengapa aku berkata demikian? Kerana berbuat baik itu adalah human nature, manusia tidak memerlukan kepercayaan atau agama untuk berbuat baik. Kalau diandaikan ada seseorang cuba dirogol ketika ini, aku yakin sepantas kilat aku dan anda akan sama-sama berusaha menyelamatkannya. Nah, bukankah kita yang saling berbeza pegangan ini bertindak serupa?”

“ Cumanya, mencapai perbuatan baik yang tepat dengan definasi baik itu sendiri, manusia perlu mendapat ilham atau panduan. Dengan kata lain, nilai kebaikan itu bukan dinilai semata-mata terhadap tindakan keatas seseorang, tetapi ada reflek dengan syarat-syarat dan kehendak satu lagi penilai, iaitu tuhan.”

“ Menolong orang lain dalam berbuat sesuatu boleh sahaja dilihat seolah-olah orang yang menolong itu berbuat baik kerana orang itu membantu seseorang yang lain. Tetapi apabila ada pihak lain yang menilai perbuatan itu sebagai jahat, jadi di manakah nilai kebaikan hal itu? Akhirnya, berbuat baik kepada manusia itu menjadi terlalu subjektif.”

Aku menunggu respon daripdanya. Lalu beliau bersuara, “ Sudah lama aku menunggu peluang untuk berbicara begini. Dalam hatiku sering terdetik ada sesuatu yang spesifik diajar oleh Islam kepada penganutnya, tatkala aku mengenangkan kisah Saladin.”

Saladin yang beliau maksudkan itu ialah Salahuddin Al Ayyubi, pemerintah Islam yang termasyur di zaman perang salib satu ketika dahulu. Beliau menegaskan bahawa hatinya sangat tersentuh bilamana mengenangkan kelembutan Salahuddin yang tidak mengapa-apakan penganut Kristian di Baitul Maqdis selepas tentera Islam menduduki kota tersebut, tidak seperti apa yang dilakukan oleh tentera Kristian yang membunuh penduduk beragama Islam. Subhanallah.

“ Fakta yang benar tidak boleh disorok lagi.” Tegas aku kepadanya. Aku meneruskan, “ Namun kawanku, aku tidak mahu mengambil kesempatan di atas keterujaan anda terhadap cerita Salahuddin itu untuk dijadikah hujah tentang kebenaran Islam. Aku sangat percaya kepada keadilan tuhan, bahawa sesiapa sahaja yang berhati baik dan adil (terhadap manusia), tidak sesekali tuhan akan menukarkannya (tindakan itu). Aku juga sangat tersentuh dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh Mother Teresa. Malah aku tidak diperlakukan dengan buruk oleh kerajaan negara anda. Tuhan itu sangat adil. Namun ada yang lebih besar diterangkan dalam Islam.”

Aku menambah 2 contoh iaitu keperibadiaan mulia yang rasulullah SAW dalam berhadapan dengan pengemis buta berbangsa Yahudi serta kisah Saidina Umar Al Khattab RA sebelum dan selepas memeluk Islam.

Aku semakin kritikal dalam berhujah. “ Ikutlah segala perintah tuhan dan tinggalkanlah laranganNya. Walaupun akhirnya kita akan tetap melakukan dosa, tetapi attempt kita haruslah melaksanakan perintah tuhan sebaik mungkin, disamping kita meletakkan 100% harapan kita kepadaNya semata-mata.”

“ Kawanku, aku minta maaf sangat-sangat sekiranya ada antara kata-kata aku tadi tidak menyenangkan anda. Tetapi sebagai manusia, mengapa kita tidak mahu memberi peluang kepada diri kita ini satu peluang untuk mengenal kebenaran?”

“ Kebenaran itu hanyalah satu, dan aku berterus-terang kepada anda, aku sedang mempromosikan Islam kepada anda saat ini. Aku tidak ingin menyorok lagi. Harap sudilah mendengarnya, kerana suka atau tidak, itu kemudian. Tetapi berilah peluang pada diri anda mengenal kebenaran. Dan jika anda juga ingin melakukan yang sama, aku sangat mengalu-alukan.”

Dalam sibuk aku berkata-kata, rupanya kami sudah pun sampai di hadapan apartment yang menjadi destinasiku. “ Uh, sedih kerana kita terpaksa berhenti di sini.” ujarku dengan sedikit kekesalan. “ Tidak mengapa, tolong teruskan. Aku takut tiada peluang lagi untuk mendengar.” Tegas beliau, membuatkan aku mengucapkan Alhamdulillah di depannya.

“ Begini kawanku. Tahukah anda mengapa aku memberanikan diri untuk mempelawa anda mengenali Islam? Semuanya kerana cinta dan kasih sayang. Nabi Muhammad SAW itu berjalan menyebarkan Islam, selain atas tugas dan perintah Allah, adalah kerana hati nuraninya begitu kasihkan manusia.”

“ Baginda itu walau dikasari atau diherdik atau pelbagai treatment buruk oleh orang yang memusuhinya, tetap sahaja mendoakan agar manusia berpeluang beroleh kesedaran. Muhammad itu sebaik-baik contoh, dan aku sangat mengasihinya.”

“Tidak sesekali wahai kawanku, dalam percubaan aku menyampaikan Islam ini kepada anda hanya untuk mencapai kepuasan dan kemasyhuran di kalangan saudara Islamku, tetapi kerana tugas, dan sayangku kepada sesama manusia.”

“ Dan bila aku mengatakan aku ingin memperkenalkan Islam kerana dasar kasih dan sayang, aku jujur dengan kata-kataku itu. Itulah sebesar-besar berbuat baik kepada manusia, iaitu menyampaikan sesuatu yang dipercayai benar.”

“ Dan aku 100% menjamin Islam ini sahajalah jalan yang terbaik untuk mendapat keselamatan dunia dan selepas mati.”

“ Tetapi akhirnya, tiada paksaan dalam memeluk Islam, kerana tuhan telah berfirman dalam Al Quran, kitab suci kami yang berbunyi:

Tidak ada paksaan dalam agama: (kerana) sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang salah, dan siapa yang tidak percaya kepada thaghut dan percaya kepada Allah, sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang teguh dan tidak akan putus. Dan Allah itu mendengar dan mengetahui.
Surah AlBaqarah. Ayat 256.


Sesudah aku selesai membaca ayat tersebut beserta maknanya, beliau berwajah agak serius. Dan sejurus kemudian, beliau bersuara. “ Aku mengerti kata-kata anda tadi, dan itu satu penerangan yang sungguh menarik dan mudah. Cuma sudikah anda membantu aku untuk merungkai satu hal yang sering menjadi persoalan dibenakku?”

Aku menawarkan pandanganku, “ Baiklah kawanku. Aku mencuba dengan apa yang aku mampu.”

Beliau terus mengajukan pertanyaan. “ Benarkah Jesus Christ itu anak tuhan?”

Aku sedikit tergamam dan berasa lucu. Bukan apa, beliau mengajukan soalan tersebut kepada seorang Muslim yang terang-terang akan menjawab tidak. Tetapi sudah pasti beliau mahu satu penjelasan yang dapat membantu dirinya membebaskan diri daripada korupsi akidah anjuran agamanya.

“ Aku harap anda tidak berasa terinsult dengan jawapanku.Jawapan aku sudah pastilah tidak. Jesus@Isa itu merupakan seorang nabi, yang sangat mulia. Nama dan kisahnya begitu banyak termuat di dalam Al Quran. Baginda seorang nabi, yang luar biasa kisah hidupnya, serta memiliki beberapa mukjizat. Kami umat Islam sungguh menyanyanginya, kerana Allah juga sangat mengasihi Jesus@Isa.”

“ Tetapi tidaklah sampai mengatakan baginda itu anak tuhan. Kawanku, dari manakah datangnya kepercayaan sedemikian? Aku pernah membaca kitab agama anda, tidak pernah ku jumpai lagi ayat-ayat yang mengatakan Jesus itu anak tuhan. Bukankah begitu?”

Beliau menjawab, “ Ya, benar.” Aku menyambung, “ Bukankah semua itu atas dasar assumption? Kerana cinta dan sayang yang teramat kepada baginda, ditambah pula dengan beberapa mukjizat yang luar biasa termasuk kisah kelahirannya, penganut agama anda telah mengangkat darjatnya ke satu tahap yang melampau. Wajarkah begitu?”

Aku tidak mahu beliau menjawab lagi, sebaliknya aku teruskan hujahku. “ Kami umat Islam tahu belaka akan mukjizat-mukjizat Isa AS seperti menghidupkan orang yang mati, mengembalikan penglihatan si buta dsb. Tapi itu tidak lebih hanyalah keajaiban milik baginda dengan izin tuhan, demi menunjukkan baginda seorang manusia yang berpangkat nabi. Dan semua nabi memiliki mukjizat.”

“ Di dalam Al Quran ada ayat di mana tuhan menerangkan mengapa nabi itu datang daripada kalangan manusia, bukan malaikat atau lain-lain makhluk. Kalaulah manusia itu didatangkan nabi daripada makhluk lain, nescaya akan berlaku kesulitan, kerana asas dan perbuatan pastinya berbeza. Jadi bagaimanakah manusia mahu mengikut utusan tersebut?”

“ Sebab itulah nabi itu manusia, dan perlunya mukjizat itu sebagai membezakan manusia biasa dan manusia berpangkat nabi.”

“ Jadi, mengiktiraf Jesus atau Isa AS sebagai anak tuhan hanya kerana hal-hal demikian amatlah tidak wajar. Ditambah lagi, sudah terbukti yang tiada fakta jelas tentang dakwaan tersebut.”

“ Kalau Jesus itu anak tuhan, siapakah tuhan? Adakah Jesus atau bapanya? Maaf, tetapi unsur ini kelihatannya mengelirukan. Dan yang beratnya, hal ini sangat bersangkut paut dengan akidah seorang penganut Kristian itu sendiri.”

“ Bagaimana kita boleh proceed dengan sesuatu agama kalau di fasa fundemental sahaja kita sudah samar-samar? Aku tidak menolak bahawa tidak semua perkara yang dipersoal itu salah, kerana boleh sahaja penyoal yang belum atau tidak faham, misalnya 1+1=2, tetapi kalau ada orang mempertikai mengapa 1+1 mesti 2, adakah bererti 2 itu jawapan yang salah?”

“ Tetapi dalam hal yang menjadi asas kepada sesuatu kepercayaan, pastinya ia perlu keluar sebagai satu terma yang sangat mudah difahami”

“ Aku tidak menolak ada persoalan-persoalan dalam agama Islam, malah, selain jiwa manusia itu yang ada unsur mempersoal, manusia juga ada fasa daripada tidak tahu kepada tahu. Jadi, persoalan itu normal. Cuma, aku tidak pernah mendengar soalan berbangkit tentang Islam, baik oleh penganutnya mahupun orang luar, berkaitan dengan asas akidah kami atau tauhid. Balik-balik tentang diskriminasi wanita, jihad, kahwin empat dan mengapa Muhammad SAW mengahwini Siti Aisyah RA yang masih budak.”

“ Jika ada peluang, aku bersedia menerangkan tentang hal-hal tadi, tapi kembali kepada point aku. Ya, asas kepercayaan Islam iaitu Lailahaillallah atau tiada tuhan melainkan Allah itu amat jitu, tepat dan mudah.”

“ Bandingkanlah dengan asas tauhid mana-mana agama pun di muka bumi ini, anda pasti akan dapati asas Islam itu paling mudah dan make sense.”

“ Boleh jadi ada antara penganut Kristian suka menggunakan terma bahawa kalau tuhan itu boleh mencipta alam ini, mengawal sistem solar dsb, mengapa tidak tuhan berupaya menjadi manusia?”

“ Inilah point yang lemah dalam usaha mempertahankan kepercayaan bahawa Jesus itu anak tuhan, terlalu bersifat andaian. Walaubagaimanapun, tidak mengapa. Sedangkan dalam Al Quran tuhan ada memberitahu bahawa Dia boleh membuat apa sahaja yang Dia mahu, atau Kun Fayakun, tetapi tuhan juga, di dalam Al Quran, menyatakan atau mendedahkan perkara-perkara besar, tentang sifat-sifatNya agar manusia itu tidak ditinggalkan dalam keadaan yang blur dan penuh andaian.”

Aku berhenti untuk mengambil nafas sambil menyusun kata-kataku serta memilih vocab dan gandingan grammar yang dikira tepat, maklumlah, hendak berhujah dengan bahasa orang. Namun beliau mencelah, “ Aku sangat setuju dengan penerangan itu, kerana sememangnya kita perlu panduan supaya kita tidak keliru dan tercari-cari.”

Aku menjawab, “ Ya, dan kalau masih hendak bukti, kumpulkanlah semua 'jenis' tuhan
atau kepercayaan tentang tuhan oleh semua agama, dan bandingkanlah, tuhan mana yang paling tuhan sekali? Mungkin aku bias, tetapi kenyataannya tiada tuhan melainkan Allah.”

Terus terang, aku sangat berharap, kalau pun beliau belum nampak kecantikan tauhid Islam, tapi biarlah sekurang-kurangnya beliau sedar tentang kesilapan konsep anak tuhan itu.

Dan Alhamdulillah, lelaki itu menyatakan kepadaku, “ Kini aku sudah yakin yang Jesus itu bukan anak tuhan, tetapi baginda merupakan seorang nabi yang sangat mulia, seperti nabi anda juga.”

Aku tersenyum. Syukur. Mungkin itu sahaja yang terungkai, namun akhirnya hidayah itu milik Allah Azzawajjal. Tidak lama kemudian, isterinya menelefon. Beliau sudah terlewat satu jam untuk memenuhi janji dengan keluarganya.

“ Terima kasih kawanku. Kalaulah ramai manusia atas muka bumi ini sudi keluar kepada manusia lain untuk menerangkan tentang agama dengan penuh toleran dan berkasih sayang, sudah pasti ramai manusia berpeluang untuk mengenal kebenaran. Aku sedang berusaha untuk kearah titk kebenaran itu, walaupun ianya tidak semudah yang disangka. Tetapi diskusi malam ini sungguh membantu..” Ujar beliau.

Aku juga mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi membuang rasa syak dan memberanikan diri untuk mendengar kata-kataku. Kami tidak menetapkan apa-apa rancangan untuk bersua lagi di masa depan, kerana beliau kelihatan kelam kabut mahu ke destnasi berikut. Cuma beliau berkata, jika perlu, beliau akan menunggu aku di depan tempat tinggalku.

Aku sangat berdoa agar aku boleh bertemu dengan lelaki itu lagi, dan lebih indah kalau aku dapt berjumpa dengannya dalam keadaan beliau telah Islam.

Merit dan penilaian itu milik Allah. Aku hanya menjalankan usaha ini kerana inilah tanggungjwab yang core bagi umat Islam, sesudah melengkapkan fardhu ain mereka.

Sekiranya ada perkara baik atau manfaat daripada perkongsiaan ini, ambillah dan doakan agar aku berupaya untuk menjalankan da'awah ini lillahitaala dan lebih efisien.

Barakallahufikum.

Sunday, December 21, 2008

Bintang-Bintang

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; (1)

Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; (2)

Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan; (3)

Celakalah kaum yang menggali parit, (4)

(Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran, (5)

(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, (6)

Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. (7)

Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! (8)

Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. (9)

Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). (10)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar. (11)

Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat. (12)

Sesungguhnya Dialah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya dan yang mengembalikannya (hidup semula sesudah mati). (13)

Dan Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih. (14)

Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya, (15)

Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya. (16)

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)? (17)

(Mereka itu ialah kaum) Firaun dan Thamud (kaum Nabi Soleh). (18)

(Kaummu wahai Muhammad, bukan sahaja menolak ajaranmu), bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran; (19)

Sedang Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka (dengan kekuasaanNya)! (20)

(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (21)

(Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz. (22)



In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful

By the Sky (displaying) the Zodiacal Signs; (1)

By the promised Day (of Judgment); (2)

By one that witnesses, and the subject of the witness― (3)

Woe to the makers of the pit (of Fire), (4)

Fire supplied (abundantly) with Fuel: (5)

Behold! they sat over against the (fire), (6)

And they witnessed (all) that they were doing against the Believers. (7)

And they ill-treated them for no other reason than that they believed in Allah, Exalted in Power, worthy of all Praise!― (8)

Him to Whom belongs the dominion of the heavens and the earth! and Allah is Witness to all things. (9)

Those who persecute (or draw into temptation) the Believers, men and women and do not turn in repentance, will have the Penalty of Hell: they will have the Penalty of the Burning Fire. (10)

For those who believe and do righteous deeds, will be Gardens Beneath which Rivers flow: that is the great Salvation (the fulfilment of all desires). (11)

Truly strong is the Grip (and Power) of thy Lord. (12)

It is He Who creates from the very beginning, and He can restore (life). (13)

And He is the Oft-Forgiving Full, of loving-kindness (14)

Lord of the Throne of Glory, (15)

Doer (without let) of all that He intends. (16)

Has the story reached thee, of the Forces― (17)

Of Pharaoh and the Thamud? (18)

And yet the Unbelievers (persist) in rejecting (the Truth)! (19)

But Allah doth encompass them from behind! (20)

Nay this is a Glorious Qur'an, (21)

(Inscribed) in a Tablet Preserved! (22)

Cerita 5 Tahun

Bila bicara perihal manusia,
Darjat diberi berdasarkan rupa,
Nilai ilmu asing belaka,
Apatah lagi iman di dada.


Wajahnya harus mirip boneka,
Ilmunya sekadar adu domba,
Agama pula di pagi raya,
Tapi harta harus berjuta.


Berdirilah boneka memulakan bicara,
Pidato indah itulah modalnya,
Berdegar, gempita guruh semuanya,
Kosong fakta, bodek sahaja.


Menang di paya tinggalnya di kota,
Kawasan dibiar rakyat ternganga,
Sekali sekala datang berdansa,
Bagi kuih penduduk gembira.


Masuk dewan ada elaunnya,
Tambah lagi wang sakunya,
Bila debat politik sahaja,
Sakit rakyat peduli apa.


Kau datang dia pun ke sana,
Mencari undi dan sokongan semula,
Kuih diberi lumayan perisanya,
Pangkahlah dia dan bukan lawannya.


Kalau nasib masih berkuasa,
Diari yang sama penggalnya berbeza,
5 tahun nanti bagaimanakah pula?
Mungkinkah kekal dia dan diarinya?


Cahaya tuhan terang sinarannya,
PetunjukNya pula banyak tak terkira,
Jangan kita buat tak kisah sahaja,
Biar maruah diratah sang pendusta.


Yang bergelar rakyat jelata,
Lupakan warna-warni yang ada,
Pilihlah mereka yang takut padaNya.
Kalau tiada, abaikan sahaja.



Barakallahufikum.

Saturday, December 13, 2008

Malu dan Tak Malu


Assalamualaikum

Malu merupakan satu sifat yang ada dalam jiwa manusia. Malu atau rendah diri atau aib ini agak fleksibel kehadirannya, iaitu bergantung kepada apa yang diproses oleh seseorang individu itu dalam benak yakni mindanya dan juga tapisan sanubari atau hatinya.

Ada orang bila nampak seseorang yang diminatinya, perasaan malu mula menebal. Khuatir terbuat sesuatu yang boleh menimbulkan kesangsian pihak yang diminatinya. Tetapi barangkali kerana terlalu malu itulah yang akhirnya menyebabkan apa yang dipendam terlerai sudah.

Dalam situasi yang sama pula, ada juga orang yang tidak malu menunjukkan keinginan atau rasa hatinya kepada orang yang diminatinya. Sesetengah kita mengkelaskan golongan ini sebagai muka tembok dsb.

Tetapi barang diingat, kadangkala orang yang berani semacam inilah wajar diberi focus, baik positif atau negatif. Mungkin orang itu tidak malu menzahirkan perasaannya kerana orang tersebut yakin dengan kualiti yang ada pada dirinya, baik rupa paras atau apa sahaja.

Kita kenang zaman sekolah dulu. Bila cikgu meminta seorang volunteer atau sukarela membuat sesuatu, mengapa tidak semua menawarkan diri? Ya, mungkin sahaja tidak semua berbakat atau berkemampuan dalam memenuhi permintaan cikgu tersebut, tapi cuba kenang betul-betul, adakah yang menawarkan diri itu sempurna bakatnya atau tepat dengan apa yang cikgu tersebut utarakan? Belum tentu bukan!

Ada orang yang sebenarnya layak untuk sesuatu tetapi tinggi rasa malunya, barangkali orang tersebut tidak gemar menjadi perhatiaan. Ada pula orang yang kurang bakatnya tetapi tidak malu untuk kedepan, barangkali orang itu ada unsur-unsur artistik dalam dirinya.

Mungkin itulah sebabnya mengapa ramai anak Melayu berasak-asak menyertai ujibakat rancangan-rancangan khayal yang bersepah-sepah di ruang maya. Sehinnga ujibakat Akademi Fantasia-sia diisytihar dalam Malaysia Book of Records kerana menerima peserta berani mati yang bagitu ramai. Sungguh artistik keturunan Hang Tuah ini ya.

Apapun, itulah gambaran yang cuba aku ilhamkan berkaitan dengan perasaan malu. Lain orang, lain penilaiannya, tetapi akhirnya manusia itu tetap memiliki nilai malu tersebut.

Agenda penulisanku kali ini baru sahaja hendak bermula.

Zaman ini, kefleksibilitiaan naluri malu itu boleh terlihat dalam amalan dan tingkahlaku seseorang yang bernama Islam.

Kebanyakan Muslim era ini sudah pusing kepalanya. Mereka seperti malu untuk beribadat kepada Allah, tetapi tidak malu pula melanggar perintahNya. Bukan memfitnah, malah hal ini sudah seperti diterima umum. Alah bisa tegal biasa mudahnya.

Ada Muslim yang bila berhubungan dengan bukan Islam dalam aktiviti harian mereka, misalnya menjadi pekerja kepada majikan yang tidak Islam, mereka seakan-akan menjadi Islam yang kaku! Malu barangkali sekiranya diketahui agamanya.

Hai orang-orang yang beriman! Turutlah perintah Allah dan turutlah perintah Rasul; dan janganlah kamu hapus amal baik kamu.
Surah Muhammad. Ayat 033.

Sedangkan perintah Allah ini bukan hal kecil. Dan Allah juga menjanjikan pahala atas kebaikan tersebut.

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.
Surah AlBaqarah. Ayat 110.


Mungkin situasi semasa dunia membuatkan hal ini makin meruncing. Dengan umat Islam ditekan pelbagai sudut oleh golongan kafir, dilabel sebagai pengganas, mundur dsb, umat Islam (bukan semua) dengan tangan dan tindakan mereka merendah lagi martabat yang tercemar itu.

Islam dilihat sebagai penjerut leher panganutnya. Melakukan perintah Allah seakan-akan boleh menutup rezeki untuk menyara kehidupan diatas muka bumi ini. Mensyukuri nikmat Allah semakin pudar, kalau ada pun setakat dibibir sahaja.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur".
Surah AlMulk. Ayat 023.

Bila malu bercampur dengan lalai dan bongkak, akhirnya lahirlah jiwa yang derhaka kepada Allah Azzawajjal. Nauzubillah.

Dan siapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya dan melanggar peraturan-peraturan Allah, nescaya dimasukkanNya ke dalam neraka, tetap di dalamnya dan mereka beroleh seksaan yang memberi kehinaan.
Surah AnNisaa'. Ayat 014.


Akhirnya, yang menjerut leher mereka itu bukannya Islam, tetapi diri sendiri. Bukalah mata dan akal luas-luas, lihatlah ada sahaja manusia yang bersungguh mengerjakan perintah Allah, tidak malu selain kepada Allah, tetapi masih sahaja beroleh rezeki dan keberkatan hidup. Moga-moga kita tergolong dalam kumpulan ini.

Berlumbalah kamu menuju ampunan dari Tuhanmu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya. Itulah kurnia Allah yang dianugerahkanNya kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah itu mempunyai kurnia yang besar.
Surah AlHadid. Ayat 021.

Penyakit malu kepada amalan yang disuruh agama ini boleh juga dilihat dalam konteks penampilan seseorang Muslim atau Muslimah itu.

Ada perempuan zaman sekarang seolah-olah malu hendak mengenakan tudung yang mengikut garis panduan agama. (bukan tudung Siti Nurhaliza). Mengapa? Takut difitnah non Muslim bahawasanya anda menyorokkan bom didalam tudung anda? Atau tidak up to date? Atau anda selesa mengikut pemahaman seorang penulis politik yang mengatakan hukum hijab atau tudung ini hanya kepada isteri rasulullah SAW?

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Surah AnNur. Ayat 031.

Yang disorokkan wanita bertudung itu bukannya bom, tapi maruah dan harta kewanitaanya yang berharga! Yang bertudung tidak harus malu dan berasa kekurangan bila anda keluar kepada masyarakat sebagai mewakili wanita Muslimah.

Pakaian pula seperti orang purbakala. Tidak nampak ketiak, lurah cetek dan dalam, jenama seluar dalam dsb, bererti seseorang itu belum sampai ‘maqam’ atau darjat manusia moden. Malah yang bertudung juga makin ramai yang cenderung begitu. Tidak malukah anda?

Jadi ingin aku ajukan sekali lagi. Malu itu di mana dan untuk siapa? Seolah-olah umat Islam sekarang ini ‘Malu memohon syurga daripadaNya, tetapi tidak malu menawarkan diri menjadi bahan bakar nerakaNya..’

Banyak lagi perkara yang kita boleh selongkar untuk melihat betapa manusia bergelar Islam zaman sekarang sudah tonggang terbalik perasaan malunya. Yang tidak patut malu, dibuatnya malu, dan sebaliknya.

Sampai ada yang berani berkata, “aku malu hendak minta ampun, takut nanti aku buat lagi.” Itu hanya menunjukkan orang tersebut tidak akan berhenti melakukan kesilapan atau dosa itu kerana tanpa taubat, keazaman dalam diri itu tidak akan ada.

Duduklah seketika selepas selesai solat, fikirkanlah tentang hal ini. Janganlah malu kepada kebenaran, seperti hadith ini:

Dari Abu Waqid al Laitsi r.a., "Ketika Nabi sedang duduk dalam masjid bersama-sama dengan para jamaah, datang tiga orang: yang dua orang masuk ke dalam masjid, sedang yang seorang lagi terus saja pergi. Setelah keduanya sampai ke hadapan Rasulullah, yang seorang melihat tempat lowong di tengah-tengah jamaah, maka duduklah ia ke situ. Dan yang seorang lagi terus duduk di belakang mereka. Orang yang ketiga terus saja pergi. Ketika Rasulullah saw. selesai memberikan ceramah, beliau berkata. "Baiklah saya jelaskan kepada Anda tentang orang yang bertiga itu; yang seorang mencari tempat disisi Allah, maka diberi oleh Allah. Yang kedua merasa malu-malu, maka Allah malu pula kepadanya sedang yang ketiga tidak mahu tahu saja, maka Allah tidak mahu tahu pula kepadanya."
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0055.


Hargai perasaan malu kurniaan Allah itu kepada tempat yang tepat. ‘Malu biar bertempat..’

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad saw., sabdanya: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari iman."
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0007.

Penulisanku kali ini banyaknya ditujukan kepada mereka yang melakukan perkara yang dilarang atas alasan malu. Moga-moga kita semua lekas sedar dan marilah berubah.

Tetapi kepada mereka yang melanggar larangan Allah bukan kerana malu, malah sebab bosan atau tidak yakin dengan perintah dan janji Allah, abaikan sahaja perkongsiaan pandangan ini.

Aku cuma berusaha untuk meritku di kemudiaan hari, serta rasa sayangku sesama manusia lagi-lagi saudara seIslamku.

Akhirnya semua orang akan mati, dan akan dihadapkan ke pengadilan hakim yang agung, Allah SWT. Selagi sempat, renung-renungkanlah dan jangan bertangguh lagi.


Barakallahufikum.

Sunday, December 7, 2008

S.P.M

SPM ala dunia,
Bagus hasilnya, jalan terbuka,
Pelbagai institusi awam juga swasta,
Tidak ketinggalan yang di luar negara..
SPM ala dunia,
Buruk hasilnya, mengulanglah kita,
Itupun kalau masih berdaya,
Maklumlah otak berusia remaja..
SPM ala dunia,
Jalan menuju impian mulia,
Nak jadi doktor ataupun jurutera,
Atau mungkin raja kira-kira..

SPM ala dunia,
Sijil Pelajaran Malaysia itulah namanya,
Belajar segala 2 tahun lamanya,
Simpan di minda, keluar di pena..

SPM ala dunia,
Tiadalah penting macam gambarannya,
Mungkin hanya hebat seketika,
Paling lama di sini sahaja..

SPM ala sana,
Pena tak bisa menentang soalan,
Juga tidak berguna segala hafalan,
Yang berbicara hanya saksi tuhan..

SPM ala sana,
Tiada guna anak dan harta,
Semuanya jadi fitnah belaka,
Mahu lari kemanakah kita?

SPM ala sana,
Soalan Padang Masyar itulah namanya,
Susah senang tunggulah sahaja,
Lulus gagal ada habuannya..

SPM ala sana,
Taktala kau muncul di siaran,
Basah tubuhku dipancar sinaran,
Gerun jiwa penuh debaran..
SPM ala sana,
Apalah agaknya nilai keimanan,
Bisa memiliki rahmatMu tuhan,
Lemah hatiku memikirkan balasan..
SPM ala sana,
Adakah kemuliaanmu akan menyambutku?
Dan layakkah aku menerima syafaatmu?
Sekalipun aku sangat menyintaimu?
SPM ala sana,
RahmatMu tuhan aku pohonkan,
Syafaatmu ya rasulullah aku impikan,
Agar ku lepas segala siksaan..


Barakallahufikum.

Wednesday, December 3, 2008

Alah Bisa Tegal Biasa



Assalamualaikum

Berulang-ulang melakukan atau berdepan sesuatu boleh menyebabkan manusia, secara sedar atau tidak, membudayakan atau menjadikan sesuatu hal itu sebagai habit atau tabiat dalam hidup mereka. Ini kerana manusia, walaupun memiliki fleksibiliti yang jauh lebih tinggi daripada hidupan lain, tetap sama sahaja akhirnya, iaitu memiliki keterbatasan mental dan fizikal.

Kecil perlu ada barulah wujudnya besar. Yang keluar daripada perut sang ibu sudah tentu bayi bukannya belia. Itulah hukum dan etika alam ini. Tapi mengapa kita jarang hendak nampak bahawa beberapa tabiat atau kebiasaan kita itu sendiri kadang-kadang adalah aspirasi kepada sesuatu keburukan yang tercetus.

Aku tiada apa-apa kelulusan dalam bidang jiwa-jiwa ini, tetapi cukuplah dengan menggunakan akal yang dikurniakanNya dalam percubaan menyelongkar rahsia diri sendiri sekurang-kurangnya.

Keterbatasan mental dan fizikal di sini bererti manusia itu boleh sahaja meneruskan sesuatu itu sehingga sekian lamanya, sekalipun perkara itu tidak tepat atau buruk, akibat lemahnya mental dan kawalan fizikal manusia itu dalam membezakan antara kebaikan kecil dengan keburukan besar yang dibawa oleh sesuatu benda atau perkara yang serupa.

Akal atau mental sahaja tidak cukup untuk membantu manusia menilai sesuatu itu dengan tepat. Lihat sahajalah amalan atau aktiviti masyarakat dewasa ini, apabila penilaian itu didasarkan kepada akal semata-mata.

Begitu juga dengan fizikal, di mana sesuatu kesan atas perbuatan itu tidak semua terjadi di saat yang sama semasa melakukan perbuatan tersebut.

Penjenamaan semula ‘fitnah’ dengan nama baru sebagai gossip membolehkan perkara ini diterima dalam masyarakat, malah menjadi sesuatu yang dapat dibisneskan. Aku tidak cakap kosong, tetapi inilah kenyataannya.

Sagmen-sagmen dalam rancangan hiburan seperti Terjah, (Melodi), Cit Cat Amboi-amboi Azwan Ali dsb serta ruangan-ruangan tertentu dalam media hiburan seolah-olah menyuburkan perkara ini. Lihatlah betapa keterbiasaan itu akhirnya menjadi satu nilai hiburan yang bisa diterima kebanyakan manusia sekalipun ternyata perkara tersebut (gossip/fitnah/khabar angin) adalah dusta dan salah.

Sementara zina pula dikenali dengan banyak nama-nama yang manis dan dapat menukar persepsi pelaku atau bakal pelaku terhadap perbuatan terkutuk itu. Panggilan seperti asmara, kongkek (Itilah rempit), romen, main dsb (maaf dengan istilah-istilah ini) menyebabkan selain nafsu serakah yang sudah memuncak, sesetengah pelaku bertambah lupa akan keharaman perkara ini.

Dan janganlah kamu dekati perzinaan, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan yang keji dan jalan yang salah.
Surah AlIsraa'. Ayat 032.


Banyak lagi proses penjenamaan semula, yang akhirnya mengimmunekan/melalikan manusia itu dengan sesuatu yang tidak baik dan salah. Ianya lebih parah jika hal itu berkait dengan hukum hakam agama Islam.

Walaubagaimanupun, nama bukanlah pemangkin utama terjadi perkara-perkara ini. Penerimaan sesuatu itu sebagai perkara biasa pada peringkat awallah yang akhirnya berubah menjadi barah dalam kehidupan manusia itu. Dan sekali lagi ingin aku jelaskan, ianya lebih parah jika melibatkan agama Islam itu sendiri.

Lihatlah betapa banyaknya kepercayaan khurafat dalam masyarakat Melayu Islam. Aku yakin sekali bukan orang Melayu Islam sahaja berdepan dengan hal ini, tetapi bangsa Islam yang lain pasti ada kerumitan yang serupa.

Aku rasa tidak perlu untuk aku senaraikan satu persatu akan kepercayaan tersebut kerana ramai orang di luar sana berusaha memeranginya (membetulkan kefahaman Melayu Islam), malah aku kira ramai lagi yang secara peribadi sedar akan kekarutan sesuatu itu, tetapi tahukah anda mengapa ianya masih segar dan wujud dalam minda masyarakat Melayu? Alah bisa tegal biasa.

Sekarang ini pula, masyarakat Islam sudah menganggap biasa malah sangat suka dengan khurafat dari barat, iaitu horoskop! Sehingga dalam akhbar harian juga ada ruangan khas berkaitan khurafat ini. Alah bisa tegal biasa.

Begitu juga dengan ibadah. Sudah begitu banyak tokok tambah yang dilakukan terhadap ibadah asal yang ditunjukkan oleh rasulullah SAW. Aku tidak mahu mengupas panjang hal ini kerana polemik ini sudah lama wujud, malah umat Islam khususnya di tanah air sudah agak lama berhadapan dengan perbalahan ini. Alah bisa tegal biasa.

Sementara membudayakan perlakuan penganut atau bangsa lain juga semakin berleluasa. (Bukan isu yoga kali ini) Hari ini, masyarakat Islam khususnya di Malaysia menyambut Krismas mengalahkan penganut Kristian itu sendiri. Mungkin mereka kira tidak salah meraikannya asalkan tidak melibatkan ritual agama tersebut, tetapi bersungguh-sungguh meraikannya sehingga membenihkan perlakuan maksiat dan pembaziran adalah satu kesilapan besar.

Tidak salah untuk mengucapkan selamat kepada penganut agama lain, malah ianya bagus untuk menjernihkan hubungan, tetapi jangan linient dalam soal hukum agama. Jangan sewenang-wenangnya memberi kredit kepada kebenaran sesuatu yang disambut oleh penganut lain. Nilai Islam itu sangat tinggi, campur aduk dengan fahaman luar adalah kesalahan besar.

Hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu bagimu musuh yang terang.
Surah AlBaqarah. Ayat 208.

Ikutlah budaya yang tidak ada sebesar zarah pun bertentangan dengan Islam. Ingat, Islam itu bukan agama yang kolot, cumanya Islam itu sudah sempurna dan tidak perlu dihadharikan lagi!

Pada hari ini, telah Kusempurnakan untukmu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu dan Aku telah menyukai Islam itu menjadi menjadi agamamu.
Surah AlMaa’idah. Ayat 003.

Bagaimana pula dengan keterbatasan fizikal? Banyak sekali perilaku manusia itu diteruskan akibat fizikal itu terbatas atau proses untuk sesuatu perubahan itu berperingkat-peringkat, menyebabkan manusia lambat sedar atau berubah.

Merokok, minum arak serta amalan-amalan buruk yang tidak sihat adalah buktinya. Bukankah semua ini memudhratkan? Tetapi itulah kebenarannya. Andaikan sejurus selepas merokok jantung perokok terus pedih atau sakit yang teramat, sudah pasti orang itu tidak akan merokok lagi. Tetapi kerana kesan dasyatnya hanya menjelma selepas sekian lama, perokok akan terus menjadi perokok. Alah bisa tegal biasa.

Dan nafkahkanlah (berkorbanlah) di jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan dirimu sendiri dengan tanganmu kepada kebinasaan, dan buatlah kebaikan kepada orang lain, sesungguhnya Allah itu menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.
Surah AlBaqarah. Ayat 195

Keseluruhannya, sikap alah bisa tegal biasa ini adalah sifat azali manusia, cumanya yang menjadi penekanan aku kali ini ialah sikap begitu terhadap hal-hal yang salah, buruk, negatif malah berdosa.

Dunia hari ini, tidak kira dunia Islam mahupun keseluruhannya, berdepan dengan krisis ini, kerana manusia itu memiliki jiwa yang suka bersenang-senang tanpa mengaitkan sesuatu itu dengan mental dan fizikal mereka.

Jadi, apa yang perlu untuk mengatasi attitude ini (mentabiatkan sesuatu yang salah)?

Kembalilah kepada Al Quran dan As Sunnah!

Sesungguhnya penerangan yang terkandung di dalam Al Quran itu bersifat pendedahan atau revelation.

Motivasi untuk melakukan sesuatu itu paling kuat dan utuh adalah jika dilakukan kerana Allah. (menuruti hukum hakam Islam)

Allah, melalui kalamNya, bukan sahaja memerintah atau melarang sesuatu itu, malah Allah yang Maha Bijaksana ini turut mendedahkan kesan atau natijah melakukan sesuatu itu. Allah melarang minum arak kerana arak itu kotor.

Hai orang-orang yang beriman! Minuman keras, main judi, berhala dan mengundi nasib dengan panah itu, sesungguhnya perbuatan kotor, termasuk pekerjaan syaitan, sebab itu hendaklah kamu tinggalkan, supaya kamu menjadi beruntung.
Surah AlMaa’idah. Ayat 090.


Sudahpun terbukti arak itu kotor (menggugat kesihatan), malah perbuatan itu kotor dalam masa yang sama. Mabuk sehingga hilang kawalan diri, bercakap dan beraksi bukan-bukan hingga ke pentas maksiat yang lain, membuatkan peminumnya nampak busuk dan tidak bersih dsb.

Jadi, perlukah kita menunggu sehingga nyata bukti keburukan sesuatu itu, dengan kata lain, perlukah kita jadi kaki botol, penzina, ahli bidaah, penjudi dsb dahulu dalam kita mengenal pasti keburukan atau kesilapan hal-hal tersebut? Jangan cari nahas. Silap haribulan, tidak nampak jalan pulang nanti.

Sebab itulah Allah yang Maha Pengasih ini mendedahkan segala-galanya, agar kita boleh mengatasai keterbatasan minda dan fizikal kita ini dalam menilai atau menghayati sesuatu perkara. Terbukti sudah, penerangan oleh Islam (melalui Al Quran dan perbuatan baginda SAW) dapat mengatasi sikap ‘Alah bisa tegal biasa’ ini. Wallahutaalaa’lam.

Dan sesungguhnya (Quran) itu menjadi pemimpin (penunjuk jalan) dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.
Surah AnNaml. Ayat 077.


Begitulah Kami wahyukan kepada engkau Wahyu (Quran) itu dengan perintah Kami. Engkau dahulunya tiada mengetahui apakah Kitab itu dan apakah kepercayaan itu, tetapi (Quran) Kami jadikan cahaya terang, yang dengan itu Kami pimpin orang-orang yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau memimpin ke jalan yang lurus.
Surah AsySyuraa. Ayat 052.


Maha Berkat Allah yang menurunkan Furqan (Quran) kepada hambaNya, supaya dia memberi peringatan kepada seluruh alam.
Surah AlFurqaan. Ayat 001.

Walaubagaimanapun, golongan yang membantah atau mengabaikan petunjuk yang terkandung di dalam kitab suci ini tetap wujud, malah bersandar kepada amalan yang serong itu lebih diutamakan, Nauzubillah.

Dan sesungguhnya Kami jelaskan untuk manusia dalam Quran ini, beberapa macam perumpamaan, tetapi manusia itu paling banyak bantahannya.
Surah AlKahfi. Ayat 054.

Mari kita sama-sama renung akan keburukan sesuatu perilaku yang masih kita amalkan, agar kita sama-sama dapat menempuh jalan yang lurus, sesuai dengan apa yang kita bacakan atau pohonkan setiap kali kita menunaikan solat.

Pimpinlah kami ke jalan yang lurus.
Surah AlFatihah. Ayat 006.

Tinggalkanlah sikap Alah bisa tegal biasa ini, agar kita tidak terus hanyut dalam kesilapan. Barang diingat, kuantiti bukan pengukur kebenaran. Ramainya manusia suka kepada hiburan melampau, parti-parti buih dan sukaria serta lain-lain tidak menjamin kebenarannya. Tiada demokrasi dalam bab betul salah, tetapi ada demokrasi dalam memilih jalan ke syurga atau neraka! Allah itu Maha Adil.


Kenangkanlah kembali kehidupan rasulullah SAW dan para sahabat mulia, yang begitu istiqamah dalam melayari kehidupan mereka. Sesungguhnya, beristiqamah itu sangat susah dan berat, tetapi menjadi lambang mereka yang ingin mempertahankan iman.

Barakallahufikum.



Saturday, November 29, 2008

Menanam Janji Menternak Kuasa




Tanah airku,
Ada ramai petani dan penternak,
Ada yang seagama denganku, ada yang tidak,
Pelbagai bangsa pelbagai sukunya,
Majmuk laksana pesta budaya,

Macam-macam asal minda dan pasukannya,
Ada yang merah, hijau, biru cair,
Ada yang menghunus,
Ada yang terbit di kaki malam,
Dan ada yang sebelah matanya,

Ada yang kerana cinta bangsanya,
Ada yang kerana perintah agamanya,
Ada yang kononnya untuk semua,
Ada yang bercantum di bawah lambang neraca,
Ada pula yang bercantum mengikut masa..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Agenda rakyat jadi cerita..'

Tahukah apa yang ditanam sebahagian mereka?
Mereka menanam satu benih yang lazat,
Mana ada benih yang manis sebelum ia menjadi buah,
Tetapi benih bernama janji tidak begitu,
Ianya manis dan memikat kalbu..

Belum pun berbunga apa lagi berbuah,
Mereka kembali dengan benih baru,
Benda yang sama, cuma lain rupanya,
Kita pula yang pening kepala dan susah hati,
Gelombang biru dan kuning punya angkara..

Cangkul yang digunakan unik sekali,
Nak tanam benih janji, kata-kata perlu berapi,
Kain pihak satu lagi perlu tahu apa isinya,
Supaya yang dengar jadi asyik,
Betapa indahnya caci dan maki..

Yang mengikut jadi emosi,
Pak turut semuanya gagah berani,
Akibat terlalu banyak makan buah yang ditanam si petani,
Habis tuhan dan nabi dikaitkan sekali,
Asalkan mati musuh diperangi..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Takwilan biar memihak kita..'

Si penternak juga boleh tahan lagaknya,
Almaklumlah sudah setengan abad lamanya,
Jawatan bendahara miliknya belaka,
Tiada dua pertiga tidak mengapa,
Asalkan takhta yang diternak tidak kemana-mana

Menternak kuasa tidak seperti menternak lembu,
Menternak kuasa ada masanya membawa ke awan biru,
Terbang berfoya-foya bagai orang mulia,
Mulia kononnya atas pilihan rakyat semua,
Tanpa kalian tahu apa yang menunggu..

Bila petani mula menternak,
Risau penternak bukan kepalang,
Perlukah penternak bertani semula?
Atau rosakkan sahaja hasil musuhnya?
Ya, barangkali itulah jawapannya.

Provokasi durjana terpampang di layar,
Yang menonton tersentuh jiwanya,
Mulalah sembang itu ini di kedai kopi,
Pihak itu celaka pihak ini mulia,
Pihak itu mulia pihak ini celaka..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Orang gila terus menganiaya..'

Tidak aku mengatakan semuanya,
Ada sahaja yang jujur, ikhlas dalam bekerja,
Tetapi kadangkalan pujangga merantai di jiwa,
Sehingga tidak boleh disentuh perihal sang perwira,
Adakah mereka itu maksum belaka?

Setelah ku kenal betapa diriku ini hamba,
Hamba kepada yang empunya dunia,
Jiwaku betul-betul rasa bebas merdeka,
Merdeka daripada cengkaman jagoan politik dunia,
Yang antaranya berbelit laksana ular berbisa..

Aku sayang para pejuang agama,
Cuma ku doakan lekaslah sedar,
Bukan kerajaan itu yang kita kehendaki sebenarnya,
Tugas da'awah, ramai lagi yang masih alpa,
Maklumlah, politik dan kuasa punya penangan..

Menang kalah belakang cerita,
Kalau sudah layak, tuhan tidak akan menunda,
Yang penting marilah renung-renungkan,
Segala yang bukan-bukan tamatkan sahaja,
Muhasabah diri dan bangkitlah kembali..

'Menanam janji, menternak kuasa,
Risalah Illahi keutamaan hakiki..'


Barakallahufikum.




Beratnya Wang dan Profesionalisme Di Atas Timbangan Manusia


Assalamualaikum

Bila bercakap tentang menggadai maruah untuk menyara hidup@mendapatkan duit, pasti kita terbayang kerja-kerja kotor dan jijik seperti pelacuran dan seumpamanya. Memang teruk sekali mereka-mereka yang bekerjaya sedemikian, walau apa juga alasannya. Pelacuran itu nyata haramnya kerana ia adalah zina.

Dan janganlah kamu dekati perzinaan, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan yang keji dan jalan yang salah.
Surah AlIsraa'. Ayat 032.


Melihat keperluan melakukan yang haram atas dasar kewangan adalah sangat keji dan membinasakan. Sedangkan Allah telah menghalalkan pelbagai jalan untuk mencari rezeki kurniaanNya.

Katakan: Adakah kamu fikirkan tentang rezeki yang telah diturunkan Allah untukmu, lalu kau jadikan sebahagiannya terlarang (haram), dan sebahagiannya boleh (halal)? Katakan: Adakah Allah mengizinkan itu kepadamu, atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah?
Surah Yunus. Ayat 059.


Tetapi kali ini bukan hal pelacuran yang hendak aku bicarakan di sini. Apalah sangat pelacuran itu, kerana manusia, kalau tidak Islam sekalipun boleh sahaja nampak keburukan bidang itu.

Yang menjadi sasaran kali ini ialah betapa umat Islam zaman sekarang melahirkan penilaian yang tidak kurang bezanya dengan penilaian non-muslim dalam sesuatu hal, sedangkan jika beralaskan disiplin syarak, pertimbangan itu amat tidak wajar atau berdosa sama sekali!

Lupakan yang haram kerana nyata haramnya (hal tersebut).

Duit dan kedudukan/posisi seolah-olah menjadi priority atau keutamaan dalam sesuatu pertimbangan. Inilah punca mengapa manusia sewenang-wenangnya mengetepikan hukum Allah Azzawajjal. Maruah sebagai Muslim begitu murah agaknya.

Berapa ramai manusia yang bernama Islam dengan senang hati meninggalkan kewajipan solat hanya untuk mempertahankan jawatan dan sumber kewangannya dalam sesebuah syarikat? Inilah hakikat zaman sekarang!

Solat dipandang sepi. Profesionalisme dijunjung mengalahkan yang fardhu. Takut kepada Allah tidak lagi atau sudah kurang dirasai, sebaliknya takut kepada kefakiran duit@harta dan kedudukan adalah segala-galanya.

…Sesungguhnya solat itu suatu kewajipan yang ditentukan waktunya untuk orang-orang yang beriman.
Surah AnNisaa'. Ayat 103.

Amanah sebagai hamba dipisahkan dengan amanah sebagai pekerja. Kerjaya mengatasi batasan perintahNya. Akhirnya manusia itu tidak lebih hanyalah menganiaya dirinya sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak ingin menganiaya manusia sedikitpun, tetapi manusia itu yang menganiaya dirinya sendiri.
Surah Yunus. Ayat 044.


Ya, mungkin memelihara sesuatu yang difardhukan, tidak semua nampak hasilnya di kala hayat ini, tetapi mempertahankan darjat keprofesionalisme itu ukurannya kedudukan dan harta, itu yang menyebabkan manusia menjadi khayal. Racun terma buatan manusia ini sungguh kuat sehingga menghakis naluri kehambaan seseorang manusia itu. Nauzubillah.

Tidak syak lagi mengapa Allah merahsiakan perihal pahala dan dosa seseorang itu hingga kiamat, kerana yang Allah duga itu adalah kejujuran kita sebagai hambanya. Beruntunglah mereka yang taat dan berpegang kepada janji Allah. Sesungguhnya akhirat itu sebaik-baik tempat pembalasan.

Dan sesungguhnya pahala akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang beriman, dan memelihara dirinya (dari kejahatan).
Surah Yusuf. Ayat 057.


Hayati pula peringatan ini.


Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: "Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: "Benar, demi Tuhan kami!" Allah berfirman lagi: "Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar".

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Surah AlAn'aam. Ayat 030 - 032.


Janganlah kita berhabis-habisan mencari dunia ini, sedangkan akhirat itu adalah yang kekal. Aku bukan pemberi rahmat juga bukan pemberi ampun, itu hak Allah Azzawajjal. Tetapi aku hanya saudara seIslam, sekadar menulis berkongsi peringatan!

Barangsiapa yang ingin keuntungan hari kemudian, akan Kami berikan tambahan keuntungannya itu. Dan barangsiapa yang ingin keuntungan di dunia ini, akan Kami berikan keuntungan itu kepadanya, tetapi dia tiada mempunyai bahagian lagi pada hari kemudian.
Surah AsySyuraa. Ayat 020.

Umpama meletakkan professional dan kuasa duit di sebelah kiri neraca, manakala di kanannya pula diletakkan tanggungjawab sebagai hamba Allah, akhirnya yang berat dalam pertimbangan tersebut adalah yang sebelah kiri. Maka terabailah sesuatu yang diamanahkan oleh Allah. Nauzubillah.

Jadi, apalah bezanya penilaian kita yang kononnya Islam ini dengan penilaian bukan Islam? Sedangkan rasulullah SAW yang tercinta pernah bersabda:

"Yang membezakan di antara orang Islam dan kafir ialah solat".
Hadis Sahih Bukhari


Akhirnya, ada benda tertentu itu wujudnya sahaja sudah haram, seperti kerjaya pelacuran (kecuali mereka yang sesat, mengganggapnya bidang yang hebat dan mencabar, gila!), tetapi ada juga benda yang tidak salah malahan halal, cuma atas kesombongan dan sikap alpa manusia, ia secara tidak langsung menjadi angin yang memesongkan manusia itu daripada jalan Islam.

Islam ini tidak sempit, malah aturan-aturannya, yang datang daripada ilmu Allah SWT adalah yang terbaik untuk sekalian alam dan isinya. Dulukanlah penilaian Allah dalam apa juga perbuatan, semoga kita beroleh kebaikan dunia dan akhirat.

Kalau syurga untuk kita, kita juga yang merasa kemanisan dan keindahannya. Tetapi kalau neraka pula untuk kita, kitalah juga yang akan menanggung dan merasa perit, azab, seksa dan pelbagai lagi kesakitan yang tidak terperi.

Tepuk dada, tanya selera!

Barakallahufikum.




Pesanan Kekasih


Barakallahufikum

Tuesday, November 25, 2008

Ambillah Peluang Ini



Assalamualaikum

Seseorang yang memberi kelebihan atau peluang kepada seseorang yang lain pada hakikatnya melakukan sedemikian kerana orang itu (pemberi peluang) memiliki kepentingan atau interest tersendiri, boleh jadi besar ataupun kecil.

Contoh mudah ialah, apabila sesebuah syarikat menawarkan jawatan kosong kepada masyarakat awam, kita sering menyangka bahawasanya syarikat tersebut membuka peluang kepada orang yang berkelayakan, agar mereka (orang yang ditawarkan) dapat memanfaat peluang tersebut untuk memajukan diri, tanpa kita sedari, si tukang tawar (syarikat) itu sendiri memiliki keperluan untuk mendapatkan atau memanfaatkan kebolehan orang lain bagi menjana sesuatu yang berfaedah bagi mereka, yakni syarikat tersebut.

Dengan kata lain, inilah win-win situation.

Aku menggambarkan apabila berlakunya keadaan ini di antara manusia dengan manusia, wujud kesedaran tentang kepentingan orang lain yang boleh dimanipulate untuk kepentingan sendiri.


Dengan mengambil contoh di atas, pemilik syarikat sedar bahawasanya lulusan sesuatu bidang itu sangat memerlukan kerja, dalam masa yang sama bidang tersebut berkaitan dengan bisnes syarikat itu. Lalu syarikat tersebut memanipulasi keperluan orang/lulusan bidang itu, iaitu keperluan mendapatkan kerja, dengan menawarkan jawatan dalam syarikatnya agar bakat mereka yang layak dapat digunakan.

Tiada manusia yang memberi sesuatu tanpa melibatkan keperluan mereka sendiri dalam hal tersebut. Lagi-lagi zaman sekarang, buat kebajikan atau charity pasti perlu adanya liputan, agar 'kebaikan' yang dilakukan itu dapat meningkatkan lagi positive value si pembuat kebajikan. Ikhlas sungguh manusia zaman ini.

Seikhlas-ikhlas manusia (dengan erti ikhlas yang benar) juga mempunyai kepentingan atas sesuatu perbuatannya. Seorang yang memberi sedekah kepada seorang yang miskin, pasti berharap agar tindakannya itu boleh membenihkan rahmat kepadanya dikemudian hari. Ini adalah sebaik-baik harapan.

Mudahnya, manusia itu, samada berdarjat tinggi (Tun, Tan Sri dsb) atau orang biasa pasti memiliki kepentingan sendiri dalam mereka memberi atau menawarkan kelebihan/peluang kepada pihak lain. Kerana manusia itu tetap manusia.

Tetapi ada satu hubungan, yang dalamnya wujud pemberi tawaran dan juga penerima/orang yang memerlukan tawaran/peluang, tetapi tidak sama isi atau hukumnya dengan hubungan manusia dengan manusia.
Itulah dia Allah sebagai pemberi tawaran dengan manusia yang memerlukan tawaran tersebut.

Sedarlah kita, dalam Allah menyuruh kita melakukan sesuatu yang diinginiNya, atau mudahnya menyuruh kita menyebarkan risalah Islam di atas muka bumi ini, Allah sama sekali tidak memerlukan apa-apa pun daripada kita. Allah itu Maha Pemurah, sebab itu Allah, yang juga Maha Kaya ini memberi kita peluang itu, untuk keselamatan kita di hari kemudian.

Nah, betapa pemurahnya Allah Azzawajjal. Sudahlah Dia tidak memerlukan apa-apa pun, malah memberi gandaan tidak terhingga kepada mereka-meraka yang mengambil tawaran keemasan ini, untuk menjadi hambaNya yang soleh dan solehah. Subhanallah.

Dan katakan: Wahai Tuhanku! Berilah ampun dan kurnia! Engkau paling baik dari antara orang-orang yang memberi kurnia!
Surah AlMu’minun. Ayat 118.


Peluang yang dikurniakan oleh Allah ini amat tidak ternilai. Tidak terkesan sedikit pun Allah yang Maha Esa ini sekiranya ada manusia yang angkuh, tidak mahu menerima tawarannya untuk selamat di sana nanti. Akhirnya, yang terbakar di Jahannam nanti orang itu sendiri. Nauzubillah.

Dan kepunyaan Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada orang-orang yang telah diberi Kitab sebelum kamu, dan juga kepada kamu: supaya kamu patuh kepada Allah. Dan kalau kamu ingkar, sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi, dan Allah itu serba cukup dan terpuji
Surah AnNisaa'. Ayat 131.


Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu serta ingatlah perjanjianNya yang telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: "Kami dengar dan kami taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)" Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
Surah AlMaa’idah. Ayat 007.

Sekali lagi aku mengajak kepada anda dan diriku sendiri, agar ambillah peluang ini, iaitu peluang untuk menjadi hamba yang taat dan menyerahkan jiwa dan raga hanya kepada Allah Taala kerana jika kita tidak mahu mengambilnya, Allah sedikit pun tidak terkurang keagunganNya, malah Allah boleh sahaja membangunkan hati orang lain yang lebih ikhlas dan taat kepadaNya. Dan janganlah hendaknnya kita tergolong dalam kumpulan mereka yang rugi, kerana kesilapan tidak memanfaatkan pemberiaan Allah SWT.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).

[Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
Surah AlKahf. Ayat 103 - 108.


'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia Allah yang beri..'

Jadikanlah rasulullah SAW sebagai panduan dalam kita memanfaatkan peluang dan janji-janji Allah ini. Rasulullah sendiri tidak putus-putus menghidupkan malam baginda dengan beribadah. Semoga kita makin cekal dalam melayari kehidupan sebagai seorang Islam dalam zaman yang penuh onak dan duri fitnah ini.

InshaAllah aku akan menulis lagi.

Barakallahufikum.






Monday, November 24, 2008

Memisahkan Emas Daripada Tanah






Assalamualaikum

Pernahkah kita sedar bagaimanakah sesuatu proses melombong itu dilakukan? Galian seperti emas, timah, bauksit(Teluk Ramunia) dsb pada asalnya bercampur dengan unsur-unsur lain seperti tanah. Kerja melombong itu dilakukan bagi memperolehi sasaran semata-mata, dengan kata lain, galian tersebut. Tanah bukanlah keperluan, malah kehadirannya bersama-sama emas amat tidak diperlukan, kerana nilai emas tersebut itu akan terganggu.

Bayangkanlah kalau anda ke kedai emas untuk membeli produk emas, didapati cincin (emas) itu masih terpalit tanah di mana mula-mula emas itu dilombong, apakah perasaan anda? Tentu sahaja kejadiaan itu menimbulkan keraguan dan menggugat nilai cincin itu.

Dengan kata lain kita perlu menghilangkan tanah itu terlebih dahulu, barulah keanggunan cincin itu akan kembali terserlah. Kerana sememangnya cincin itu adalah daripada emas tulen yang bernilai.

Aku ingin mengajak anda semua berfikir lagi. Bagaimana pula sekiranya benda yang terpalit tanah itu bukan sesuatu yang bernilai, seperti usus tapir barangkali, adakah perlu kita singkirkan tanah daripada benda tersebut, atau adakah dengan menghilangkan tanah, benda itu akan menjadi sesuatu yang bernilai? Aku percaya sudah tentu tidak. (Maaf jika contoh kurang berkesan atau kurang sopan.)

Ada juga benda, pada mulanya ia tidak begitu bernilai, tetapi selepas sesuatu unsur lain disingkirkan, barulah nampak nilainya, seperti kereta buruk yang sudah tiada gunanya, apabila ditarik keluar segala benda-benda yang sudah rosak atau binasa seperti enjin yang tidak berfungsi, tempat duduk yang sudah rabak, cermin yang sudah pecah dsb, dengan kata lain, akhirnya ada juga nilainya, iaitu pada besi-besi yang tinggal, kerana besi-besi itu boleh sahaja dijual kepada pengutip besi. (Maaf jika sekali lagi contohnya kurang berkesan.)

‘Walaubagaimanapun, Allah Azzawajjal tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.’


Aku ini bukan pemberi hukum jauh sekali fatwa. Aku hanya ‘TheTinystone’, yang ingin mengajak kearah pemikiran yang lebih kritikal dan fokus, dengan berpandukan disiplin Islam, yakni Al Quran dan sunnah kekasihku SAW. Dalam penulisan kali ini, aku ingin mengutarakan pandangan dan ideaku berkaitan isu semasa, yang dekat dengan keperluan ummah. Bukan isu wanita Umno, yang boleh tahan asyiknya, sebaliknya tentang isu pengharaman Yoga.

Terus terang di sini, aku tidak tahu secara detail tentang yoga. Yang aku tahu ianya sejenis senaman, yang dipercayai banyak khasiatnya, sehingga pengamalnya lebih obses dengan khasiatnya berbanding khasiat solat yang mengikut nabi SAW. Dan satu lagi yang aku tahu tentang yoga, ianya sering dikaitkan dengan ajaran Hindu. Ada satu lagi, aku pula sering memahami yang yoga ini banyak dilakukan oleh gadis-gadis moden, sebagai amalan hidup sihat.

Apapun, inilah yang aku faham tentang yoga. Maaf jika tersilap.

Yoga diharamkan oleh majlis fatwa kebangsaan. Ya, selepas aku membaca berita tersebut, aku sangat setuju ianya diharamkan (untuk umat Islam sahaja.) berdasarkan alasan majlis tersebut. Mengapa?

Teruskan membaca..

Sudah pastilah aku bersetuju, kerana dalam alasan pengharaman tersebut, ada dinyatakan sebab pengharamannya iaitu terdapat unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam di dalamnya, seperti bacaan mentera, keyakinan boleh bersatu dengan tuhan dan beberapa gerakan yang menyamai amalan agama lain. Jika benar, tidak syak lagi keperluan mengharamkannya! Kemungkinan berlaku syirik dan pemesongan akidah sudah tentulah satu ancaman kepada pengamal yang beragama Islam.

Sesungguhnya Allah itu tidak mengampuni dosa jika Dia dipersekutukan, tetapi diampuniNya selain dari itu bagi siapa yang disukaiNya. Siapa yang mempersekutukan Allah, sesungguhnya dia telah membuat dosa yang besar.
Surah AnNisaa'. Ayat 048.


Kalau sesuatu itu ada elemen yang bertentang dengan syiar Islam, seperti syirik, khurafat serta penciptaan amalan yang baru, maka wajiblah hal tersebut diperangi!

Jangankan yoga, silat batin atau apa-apa lagi yang batin-batin dan mengandungi amalan menyeru sesuatu haruslah ditegah! Sekalipun yang diseru itu Allah, kalau bentuk amalan tersebut adalah bertentangan dengan Islam, tiada nilainya sama sekali. Nauzubillah.

Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang mengamalkan suatu amal (ibadat) yang tidak pernah kami lakukan, maka amalnya itu ditolak."
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1701.


Tetapi, sekiranya yoga itu tidak lebih hanya sekadar senaman yang menguntungkan manusia (kesihatannya), dan bukan bentuk ibadah atau kepercayaan rohani, maka wajarlah ianya diamalkan.

Islam itu bukan agama yang kolot, asal sahaja perkara-perkara tersebut tidak bercanggah dengan kehendak Allah dan rasulNya, maka bolehlah kita amalkan. Rasulullah SAW sendiri banyak kali mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan yang tidak beragama Islam di masa baginda sedang sakit. Ini jelas membuktikan, selagi sesuatu amalan itu tidak songsang dari jalan Islam, tiada sebab untuk menidakkannya. Islam itu sangatlah adil, kerana Islam itu daripada Allah, bukan tangan manusia yang lemah.

Jadi, bagi pencinta yoga yang bersungguh-sungguh mempertahankannya, silalah pisahkan emas anda itu daripada tanah yang terpalit padanya, agar yang keluar nanti hanya emas tersebut. Buangkanlah mentera-mentera yang bukan-bukan itu (jika ada) serta gerakan-gerakan yang menyerupai ibadah agama lain, kerana Islam tidak membenarkan kita meniru perbuatan (ibadah, budaya) agama lain.

Kita harus menjunjung syiar Islam dalam melakukan apa juga perkara. Dengan itu, barulah amalan dan aktiviti kita itu ada nilainya, disisi Allah Azzawajjal dan juga kebaikannya pulang kepada kita juga, inshaAllah.

Yoga, sama juga seperti tai chi, kawad kaki dsb, yang bukan berasal daripada amalan specific dalam Islam, tidak salahlah diikuti sekiranya mengikut piawaian syarak. Tetapi, pengamal yoga ini murah hati untuk menunjukkan bahagian tubuhnya (wanita). Itu sedikit merimaskan. Sebab itulah aku mengatakan perlunya syiar atau ruh Islam itu dijunjung, agar perkara yang dilakukan itu benar-benar ada nilainya, sekali lagi, sesuai dengan kehendak Illahi dan suruhan rasulullah SAW.

Turutlah perintah Allah dan turutlah perintah Rasul! Tetapi kalau kamu membelakang, kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan dengan seterang-terangnya.
Surah AtTaghabun. Ayat 012.


Pencinta yoga, tutuplah aurat anda itu ya!

Kepada majlis fatwa, Alhamdulillah kerana bertindak, tetapi alangkah indahnya jika penjelasan lebih terperinci, ditambah dengan idea atau altenatif lain kepada yoga, samada apa-apa adjustment yang perlu atau cadangan lain agar para pencinta yoga tidak panas hati atau menentang habis-habisan fatwa itu.

Maaf, aku ini orang biasa, tetapi aku mengimpikan satu pekerjaan yang lebih terurus, penuh fakta dan bukti serta berjalan dengan hujah yang serba ilimiah daripada pakar-pakar agama suci ini, agar nilai fatwa itu seperti namanya.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengugut orang-orang yang mempertikai fatwa ini dengan gelaran sekular, tidak Islamik dan lain-lain kerana kita perlu kenal pasti fokus rungutan tersebut. Kalau fatwa itu dikeluarkan dalam keadaan yang sedikit tidak terurus, no wonderlah gang-gang ini akan habis-habisan menentang titik kekurangan tersebut.

Aku tidak menyebelahi mana-mana pihak, kalau ada pun aku hanya ingin memberi pandangan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan kerana mereka ini adalah penjaga nilai-nilai Islam, dan juga aku ingin selami hati para pencinta yoga yang terluka dek fatwa ini. (Kakak-kakak dalam Islam umpamanya.)

Sebelum aku mengakhiri tulisanku yang agak ringkas kali ini, aku ingin mengutarakan sesuatu yang aku dapati (Subhanallah) dan mungkin ramai lagi memperolehinya, kehebatan ibadah Solat! Bukan kerana pahalanya, itu adalah ketentuan Allah SWT, tetapi akan khasiatnya yang sangat indah dan menenagkan (menghilangkan stress, bukan yoga sahaja yang boleh), dengan syarat, patuhilah sabda nabi SAW yang tercinta ini:-
Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat
Hadis Sahih Bukhari


Stress atau tekanan boleh ditangani dengan solat yang betul cara dan tertibnya, seperti yang diajar baginda SAW. Ada masanya, lega hati ini bila bersolat, mengenangkan pelbagai janji Allah Azzawajjal, tuhan yang Maha Pemegang Janji, dalam kalamNya.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -
Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
Surah AlMu’minun. Ayat 001 - 011.

(ayat hafazan SPM)


Wahai semua, kita baikilah solat kita, disamping boleh meningkatkan value solat kita agar
diterima Allah SWT dan mematuhi suruhan nabi SAW, kita inshaAllah boleh perolehi khasiatnya, yang barangkali jika kita bersungguh-sungguh dalam melakukannya, kita tidak perlu lagi berhabis-habis dengan senaman yoga yang kononnya hebat sangat itu!

Maaf sekiranya sedikit melampau (atau mungkin sangat melampau). Aku tidak menentang apa-apa aktiviti (selagi tidak haram), cumanya aku rimas dengan sikap bermati-matian mempertahankan trend ini. Hargailah nilai-nilai yang ada dalam Islam itu sendiri, kerana tidak Allah menyuruh kita kepada sesuatu melainkan untuk kebaikan kita sendiri serta peluang memperoleh rahmatNya nanti kelak.

Kepada sahabat-sahabat atau pembaca yang berpeluang untuk menjalankan kajian tentang khasiat solat, pohon sangat-sangat agar anda memperuntukkan masa anda untuk perkara ini, sebagai sebahagian cabang dakwah (bukan politik semata-mata sebagai cabang dakwah), agar kebenaran Islam itu dapat dizahirkan lagi.

Barakallahufikum.