Monday, November 24, 2008

Memisahkan Emas Daripada Tanah






Assalamualaikum

Pernahkah kita sedar bagaimanakah sesuatu proses melombong itu dilakukan? Galian seperti emas, timah, bauksit(Teluk Ramunia) dsb pada asalnya bercampur dengan unsur-unsur lain seperti tanah. Kerja melombong itu dilakukan bagi memperolehi sasaran semata-mata, dengan kata lain, galian tersebut. Tanah bukanlah keperluan, malah kehadirannya bersama-sama emas amat tidak diperlukan, kerana nilai emas tersebut itu akan terganggu.

Bayangkanlah kalau anda ke kedai emas untuk membeli produk emas, didapati cincin (emas) itu masih terpalit tanah di mana mula-mula emas itu dilombong, apakah perasaan anda? Tentu sahaja kejadiaan itu menimbulkan keraguan dan menggugat nilai cincin itu.

Dengan kata lain kita perlu menghilangkan tanah itu terlebih dahulu, barulah keanggunan cincin itu akan kembali terserlah. Kerana sememangnya cincin itu adalah daripada emas tulen yang bernilai.

Aku ingin mengajak anda semua berfikir lagi. Bagaimana pula sekiranya benda yang terpalit tanah itu bukan sesuatu yang bernilai, seperti usus tapir barangkali, adakah perlu kita singkirkan tanah daripada benda tersebut, atau adakah dengan menghilangkan tanah, benda itu akan menjadi sesuatu yang bernilai? Aku percaya sudah tentu tidak. (Maaf jika contoh kurang berkesan atau kurang sopan.)

Ada juga benda, pada mulanya ia tidak begitu bernilai, tetapi selepas sesuatu unsur lain disingkirkan, barulah nampak nilainya, seperti kereta buruk yang sudah tiada gunanya, apabila ditarik keluar segala benda-benda yang sudah rosak atau binasa seperti enjin yang tidak berfungsi, tempat duduk yang sudah rabak, cermin yang sudah pecah dsb, dengan kata lain, akhirnya ada juga nilainya, iaitu pada besi-besi yang tinggal, kerana besi-besi itu boleh sahaja dijual kepada pengutip besi. (Maaf jika sekali lagi contohnya kurang berkesan.)

‘Walaubagaimanapun, Allah Azzawajjal tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.’


Aku ini bukan pemberi hukum jauh sekali fatwa. Aku hanya ‘TheTinystone’, yang ingin mengajak kearah pemikiran yang lebih kritikal dan fokus, dengan berpandukan disiplin Islam, yakni Al Quran dan sunnah kekasihku SAW. Dalam penulisan kali ini, aku ingin mengutarakan pandangan dan ideaku berkaitan isu semasa, yang dekat dengan keperluan ummah. Bukan isu wanita Umno, yang boleh tahan asyiknya, sebaliknya tentang isu pengharaman Yoga.

Terus terang di sini, aku tidak tahu secara detail tentang yoga. Yang aku tahu ianya sejenis senaman, yang dipercayai banyak khasiatnya, sehingga pengamalnya lebih obses dengan khasiatnya berbanding khasiat solat yang mengikut nabi SAW. Dan satu lagi yang aku tahu tentang yoga, ianya sering dikaitkan dengan ajaran Hindu. Ada satu lagi, aku pula sering memahami yang yoga ini banyak dilakukan oleh gadis-gadis moden, sebagai amalan hidup sihat.

Apapun, inilah yang aku faham tentang yoga. Maaf jika tersilap.

Yoga diharamkan oleh majlis fatwa kebangsaan. Ya, selepas aku membaca berita tersebut, aku sangat setuju ianya diharamkan (untuk umat Islam sahaja.) berdasarkan alasan majlis tersebut. Mengapa?

Teruskan membaca..

Sudah pastilah aku bersetuju, kerana dalam alasan pengharaman tersebut, ada dinyatakan sebab pengharamannya iaitu terdapat unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam di dalamnya, seperti bacaan mentera, keyakinan boleh bersatu dengan tuhan dan beberapa gerakan yang menyamai amalan agama lain. Jika benar, tidak syak lagi keperluan mengharamkannya! Kemungkinan berlaku syirik dan pemesongan akidah sudah tentulah satu ancaman kepada pengamal yang beragama Islam.

Sesungguhnya Allah itu tidak mengampuni dosa jika Dia dipersekutukan, tetapi diampuniNya selain dari itu bagi siapa yang disukaiNya. Siapa yang mempersekutukan Allah, sesungguhnya dia telah membuat dosa yang besar.
Surah AnNisaa'. Ayat 048.


Kalau sesuatu itu ada elemen yang bertentang dengan syiar Islam, seperti syirik, khurafat serta penciptaan amalan yang baru, maka wajiblah hal tersebut diperangi!

Jangankan yoga, silat batin atau apa-apa lagi yang batin-batin dan mengandungi amalan menyeru sesuatu haruslah ditegah! Sekalipun yang diseru itu Allah, kalau bentuk amalan tersebut adalah bertentangan dengan Islam, tiada nilainya sama sekali. Nauzubillah.

Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang mengamalkan suatu amal (ibadat) yang tidak pernah kami lakukan, maka amalnya itu ditolak."
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1701.


Tetapi, sekiranya yoga itu tidak lebih hanya sekadar senaman yang menguntungkan manusia (kesihatannya), dan bukan bentuk ibadah atau kepercayaan rohani, maka wajarlah ianya diamalkan.

Islam itu bukan agama yang kolot, asal sahaja perkara-perkara tersebut tidak bercanggah dengan kehendak Allah dan rasulNya, maka bolehlah kita amalkan. Rasulullah SAW sendiri banyak kali mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan yang tidak beragama Islam di masa baginda sedang sakit. Ini jelas membuktikan, selagi sesuatu amalan itu tidak songsang dari jalan Islam, tiada sebab untuk menidakkannya. Islam itu sangatlah adil, kerana Islam itu daripada Allah, bukan tangan manusia yang lemah.

Jadi, bagi pencinta yoga yang bersungguh-sungguh mempertahankannya, silalah pisahkan emas anda itu daripada tanah yang terpalit padanya, agar yang keluar nanti hanya emas tersebut. Buangkanlah mentera-mentera yang bukan-bukan itu (jika ada) serta gerakan-gerakan yang menyerupai ibadah agama lain, kerana Islam tidak membenarkan kita meniru perbuatan (ibadah, budaya) agama lain.

Kita harus menjunjung syiar Islam dalam melakukan apa juga perkara. Dengan itu, barulah amalan dan aktiviti kita itu ada nilainya, disisi Allah Azzawajjal dan juga kebaikannya pulang kepada kita juga, inshaAllah.

Yoga, sama juga seperti tai chi, kawad kaki dsb, yang bukan berasal daripada amalan specific dalam Islam, tidak salahlah diikuti sekiranya mengikut piawaian syarak. Tetapi, pengamal yoga ini murah hati untuk menunjukkan bahagian tubuhnya (wanita). Itu sedikit merimaskan. Sebab itulah aku mengatakan perlunya syiar atau ruh Islam itu dijunjung, agar perkara yang dilakukan itu benar-benar ada nilainya, sekali lagi, sesuai dengan kehendak Illahi dan suruhan rasulullah SAW.

Turutlah perintah Allah dan turutlah perintah Rasul! Tetapi kalau kamu membelakang, kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan dengan seterang-terangnya.
Surah AtTaghabun. Ayat 012.


Pencinta yoga, tutuplah aurat anda itu ya!

Kepada majlis fatwa, Alhamdulillah kerana bertindak, tetapi alangkah indahnya jika penjelasan lebih terperinci, ditambah dengan idea atau altenatif lain kepada yoga, samada apa-apa adjustment yang perlu atau cadangan lain agar para pencinta yoga tidak panas hati atau menentang habis-habisan fatwa itu.

Maaf, aku ini orang biasa, tetapi aku mengimpikan satu pekerjaan yang lebih terurus, penuh fakta dan bukti serta berjalan dengan hujah yang serba ilimiah daripada pakar-pakar agama suci ini, agar nilai fatwa itu seperti namanya.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengugut orang-orang yang mempertikai fatwa ini dengan gelaran sekular, tidak Islamik dan lain-lain kerana kita perlu kenal pasti fokus rungutan tersebut. Kalau fatwa itu dikeluarkan dalam keadaan yang sedikit tidak terurus, no wonderlah gang-gang ini akan habis-habisan menentang titik kekurangan tersebut.

Aku tidak menyebelahi mana-mana pihak, kalau ada pun aku hanya ingin memberi pandangan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan kerana mereka ini adalah penjaga nilai-nilai Islam, dan juga aku ingin selami hati para pencinta yoga yang terluka dek fatwa ini. (Kakak-kakak dalam Islam umpamanya.)

Sebelum aku mengakhiri tulisanku yang agak ringkas kali ini, aku ingin mengutarakan sesuatu yang aku dapati (Subhanallah) dan mungkin ramai lagi memperolehinya, kehebatan ibadah Solat! Bukan kerana pahalanya, itu adalah ketentuan Allah SWT, tetapi akan khasiatnya yang sangat indah dan menenagkan (menghilangkan stress, bukan yoga sahaja yang boleh), dengan syarat, patuhilah sabda nabi SAW yang tercinta ini:-
Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat
Hadis Sahih Bukhari


Stress atau tekanan boleh ditangani dengan solat yang betul cara dan tertibnya, seperti yang diajar baginda SAW. Ada masanya, lega hati ini bila bersolat, mengenangkan pelbagai janji Allah Azzawajjal, tuhan yang Maha Pemegang Janji, dalam kalamNya.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -
Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
Surah AlMu’minun. Ayat 001 - 011.

(ayat hafazan SPM)


Wahai semua, kita baikilah solat kita, disamping boleh meningkatkan value solat kita agar
diterima Allah SWT dan mematuhi suruhan nabi SAW, kita inshaAllah boleh perolehi khasiatnya, yang barangkali jika kita bersungguh-sungguh dalam melakukannya, kita tidak perlu lagi berhabis-habis dengan senaman yoga yang kononnya hebat sangat itu!

Maaf sekiranya sedikit melampau (atau mungkin sangat melampau). Aku tidak menentang apa-apa aktiviti (selagi tidak haram), cumanya aku rimas dengan sikap bermati-matian mempertahankan trend ini. Hargailah nilai-nilai yang ada dalam Islam itu sendiri, kerana tidak Allah menyuruh kita kepada sesuatu melainkan untuk kebaikan kita sendiri serta peluang memperoleh rahmatNya nanti kelak.

Kepada sahabat-sahabat atau pembaca yang berpeluang untuk menjalankan kajian tentang khasiat solat, pohon sangat-sangat agar anda memperuntukkan masa anda untuk perkara ini, sebagai sebahagian cabang dakwah (bukan politik semata-mata sebagai cabang dakwah), agar kebenaran Islam itu dapat dizahirkan lagi.

Barakallahufikum.





No comments: