Saturday, January 3, 2009

Apa Yang Kurang Agaknya?


Assalamualaikum

Umur aku hampir mencecah 26 tahun inshaAllah. Dan sudah hampir 21 tahun aku mengenal erti solat Jumaat. Dan sudah hampir 18 tahun, seingat aku, doa di setiap khutbah Jumaat yang terkandung rintihan berbunyi " Ya Allah, selamatkanlah saudara-saudara kami di Palestin, Iraq, Afghanistan, Bosnia dan di serata dunia yang kini sedang menghadapi ujianMu." telah kudengari.

Dan hampir 18 tahun juga aku dengar, dalam doa yang sama, satu rintihan yang penuh harapan, " Ya Allah, hancurkanlah Zionis, Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu mereka yang menentang agamaMu." Lebih kurang begitulah doa yang aku dengari setiap khutbah Jumaat di tanah air kita.

Dan aku percaya, baris-baris doa tersebut berusia lebih tua daripadaku.

Solat hajat pula tidak terkira ribuan rakaatnya, memohon agar diberi perlindungan kepada saudara-saudara yang tertindas serta dihancur luluhkan musuh-musuh durjana tersebut.

Dan di era moden ini pula, sudah beratus juta umat manusia turun berdemonstrasi, dengan membawa masej yang serupa.

Tapi, makin lama aku rasa situasinya bertambah runcing. Dengan tempat-tempat tradisi seperti Palestin dan Iraq terus diperkosa, muncul pula yang lain, seperti di selatan Thai, Mindanao, Timor Leste, Somalia, Chech dan mungkin akan bertambah lagi.

Dan seperti biasalah, semua yang tersenarai itu adalah negara-negara atau kawasan Muslim, yang beragama Islam, agama yang diredhai Allah Azzawajjal, yang disebarkan oleh manusia teragung, Muhammad SAW.

Benarlah sabda rasulullah,

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'".Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu ya Rasulullah?" Nabi kita nenjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".

(H.R. Abu Daud)


Ya, kita sedang diserang penyakit 'wahan'. Tapi harus diingat, tidak Allah sengaja mencampakkan virus itu ke hati kita, kalau bukan kita sendiri yang menjemputnya.

Orang-orang yang sangat mencintai kehidupan dunia ini, ganti kehidupan hari kemudian. Mereka menyimpang dari jalan Allah, dan mengusahakan jalan bengkok. Itulah orang-orang yang jauh tersesat.

Surah Ibrahim. Ayat 003.



Berbalik kepada usaha-usaha yang kita lakukan. Apa yang kurangnya? Doa telah mencapai tahap istiqamah (dilakukan dengan tetap), solat hajat sudah beribu-ribu rakaat, demonstrasi sudah taraf raksasa, pertubuhan kebajikan beranak-pinak, kutukan oleh pelbagai kerajaan terhadap pelaku yang zalim ini makin lama makin lantang dsb.

Adakah Allah tidak memperkenankan doa kita? Adakah Allah tidak mengizinkan hajat kita?

Apalah yang kita boleh buat kalau itu sahaja usaha kita? Bukankah Allah telah berfirman:

..Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..

Surah AlR'ad. Ayat 011.

Allah itu Maha Adil. Tiket sebagai Muslim tidak menjamin kita untuk senantiasa beroleh pertolongn dan rahmatNya. Sebab itulah kita perlu sedar mengapa di dalam Al Quran, Allah memanggil hambaNya dengan pelbagai perkataan seperti 'Wahai Insan', 'Wahai Orang-orang Yang Beriman' dsb.

Kerana akhirnya darjat kita diukur melalui taraf iman kita. Belum tentu seorang Muslim itu mempunyai keutuhan iman. Tepuk dada tanya selera.

Aku sangat sedih dengan apa yang menimpa saudara-saudaraku di Palestin, di Iraq, di Selatan Thai dan lain-lain, tapi yang paling sedih ialah apabila mengenangkan diri ini serta umat Islam, baik disekeliling mahupun keseluruhannya, yang masih alpa dan terkinja-kinja, mungkin kerana mula diresapi wabak wahan itu, Nauzubillah.

Apapun, inilah zahir kepada apa yang Allah dan rasulNya sudah dedahkan kepada kita. Cuma terletak atas diri kita sendiri, nasib apa yang ingin kita pilih untuk menjadi kisah hidup kita sendiri.

Adakah kita memilih mahu menjadi mereka yang mengabaikan petunjukNya, adakah kita ingin memilih menjadi mereka yang kufur akan nikmatNya, adakah kita ingin memilih menjadi mereka yang disesatkanNya?

Atau adakah kita, dengan penuh rasa insaf memilih untuk berjuang di jalanNya, mengorbankna harta dan masa kita semata-mata untuk perkembangan agamaNya? Jawablah dan laksanakanlah wahai saudaraku.

Ayuh kita angkat 'senjata', kita berjuang lillahitaala. Mulakanlah episod baru ini dengan taubat kepadaNya, dan usahalah memantapkan iman.

Orang-orang yang sebenarnya beriman itu hanyalah mereka yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian itu tiada pernah ragu-ragu dan mereka berjuang di jalan Allah dengan harta dan dirinya. Itulah orang-orang yang benar.

Surah AlHujurat. Ayat 015.


Luaskanlah peranan dalam berjihad, mari kita kembali menguasai semuanya (ilmu, ekonomi, kuasa), bukan untuk kroni kita, tetapi sebagai menyahut tanggungjawab seorang hamba.

Telah rasulullah SAW dan para sahabat serta orang-orang yang mulia tunjukkan jalan dan contoh dalam perjuangan ini. Kita hayatilah bersama-sama.

Islam akan kembali memekar. Islam akan kembali memeluk kemenangan yang sewajarnya menjadi miliknya. Kebenaran tiada gantinya, walau sekuat mana usaha puak kufar mahu merubahnya.

Berdoa dan berusahalah agar kita menjadi salah seorang daripada mereka yang akan mempertaruhkan jiwa dan raganya serta ilmu dan fikirannya untuk kebangkitan seterusnya kemenangan Islam yang tulen ini, inshaAllah.

Daripada Mughirah bin Syu' bah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda, "Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah suatu saat yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka sentiasa berjaya".


(H.R. Bukhari)


Aku mengharapkan agar anda semua hayati luahan ini. Dan doakanlah agar aku dapat beristiqamah untuk perjuangan ini.



Sama-samalah kita, inshaAllah.

Barakallahufikum.

No comments: