Tuesday, January 6, 2009

Kita Perlu Menyerang Untuk Bertahan


Assalamualaikum

Bertahan adalah satu ungkapan yang membawa erti sesuatu itu sedang melindungi kepentingannya daripada ancaman pihak lain.

Bertahan juga kita boleh faham sebagai mewujudkan satu unsur mendesak yang dikenakan keatas diri sendiri bagi meneruskan sesuatu yang penting, mengikut penilaian si pelaku, misalnya seseorang yang mendesak dirinya untuk mempertahankan keputusannya memeluk Islam sekalipun ditentang hebat oleh ahli keluarganya.

Mudahnya, bertahan adalah satu aktiviti yang boleh dikatakan kerap dilakukan oleh manusia, cuma yang membezakan ialah situasi dan kaedah yang diguna pakai oleh pelaksana.

Kekuatan pendirian atau prinsip seseorang atau kumpulan itu terletak kepada sejauh mana kesanggupan mereka untuk mencari ikhtiar bagi mempertahankan pendirian itu.

Islam merupakan satu agama yang mempertahankan kebenaran tulen. Sebab itu agama yang suci ini berdiri dengan dalil-dalil dan nas-nas daripada Al Quran serta As Sunnah. Islam bukan agama yang wujud daripada kotak pemikiran manusia yang banyak kekurangannya. Islam hadir melalui ilmu Pencipta Yang Maha Bijaksana.

Sesungguhnya agama (yang benar) pada sisi Allah ialah Islam...

Surah Ali'Imran. Ayat 019.


Islam hadir untuk meletakkan kebenaran di tempatnya, seterusnya mempertahankannya. Islam tidak membangunkan tugu atau monumen sebagai lambang kebenaran, tetapi Islam membangunkan sesuatu yang bernama tauhid di dalam sanubari manusia, seterusnya akan membentuk akidah dan memperkasakan keimanan manusia tersebut.

Islam agama yang menyerang, samada ketika mahu membangunkan kebenaran itu mahupun ketika mempertahankannya.

Senjata yang digunakan dalam serangan itu sangat hebat. . Senjata yang bernama da'awah itu bukan sahaja berperanan untuk menyerang naluri manusia,malah ianya sangat berkesan dalam mempertahankan kebenaran Islam.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang wajib kita ikuti. Baginda SAW meggunakan hujah, samada ketika mahu mengembangkan syariat Islam atau semasa mempertahankannya daripada cuba dipersenda atau dijerat oleh Musyrikin Mekah serta Bani-bani Yahudi di kota Madinah.

Kami tidaklah mengutus engkau, kecuali akan menyampaikan khabar gembira dan memberikan peringatan.

Surah AlFurqaan. Ayat 056.



Dari Aisyah r.a. katanya: "Ketika sakit Nabi bertambah berat, beliau meminta kepada semua isteri beliau, supaya ia diizinkan selama sakit ia dirawat di rumah ku, dan mereka semua mengizinkannya. Lalu Nabi pergi (ke rumah Aisyah) dipapah oleh dua orang laki-laki, sedangkan kedua belah kaki beliau tercecah menggaris tanah di antara kedua orang laki-laki itu, iaitu Abbas dan yang seorang lagi." Kata Ubaidillah, "Cerita Aisyah itu kuceritakan kepada Abbas, lalu dia menanyakan kepada ku, 'Tahukah engkau, siapakah laki-laki yang seorang lagi itu?' Jawab ku, "Tidak!" Katanya, "Dia adalah Ali." Selanjutnya Aisyah menceritakan juga, bahawa setelah Nabi saw. berada di rumahnya, sedangkan sakit Nabi bertambah keras juga, maka beliau bersabda, "Siramkanlah kepada ku tujuh girbah air yang masih utuh, mudah-mudahan aku segera dapat melaksanakan dakwah kembali kepada orang banyak." Lalu Nabi didudukkan ke dalam sebuah bak mandi terbuat dari kuningan, kepunyaan Hafshah, isteri Nabi saw., kemudian beliau kami siram dengan air yang disuruhkan Nabi, sampai beliau memberi isyarat kepada kami, 'Sudah cukup." Sesudah itu beliau pergi (ke mesjid) , menemui jamaah."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0135.


Hanya ketika musuh bertindak liar dengan mengangkat senjata bagi membendung perkembangan Islam, barulah baginda SAW dan para sahabat mengangkat senjata juga dan berkorban nyawa untuk berjihad.

Mudahnya, Islam ini berdiri dengan hujah dan fakta daripada dua sumber utama, iaitu Al Quran dan Hadith rasulullah SAW.

Apa yang ingin aku sentuh kali ini ialah perihal Muslim era penghujung zaman, yang seperti hilang arah setiap kali pihak bukan Islam cuba melakukan asakan kepada penganut Islam, samada secara langsung ataupun tidak.

Di tanah air kita kini, pihak gereja sedang berusaha keras untuk mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri bagi meluluskan permohonan menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible mereka, sebagai ganti nama tuhan, serta kebenaran untuk mencetak Bible di dalam bahasa Melayu.

Mengapa hal ini boleh terjadi?


Pada aku, mudah sahaja. Kita perlu terima hakikat bahawa mereka juga ada konsep da'awah dalam agama mereka. Mereka juga ada kepercayaan bahawasanya agama mereka itu benar, dan ada keharusan untuk disebarkan. Mereka juga percaya agama mereka boleh menyelamatkan manusia. Itu logiknya mengapa mereka semakin berani.

Apa yang kita perlu lakukan dalam menghadapi keadaan ini? Aku tidak memandang situasi ini sebagai serangan terhadap Islam semata-mata, tetapi ianya lebih kepada hukum dalam berjuang.

Mereka sudah pasti ada aim atau sasaran mereka, boleh jadi mereka ingin mengKristiankan seberapa ramai manusia yang boleh.

Dan memohon penggunaan kalimah Allah dan pencetakan Bible dalam Bahasa Melayu adalah strategi mereka, dan itu adalah urusan da'awah mereka.

Yang aku ingin kita fikirkan di sini adalah apa respon kita sebagai umat Islam, yang merasakan tindakan mereka ini sebagai satu serangan?

Aku tidak mahu bicara politik di sini, sebab aku bukan mencari keuntungan apa-apa pun. Cumanya, sebagai umat Islam, kita harus sedar bahawa perhitungan kita selama ini dalam memperjuangkan serta mempertahankan kebenaran serta kesucian Islam adalah sangat daif, naif dan menyedihkan!

Kembali kepada perengggan-perenggan awal, aku ada menyatakan bahawa Islam memiliki satu senjata ampuh, baik untuk penyebaran mahupun ketika bertahan. Itulah fakta dan dalil, yang datang daripada Kalamullah dan Sunnah nabi SAW, yang hanya boleh disebarkan melalui da'awah yang baik dan berkesan.

Masalahnya hari ini, bukan da'awahnya tidak baik atau tidak berkesan, tetapi hampir tiada langsung da'awah yang dilakukan, lebih-lebih lagi bila muncul keadaan gawat begini. Aku tidak memihak atau memanah mana-mana pihak, aku hanya ingin kita berfikir sejenak.

Kita begitu sensitif bila datang hal-hal begini, hingga kita lupa bagaimanakah protokol yang diajar oleh Islam dalam mempertahankan kesucian agama Allah ini. Kita hanya melaung-laungkan slogan 'MARI MEMPERTAHANKAN ISLAM', mencari pihak mana yang perlu dipersalahkan dan akhirnya hal-hal seperti ini tidak lebih hanya menjadi polemik dalam kancah politik, yang dipergunakan selagi memberi untung dalam kotak undi!

Pihak yang berkuasa pula hanya mempertahankan hal-hal ini, seolah-olah ianya hanyalah isu yang bersifat sementara. Cukupkah sekadar menghadapi kemaraan ancaman ini dengan menolak permohonan pihak gereja itu semata-mata? Akhirnya manusia itu mahukan kejelasan sesuatu fakta agar mereka boleh menerima sesuatu penolakan itu dengan kefahaman tentangnya.

Kita tidak boleh terus-terusan begini, kerana akhirnya kita tetap menjadi buruan mereka semua. Allah Azzawajjal, melalui kekasihNya sudah memaklumkan tentang perihal umat Islam akhir zaman yang akan dijadikan hidangan oleh bangsa-bangsa lain yang bukan Islam. Takut bukan.

Aku tidak menyokong tuntutan itu, cumanya kita harus sedar tentang hakikat disebalik kalimah Allah yang suci itu.

Kalimah itu ada maksud bahasa, iaitu tuhan. Allah adalah Allah di dalam isitlah Islam, tetapi didalam istilah Arab, Allah itu juga tuhan. Aku bukan hendak mengelirukan sesiapa disini, cuma sekadar mahu kita berfikir.

Allah itu tuhan manusia, bukan tuhan umat Islam semata-mata. Cumanya jalan untuk dekat padaNya hanyalah Islam, yang dibawa oleh junjungan tercinta Muhammad SAW. Kita harus sedar hakikat ini.

Sebab itulah kalau kita fahami betul-betul ayat-ayat Al Quran yang mengandungi penafian oleh Allah Azzawajjal tentang dakwaan penganut agama Kristian bahawasanya ada tuhan bapa, tuhan anak dsb, kita akan sedar tentang logik disebalik penafian oleh Allah itu.

Kerana yang disangka sebagai bapa atau anak atau apa sahaja itu adalah Allah. Sebab itulah apabila Yahudi datang kepada rasulullah SAW untuk bertanyakan perihal sebenar tuhan, Allah SWT telah mewahyukan baginda dengan Surah Al Ikhlas.

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
"Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

Surah Al Ikhlas. Ayat 001-004

Abdullah bin Abdul Muthalib, bapa baginda SAW bukan seorang Islam, malah dalam satu hadith, baginda ada menyatakan bahawa bapanya adalah penghuni neraka. Tetapi maksud nama bapa baginda SAW itu ialah 'Hamba Allah'. Dapatkah para pembaca sekalian lihat kaitannya?

Aku bukan mengada-adakan hujah atau dalil, tetapi ini adalah hakikat yang harus kita fikir dan selidiki.

Semua manusia, baik Islam atau tidak adalah hamba Allah, iaitu tuhan. Cumanya manusia yang memilih jalan sesat telah memanggil dengan nama lain, atau mengadakan sekutu kepadaNya, atau terus merubah kefahaman tentang tuhan itu mengikut hawa nafsu mereka, yang aku percaya sebagai punca wujudnya berhala!

Di snilah pihak agama lain sebenarnya cuba mencari peluang untuk mendapatkan perhatian penganut Islam. Bila Allah itu diwujudkan dalam satu lagi versi iaitu versi Kristian, secara tidak langsung mereka pasti percaya bahawa ada kemungkinan umat Islam tertentu yang bakal terkeliru.

Aku tidak menolak kemungkinan ini, tetapi aku percaya di sebalik risiko akibat tindakan agresif mereka dalam melebarkan da'awah mereka ini, pasti tersembunyi satu peluang yang lebih besar untuk kita manfaatkan bagi survival umat Islam itu sendiri.

Sebab itulah kita perlu menyerang untuk bertahan, dan seperti di perenggan-perenggan awal, aku sudah mengatakan yang hanya dengan da'awahlah kita boleh melakukannya.

Kita tidak perlu takut. Bukankah kita ini menganut agama yang benar dan diterima Allah, penuh dengan fakta serta menyokong keperluan naluri manusia dalam apa jua keadaan, memiliki konsep tauhid yang paling benar dan tulen?

Sedangkan mereka penganut Kristian yang menjunjung satu ajaran yang penuh dengan andaian begitu bersemangat dan berani dalam melebarkan ajaran mereka, mengapa tidak kita?

Peperangan mencari kebenaran ini harus kita lancarkan. Mari kita dalami Islam itu, dan keluar berhujah dengan mereka kiranya perlu.

Bukan untuk menutup mulut mana-mana pihak, sebaliknya untuk membuka jalan kepada manusia bagi mengenali kebenaran yang tulen.

Jika mereka ingin memerangkap umat Islam terutamanya orang Melayu dengan kalimah Allah dan Bible dalam Bahasa Melayu, mereka secara tidak langsung telah merobohkan dinding yang wujud dalam hati sebahagian penganut agama mereka yang percaya Allah itu nama tuhan orang Islam.

Mereka sendiri akan mula kenal Allah, dan inshaAllah jika kita turun ke medan da'awah dan menggunakan pendekatan yang mudah, tepat dan bernas seperti yang disaran oleh rasulullah SAW, golongan Kristian ini akan dapat mengenal Allah versi yang tulen, dan sudah pastilah Allah itu seperti yang diterangkan olehNya dalam Al Quran, bukan seperti kepercayaan mereka (Kristian) yang penuh andaian dan korupsi.

Mungkin nada ku berbunyi terlalu yakin, tetapi mengapa kita harus ragu akan kebenaran Islam? Dan bukankah kita ini dipertanggungjawabkan untuk menyebarkan risalah Illahi? Hayatilah khutbah terakhir rasulullah SAW, pasti kita akan beroleh ilham dalam melayari kehidupan sebagai hamba Allah SWT.

Dan bukankah Allah dan nabiNya telah menjanjikan kemenangan bagi mereka yang betul-betul berjuang di jalanNya? Apa yang hendak kita was-waskan lagi?

Daripada Mughirah bin Syu' bah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda, "Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah suatu saat yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka sentiasa berjaya".

(H.R. Bukhari)


Mungkin kemanisan kemenangan itu tidak dirasa semasa hidup ini, tetapi percayalah yang Allah itu Maha Adil, dan akhirat itulah negara yang kekal abadi.

Kita mantapkan ilmu kita dalam menghadapi hari-hari yang makin mencabar ini. Ingat semua, satu persatu perkara yang didedahkan oleh baginda SAW dalam sabdanya sudah berlaku, dan ini semua menunjukkan betapa hampirnya Kiamat itu, tetapi dalam masa yang sama, untuk mereka yang berfikir, kemenagan da'awah Islam itu juga makin boleh dirasai. Indah sungguh kalau kita terlibat sama dalam menegakkan kebenaran agama suci ini.



Barakallahufikum.

No comments: