Saturday, November 29, 2008

Beratnya Wang dan Profesionalisme Di Atas Timbangan Manusia


Assalamualaikum

Bila bercakap tentang menggadai maruah untuk menyara hidup@mendapatkan duit, pasti kita terbayang kerja-kerja kotor dan jijik seperti pelacuran dan seumpamanya. Memang teruk sekali mereka-mereka yang bekerjaya sedemikian, walau apa juga alasannya. Pelacuran itu nyata haramnya kerana ia adalah zina.

Dan janganlah kamu dekati perzinaan, sesungguhnya perzinaan itu suatu perbuatan yang keji dan jalan yang salah.
Surah AlIsraa'. Ayat 032.


Melihat keperluan melakukan yang haram atas dasar kewangan adalah sangat keji dan membinasakan. Sedangkan Allah telah menghalalkan pelbagai jalan untuk mencari rezeki kurniaanNya.

Katakan: Adakah kamu fikirkan tentang rezeki yang telah diturunkan Allah untukmu, lalu kau jadikan sebahagiannya terlarang (haram), dan sebahagiannya boleh (halal)? Katakan: Adakah Allah mengizinkan itu kepadamu, atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah?
Surah Yunus. Ayat 059.


Tetapi kali ini bukan hal pelacuran yang hendak aku bicarakan di sini. Apalah sangat pelacuran itu, kerana manusia, kalau tidak Islam sekalipun boleh sahaja nampak keburukan bidang itu.

Yang menjadi sasaran kali ini ialah betapa umat Islam zaman sekarang melahirkan penilaian yang tidak kurang bezanya dengan penilaian non-muslim dalam sesuatu hal, sedangkan jika beralaskan disiplin syarak, pertimbangan itu amat tidak wajar atau berdosa sama sekali!

Lupakan yang haram kerana nyata haramnya (hal tersebut).

Duit dan kedudukan/posisi seolah-olah menjadi priority atau keutamaan dalam sesuatu pertimbangan. Inilah punca mengapa manusia sewenang-wenangnya mengetepikan hukum Allah Azzawajjal. Maruah sebagai Muslim begitu murah agaknya.

Berapa ramai manusia yang bernama Islam dengan senang hati meninggalkan kewajipan solat hanya untuk mempertahankan jawatan dan sumber kewangannya dalam sesebuah syarikat? Inilah hakikat zaman sekarang!

Solat dipandang sepi. Profesionalisme dijunjung mengalahkan yang fardhu. Takut kepada Allah tidak lagi atau sudah kurang dirasai, sebaliknya takut kepada kefakiran duit@harta dan kedudukan adalah segala-galanya.

…Sesungguhnya solat itu suatu kewajipan yang ditentukan waktunya untuk orang-orang yang beriman.
Surah AnNisaa'. Ayat 103.

Amanah sebagai hamba dipisahkan dengan amanah sebagai pekerja. Kerjaya mengatasi batasan perintahNya. Akhirnya manusia itu tidak lebih hanyalah menganiaya dirinya sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak ingin menganiaya manusia sedikitpun, tetapi manusia itu yang menganiaya dirinya sendiri.
Surah Yunus. Ayat 044.


Ya, mungkin memelihara sesuatu yang difardhukan, tidak semua nampak hasilnya di kala hayat ini, tetapi mempertahankan darjat keprofesionalisme itu ukurannya kedudukan dan harta, itu yang menyebabkan manusia menjadi khayal. Racun terma buatan manusia ini sungguh kuat sehingga menghakis naluri kehambaan seseorang manusia itu. Nauzubillah.

Tidak syak lagi mengapa Allah merahsiakan perihal pahala dan dosa seseorang itu hingga kiamat, kerana yang Allah duga itu adalah kejujuran kita sebagai hambanya. Beruntunglah mereka yang taat dan berpegang kepada janji Allah. Sesungguhnya akhirat itu sebaik-baik tempat pembalasan.

Dan sesungguhnya pahala akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang beriman, dan memelihara dirinya (dari kejahatan).
Surah Yusuf. Ayat 057.


Hayati pula peringatan ini.


Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: "Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: "Benar, demi Tuhan kami!" Allah berfirman lagi: "Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar".

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Surah AlAn'aam. Ayat 030 - 032.


Janganlah kita berhabis-habisan mencari dunia ini, sedangkan akhirat itu adalah yang kekal. Aku bukan pemberi rahmat juga bukan pemberi ampun, itu hak Allah Azzawajjal. Tetapi aku hanya saudara seIslam, sekadar menulis berkongsi peringatan!

Barangsiapa yang ingin keuntungan hari kemudian, akan Kami berikan tambahan keuntungannya itu. Dan barangsiapa yang ingin keuntungan di dunia ini, akan Kami berikan keuntungan itu kepadanya, tetapi dia tiada mempunyai bahagian lagi pada hari kemudian.
Surah AsySyuraa. Ayat 020.

Umpama meletakkan professional dan kuasa duit di sebelah kiri neraca, manakala di kanannya pula diletakkan tanggungjawab sebagai hamba Allah, akhirnya yang berat dalam pertimbangan tersebut adalah yang sebelah kiri. Maka terabailah sesuatu yang diamanahkan oleh Allah. Nauzubillah.

Jadi, apalah bezanya penilaian kita yang kononnya Islam ini dengan penilaian bukan Islam? Sedangkan rasulullah SAW yang tercinta pernah bersabda:

"Yang membezakan di antara orang Islam dan kafir ialah solat".
Hadis Sahih Bukhari


Akhirnya, ada benda tertentu itu wujudnya sahaja sudah haram, seperti kerjaya pelacuran (kecuali mereka yang sesat, mengganggapnya bidang yang hebat dan mencabar, gila!), tetapi ada juga benda yang tidak salah malahan halal, cuma atas kesombongan dan sikap alpa manusia, ia secara tidak langsung menjadi angin yang memesongkan manusia itu daripada jalan Islam.

Islam ini tidak sempit, malah aturan-aturannya, yang datang daripada ilmu Allah SWT adalah yang terbaik untuk sekalian alam dan isinya. Dulukanlah penilaian Allah dalam apa juga perbuatan, semoga kita beroleh kebaikan dunia dan akhirat.

Kalau syurga untuk kita, kita juga yang merasa kemanisan dan keindahannya. Tetapi kalau neraka pula untuk kita, kitalah juga yang akan menanggung dan merasa perit, azab, seksa dan pelbagai lagi kesakitan yang tidak terperi.

Tepuk dada, tanya selera!

Barakallahufikum.




No comments: