Tuesday, January 20, 2009

Merdekakan Pemikiran Yang Dijajah



Assalamualaikum

Kita bukan di bulan kemerdekaan. Dan tulisan aku kali ini sangat umum.

Tajuk aku kali ini adalah sesuatu yang biasa kita dengar, tetapi mungkin isinya bukan sesuatu yang direcycle. Apa-apa pun, aku hanya ingin berkongsi, dan jika layak, ingin menegur sedikit sebanyak.

Bukan untuk memandai-mandai, tetapi mengenangkan kuburku sendiri juga nanti.

Pemikiran dijajah, sinonim dengan sindrom yang terjadi kepada bangsa di sesuatu negara yang pernah dijajah oleh negara luar. Kita pandang Malaysia untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Apapun, kita perlu membezakan antara penjajahan dengan pengaruh supaya kita boleh bezakan unsur asing yang baik untuk diikuti atau yang mencemarkan semata-mata. Oleh sebab itu, aku suka mengikat perkataan jajah itu dengan yang sesuatu mencemarkan.

Kita masih terpalit kesan-kesan penjajahan dalam kehidupan kita. Kesan penjajahan ini tiada yang paling kritikal melainkan penjajahan minda. Gadis-gadis Islam era sebelum kiamat ini tiada berani membuka aurat kalau bukan kerana dijajah mindanya. Dijajah konsep hak asasi.

Tetapi aku bukan mahu membicarakan perihal penjajahan minda oleh pemikiran luar. Di Malaysia, rakyat awam, khasnya umat Islam mengalami sesuatu bentuk penjajahan minda yang kritikal. Ianya aku lihat agak serius, lebih-lebih lagi selepas tsunami politik tahun lalu.

Aku tidak menyokong mana-mana parti pun, dan itulah haluan dan pendirian aku sehingga ke hari ini. Penjajahan pemikiran kepolitikan sungguh memualkan aku.

Maaf kepada yang mula berasa kurang senang. Aku hanya ingin jujur. Seperti yang aku nyatakan dalam perenggan awal, ada bezanya antara pengaruh dan penjajahan. Pengaruh juga boleh sahaja antara pengaruh positif atau negatif.

Minda kebanyakan orang kita kini seperti sudah beku. Apa sahaja keputusan atau pendirian perlu dirujuk kepada sumber-sumber yang berkaitan politik.

Pendirian tidak merdeka. Hitam kata ketua, hitamlah juga pilihannya. Bukan aku mempertikai kewibawaan orang-orang politik, tapi wajarkah kita sentiasa meletakkan mereka-mereka ini diatas landasan pemikiran kita?

Aku mempunyai persepsi yang tertentu terhadap orang politik tertentu, baik pihak kerajaan mahupun pembangkang. Aku tidak diupah mana-mana pihak, sebaliknya aku bicara sebagai seorang Muslim yang merdeka.

Jangan dimanipulasi oleh mereka, kerana kita akan menjadi tidak adil bila berbicara. Jangan ta'asub dan menyokong buta. Kita ada sumber yang lebih terjamin ketepatan dan kejituannya. Al Quran sebagai manual yang sempurna untuk kehidupan, As Sunnah pula adalah praktikal yang tiada cacat celanya.

Sebab itu, bebaskanlah diri daripada penjajahan ini. Kebanyakan mereka memanipulasikan kesusahan hati, kesempitan hidup, harapan menggunung, emosi dan mentaliti kita untuk kuasa. Memang bukan semua, tetapi hendaklah kita sedar bahawasanya mereka ini saling bersaing.

Akhirnya, konsep politik zaman sekarang ini yang tidak lagi bersifat kekhalifahan, sebaliknya seperti satu pertandingan yang akhirnya melahirkan watak-watak yang mencari kemenangan. Bila itu menjadi ukuran, maka terbukalah pelbagai pintu baik yang betul ataupun yang salah.

Merdekakan diri daripada penjajahan ini. Bukan tidak berpendirian untuk mereka-mereka yang tidak memihak mana-mana pihak.

Pendirian aku mudah. Aku juga mahu Islam, tetapi yang tulen, daripada A sampai Z. Bukan yang diolah mengikut kesesuaian masa, kawasan dan kawan. Aku menyatakan apa yang aku rasa benar.

Dan yang paling aku percaya, kemenangan Islam bukan semestinya dituntut melalui jalan politik bermotifkan pilihanraya semata-mata.

Jalan da'awah yang dirintis oleh rasulullah SAW adalah segala-galanya. Menegakkan hukum Allah itu bermula daripada jiwa dan rohani, dan bergerak ke peringkat-peringkat yang sewajarnya secara sistematik. Nabi SAW tidak berjuang dengan caca merba. Hayatilah sirah baginda SAW.

Kita perlu pikul tanggungjawab da'awah ini. Rasulullah menghadirkan dua ilham dalam berda'awah, iaitu da'awah secara sembunyi dan terang-terangan. Tiada pula pernah aku dengar da'awah hanya selepas dapat kuasa atau kerusi.



Sokonglah sesuatu kerana Allah Azzawajjal. Dan biarlah kerana betul-betul seperti yang dikehendakiNya. Untuk tahu apa yang dikehendakiNya, ambillah Islam secara menyeluruh. Bukan ekonomi atau hudud semata-mata.

Hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu bagimu musuh yang terang.

Surah AlBaqarah. Ayat 208.

Itulah yang terjadi didalam medan politik tanah air, bila satu pihak menggila dilapangan yang ini, sementara pihak lawan menggila dilapangan yang satu lagi. Akhirnya, Islam yang sepatutnya difahami sebagai suatu agama yang meliputi keseluruhan kehidupan dilihat sebagai sangat sempit.

Aku menanti mereka yang betul-betul menggerakkan da'awah Islam ini, sebagai memenuhi intipati jiwa yang mengharap rahmat Allah, menjalankan tanggungjawab sebagai hamba dan kerana cinta kepada sesama manusia, atas prinsip kebanaran.

Tidak mengapa jika ada yang sangsi mahupun benci. Selagi mana tidak bercanggah dengan syarak, aku pohon Allah lindungi jiwaku ini. Aku menyeru kita berani untuk mengatasi tekanan penjajahan ini dengan kembali kepada Islam yang tulen.

Sesungguhnya, dihujung kepayahan itu tentu ada cahaya. Dan akhirat itu sangat berat bagi mereka yang berfikir.

Barakallahufikum.

1 comment:

Anonymous said...

Salam.

Saya terlihat hasil penulisan yang hampir sama di sini..

http://www.scribd.com/doc/12394675/Penjajahan-Masa-Kini