Thursday, February 11, 2010

Panduan Atau Upacara?


Assalamualaikum

Pagi ini terpapar gambar mayat bayi dihurung serangga dan kerengga. Takziah kepada semua umat manusia atas kejadian sedih ini. Akhbar turut menyelitkan kejadian hampir serupa yang berlaku sebelum ini.

Ya, manusia semakin binasa. Binasa atas kelebihan sebegai manusia. Binasa akibat penyalahgunaan nafsu dan akal. Binasa kerana berkasihkan dunia. Binasa dengan keasyikan hiburan. Binasa bila agama diupacarakan!

Keluarkan lagi perihal-perihal buruk dan jijik yang dibuat oleh manusia yang memilih binasa yang bertopengkan ceria. Penderaan seksual, sumbang mahram dsb, pasti membuat kita yang berfikir ini sengsara.

Ahli politik merangkap pemimpin 'sukarela' berangka-angka. Gaduh sini, gaduh sana, maki sini, maki sana. Apa cerita?

Manusia pencinta binasa? Tidak sama sekali kalau semua sedar hakikatnya. Tapi itulah sebabnya mengapa tercipatanya neraka. Nauzubillah.

Wahai semua, binasa rohani dan jasmani itu adalah atas permainan kita sendiri. Yang nyata nampak pedihnya, yang tak nyata buruk padahnya. Mungkin kita mahu hukum manusia yang membuang bayinya ini, tapi jangan dilupakan pula mereka-mereka yang menyumbang kebathilan yang tidak nyata, seperti mereka-mereka yang gila kuasa dan harta dsb.


Agama itu jangan diupacarakan. Agama itu jalan kehidupan. Namun, apa yang terjadi kini ialah agama dinilai sebagai upacara. Dan yang paling kritikal, umat Islam yang dikurniakan Allah satu jalan hidup sempurna turut terjebak.



Tidak dinafikan, inilah hakikat akhir zaman. Tetapi, status sebagai penghuni akhir zamanlah yang seharusnya membuat kita semua insaf dan beringat.

Zaman semakin senja. Perasuah, pemecah amanah, penzina, penyangak, penipu dsb masih sahaja ke masjid. Masih sahaja berfizikalkan Muslim. Kerana apa?

Aku mahu berfikiran baik, tetapi aku juga manusia yang cuba beranalisa. Manusia Islam bolah sahaja kekal pembuat dosa tetapi masih Islam. Kerana Islam itu tinggal sebagai upacara. Islam itu jadi budaya semata-mata. Satu kebiasaan yang mengikat zahir, tetapi tiada tempat dalam ruang hati penganutnya.

Nauzubillah. Aku menulis bukan berniat menghukum sesiapa. Kepada yang melakukan angkara, bertaubatlah kerana taubatlah ubat paling mujarab.

Renungkanlah akan agama itu sendiri. Apa faedahnya? Apa luahannya? Apa natijahnya?

Kalaulah agama itu hanya sandaran sebagai upacara kehidupan, apa lagi jalan yang kita ada? Kalau berdoa kepada Allah itu pun dilakukan atas dasar upacara, apakah nilainya?



Barakallahufikum.

No comments: