Layar ini adalah garapan minda Ibn Yusuf@TheTinyStone. Selagi mana aku menulis dan melontar rahsia mindaku ke atas layar ini memberi manfaat, ucapkanlah Subhanallah, dan sekiranya anda benci atau mendapati madahku di atas layar ini serong dari jalan ilmu Islam, beristighfar dan tegurlah aku, sebagai saudaramu. Allah jua tempat kita bernaung akhirnya..
Sunday, December 28, 2008
Aku Lihat Aku Dengar
Aku lihat mereka beraksi,
Aku dengar mereka bicara,
Soal agama dan soal bangsa,
Soal tuan dan soal kuasa.
Katanya ketuanan perlu diubah,
Biar bunyinya lebih meriah,
Agar semua lepas sengsara,
Itulah janji penabur bicara.
Sedap bicaranya merangsang jiwa,
Yang hitam manis rasa terbela,
Yang rambut lurus bertambah gembira,
Yang satu lagi berserah sahaja.
Aku lihat mereka berpencak,
Aku dengar mereka bersorak,
Menyumpah barisan para penderhaka,
Yang sudah beraja setengah kurun lamanya.
Mereka kata merekalah pejuang,
Gagah berani laksana pendekar,
Proksi durjana akan ditentang,
Barisan penderhaka bakal dicincang.
Mendidih simerah di dalam badan,
Mendengar seruan berinti keramat,
Janji pendekar bagaikan azimat,
Perangi penderhaka ke akhir hayat.
Aku lihat mereka berikrar,
Aku dengar mereka berjanji,
Tentang dasar dan toleransi,
Tentang adil dan hak asasi.
Adakah adil itu sama rata?
Enam puluh dia dapat sepertiga,
Tiga puluh mereka sepertiga juga,
Sepuluh yang sana pun sama rasa.
Adakan janji itu ringan sahaja?
Kata klasik bagai melepas batuk di tangga,
Emosi digeletek kata nista,
Harapan disirami bodek sempurna.
Aku lihat mereka beropera,
Aku dengar mereka merencana,
Sesuatu yang cepat untuk selamat,
Sesuatu yang besar sebagai manfaat.
Semua sekali ternanti-nanti,
Malah sehingga ke hari ini,
Bagaikan lauk yang tak akan basi,
Begitulah impian yang penuh ilusi.
Hampir terbelah menjadi dua,
Akibat sasaran mula berbeza,
Dikatakan dalangnya musuh di luar
Demam kuasa melanda pendekar.
Aku lihat mereka berisyarat,
Aku dengar mereka bertegang urat,
Prinsip sahabatnya berpasak di bumi
Prinsipnya pula tinggi di langit.
Adakah mereka mencari ajaib?
Atau sekadar menguji nasib?
Tanpa menyedari betapa sulit,
Menyatukan minyak dan juga air.
Yang jadi taruhan perintah dan hukumNya,
Jadi alat penyambung nyawa,
Baik yang sini atau yang sana,
Asalkan peluru boleh mengena.
Aku lihat mereka bertarung,
Aku dengar mereka meraung,
Semuanya kerana mahukan kuasa,
Agaknya itulah definisi sang perwira!
Barakallahufikum.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
salam..
waalaikumussalam.
Post a Comment