Tuesday, October 28, 2008

Disiplin Berfikir

Perlukah ada disiplin berfikir? Adakah Islam menganjurkan kaedah-kaedah berfikir? Benarkah kelebihan akal ini boleh membawa manusia menyingkap apa sahaja yang dihajati?

Akhir-akhir ini, dengan tidak semena-mena, aku sering terbaca artikel-artikel yang bersifat terlalu kedepan dan juga yang terlalu kebelakang. Tidak perlulah aku berbahasa bahasi di sini, mudahnya ialah tentang kecenderungan beberapa penulis bebas memposting cerita-cerita tentang kiamat, Imam Mahdi, dinosaur, makhluk asing dan dsb.

Perlukah kita terlalu berhabis-habisan dalam hal ini? Adakah ianya tuntutan syarak? Baiklah, aku sentuh sedikit tentang hal kiamat, dengan kapasiti pengetahuanku. Orang Islam wajib beriman dengan adanya hari kiamat. Ya, aku yakin sekali tentang ketibaan hari itu. Banyak firman-firman Allah serta ada surah khas berkaitan kiamat, tidak kurang juga hadith-hadith sahih rasulullah SAW. Malah, Allah sendiri mahukan kita berfikir tentang hari tersebut.

Untuk nampak alam dunia ini, seseorang individu perlu kenal kiamat. Itu antara yang aku pasakkan dalam sanubariku, biar aku tahu alam dunia ini persinggahan belaka, kerana negara sebenar di akhirat sana. Tetapi, adakah keperluan kenal kiamat itu termasuklah mencari atau mengandaikan bila ianya akan berlaku, yang akhirnya, mengikut pandangan aku menyerlahkan kebingungan akal manusia itu sendiri?

Demi Allah, aku tidak pernah ambil ringan pasal kiamat, itulah perkara, selain mati yang boleh memberikan aku instant impact tentang hala tuju hidupku. Tetapi mencari bila kiamat, sehingga terjerumus mencari specific date atau tahun amat tidak aku persetujui!

Mereka-mereka ini selfish!

Dengan bermodalkan alasan ‘ilmu itu tuntutan syarak’ serta ayat cover line ‘kita hanya mampu mengkaji, Allah juga yang menentukan’, gang-gang ini semakin rakus mengeluarkan teori masing-masing. Aduhai saudara seIslamku. Bukan hal-hal itu yang Allah dan nabiNya ingin kita lakukan untuk kemajuan, sebaliknya ssuatu yang memberi manfaat kehidupan, agar kita boleh beribadah dengan lebih tekun lagi.

Bukankah semua ini rahsia Allah, sehingga nabi SAW sendiri pun tidak tahu, juga para malaikat? Janganlah kita cuba melepasi limit pemikiran kita, kerana di samping tidak akan berjaya, ia semakin membingungkan malah boleh membinasakan. Zat-zat Allah jangan cuba dihurai berlebih-lebihan, cukuplah apa yang diterangkan dalam Al Quran dan hadith-hadith sahih sahaja.Lagi-lagi sudah dinyatakan baginda SAW, waktu kiamat itu rahsia Allah belaka.

Fikirlah kiamat itu berlandaskan disiplin Islam(yakni Al Quran dan hadith sahih), kerana Allah itu Maha Mengetahui standard hamba-hambaNya. Sebab itu, suka atau tidak, manusia perlu terima hakikat bahawasanya akal dan ilmu kita ini terbatas. Dan jangan pula dicemuh orang-orang yang tidak sealiran dalam memikirkan kiamat, kononnya malas berfikir atau lagi teruk memfitnah mereka tidak percaya kiamat. Mungkin di satu sudut anda ini percaya kiamat, tapi di satu sudut lagi, anda melampau dalam berfikir! Nauzubillah.

Kenangkanlah tentang kematian kita masing-masing, agar kita sentiasa beringat. Jemputan ke kubur itu tiada kad atau iklannya, Cuma yang ada hanyalah peringatan ini:-


كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَڪُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَ‌ۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ (١٨٥)

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (185)

(Surah Ali Imran- 185)

p/s:- Maha Suci Allah yang Maha Tahu atas segala-gala rahsia dalam rahsia.

Barakallahufikum.




No comments: