Thursday, December 25, 2008

Berilah Diri Peluang Mengenal Kebenaran



Assalamualaikum

Aku diajukan tentang permintaan berkongsi pengalamanku oleh beberapa sahabat. Apakah ada nilai atas pengalaman-pengalamanku untuk dijadikan sumber rujukan, atau cuma sekadar cerita biasa santapan jiwa? Aku pun tidak pasti.

Namun, bila dikenang-kenang, mungkin ada baiknya juga aku kisahkan beberapa pengalamanku yang aku anggap ada sedikit manfaatnya, ke dalam alam siber ini. Moga-moga jadi renungan dan sumber ilham (jika ada) kepada para pembaca. Harap tiada yang persoalkan niatku, inshaAllah semuanya atas dasar perkongsian ilmu.

Terus terang, aku sangat gemar mengadakan perbincangan mengenai kehidupan, dengan skop yang luas, bukan cerita pagi ke malam. Mungkin kerana kegemaranku membaca human behavior atau perilaku manusia.

Tetapi aku lebih mendalam bila dibuka ruang untuk perbincangan bercorak keagamaan. Kerana mengikut pandanganku, perilaku manusia hanya dapat dipandu dengan baik dan selamat dengan ilham yang digerakkan oleh kepercayaan yakni agama.

Kali ini, aku ingin kongsi pengalamanku berbincang topik tentang asas agama dengan seorang lelaki Ireland, yang berusia awal 50an, berkepercayaan Katholik. Perbincangan tanpa dirancang (pada zahirnya) berlaku di dalam teksi beliau.

Sebenarnya, aku sentiasa merancang untuk berbincang persoalan kepercayaan, dengan sesiapa pun. Jangan salah faham, aku bukan minat membuka gelanggang perdebatan, kerana itu bukan tempat yang agak sesuai mencari kebenaran, kerana nama debat itu sahaja seolah-olah memerlukan seseorang yang keluar sebagai pemenang. Kemenangan belum tentu satu kebenaran!

Berbincang persoalan kepercayaan adalah pendekatanku untuk memulakan,sekiranya kena caranya, da'awah dan mempromosikan Islam. Mengapa? Bukan kerana minat atau kerjayaku, tetapi atas dorongan beberapa sebab. Harapan, cinta dan tanggungjawabku. InshaAllah aku sedang dalam proses menulis berkaitan hal-hal ini, yang akan diklasifikasikan di bawah tajuk Sabung Minda.

Berbalik kepada ceritaku tadi. Lelaki ini lembut bicaranya. Juga menyenangkan perwatakannya. Beliau memulakan dengan bertanya khabar dan begitulah juga denganku.

Mengenangkan perayaan Krismas semakin hampir dan kota Dublin begitu sesak dengan penduduknya membuat persiapan terakhir, beliau bertanya kepadaku perihal persiapanku pula. Aku menjawab yang aku tidak menyambut Krismas.

“Adakah anda Muslim?” tanya beliau kepadaku. Aku mengiakannya. Beliau kemudiannya mengkritik perayaan Krismas era moden yang mengikutnya sudah lari dengan tuntutan asal, yakni tuntutan agama Kristian itu sendiri.

“Kini, ia tidak lebih hanyalah perayaan budaya sahaja.”,tegas beliau. Aku hanya tersenyum, kerana ini bukan pertama kali aku mendengar luahan ini, yang kebanyakannya disuarakan oleh golongan-golongan veteran.

Kami meneruskan perbualan, dengan aku diajukan pertanyaan tentang status ketaatan aku kepada Islam. Aku menerangkan kepada beliau bahawa aku tidak dapat mengukurnya sendiri, tetapi sehingga hari ini aku sangat berusaha untuk patuh kepada tuntutan Islam, Alhamdulillah.

Beliau seakan bersemangat lagi untuk berbual. “ Aku ini asalnya sangat taat kepada agamaku, malah aku ini hampir menjadi mubaligh, kerana aku berlatarbelakangkan keluarga yang warak.”, katanya apabila aku mengembalikan soalan yang sama.

Belum sempat aku melanjutkan pertanyaanku, beliau menyambung lagi, “ Korupsi, samada dalam bidang harta dan kuasa oleh pihak gereja menjadikan aku tidak mahu meneruskan haluanku dalam perjuangan agama. Tetapi jauh dalam sudut hatiku aku sangat ingin membela manusia yang ditindas dan lemah.”

Aku sangat sangsi tentang alasannya untuk tidak bersungguh-sungguh dalam perjalanan keagamaanya. Aku mencelah “ Tidaklah wajar mengukur sesuatu atau membuat keputusan hanya berdasarkan pemerhatian terhadap perilaku orang lain, sekalipun orang itu tokoh agama. Kerana pada pendapatku, kebenaran sesuatu perkara itu wajarlah dilihat daripada akar atau asas perkara itu sendiri, bukan pendukungnya. Dalam Islam sendiri, bukannya sedikit penganutnya, baik yang biasa atau berstatus tinggi, beramal atau melakukan sesuatu yang tidak tepat dengan kehendak Islam itu sendiri, tetapi tidak pernah terlintas walau sekalipun di dalam jiwaku untuk mempersoalkan kebenaran Islam.”

“ Islam itu sumbernya Al Quran dan perbuatan dan penerangan Nabi Muhammad, yang kami panggil Sunnah. 2 sumber inilah rujukan asli agama ini. Berkenaan penganutnya, bukan semua boleh dijadkan rujukan kerana manusia itu ada batasan akalnya.”

Aku meneruskan. “ Bagaimana anda boleh ketepikan kepercayaan anda hanya kerana golongan yang diberi kepercayaan ( alim ulama gereja) berlaku tidak amanah? Atau ada sebab lain? Maaf sekiranya pertanyaanku kurang cermat, aku tiada niat menyerang pendirian anda.”

Terus terang, aku tidak ingin bertanya lanjut tentang rungutan beliau berkenaan gereja, cuma aku berminat untuk mengorek pendapat dan pandangannya sendiri terhadap agama. Itu short term goal aku kala itu.

Beliau menjawab, “ Aku mendapati beberapa pertikaian berkenaan dengan agamaku, yang menyebabkan aku lebih senang bermudah-mudah dalam hal agama, sebaliknya aku rasa lebih baik jika aku fokus untuk melakukan kebaikan sesama manusia, yang aku yakin menjadi keutamaan hidup ini.”

Aku terus tekun mendengar kata-katanya. “ Bukan aku tidak mahu kepada agama, tetapi kekeliruan itu menyusahkan.Akhirnya biarlah aku berbuat baik kepada semua orang yang memerlukan, itu lebih besar.”

Aku memberanikan diri untuk respon pada kata-katanya. “ Kawanku, aku amat setuju bahawasanya berbuat baik kepada sesama manusia itu sesuatu yang sangat besar, tetapi aku percaya bahawa ada lagi yang lebih besar daripada itu, iaitu berbuat sesuatu yang dikehendaki tuhan.”

Yang dikehendakai tuhan? Aku menggunakan pendekatan berkaitan mati untuk mencapai maksudku itu. “ Begini, mati itu bukankah sangat misteri? Siapa yang dapat memberi gambaran sebenar tentang kematian? Sudah pasti tiada siapa boleh menceritakannya, melainkan dengan bantuan agama. Kita tidak tahu langsung apa yang bakal dihadapi selepas kehidupan ini.”

“ Islam percaya pada perhitungan dan pembalasan, ada pula yang percaya begitu dan begini dsb.”

Beliau mencelah, “ Boleh jadi tiada ada apa-apa atau mungkin ada sesuatu yang lain selain syurga dan neraka.”

Aku kemudiannya mengambil alih peranan bersuara dengan mengatakan bahawa adakah wajar mengatasi kemisteriaan mati dengan hanya membuat andaian sendiri semata-mata?

“ Kawanku, yang aku kira paling selamat ialah membuat perbandingan tentang prospek-prospek yang ada tentang kejadiaan selepas mati, dan dalam memilihnya, sediakanlah insurans yang terbaik, agar kita boleh berdepan dengan misteri tersebut dengan secukup-cukup bekalan.”

“ Sebagai seorang Muslim, aku tidak merasakan mati itu sesuatu yang misteri lagi, yang menjadi tanda tanya adakah sudah cukup segala persiapanku? Sebab itulah aku sangat berusaha untuk jadi lebih baik daripada semalam.”

Beliau tersenyum dengan penjelasanku, dan mula memberi respon tentang persiapannya pula. “ Aku yakin kalau di sana ada tuhan, sudah pasti Dia sangat penyayang dan pemaaf. Dan sudah pasti Dia akan gembira dengan usahaku untuk berbuat baik kepada sesama manusia terutamaya mereka yang lemah.”

Aku kembali bersuara, “ Berbuat baik kepada manusia tidak cukup kawanku. Mengapa aku berkata demikian? Kerana berbuat baik itu adalah human nature, manusia tidak memerlukan kepercayaan atau agama untuk berbuat baik. Kalau diandaikan ada seseorang cuba dirogol ketika ini, aku yakin sepantas kilat aku dan anda akan sama-sama berusaha menyelamatkannya. Nah, bukankah kita yang saling berbeza pegangan ini bertindak serupa?”

“ Cumanya, mencapai perbuatan baik yang tepat dengan definasi baik itu sendiri, manusia perlu mendapat ilham atau panduan. Dengan kata lain, nilai kebaikan itu bukan dinilai semata-mata terhadap tindakan keatas seseorang, tetapi ada reflek dengan syarat-syarat dan kehendak satu lagi penilai, iaitu tuhan.”

“ Menolong orang lain dalam berbuat sesuatu boleh sahaja dilihat seolah-olah orang yang menolong itu berbuat baik kerana orang itu membantu seseorang yang lain. Tetapi apabila ada pihak lain yang menilai perbuatan itu sebagai jahat, jadi di manakah nilai kebaikan hal itu? Akhirnya, berbuat baik kepada manusia itu menjadi terlalu subjektif.”

Aku menunggu respon daripdanya. Lalu beliau bersuara, “ Sudah lama aku menunggu peluang untuk berbicara begini. Dalam hatiku sering terdetik ada sesuatu yang spesifik diajar oleh Islam kepada penganutnya, tatkala aku mengenangkan kisah Saladin.”

Saladin yang beliau maksudkan itu ialah Salahuddin Al Ayyubi, pemerintah Islam yang termasyur di zaman perang salib satu ketika dahulu. Beliau menegaskan bahawa hatinya sangat tersentuh bilamana mengenangkan kelembutan Salahuddin yang tidak mengapa-apakan penganut Kristian di Baitul Maqdis selepas tentera Islam menduduki kota tersebut, tidak seperti apa yang dilakukan oleh tentera Kristian yang membunuh penduduk beragama Islam. Subhanallah.

“ Fakta yang benar tidak boleh disorok lagi.” Tegas aku kepadanya. Aku meneruskan, “ Namun kawanku, aku tidak mahu mengambil kesempatan di atas keterujaan anda terhadap cerita Salahuddin itu untuk dijadikah hujah tentang kebenaran Islam. Aku sangat percaya kepada keadilan tuhan, bahawa sesiapa sahaja yang berhati baik dan adil (terhadap manusia), tidak sesekali tuhan akan menukarkannya (tindakan itu). Aku juga sangat tersentuh dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh Mother Teresa. Malah aku tidak diperlakukan dengan buruk oleh kerajaan negara anda. Tuhan itu sangat adil. Namun ada yang lebih besar diterangkan dalam Islam.”

Aku menambah 2 contoh iaitu keperibadiaan mulia yang rasulullah SAW dalam berhadapan dengan pengemis buta berbangsa Yahudi serta kisah Saidina Umar Al Khattab RA sebelum dan selepas memeluk Islam.

Aku semakin kritikal dalam berhujah. “ Ikutlah segala perintah tuhan dan tinggalkanlah laranganNya. Walaupun akhirnya kita akan tetap melakukan dosa, tetapi attempt kita haruslah melaksanakan perintah tuhan sebaik mungkin, disamping kita meletakkan 100% harapan kita kepadaNya semata-mata.”

“ Kawanku, aku minta maaf sangat-sangat sekiranya ada antara kata-kata aku tadi tidak menyenangkan anda. Tetapi sebagai manusia, mengapa kita tidak mahu memberi peluang kepada diri kita ini satu peluang untuk mengenal kebenaran?”

“ Kebenaran itu hanyalah satu, dan aku berterus-terang kepada anda, aku sedang mempromosikan Islam kepada anda saat ini. Aku tidak ingin menyorok lagi. Harap sudilah mendengarnya, kerana suka atau tidak, itu kemudian. Tetapi berilah peluang pada diri anda mengenal kebenaran. Dan jika anda juga ingin melakukan yang sama, aku sangat mengalu-alukan.”

Dalam sibuk aku berkata-kata, rupanya kami sudah pun sampai di hadapan apartment yang menjadi destinasiku. “ Uh, sedih kerana kita terpaksa berhenti di sini.” ujarku dengan sedikit kekesalan. “ Tidak mengapa, tolong teruskan. Aku takut tiada peluang lagi untuk mendengar.” Tegas beliau, membuatkan aku mengucapkan Alhamdulillah di depannya.

“ Begini kawanku. Tahukah anda mengapa aku memberanikan diri untuk mempelawa anda mengenali Islam? Semuanya kerana cinta dan kasih sayang. Nabi Muhammad SAW itu berjalan menyebarkan Islam, selain atas tugas dan perintah Allah, adalah kerana hati nuraninya begitu kasihkan manusia.”

“ Baginda itu walau dikasari atau diherdik atau pelbagai treatment buruk oleh orang yang memusuhinya, tetap sahaja mendoakan agar manusia berpeluang beroleh kesedaran. Muhammad itu sebaik-baik contoh, dan aku sangat mengasihinya.”

“Tidak sesekali wahai kawanku, dalam percubaan aku menyampaikan Islam ini kepada anda hanya untuk mencapai kepuasan dan kemasyhuran di kalangan saudara Islamku, tetapi kerana tugas, dan sayangku kepada sesama manusia.”

“ Dan bila aku mengatakan aku ingin memperkenalkan Islam kerana dasar kasih dan sayang, aku jujur dengan kata-kataku itu. Itulah sebesar-besar berbuat baik kepada manusia, iaitu menyampaikan sesuatu yang dipercayai benar.”

“ Dan aku 100% menjamin Islam ini sahajalah jalan yang terbaik untuk mendapat keselamatan dunia dan selepas mati.”

“ Tetapi akhirnya, tiada paksaan dalam memeluk Islam, kerana tuhan telah berfirman dalam Al Quran, kitab suci kami yang berbunyi:

Tidak ada paksaan dalam agama: (kerana) sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang salah, dan siapa yang tidak percaya kepada thaghut dan percaya kepada Allah, sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang teguh dan tidak akan putus. Dan Allah itu mendengar dan mengetahui.
Surah AlBaqarah. Ayat 256.


Sesudah aku selesai membaca ayat tersebut beserta maknanya, beliau berwajah agak serius. Dan sejurus kemudian, beliau bersuara. “ Aku mengerti kata-kata anda tadi, dan itu satu penerangan yang sungguh menarik dan mudah. Cuma sudikah anda membantu aku untuk merungkai satu hal yang sering menjadi persoalan dibenakku?”

Aku menawarkan pandanganku, “ Baiklah kawanku. Aku mencuba dengan apa yang aku mampu.”

Beliau terus mengajukan pertanyaan. “ Benarkah Jesus Christ itu anak tuhan?”

Aku sedikit tergamam dan berasa lucu. Bukan apa, beliau mengajukan soalan tersebut kepada seorang Muslim yang terang-terang akan menjawab tidak. Tetapi sudah pasti beliau mahu satu penjelasan yang dapat membantu dirinya membebaskan diri daripada korupsi akidah anjuran agamanya.

“ Aku harap anda tidak berasa terinsult dengan jawapanku.Jawapan aku sudah pastilah tidak. Jesus@Isa itu merupakan seorang nabi, yang sangat mulia. Nama dan kisahnya begitu banyak termuat di dalam Al Quran. Baginda seorang nabi, yang luar biasa kisah hidupnya, serta memiliki beberapa mukjizat. Kami umat Islam sungguh menyanyanginya, kerana Allah juga sangat mengasihi Jesus@Isa.”

“ Tetapi tidaklah sampai mengatakan baginda itu anak tuhan. Kawanku, dari manakah datangnya kepercayaan sedemikian? Aku pernah membaca kitab agama anda, tidak pernah ku jumpai lagi ayat-ayat yang mengatakan Jesus itu anak tuhan. Bukankah begitu?”

Beliau menjawab, “ Ya, benar.” Aku menyambung, “ Bukankah semua itu atas dasar assumption? Kerana cinta dan sayang yang teramat kepada baginda, ditambah pula dengan beberapa mukjizat yang luar biasa termasuk kisah kelahirannya, penganut agama anda telah mengangkat darjatnya ke satu tahap yang melampau. Wajarkah begitu?”

Aku tidak mahu beliau menjawab lagi, sebaliknya aku teruskan hujahku. “ Kami umat Islam tahu belaka akan mukjizat-mukjizat Isa AS seperti menghidupkan orang yang mati, mengembalikan penglihatan si buta dsb. Tapi itu tidak lebih hanyalah keajaiban milik baginda dengan izin tuhan, demi menunjukkan baginda seorang manusia yang berpangkat nabi. Dan semua nabi memiliki mukjizat.”

“ Di dalam Al Quran ada ayat di mana tuhan menerangkan mengapa nabi itu datang daripada kalangan manusia, bukan malaikat atau lain-lain makhluk. Kalaulah manusia itu didatangkan nabi daripada makhluk lain, nescaya akan berlaku kesulitan, kerana asas dan perbuatan pastinya berbeza. Jadi bagaimanakah manusia mahu mengikut utusan tersebut?”

“ Sebab itulah nabi itu manusia, dan perlunya mukjizat itu sebagai membezakan manusia biasa dan manusia berpangkat nabi.”

“ Jadi, mengiktiraf Jesus atau Isa AS sebagai anak tuhan hanya kerana hal-hal demikian amatlah tidak wajar. Ditambah lagi, sudah terbukti yang tiada fakta jelas tentang dakwaan tersebut.”

“ Kalau Jesus itu anak tuhan, siapakah tuhan? Adakah Jesus atau bapanya? Maaf, tetapi unsur ini kelihatannya mengelirukan. Dan yang beratnya, hal ini sangat bersangkut paut dengan akidah seorang penganut Kristian itu sendiri.”

“ Bagaimana kita boleh proceed dengan sesuatu agama kalau di fasa fundemental sahaja kita sudah samar-samar? Aku tidak menolak bahawa tidak semua perkara yang dipersoal itu salah, kerana boleh sahaja penyoal yang belum atau tidak faham, misalnya 1+1=2, tetapi kalau ada orang mempertikai mengapa 1+1 mesti 2, adakah bererti 2 itu jawapan yang salah?”

“ Tetapi dalam hal yang menjadi asas kepada sesuatu kepercayaan, pastinya ia perlu keluar sebagai satu terma yang sangat mudah difahami”

“ Aku tidak menolak ada persoalan-persoalan dalam agama Islam, malah, selain jiwa manusia itu yang ada unsur mempersoal, manusia juga ada fasa daripada tidak tahu kepada tahu. Jadi, persoalan itu normal. Cuma, aku tidak pernah mendengar soalan berbangkit tentang Islam, baik oleh penganutnya mahupun orang luar, berkaitan dengan asas akidah kami atau tauhid. Balik-balik tentang diskriminasi wanita, jihad, kahwin empat dan mengapa Muhammad SAW mengahwini Siti Aisyah RA yang masih budak.”

“ Jika ada peluang, aku bersedia menerangkan tentang hal-hal tadi, tapi kembali kepada point aku. Ya, asas kepercayaan Islam iaitu Lailahaillallah atau tiada tuhan melainkan Allah itu amat jitu, tepat dan mudah.”

“ Bandingkanlah dengan asas tauhid mana-mana agama pun di muka bumi ini, anda pasti akan dapati asas Islam itu paling mudah dan make sense.”

“ Boleh jadi ada antara penganut Kristian suka menggunakan terma bahawa kalau tuhan itu boleh mencipta alam ini, mengawal sistem solar dsb, mengapa tidak tuhan berupaya menjadi manusia?”

“ Inilah point yang lemah dalam usaha mempertahankan kepercayaan bahawa Jesus itu anak tuhan, terlalu bersifat andaian. Walaubagaimanapun, tidak mengapa. Sedangkan dalam Al Quran tuhan ada memberitahu bahawa Dia boleh membuat apa sahaja yang Dia mahu, atau Kun Fayakun, tetapi tuhan juga, di dalam Al Quran, menyatakan atau mendedahkan perkara-perkara besar, tentang sifat-sifatNya agar manusia itu tidak ditinggalkan dalam keadaan yang blur dan penuh andaian.”

Aku berhenti untuk mengambil nafas sambil menyusun kata-kataku serta memilih vocab dan gandingan grammar yang dikira tepat, maklumlah, hendak berhujah dengan bahasa orang. Namun beliau mencelah, “ Aku sangat setuju dengan penerangan itu, kerana sememangnya kita perlu panduan supaya kita tidak keliru dan tercari-cari.”

Aku menjawab, “ Ya, dan kalau masih hendak bukti, kumpulkanlah semua 'jenis' tuhan
atau kepercayaan tentang tuhan oleh semua agama, dan bandingkanlah, tuhan mana yang paling tuhan sekali? Mungkin aku bias, tetapi kenyataannya tiada tuhan melainkan Allah.”

Terus terang, aku sangat berharap, kalau pun beliau belum nampak kecantikan tauhid Islam, tapi biarlah sekurang-kurangnya beliau sedar tentang kesilapan konsep anak tuhan itu.

Dan Alhamdulillah, lelaki itu menyatakan kepadaku, “ Kini aku sudah yakin yang Jesus itu bukan anak tuhan, tetapi baginda merupakan seorang nabi yang sangat mulia, seperti nabi anda juga.”

Aku tersenyum. Syukur. Mungkin itu sahaja yang terungkai, namun akhirnya hidayah itu milik Allah Azzawajjal. Tidak lama kemudian, isterinya menelefon. Beliau sudah terlewat satu jam untuk memenuhi janji dengan keluarganya.

“ Terima kasih kawanku. Kalaulah ramai manusia atas muka bumi ini sudi keluar kepada manusia lain untuk menerangkan tentang agama dengan penuh toleran dan berkasih sayang, sudah pasti ramai manusia berpeluang untuk mengenal kebenaran. Aku sedang berusaha untuk kearah titk kebenaran itu, walaupun ianya tidak semudah yang disangka. Tetapi diskusi malam ini sungguh membantu..” Ujar beliau.

Aku juga mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi membuang rasa syak dan memberanikan diri untuk mendengar kata-kataku. Kami tidak menetapkan apa-apa rancangan untuk bersua lagi di masa depan, kerana beliau kelihatan kelam kabut mahu ke destnasi berikut. Cuma beliau berkata, jika perlu, beliau akan menunggu aku di depan tempat tinggalku.

Aku sangat berdoa agar aku boleh bertemu dengan lelaki itu lagi, dan lebih indah kalau aku dapt berjumpa dengannya dalam keadaan beliau telah Islam.

Merit dan penilaian itu milik Allah. Aku hanya menjalankan usaha ini kerana inilah tanggungjwab yang core bagi umat Islam, sesudah melengkapkan fardhu ain mereka.

Sekiranya ada perkara baik atau manfaat daripada perkongsiaan ini, ambillah dan doakan agar aku berupaya untuk menjalankan da'awah ini lillahitaala dan lebih efisien.

Barakallahufikum.

4 comments:

Unknown said...

Alhamdulillah.

gergasi said...

Play safe & comfort zone dua benda yang menghalang minda bukan nak menerima malahan nak mencari pun jadi teramat azab. Selesa dengan perkara turun-temurun...takut disisih masyarakat...ade value ke dua "piala" ni disisi Allah SWT?..we are our own hero..YEAH!

Ibn Yusuf said...

Kita jalankan da'awah ini dengan tenang dan berhemah. Menyerlahkan jalan yang selamat agar pendengar boleh merasa sesuatu yang lebih baik sentiasa terbuka pintunya.

Dalam konteks iman, tiada manusia yang boleh menyelmatkan manusia lain, selain dirinya sendiri. Dan tiada manusia yang boleh menjahanamkan manusia lain, selain dirinya sendiri juga.

Tidak perlu menyalahkan syaitan di kemudiaan hari atas dosa sendiri, tetapi syukuri kebaikan diri yang dikurniai Allah.

Allah akan menggandakan kebaikan pelaku amal soleh, tetapi Allah akan menyesat serta menggelapkan lagi hati golongan2 denial dan ignorance ini. Nauzubillah.

Jangan takut berda'awah. Sayangilah semua manusia, bukan dengan toleran terhadap kepercayaan karut mereka, tetapi menyampaikan sesuatu yang benar yakni Islam, dengan cara dan pendekatan yang dianjur Islam (gaya rasulullah SAW.)

Barakallahufikum

Anonymous said...

thanks mate.ko telah membuka minda ku untuk terus berdakwah....