Friday, October 31, 2008

Antara pokok ruku’, patung menangis, berhala lembu minum susu dan hujah.



Assalamulaikum.

Sedang asyik mengembara di alam siber, aku berlabuh di satu forum perbincangan penganut Buddha (dari Indonesia), berkisar tentang satu perkara yang kembali mengingatkan aku perihal hal-hal ajaib yang pernah berlaku di dalam kehidupan kita ini.

Patung Dewi Kwan Im menangis darah! Ya, itulah yang dibincangkan oleh pengunjung forum berkenaan. Menarik, dengan pelbagai pandangan. Ada yang teruja, ada yang kerisauan memikirkan apakah petanda ‘tuhan’ melalui fenomena itu, ada yang bersyukur seolah-seolah kebenaran semakin kukuh terpasak, memandangkan yang menangis itu adalah antara simbol berpengaruh dalam agama mereka. Namun, seperti biasa, ada juga yang aku percaya,lebih bersikap rasional, mengatakan ianya lebih bersifat sebab dan akibat, cuma manusia belum mengenal pasti perihal sebenar kejadian.

Ingin aku panjangkan hal ini, tetapi lebih kearah realitinya dalam masyarakat Islam masa kini khasnya. Jangan kita semua tidak tahu, sudah begitu lama, setidak-tidaknya semenjak aku sudah boleh berfikir, umat Islam turut disinggahi dengan cerita atau kejadian berdesign hampir serupa dengan perenggan di atas. Anda pasti pernah melihat gambar, membaca atau menonton klip tentang pokok ruku’, ikan tertulis kalimah Allah dsb.

Bagaimana dengan agama selain Buddha dan Islam yang telah aku caritakan sedikit sebanyak sebelum ini? Adakah kejadiaan ajaib berlaku dalam agama Kristian, yang mendorong kebanyakan penganut mereka meyakini kebenaran yang tersirat? Ya, sudah begitu banyak cerita, serta klip video tentang patung Mariam Perawan menangis. Macam-macam version dipaparkan. Penganut Hindu juga begitu, sudah beberapa kali mereka mendakwa (termasuk di Malaysia), berhala lembu/sapi mereka meminum susu.

Ajaib!!

Wahai pembaca yang dirahmati Allah. Jika anda ingin tahu, bukan perkara di atas sahaja yang didakwa berlaku, banyak lagi. Adakah ini semua indicators kebenaran? Aku sama sekali tidak pernah menolak kejadian ajaib, tetapi untuk bergantung kepada hal-hal begini dalam membuktikan kebenaran, aku tidak berani dan tidak rela bertaruh!

Adakah kebenaran sesuatu agama itu cukup dengan hanya mendatangkan hal-hal seperti ini? Andaikan anda memotong tembikai, dengan tidak semena-mena sebahagian tembikai itu ada cop salib di atasnya, apa perasaan anda? Mungkin kita dengan mudah mentakwilkan ianya sebagai kebetulan, tetapi sekiranya yang tercop di atas tembikai itu nama Allah, kita dengan senang lenang menyebarkan berita itu, dengan matlamat menerangkan kebenaran Islam. (banyak sekali website-website seperti ini). Senangnya berdakwah!

Allah menurunkan Al Quran kapada rasulullah SAW untuk disampaikan kepada kita sebagai hujah bagi membuktikan keEsaanNya. Dan haruslah kita semua sedar, rasulullah SAW dalam menjalankan dakwah, baginda begitu beretika sekali,yakni menyampaikan dalam keadaan boleh dicapai oleh akal fikiran manusia yang waras.

Kebenaran itu datang dengan hujah. Dan sifat manusia itu sendiri menghendaki fakta dan bukti dalam penilaian mereka.




Surah AlJatsiyah. Ayat 005.

Pergantian malam dan siang serta rezeki (hujan) yang diturunkan Allah dari langit (awan), lalu dengan hujan itu dihidupkanNya bumi yang sudah mati (kering) dan perkisaran angin, (semuanya) menjadi bukti bagi kaum yang berfikir.

Aku dengan penuh rasa bertanggungjawab ingin mengajak anda semua agar kembali pada Al Quran dan As Sunnah dalam menjalankan tanggungjawab dakwah ini.Tidak salah menggunakan kejadian-kejadian luar biasa, tapi teras kebenaran Islam adalah hujah, berpandukan nas-nas dan dalil-dalil Allah serta sabda junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Kepesatan dakwah Islam zaman kegemilangan dulu berpunca daripada rahmat Allah serta hujah-hujah yang begitu menyentuh logika pemikiran manusia. Islam itu cara hidup, bukan kontra kepada norma kehidupan.

Keajaiban itu subjektif.Allah Azawajjal sendiri menyuruh kita melihat alam ini agar kita nampak akan kebesaranNya. Lihat sahaja diri kita sendiri, pasti kita akan nampak hujah kebenaran tersebut.Tidak perlulah kita sendiri mengada-adakan keajaiban tersebut, yang sebenarnya hanya berdasarkan prasangka kita sendiri yang serba kekurangan ini. Kita mengandaikannya mengikut kepentingan kita atau kumpulan kita semata-mata. Keajaiban telah disalah gunakan!

Apatah lagi kalau keajaiban itu berasal daripada penipuan iblis. Lihat sahajalah bagaimana manusia bertuhankan manusia, semuanya gara-gara menilai kebenaran melalui hal-hal pelik. Berapa ramai orang Islam terpesong dek ajaran Ayah Pin? Gila bukan? Tapi itulah hakikatnya.

Kenang kembali nama-nama sarjana Islam yang telah bejuang di medan dakwah ini. Mereka semua bijak pandai pelbagai cabang ilmu, tapi tidak pernah pula aku ketahui di antara mereka itu berlatarbelakangkan bomoh! Tiada niat meremehkan institusi perbomohan, tetapi sekadar menguatkan pendapatku.

Mantapkan iman kita semua. Moga-moga Allah memberi panduan kepada kita agar sekurang-kurangnya kebenaran Islam itu berdiri teguh dalam hati kita. Dan jika mampu, sampaikanlah kebenaran agama suci ini kepada manusia lain.

p/s:- Tiada yang mustahil disisi Allah, tapi Allah jualah yang menyediakan hujah serta bukti keEsaanNya kepada kita, bagi mereka yang berfikir.

Barakallahufikum.






No comments: