Friday, November 7, 2008

Kemenangan dan Kebenaran

Assalamualaikum

Pandanglah perjuangan itu sebagai tanggungjawab, bukan pertandingan atau kemegahan.

Aku sangat kritikal bila membicarakan tentang kemenangan Islam. Ya, siapa tidak mahu terlibat dengan kebangkitan dan kemenangan Islam? Semua mukmin yang ada secebis rasa ambil berat terhadap agama Allah ini pasti mahu menjadi salah seorang yang terlibat dalam memenangkan agama ini.

Tapi apakah kriteria kemenangan dalam Islam? Bertakhta? Memegang kerajaan? Melucut, membunuh atau mengaibkan musuh atau lawan? Menerima sorakan paling kuat? Memiliki replika atau gambar terbesar? Mendapat pencalonan atau sms paling banyak? Semua contoh ini betul sama sekali, tapi salah langsung kalau kita lihat atau kaitkan kepada Islam. Kemenangan ukuran manusia itu belum tentu kemenangan mutlak.

Kemenagan mutlak ialah kebenaran, yang pakejnya bukan dengan nilai kerusi di dalam dewan parlimen atau jumlah negeri yang dikuasai dsb. Kadangkala, kemenangan mutlak ini secara zahirnya nampak seperti kekalahan. Orang yang terbunuh di medan jihad dilihat seperti orang yang tewas, lantaran matinya orang tersebut di hujung pedang musuh. Tetapi itulah kemenangan mutlak dalam penilaian Allah.

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1835.

Dari Anas bin Malik r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Tidak satu pun orang yang telah mati, pada hal dia telah memperoleh pahala yang menggembirakan di sisi Allah, yang ingin kembali ke dunia sekalipun dunia dan seluruh isinya diberikan kepadanya, kecuali orang yang mati syahid. Orang mati syahid itu ingin kembali ke dunia, kerana dia ingin sekali lagi sebagai syuhada kerana dia telah melihat bagaimana mulianya mati syahid."

Begitulah mulianya ‘kekalahan’ tersebut.

Aku bukan alim ulama, tiada nilai kalau diletakkan dengan tokoh-tokoh ternama. Tetapi kesedaran ini ingin aku kongsi, sekurang-kurangnya manfaat yang mungkin sebesar zarah itu boleh terpalit kepada mereka yang terbuka.

Pejuang-pejuang Islam terutamanya yang menceburkan diri dalam politik harus kembali mengenang erti kemenangan menurut Islam

Persoalkanlah motif anda. Adakah segala tindakan selama ini untuk kemenangan, atau kebenaran? Ya, mungkin ada yang akan menjawab sinis, “ Motif perjuangan kami ialah kemenangan Islam”

Kemenangan semata-mata tanpa tertegak kebenaran itu tiada nilainya. Ubahlah pendirian dan sasaran kita semua, bahawasanya yang kita lakukan dan laungkan adalah untuk kebenaran, bukan kemenangan. Sudah begitu ramai orang dan pihak yang sanggup menyembunyikan kebenaran di sebalik istilah kompromi dan timbang rasa hanya untuk mempertahankan nilai kemenangan tersebut.

Berhujahlah untuk kebenaran, ajaklah kepada kebaikan.

Adakanlah di antara kamu umat yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang membuat yang salah. Mereka itulah orang yang beruntung (menang).

Surah Ali'Imran. Ayat 104.

Kita bukan di dalam pertandingan. Pertandingan itu motifnya hanyalah kalau tak menang, kita kalah. Jadi untuk mencapai kemenangan tersebut, maka sudah pastilah terbuka pelbagai pintu untuk merealisasikannya, samada pintu yang baik mahupun yang buruk. Akhirnya wujudlah fitnah memfitnah, kekerasan, keganasan, pengundi hantu, eksploitasi ayat quran dsb.

Sedangkan di dalam Islam, kita diwajibkan memenangkan kebenaran! Kebenaran mengikut acuan Al Quran dan Sunnah.

Apabila sampai masanya, Allah akan tentukan kemenangan Islam. Tapi ilmu Islam itu bukan ilmu tiba-tiba atau kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Setiap akibat/kesan/pencapaian pasti ada sebab atau faktor yang mendorong berlakunya hal itu. Kemenangan dakwah rasulullah SAW dahulu adalah akibat tertegaknya kebenaran dakwah baginda SAW itu sendiri. Dan itulah kemenangan yang tinggi nilainya.

Biarlah kita lambat atau tidak menang langsung di dunia ini, asalkan kebenaran Islam bepandukan Quran dan Sunnah tetap kita tegakkan dan pertahankan. Aku hendak menang dalam penilaian Allah, bukan undi manusia atau rakyat.

Sesungguhnya, pada hari ini Aku memberikan balasan kebaikan mereka, disebabkan kesabarannya. Sesungguhnya mereka itu orang-orang yang menang.

Surah AlMu’minun. Ayat 111.

Menangkanlah dakwah Islam itu keseluruhannya, bukan apa yang dikira sesuai dengan keinginan kita semata-mata. Dan menangkanlah jiwa kita dahulu dengan syariat Allah sebelum kita keluar ke medan perjuangan yang mencabar ini.

Barakallahufikum.



No comments: