Saturday, December 13, 2008

Malu dan Tak Malu


Assalamualaikum

Malu merupakan satu sifat yang ada dalam jiwa manusia. Malu atau rendah diri atau aib ini agak fleksibel kehadirannya, iaitu bergantung kepada apa yang diproses oleh seseorang individu itu dalam benak yakni mindanya dan juga tapisan sanubari atau hatinya.

Ada orang bila nampak seseorang yang diminatinya, perasaan malu mula menebal. Khuatir terbuat sesuatu yang boleh menimbulkan kesangsian pihak yang diminatinya. Tetapi barangkali kerana terlalu malu itulah yang akhirnya menyebabkan apa yang dipendam terlerai sudah.

Dalam situasi yang sama pula, ada juga orang yang tidak malu menunjukkan keinginan atau rasa hatinya kepada orang yang diminatinya. Sesetengah kita mengkelaskan golongan ini sebagai muka tembok dsb.

Tetapi barang diingat, kadangkala orang yang berani semacam inilah wajar diberi focus, baik positif atau negatif. Mungkin orang itu tidak malu menzahirkan perasaannya kerana orang tersebut yakin dengan kualiti yang ada pada dirinya, baik rupa paras atau apa sahaja.

Kita kenang zaman sekolah dulu. Bila cikgu meminta seorang volunteer atau sukarela membuat sesuatu, mengapa tidak semua menawarkan diri? Ya, mungkin sahaja tidak semua berbakat atau berkemampuan dalam memenuhi permintaan cikgu tersebut, tapi cuba kenang betul-betul, adakah yang menawarkan diri itu sempurna bakatnya atau tepat dengan apa yang cikgu tersebut utarakan? Belum tentu bukan!

Ada orang yang sebenarnya layak untuk sesuatu tetapi tinggi rasa malunya, barangkali orang tersebut tidak gemar menjadi perhatiaan. Ada pula orang yang kurang bakatnya tetapi tidak malu untuk kedepan, barangkali orang itu ada unsur-unsur artistik dalam dirinya.

Mungkin itulah sebabnya mengapa ramai anak Melayu berasak-asak menyertai ujibakat rancangan-rancangan khayal yang bersepah-sepah di ruang maya. Sehinnga ujibakat Akademi Fantasia-sia diisytihar dalam Malaysia Book of Records kerana menerima peserta berani mati yang bagitu ramai. Sungguh artistik keturunan Hang Tuah ini ya.

Apapun, itulah gambaran yang cuba aku ilhamkan berkaitan dengan perasaan malu. Lain orang, lain penilaiannya, tetapi akhirnya manusia itu tetap memiliki nilai malu tersebut.

Agenda penulisanku kali ini baru sahaja hendak bermula.

Zaman ini, kefleksibilitiaan naluri malu itu boleh terlihat dalam amalan dan tingkahlaku seseorang yang bernama Islam.

Kebanyakan Muslim era ini sudah pusing kepalanya. Mereka seperti malu untuk beribadat kepada Allah, tetapi tidak malu pula melanggar perintahNya. Bukan memfitnah, malah hal ini sudah seperti diterima umum. Alah bisa tegal biasa mudahnya.

Ada Muslim yang bila berhubungan dengan bukan Islam dalam aktiviti harian mereka, misalnya menjadi pekerja kepada majikan yang tidak Islam, mereka seakan-akan menjadi Islam yang kaku! Malu barangkali sekiranya diketahui agamanya.

Hai orang-orang yang beriman! Turutlah perintah Allah dan turutlah perintah Rasul; dan janganlah kamu hapus amal baik kamu.
Surah Muhammad. Ayat 033.

Sedangkan perintah Allah ini bukan hal kecil. Dan Allah juga menjanjikan pahala atas kebaikan tersebut.

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.
Surah AlBaqarah. Ayat 110.


Mungkin situasi semasa dunia membuatkan hal ini makin meruncing. Dengan umat Islam ditekan pelbagai sudut oleh golongan kafir, dilabel sebagai pengganas, mundur dsb, umat Islam (bukan semua) dengan tangan dan tindakan mereka merendah lagi martabat yang tercemar itu.

Islam dilihat sebagai penjerut leher panganutnya. Melakukan perintah Allah seakan-akan boleh menutup rezeki untuk menyara kehidupan diatas muka bumi ini. Mensyukuri nikmat Allah semakin pudar, kalau ada pun setakat dibibir sahaja.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur".
Surah AlMulk. Ayat 023.

Bila malu bercampur dengan lalai dan bongkak, akhirnya lahirlah jiwa yang derhaka kepada Allah Azzawajjal. Nauzubillah.

Dan siapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya dan melanggar peraturan-peraturan Allah, nescaya dimasukkanNya ke dalam neraka, tetap di dalamnya dan mereka beroleh seksaan yang memberi kehinaan.
Surah AnNisaa'. Ayat 014.


Akhirnya, yang menjerut leher mereka itu bukannya Islam, tetapi diri sendiri. Bukalah mata dan akal luas-luas, lihatlah ada sahaja manusia yang bersungguh mengerjakan perintah Allah, tidak malu selain kepada Allah, tetapi masih sahaja beroleh rezeki dan keberkatan hidup. Moga-moga kita tergolong dalam kumpulan ini.

Berlumbalah kamu menuju ampunan dari Tuhanmu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya. Itulah kurnia Allah yang dianugerahkanNya kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah itu mempunyai kurnia yang besar.
Surah AlHadid. Ayat 021.

Penyakit malu kepada amalan yang disuruh agama ini boleh juga dilihat dalam konteks penampilan seseorang Muslim atau Muslimah itu.

Ada perempuan zaman sekarang seolah-olah malu hendak mengenakan tudung yang mengikut garis panduan agama. (bukan tudung Siti Nurhaliza). Mengapa? Takut difitnah non Muslim bahawasanya anda menyorokkan bom didalam tudung anda? Atau tidak up to date? Atau anda selesa mengikut pemahaman seorang penulis politik yang mengatakan hukum hijab atau tudung ini hanya kepada isteri rasulullah SAW?

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Surah AnNur. Ayat 031.

Yang disorokkan wanita bertudung itu bukannya bom, tapi maruah dan harta kewanitaanya yang berharga! Yang bertudung tidak harus malu dan berasa kekurangan bila anda keluar kepada masyarakat sebagai mewakili wanita Muslimah.

Pakaian pula seperti orang purbakala. Tidak nampak ketiak, lurah cetek dan dalam, jenama seluar dalam dsb, bererti seseorang itu belum sampai ‘maqam’ atau darjat manusia moden. Malah yang bertudung juga makin ramai yang cenderung begitu. Tidak malukah anda?

Jadi ingin aku ajukan sekali lagi. Malu itu di mana dan untuk siapa? Seolah-olah umat Islam sekarang ini ‘Malu memohon syurga daripadaNya, tetapi tidak malu menawarkan diri menjadi bahan bakar nerakaNya..’

Banyak lagi perkara yang kita boleh selongkar untuk melihat betapa manusia bergelar Islam zaman sekarang sudah tonggang terbalik perasaan malunya. Yang tidak patut malu, dibuatnya malu, dan sebaliknya.

Sampai ada yang berani berkata, “aku malu hendak minta ampun, takut nanti aku buat lagi.” Itu hanya menunjukkan orang tersebut tidak akan berhenti melakukan kesilapan atau dosa itu kerana tanpa taubat, keazaman dalam diri itu tidak akan ada.

Duduklah seketika selepas selesai solat, fikirkanlah tentang hal ini. Janganlah malu kepada kebenaran, seperti hadith ini:

Dari Abu Waqid al Laitsi r.a., "Ketika Nabi sedang duduk dalam masjid bersama-sama dengan para jamaah, datang tiga orang: yang dua orang masuk ke dalam masjid, sedang yang seorang lagi terus saja pergi. Setelah keduanya sampai ke hadapan Rasulullah, yang seorang melihat tempat lowong di tengah-tengah jamaah, maka duduklah ia ke situ. Dan yang seorang lagi terus duduk di belakang mereka. Orang yang ketiga terus saja pergi. Ketika Rasulullah saw. selesai memberikan ceramah, beliau berkata. "Baiklah saya jelaskan kepada Anda tentang orang yang bertiga itu; yang seorang mencari tempat disisi Allah, maka diberi oleh Allah. Yang kedua merasa malu-malu, maka Allah malu pula kepadanya sedang yang ketiga tidak mahu tahu saja, maka Allah tidak mahu tahu pula kepadanya."
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0055.


Hargai perasaan malu kurniaan Allah itu kepada tempat yang tepat. ‘Malu biar bertempat..’

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad saw., sabdanya: "Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari iman."
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0007.

Penulisanku kali ini banyaknya ditujukan kepada mereka yang melakukan perkara yang dilarang atas alasan malu. Moga-moga kita semua lekas sedar dan marilah berubah.

Tetapi kepada mereka yang melanggar larangan Allah bukan kerana malu, malah sebab bosan atau tidak yakin dengan perintah dan janji Allah, abaikan sahaja perkongsiaan pandangan ini.

Aku cuma berusaha untuk meritku di kemudiaan hari, serta rasa sayangku sesama manusia lagi-lagi saudara seIslamku.

Akhirnya semua orang akan mati, dan akan dihadapkan ke pengadilan hakim yang agung, Allah SWT. Selagi sempat, renung-renungkanlah dan jangan bertangguh lagi.


Barakallahufikum.

No comments: