Sunday, November 9, 2008

Hero

Assalamualaikum

Obama harapan baru dunia? Sebab beliau bukan ‘kebiasaan’ Amerika. Kulitnya tidak cerah, karekternya nampak lebih berwibawa dan lain-lain. Dan manusia mula menaruh harapan terhadap beliau untuk menjadi hero baru dunia, selepas hero lama tidak lebih hanya sebagai seorang yang berjiwa kejam dan berhati ‘bushuk’.

Orang-orang awam mula menaruh harapan agar beliau dan pasukannya berupaya memulihkan masalah ekonomi. Kaum-kaum yang tidak berkulit putih mula mengharapkan agar beliau dapat mengurangkan superior mat saleh atas pentas dunia, tidak kurang juga musuh-musuh besar Amerika mengharapkan agar beliau ini menjadi salah satu punca kejatuhan Amerika, yang mula terlihat dalam sistem kapitalis ekonomi mereka, agar jawatan polis dunia dapat mereka warisi. Tetapi dalam banyak-banyak kelompok yang mengharap ini, terselit umat Islam, satu umat yang dipimpin oleh petunjuk Allah dan rasulNya, yang mengharap sesuatu yang aku kira sangat menyedihkan, iaitu agar Mr President ini dapat merawat hubungan Islam dan barat serta menzahirkan perkembangan yang lebih menyeronokkan di timur tengah.

Tidak salah mengharap, kerana itulah initipati jiwa manusia yang dikurniaakan Allah Azzawajal. Tetapi wahai umat Islam sekalian, sudah berapa puluh tahun kita mendambakan kesejahteraan Islam melalui tangan orang lain? Adakah tangan orang yang tidak percaya Islam itu ingin memenangkan agama ini? Sudah tentu tidak, malah sama sekali mereka-mereka ini ingin terus mengganyang kita, sama ada dengan darah kita, atau dengan nafsu kita. Bunuh dan lalaikan lagi umat ini! Tetapi,bukan semua mereka bersifat begini, malah dalam Al Quran sendiri Allah merakamkan firmanNya yang bermaksud Nasrani/Kristian itu paling hampir dengan kita umat Islam.

Tetapi dalam Al Quran jugalah Allah sering mengingatkan kita agar berhati-hati dengan sebahagian daripada mereka-mereka ini kerana mereka ingin memesongkan kebenaran daripada kita semua, nauzubillah!

Orang Yahudi tidak akan senang kepada engkau, begitupun orang Kristian, hanyalah jika engkau mengikut agama mereka. Katakan: Sesungguhnya pimpinan Allah itulah pimpinan yang benar, dan kalau engkau turut kemahuan mereka, sesudah pengetahuan datang kepadamu, tentulah Allah tidak lagi menjadi Pelindung dan Penolong bagimu.

Surah AlBaqarah. Ayat 120.


Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu ambil orang-orang Yahudi dan Kristian menjadi pemimpin, sebahagian mereka menjadi pemimpin bagi yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang melanggar aturan.

Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: "Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya
Surah AlMaa’idah. Ayat 051 - 052.

Mungkin aku ini agak skeptical terhadap mereka, tetapi mengapa perlu aku mengetepikan peringatan Allah tersebut? Dan mengapa anda juga perlu berbuat demikian? Tidakkah Allah sudah berjanji bahawa tiada perubahan terhadap ketentuanNya?

Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu.
Surah AlAhzab. Ayat 062.

Aku tidak mengajak atau menyeru kita membenci mereka, demi Allah tidak! Itu bukan cara rasulullah SAW dalam berhubungan dengan mereka Nabi kita yang tercinta ini begitu lembut dan mulus dalam berhubungan dengan bukan Islam, kecuali bila berhadapan dengan mereka yang melampau dan di medan perang. Kenanglah kembali kisah rasulullah SAW dengan pengemis Yahudi yang buta, kesudian baginda SAW menerima jemputan wanita Yahudi sehingga baginda diracun, kisah rasulullah dengan dengan pembesar Kristian serta sokongan terhadap kerajaan Rom yang beragama Kristian semasa mereka berperang dengan Parsi. Banyak lagi tauladan daripada kekasihku ini. Ya Allah, rindunya aku pada pesuruh dan kekasihMu, Muhammad SAW.

Umat Islam perlukan perubahan! Islamkanlah hati kita ini 100%. Jangan berangan membawa panji atau gagasan Islam kalau kita tidak mengikut lunas dan contoh yang disediakan. Sedarlah semua, Islam itu milik Allah. Bagaimana anda mendakwa anda ini pejuang syariat Allah tetapi dalam masa yang sama anda tidak mengikut aturan ‘tuan punya’ syariat. Umpama anda mewakili persatuan silat dan masuk satu pertandingan silat, tetapi anda mendendangkan lagu inang. Tidak layak sama sekai. Unqualified!

Aku tidak sempurna, samalah kita semua. Jangan marah jika ada yang rasa aku hanya berkata-kata atau berani menulis.

Menangkanlah Islam dengan tangan dan upaya kita sendiri (ilmu, sahsiah dsb). Dan selagi mana jalan atau kaedah yang kita pilih ada kecacatan, sekalipun jiwa kita ini membara untuk menegakkan syiar, jangan haraplah Allah sebagai pemilik syiar yang suci dan benar ini akan mengizinkan kita untuk berjaya, kerana ini bukan soal kecil, ini soal perjuangan Islam. Kejayaan Islam hanya layak dicapai dan diterokai oleh orang yang betul-betul beriman dan mengikut syariat ini, bukan ambil ini tolak itu, tolak ini ambil itu!

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Surah AlBaqarah. Ayat 208.

Kepada penceramah, pakar motivasi, politikus, penyanyi nasyid, pemimpin dsb yang mengaku atau mendakwa anda memperjuangkan Islam, sedarlah, bidang-bidang anda itu (politik, seni, ceramah dsb) tidak lebih hanyalah medium atau perkakas kepada dakwah ini, bukan dakwah yang menjadi alatnya. Apalah gunanya mementingkan medium berbanding risalah? Ungkapan-ungkapan orang seperti “kita memerlukan kuasa baru mudah untuk berdakwah” adalah ungkapan berbaur politik semata-mata, tetapi bukan madah seorang pendakwah sejati!

Jangan sesekali membisneskan Islam (menjadikan ia sebagai modal). Allah itu Maha Mengetahui segala yang tersembunyi. Ikhlaslah kita semua, lagi-lagi yang memayungi perjuangan mereka dengan nama Islam. Tukarkanlah fitnah dan cacian itu kepada hujah dan tauladan.

Lambat laun Islam akan menang juga, seperti dijanjikan Allah dan juga yang telah digambarkan oleh rasulullah SAW. Kebenaran tetap mengatasi kebathilan. Dan ada tangan-tangan pejuang yang ikhlas dalam menegakkan syiar ini serta meluaskan risalah ini keseluruh dunia, iaitu mereka yang mengikut Al Quran dan As Sunnah dengan sebetulnya, bukan dengan lisan ataupun manifestonya semata-mata. Biarlah kita menjadi salah seorang yang daripada pejuang ini, amin.

Betulkan diri kita, saling tegur menegur, sayang menyayang dan maaf memaafkan antara satu sama lain. Sesungguhnya kita sahajalah yang boleh menjadi hero kepada diri kita sendiri, melalui petunjuk Allah dan contoh nabi SAW, selama mana kita ikhlas dalam menimbanya. Kita ini orang Islam, kita tidak perlukan satu wizurai atau wakil untuk mengorbankan dirinya semata-mata untuk membersihkan diri kita. Bak kata orang, ‘sendiri buat sendiri tanggung’.

Wallahualam.

InshaAllah aku akan menulis lagi.

Barakallahufikum.




No comments: