Friday, April 30, 2010

Menangkan Apa?


Apa yang mahu tuan menangkan?
Menang atas kegagalan musuh?
Menang atas kejatuhan mereka?
Atau menang atas kemusnahan mereka?

Ada orang kata,
"Kita menangkan rakyat"
"Kita menangkan keadilan"
"Kita menangkan kebebasan"


Ada juga yang laungkan,
"Kita menangkan agama"
"Kita menangkan bangsa"
"Kita menangkan semua"


Mengapa tuan berdiri di sini?
"Kerana aku mahu menangkan kalian"
Apa yang rakyat mahu?
"Kebebasan, keadilan"
Bebas daripada apa?
Keadilan tentang apa?
"Bebas daripada musuhku, keadilan atas andaianku"

Apa yang sebenarnya tuan mahu menangkan?
Menangkan agenda tuan?
Atau menangkan agenda kami?
Atau menangkan agenda siapa sebenarnya?

"Agendaku adalah kalian"
"Launganku, darahku dan jiwaku demi membebaskan kalian"


Apa caranya untuk tuan ke situ?
"Biar aku jadi ketua kalian"
Mengapa tuan kata begitu?
"Kerana agendaku adalah kalian"
Apa pula agenda kami?
"Menangkan aku!"

Apa cara lain untuk tuan ke situ?
"Jangan jadikan mereka ketua kalian"
Mengapa tuan kata begitu?
"Kerana agenda mereka bukan kalian"
Jadi apa pula agenda kami?
"Gagalkan mereka"

Adakah kami tuhan tuan?
Adakah tuan tuhan tuan?
Atau adakah tuan tuhan kami?

"Bukan, bukan dan bukan..."

Lalu.., mengapa agenda tuan yang mahu dimenangkan?
Lalu.., mengapa agenda kami yang mahu dimenangkan?

Adakah kami nabi tuan?
Adakah tuan nabi tuan?
Atau adakan tuan nabi kami?

"Tidak, tidak dan tidak.."

Jadi.., mengapa agenda tuan yang perlu dimenangkan?
Jadi.., mengapa agenda kami yang mahu dimenangkan?

"Jangan tanya lagi.."
"Jangan tanya lagi....."


Kami bertanya sebelum nanti ditanya..,
"Menangkan apa?"


Thursday, April 22, 2010

Mana Boleh Semua Betul, Mana Boleh Semua Sama

Pada suatu petang yang normal, seorang ayah duduk di laman rumah sambil memerhatikan 3 ekor kucing peliharaanya bermain riang, menghargai peluang dilepaskan daripada kongkongan sangkar penginapan mereka. Gembira sungguh kucing-kucing itu, sampaikan seekor daripada mereka, berbulu perang dan bertubuh tegap terjelir lidahnya tanda sudah penat berlumba lari dengan yang lain.

Si ayah tersengih sendiri melihat aksi tersebut. Lalu datang anak kecilnya, yang berusia awal tadika menyapa ayahnya, " Ayah, Safiyyah ada benda nak tanya ayah. Safiyyah dah tanya ibu, tapi jawapan ibu tak bestla.." bicara anak kecil itu pada ayahnya.

"Mengapa sayang? Pasal cerita orang balas-balas baling botol lagi ke? Ke pasal mengapa orang lawan jadi imam dekat tv tu?" tanya si ayah kepada anaknya yang memang rajin bertanya..

"Bukan,bukan.. Safiyyah nak tanya pasal aunty yang duduk depan tu. Yang rumah dia ada anjing besar tu. Yang dekat rumah dia ada satu lagi rumah warna merah tu." Jawab si anak kepada ayahnya dengan besungguh-sungguh. Melihatkan puteri comelnya bersemangat, si ayah terus membuka ruang pertanyaan.

Tanya anaknya. "Ayah tau tak, hari tu rumah aunty tu ada ramai orang datang. Ibu cakap dekat Safiyyah ayah aunty tu meninggal sebab sakit. Lepas tu ramailah orang datang nak doa."

"Oh, waktu yang kita tak jadi keluar makan sebab dekat depan rumah ramai sangat orang tu ye? Aah, masa tu ramai orang datang nk doakan ayah aunty tu." balas si ayah.

"Mengapa doa diorang tak sama ayah? Safiyyah tanya dekat ibu, mengapa diorang doa tak sama macam kita? Safiyyah tak dengar diorang sebut Allah pun. Lepas tu ibu cakap, diorang tak sama dengan kita. Tuhan diorang lain." Anak kecil itu bersungguh-sungguh menyampaikan persoalannya.

Si ayah cuba menenangkan si anak. "Diorang tu tak sama dengan kita sayang.." Belum sempat si ayah menyambung kata-kata, anaknya yang memang rajin bercakap semenjak dikurniakan nikmat bercakap itu meneruskan ceritanya..

"Ibu pun cakap macam tu. Safiyyah tanya ibu, mengapa tuhan diorang lain bu? Ayah bagitau Safiyyah, yang cipta orang ni tuhan, tuhan orang tu Allah. Kalau tuhan diorang lain, mengapa Safiyyah dengan aunty tu sama je. Ada 2 tangan dan 2 kaki. Ada mata, hidung, mulut, telinga."

"Lepas tu ibu cakap apa dekat Safiyyah?" Tanya si ayah.

"Ibu tak cakap lagi, sebab Safiyyah je yang asyik tanya ibu. Safiyyah tanya, ada banyak tuhan ke bu? Kalau banyak tuhan, tuhan aunty tu dengan Allah kawan ke? Macam mana tuhan aunty tu buat aunty tu sama macam Allah buat ibu dengan Safiyyah? Siapa buat dulu bu?" cerita anaknya dengan kelancaran mengalahkan khatib yang membaca teks khutbah solat Jumaat.

"Ibu bagitau apa dekat Safiyyah?" tanya si ayah pula.

"Ibu senyum je ayah. Ibu ulang-ulang cakap "anak ibu ni kecik lagi, nanti dah besar anak ibu ni mesti faham tau.." Tapi Safiyyah cakap dekat ibu, takkan semua tuhan tu betul bu? Takkan semua tuhan tu sama bu? Kalau semua tuhan tu ada, siapa yang ikut siapa? Tapikan ayah, ibu senyum je. Safiyyah tanya banyak-banyak pun ibu senyum jugak. Lepas tu ibu cakap, nanti pergi tanya ayah. Betul ke tuhan diorang lain ayah?" si anak mengakhiri pertanyaannya dengan penuh harapan.

Si ayah hanya tersenyum.