Tuesday, November 25, 2008

Ambillah Peluang Ini



Assalamualaikum

Seseorang yang memberi kelebihan atau peluang kepada seseorang yang lain pada hakikatnya melakukan sedemikian kerana orang itu (pemberi peluang) memiliki kepentingan atau interest tersendiri, boleh jadi besar ataupun kecil.

Contoh mudah ialah, apabila sesebuah syarikat menawarkan jawatan kosong kepada masyarakat awam, kita sering menyangka bahawasanya syarikat tersebut membuka peluang kepada orang yang berkelayakan, agar mereka (orang yang ditawarkan) dapat memanfaat peluang tersebut untuk memajukan diri, tanpa kita sedari, si tukang tawar (syarikat) itu sendiri memiliki keperluan untuk mendapatkan atau memanfaatkan kebolehan orang lain bagi menjana sesuatu yang berfaedah bagi mereka, yakni syarikat tersebut.

Dengan kata lain, inilah win-win situation.

Aku menggambarkan apabila berlakunya keadaan ini di antara manusia dengan manusia, wujud kesedaran tentang kepentingan orang lain yang boleh dimanipulate untuk kepentingan sendiri.


Dengan mengambil contoh di atas, pemilik syarikat sedar bahawasanya lulusan sesuatu bidang itu sangat memerlukan kerja, dalam masa yang sama bidang tersebut berkaitan dengan bisnes syarikat itu. Lalu syarikat tersebut memanipulasi keperluan orang/lulusan bidang itu, iaitu keperluan mendapatkan kerja, dengan menawarkan jawatan dalam syarikatnya agar bakat mereka yang layak dapat digunakan.

Tiada manusia yang memberi sesuatu tanpa melibatkan keperluan mereka sendiri dalam hal tersebut. Lagi-lagi zaman sekarang, buat kebajikan atau charity pasti perlu adanya liputan, agar 'kebaikan' yang dilakukan itu dapat meningkatkan lagi positive value si pembuat kebajikan. Ikhlas sungguh manusia zaman ini.

Seikhlas-ikhlas manusia (dengan erti ikhlas yang benar) juga mempunyai kepentingan atas sesuatu perbuatannya. Seorang yang memberi sedekah kepada seorang yang miskin, pasti berharap agar tindakannya itu boleh membenihkan rahmat kepadanya dikemudian hari. Ini adalah sebaik-baik harapan.

Mudahnya, manusia itu, samada berdarjat tinggi (Tun, Tan Sri dsb) atau orang biasa pasti memiliki kepentingan sendiri dalam mereka memberi atau menawarkan kelebihan/peluang kepada pihak lain. Kerana manusia itu tetap manusia.

Tetapi ada satu hubungan, yang dalamnya wujud pemberi tawaran dan juga penerima/orang yang memerlukan tawaran/peluang, tetapi tidak sama isi atau hukumnya dengan hubungan manusia dengan manusia.
Itulah dia Allah sebagai pemberi tawaran dengan manusia yang memerlukan tawaran tersebut.

Sedarlah kita, dalam Allah menyuruh kita melakukan sesuatu yang diinginiNya, atau mudahnya menyuruh kita menyebarkan risalah Islam di atas muka bumi ini, Allah sama sekali tidak memerlukan apa-apa pun daripada kita. Allah itu Maha Pemurah, sebab itu Allah, yang juga Maha Kaya ini memberi kita peluang itu, untuk keselamatan kita di hari kemudian.

Nah, betapa pemurahnya Allah Azzawajjal. Sudahlah Dia tidak memerlukan apa-apa pun, malah memberi gandaan tidak terhingga kepada mereka-meraka yang mengambil tawaran keemasan ini, untuk menjadi hambaNya yang soleh dan solehah. Subhanallah.

Dan katakan: Wahai Tuhanku! Berilah ampun dan kurnia! Engkau paling baik dari antara orang-orang yang memberi kurnia!
Surah AlMu’minun. Ayat 118.


Peluang yang dikurniakan oleh Allah ini amat tidak ternilai. Tidak terkesan sedikit pun Allah yang Maha Esa ini sekiranya ada manusia yang angkuh, tidak mahu menerima tawarannya untuk selamat di sana nanti. Akhirnya, yang terbakar di Jahannam nanti orang itu sendiri. Nauzubillah.

Dan kepunyaan Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada orang-orang yang telah diberi Kitab sebelum kamu, dan juga kepada kamu: supaya kamu patuh kepada Allah. Dan kalau kamu ingkar, sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi, dan Allah itu serba cukup dan terpuji
Surah AnNisaa'. Ayat 131.


Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu serta ingatlah perjanjianNya yang telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: "Kami dengar dan kami taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)" Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
Surah AlMaa’idah. Ayat 007.

Sekali lagi aku mengajak kepada anda dan diriku sendiri, agar ambillah peluang ini, iaitu peluang untuk menjadi hamba yang taat dan menyerahkan jiwa dan raga hanya kepada Allah Taala kerana jika kita tidak mahu mengambilnya, Allah sedikit pun tidak terkurang keagunganNya, malah Allah boleh sahaja membangunkan hati orang lain yang lebih ikhlas dan taat kepadaNya. Dan janganlah hendaknnya kita tergolong dalam kumpulan mereka yang rugi, kerana kesilapan tidak memanfaatkan pemberiaan Allah SWT.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).

[Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
Surah AlKahf. Ayat 103 - 108.


'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia Allah yang beri..'

Jadikanlah rasulullah SAW sebagai panduan dalam kita memanfaatkan peluang dan janji-janji Allah ini. Rasulullah sendiri tidak putus-putus menghidupkan malam baginda dengan beribadah. Semoga kita makin cekal dalam melayari kehidupan sebagai seorang Islam dalam zaman yang penuh onak dan duri fitnah ini.

InshaAllah aku akan menulis lagi.

Barakallahufikum.






No comments: