Saturday, January 17, 2009

Hayati Hakikat Kematian dan Berda'awahlah


Assalamualaikum

Semenjak zaman kanak-kanak, aku sudah tersentuh dengan apa yang dipanggil dengan mati. Ibu dan ayahku membesarkan aku dengan memasukkan unsur mengingati mati dalam membentuk minda dan jatidiriku.

Ayah sering 'mengacah' untuk meninggalkan aku atau mati setiap kali aku membuat kesilapan yang signifikan. Dan terus terang, walaupun kadangkala aku tahu ayah hanya bergurau, aku tidak pernah tidak berasa sedih dengan gurauan ayah aku itu, yang aku anggap sebagai senjata keramat beliau untuk menanganiku.

Ibu pula memanfaatkan kesan yang diberi oleh filem klasik 'Batu Belah Batu Bertangkup' terhadap jiwaku. Filem yang meruntun jiwa ini betul-betul menyentuh naluriku. Bila aku degil atau nakal yang melampau, ibu aku mengulang dialog makcik yang ditelan batu tersebut akibat kecewa dengan anaknya yang bernama Pekan.

Kelakar bila dikenang semula, tapi semua itu secara tidak langsung mengajarku tentang kesedihan, kehilangan tapi yang paling besar sekali ialah tentang 'mati' itu sendiri.

Kesedihan, kehilangan dan perpisahan merupakan unsur-unsur yang menyeksa jiwa. Unsur-unsur ini hadir apabila terjadi sesuatu yang tidak menyenangkan. Sedih sebab gagal dalam peperiksan, sedih sebab ditipu orang, hilang duit atau harta, hilang kerusi atau kuasa, berpisah dengan anak yang pergi merantau dsb.

Tetapi mati meliputi begitu banyak unsur yang menyentap jiwa. Bila ada orang berdekatan dengan kita pergi selamanya, bukan setakat perasaan sedih, rasa kehilangan dan pedih perpisahan yang kita alami, malahan lebih daripada semua itu.

Ke mana mereka? Siapa yang ambil dan bawa pergi nyawa mereka? Apa yang akan dihadapi oleh mereka? Bila agaknya dapat bertemu dengan mereka?

Banyak sekali misteri yang wujud, kerana mati itu menjadikan kehidupan di dunia ini tinggal sejarah. Tetapi, apa ada disebalik kejadian kematian bagi mereka yang belum mati? Ini persoalan yang wajar kita renungkan.

Apa guna segala ratapan yang melampau apabila seseorang yang kita sayang pergi selamanya? Adakah itu moral disebalik kematian? Adakah itu yang Allah dan rasulNya mahu kita fahami?

Sedangkan rasulullah SAW sangat melarang keras tindakan meratap kematian. Cukuplah sekadar ada perasaan berduka cita kerana itu memang terkandung dalam naluri manusia, dan sekali lagi, Islam tidak pernah menghalang keperluan jiwa. Mahu sedih, sedihlah tetapi jangan melampau.

Jadi, apa yang sebenarnya ada disebalik semua ini?

Tepuk dada tanya selera. Kematian orang lain adalah generator untuk mengusik kalbu kita, bahawasanya satu hari nanti akan tiba giliran kita pula.

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati..

(Surah Ali Imran- 185)

Dan persoalan-persoalan yang dilemparkan tadi akan beralih arah kepada diri kita sendiri. Di manakah aku? Siapa yang ambil dan bawa pergi nyawaku? Apa akan terjadi padaku?

Baliklah kepada agama agar misteri kematian ini terungkai. Dan ketahuilah, tiada mana-mana agama selain Islam yang dapat meninggalkan kesan mendalam kepada jiwa kita ini dalam hal berkaitan mati.

Bukanlah maksudku untuk menguji agama mana lagi menyeramkan bila menyentuh aspek kematian, tetapi, apabila mengenangkan mati itu pasti, bukan fiksyen, jiwa ini pasti mahukan sesuatu yang boleh dijadikan kayu pengukur untuk menyedarkan diri ini.

Ingatlah, tiada orang boleh menceritakan pengalaman kematiannya kepada orang lain.

Begitu banyak ayat-ayat berkaitan mati dalam Al Quran, hayatilah. Begitu juga pesan rasulullah SAW kepada kita. Mati itu boleh menjadi punca kesedaran yang amat-amat kuat.

Kita perlu lekas sedar, bahawasanya hidup kita ini hanyalah untuk dimatikan olehNya, dan kemudian segala timbang tara akan diadakan sebagai menilai amal perbuatan kita semasa diberi izin untuk hidup. Akhirat itu akan tiba.

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Surah Ali 'Imran- Ayat 185.

Kita akan ke rumah atau lebih tepat bilik kita sendiri, yang tiada isteri, anak-anak, kawan-kawan dsb bersama dengan kita. Kita ditinggalkan bersendirian. Bilik yang bernama kubur itu permulaan bagi segalanya dalam menuju destinasi terakhir kita.

Sekali lagi, aku berpesan kepada diriku dan semua, hayatilah kematian. Rasulullah SAW ada berpesan dalam satu hadith bahawa orang yang bijak adalah mereka yang sentiasa mengingati mati.

InshaAllah, kita kan nampak dengan lebih jelas akan keperluan sebenar berada di pentas dunia ini. Keperluan untuk menjadi khalifah bumi yang memilih Allah sebagai penaung, bukan nafsu dan akal singkat kita semata-mata.

Biarlah apa orang hendak kata, perjalanan da'awah ini perlu kita dukung dengan kekuatan hati yang sentiasa disulami dengan ketauhidan yang sebenar, minda dan akal yang sentiasa dijana oleh pendedahan dan contoh oleh Al Quran dan Sunnah baginda SAW serta perasaan kasihkan sesama insan, atas prinsip kebenaran.

Pergilah kepada masyarakat, baik Islam atau tidak, dan khabarkan kepada mereka akan perihal kematian, inshaAllah mereka akan tersentuh, walaupun dalam pengalamanku, ramai sahaja yang lebih gemar memilih untuk ignore atau tidak ambil pusing tentang hal ini.

Cinta kepada kehidupan dunia ini sangat indah dan mengkhayalkan!



Agama Islam bukan menyuruh kita mengingat mati supaya kita menjadi mundur, tidak sama sekali. Malah disuruhnya kita berfikir tentang hal ini supaya kita lebih jelas dan disiplin dalam menyusun kehidupan yang sementara ini.

Tanyalah penganut Kristian, walaupun mereka percaya akan penebusan dosa oleh Jesus, adakah jiwa mereka tenang untuk menerima kenyataan yang semua manusia itu sudah bersih daripada segala dosa? Jika ya, mengapa perlunya penebusan dosa oleh para paderi, dan jika ya juga, mengapa masih ada orang mereka yang ingin berda'awah? Bukankah semua manusia sudah bersih?

Seolah-olah semua manusia akan mati sebagai orang baik, dan syurga akan diperolehi nanti. Neraka sudah tidak relevanlah kalau begitu.

Penerangan tentang kematian dan dunia selepas itu oleh agama lain terlalu bercelaru, sedangkan manusia mahu satu sumber yang boleh membantu mereka untuk mendalami hal yang sangat misteri dan besar ini.

Sebab itulah kita perlu kenalkan Islam kepada semua agar sesiapa pun berpeluang untuk kenal kebenaran seterusnya berusaha unutk memperoleh jalan yang selamat nanti.

Aku hanya memberi cadangan dalam kita memulakan langkah da'awah ini, baik untuk diri kita sendiri juga untuk orang yang ingin kita da'awahkan. Da'awah itu tanggungjawab, bukan kerjaya. Sediakanlah zahir dan batin kita dalam menghadapi onak duri dalam melunaskan tugasan ini.

Sedarlah, segala ketaatan, impian, harapan dan ketakutan hanyalah kepada Allah SWT.

Barakallahufikum.

No comments: