Friday, March 27, 2009

Maksimumkah Modal Insan?



Assalamualaikum

Istilah modal insan telah dipopularkan oleh Perdana Menteri semasa negara kita. Di zaman teknologi dan duit ini, manusia telah diterapkan dengan pelbagai pemahaman seperti kebolehan berdaya saing, Melayu Glokal, Insan Madhani, Islam Hadhari dsb.

Semua baris-baris ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai satu injection atau suntikan kepada masyarakat atau insan, demi memaksimumkan produktiviti insan tersebut.

Namun, apa yang ingin aku utarakan disini adalah fokus yang dilemparkan terhadap usaha ini. Jika kita ambil negara kita sebagai contoh, kita boleh lihat bahawa usaha pembangunan modal insan ini berjalan dalam satu skop yang agak sempit.

Tumpuan yang boleh dikatakan keterlaluan dijalankan terhadap usaha melahirkan insan yang boleh menyapu bersih semua A dalam peperiksaan, membentuk insan yang berproduktiviti tinggi dalam bidang ekonomi, mewujudkan insan yang berjatidiri nasionalisme yang keras dsb.

Wajarkah hal-hal ini diberikan fokus sedemikian? Apakah sebenarnya yang kita, manusia, perlu sedar dan ambil tindakan dalam mengembalikan kehidupan kita dan manusia disekeliling kita kepada landasan yang sebenar-benarnya selamat?

Adakah cukup dengan melahirkan insan yang berkeputusan cemerlang dalam peperiksaan, bergaji dan berjawatan tinggi, semangat kebangsaan yang meluap-luap dsb? Maksimumkah modal insan itu sendiri dengan semua ini?

Tanpa menafikan hal-hal diatas ini ada kepentingannya, kita harus sedar bahawa insan harus diluntur jiwanya dengan tauhid dan akidah Islam yang tulen, kerana insan adalah hamba kepada Pencipta yang Maha Agung, iaitu Allah Azzawajjal.



Modal insan yang sepatutnya kita lahirkan ialah insan-insan yang faham akan relevannya Islam untuk dijadikan sebagai panduan mutlak kehidupan manusia.

Mudahnya, modal insan itu adalah mereka-mereka yang jatidirinya Islam serta tugas tetapnya adalah berda'awah!

Adakah rasulullah SAW menegah sahabat-sahabat baginda RA daripada menuntut ilmu? Pernahkah baginda SAW melarang sahabat-sahabatnya RA memajukan ekonomi mereka?

Tidak pernah sama sekali, malah ramai sekali sahabat-sahabat baginda SAW yang terkenal kerana kehebatan ilmu dan kekayaan mereka seperti Ibn Abbas RA, Saidina Ali RA dalam bidang ilmu serta Saidina Uthman Affan RA dan Abdul Rahman bin Auf RA dalam bidang ekonomi.

Nah, apakah tarbiyah nabi SAW terhadap sahabat-sahabat RA? Apa yang paling utama dilakukan oleh baginda SAW dalam melahirkan modal insan ini?

Acuan yang berlandaskan Al Quran dan sunnah bagindalah yang telah menjana kewujudan modal insan yang maksimum ini.

Setakat hendak melahirkan insan yang pandai, maju dalam ekonomi dan bertaat setia terhadap negaranya bukanlah sesuatu yang terlalu istimewa, kerana kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri betapa banyaknya negara dan bangsa yang bukan Islam sudah mencapai kejayaan ini.

Tetapi, untuk melahirkan modal insan yang bermula dengan rohani yang suci dan betul memerlukan kita untuk kembali kepada pendidikan ala madrasah nabi SAW, yang para pelajarnya adalah sahabat-sahabat RA yang agung.

Insan harus dijelaskan dengan fokus sebanar kehidupan, iaitu mengangkat kalimah tauhid ke tempat yang tertinggi. Pendidikan, ekonomi, siasah dsb merupakan sebahagian jalan yang harus dimanfaatkan demi tujuan ini.

Seperti mana bertaburannya modal insan yakni para sahabat RA ke serata dunia selepas lengkapnya Islam yang disampaikan oleh nabi SAW, itulah juga yang harus kita teladani dan jadikan sumber ilham dalam meneruskan survival kita.

Oleh itu, samada kita berada di lapangan pendidikan, ekonomi, politik dan apa sahaja, da'awah adalah tugas dan tanggungjawab utama kita. Tidak perlu menunggu hingga ada title ustaz, mufti dsb untuk berda'awah. Tidak perlu juga menunggu hingga habis menghafadz Al Quran untuk berda'awah.

Seperti sabda nabi SAW yang bermaksud sampaikanlah kata-kata baginda SAW walau sepotong ayat.

Barakallahufikum.

Thursday, March 19, 2009

Menang Kalah Yang Mutlak


Assalamualaikum

Manusia mencari kemenangan. Tiada siapa yang mahukan kekalahan. Bila kita lihat dunia ini, boleh dikatakan semua manusia, secara sedar atau tidak, berjuang mencari kemenangan tersebut. Paling tidak pun, manusia akan bertungkus lumus untuk tidak kalah dalam lapangan yang diceburi oleh mereka.

Walaubagaimanapun, nilai kemenangan itu adalah bersifat subjektif, iaitu bergantung kepada penilaian individu itu sendiri.


Lagi pula bila kita bicara tentang definisi kemenangan dan kekalahan dalam era manusia yang semakin jauh dengan ketulenan agama. Kita boleh saksikan bagaimana tiadanya sempadan dosa dan pahala serta maruah dan etika dalam manusia menjejaki sasaran mereka ini.

Misalnya dalam bidang politik, asal sahaja ada ongkos, penilaian tentang hal ini boleh sahaja berubah. Mereka yang terlibat tidak segan silu membeli label kemenangan itu dengan wang ringgit, bukan dengan kejujuran dan ketelusan.

Taktik kotor, serangan peribadi, menjaja fitnah, pengundi hantu, langgar prinsip dan banyak lagi menjadi sesuatu yang halal dalam proses menjana kejayaan di lapangan politik dunia amnya dan politik Malaysia khasnya, yang kalau kita amati akhir-akhir ini, sudah sampai ke satu tahap yang begitu teruk!

Sehinggakan mereka yang bergerak dengan nama agama juga tidak terlepas daripada melakukan perkara yang serupa.

Semuanya gara-gara kemenangan yang diukur oleh manusia itu sendiri. Demokrasi menyebabkan manusia menjadi khayal. Perjuangan dilihat daripada konteks yang berbeza dengan apa yang dianjur oleh Islam.

Kekeliruan dalam menilai erti kemenangan yang sebenar boleh diatasi jika kita memanjangkan view atau penilaian kita terhadap maksud kehidupan itu sendiri.

Apabila kita sedar hakikat tentang kehidupan selepas kematian, inshaAllah kita akan tahu betapa rasionalnya memadankan perbuatan kita di dunia ini dengan ciri-ciri pemenang yang mutlak, yakni mereka yang akan ditempatkan di syurga Allah SWT.


Sebab itulah memikirkan tentang kejadian hari akhirat, yang tiada lain selain menjadi satu perbicaraan yang melahirkan resolusi akhir iaitu syurga dan neraka, adalah sangat kritikal dan relevan!

Kita semua hanya ada dua sahaja destinasi, bahagia iaitu syurga atau sengsara iaitu neraka. Inilah dia menang dan kalah yang mutlak.

Mutlak? Ia, kerana kelayakan untuk berada di salah satu tempat ini akan diberikan oleh Allah Azzawajjal, yang mana ianya terjamin adil dan saksama.

Bukankah Allah itu Hakim yang paling Adil?

Surah AtTin. Ayat 008.


Kemenangan akhir ini sangatlah tulen, tiada taktik atau nilai wang yang mampu membelinya. Dan Allah, sebagai Penguasa yang Maha Bijaksana tidak akan tersalah dalam penghakimanNya.

Dan sedarlah semua, amal perbuatanlah yang akan menjadi perkara yang diadiliNya nanti. Sebab itulah mengerti kehidupan selapas kematian sangat rasional dalam meniti kemenangan yang mutlak ini.

Dan neraca pada hari itu betul, maka siapa yang berat timbangan (kebaikannya), itulah orang-orang yang beruntung.

Dan siapa yang ringan timbangan (kebaikannya), itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka tidak mempercayai keterangan-keterangan Kami.


Surah AlA’raaf. Ayat 008 - 009.


Apabila kita berbicara tentang amal, janganlah pula kita alpa dengan menyangka amal itu adalah ibadah khusus semata-mata. Dan jauhilah merenung fadhilat kecuali yang difirmankan oleh Allah Azzawajjal serta yang disampaikan oleh rasulullah SAW.

Sesungguhnya, kehidupan ini adalah satu perjuangan dalam mencari kemenangan, iaitu kejayaan menjadi ahli syurga atau kejayaan mengelak seksaan neraka.

Biarlah kita kalah dalam penilaian manusia, asal sahaja kita tidak hilang nilai di depanNya nanti.

Dan kalaulah di dalam dunia yang sementara ini wujud kemenangan, itulah dia kemenangan jiwa yang diusapi keimanan serta ketaqwaan kepada Allah SWT.

Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Sentiasa ada segolongan umat ku yang selalu memperjuangkan yang hak. Mereka selalu menang sampai hari kiamat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1872.

Akhir kata, marilah kembali kepada maksud sebenar kehidupan kita di dunia ini, dan moga akhir destinasi kita adalah kemenangan yang sebenar dan mutlak.



Barakallahufikum.

Wednesday, March 11, 2009

Lingua Franca



Assalamualaikum

Banyak bahasa wujud di dunia ini. Kepelbagaian etnik dan bangsa merupakan faktor yang sangat jelas mengapa bangsa manusia bertutur berlainan bunyinya.

Dunia pula, secara umum, sudah beberapa kali mengalami perubahan kebudayaan, kesan daripada perubahan atau pembentukan tamadun demi tamadun.

Bila berbicara tentang perubahan tamadun, tiga bidang utama iaitu politik, ekonomi dan pendidikan biasanya akan terlibat dalam proses perubahan atau anjakan.

Apabila tamadun yang baru digerakkan untuk penyebaran, bahasa merupakan medium penyampaian yang sangat penting. Kita perlu melihat betapa hal ini merupakan satu fakta yang bertunjangkan sejarah!

Di zaman kegemilangan tamadun Islam misalnya, di mana manusia disajikan dengan satu tamadun yang begitu hebat, bahasa Arab telah dipilih oleh Allah Azzawajjal sebagai bahasa pengantar atau bahasa penyebaran Islam di zaman awal tamadun ini.

Tamadun yang digerakkan dengan kekuatan tauhid dan akidah ini bergerak dengan bahasa Arab, sehinggakan Imam As-Syafie, yang berbangsa Arab, menghabiskan hampir dua puluh tahun untuk belajar bahasa Arab yang paling sempurna, demi membantu beliau mendalami rahsia Al Quran, yang kita tahu bukan bicara sembarangan, sebaliknya merupakan firman Allah Azzawajjal.

Sejarah membuktikan pentingnya penguasaan lingua franca, yang bermaksud bahasa yang menjadi perantaraan dalam sesuatu bidang, yang melampaui sempadan budaya dan adat pelbagai bangsa di muka bumi.

Mari kita kembali meneliti perkembangan di zaman kemajuan tamadun Islam, di mana ilmuan Islam memimpin kemajuan di pelbagai lapangan. Ramai manusia, tidak kira yang beragama Islam ataupun tidak berlumba-lumba untuk ke pusat pengajian di negara-negara Islam untuk menuntut ilmu.

Bahasa Arab yang merupakan bahasa utama dalam pendidikan era itu, atau boleh juga disimpulkan sebagai bahasa utama dunia, telah didalami oleh mereka-mereka yang bersungguh-sungguh untuk menjejakkan kaki ke Mesir, Iraq dsb.

Semasa pemerintahan Meiji di Jepun, kerajaan mereka zaman itu tidak mengabaikan betapa perlunya belajar bahasa asing demi menggerakkan kemajuan ke tahap maksimum, memandangkan pada zaman itu, negara-negara di barat sudah meniti pencapaian yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi.


Namun, kita sendiri saksikan di zaman ini, bangsa-bangsa yang dahulunya menimba ilmu dengan bermediumkan bahasa yang bukan bahasa mereka telah berdiri untuk mengepalai bidang ilmu, terutamanya bidang sains dan teknologi.

Bahasa Arab telah digantikan dengan bahasa-bahasa lain seperti Inggeris, Jepun, Jerman dsb. Mengapa ini berlaku sedangkan dahulunya bangsa-bangsa ini bertungkus-lumus mempelajari bahasa Arab?

Ini kerana mereka ini mengurangkan sentimen dalam belajar. Siapa tidak sayang budaya bangsa mereka? Tetapi kita harus tahu di manakah sesuatu perkara itu harus diberi keutamaan.

Kerana mengerti keperluan inilah, orang Jepun yang dahulunya mula belajar teknologi sains dan peperangan dalam bahasa Inggeris, kini bukan sahaja maju, malah berjaya menjadikan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu.

Kerana mengerti keperluan inilah, orang Yahudi Zionis yang berhati busuk, pembohong dan perosak itu lebih faham akan isi-isi Al Quran dan hadith-hadith berbanding kita.

Kerana mengerti keperluan inilah, orang-orang barat yang dahulunya dikongkong pengaruh jumud gereja berjaya mendalami ilmu-ilmu tokoh-tokoh Islam, sehingga nama-nama mereka turut dibaratkan!

Jadi, untuk kita di zaman moden ini, terimalah hakikat bahawasanya bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan utama dalam bidang ilmu.

Apa yang terjadi di negara kita ini ketika ini adalah kerana mainan politik yang tidak habis-habis, serta perlaksanaan yang sangat lemah oleh pihak bertanggungjawab.



Mengapa tidak duduk semeja dan ilhamkan sesuatu yang bersifat menang-menang? Mengapa populariti yang lebih dicari?

Aku bukan pengkhianat bahasa. Kita harus rasional. Emosi bukan ukuran tepat untuk dijadikan sandaran dalam membuat keputusan.

Sedangkan Allah Azzawajjal, dalam kitab Al Quran mahu kita sentiasa berfikir, kerana itulah nilai kita berbanding makhluk lain. Kurniaan akal olehNya.

Kalau mahu mengagungkan bahasa Melayu, lahirkanlah bijak pandai yang boleh berbahasa Melayu, yang aku percaya akan berbakti kepada saudara-saudaranya, iaitu dengan melahirkan idea-idea bernas dalam bidang sains dan matematik.

Dan apabila golongan-golongan ini melahirkan penemuan-penemuan baru yang dianjurkan dengan bahasa Melayu, pada masa itu inshaAllah bahasa ini boleh menjadi bahasa ilmu.

Bukankah banyak penulisan ilmuan Islam berbangsa Melayu, yang ditulis dalam bahasa Melayu kini menjadi rujukan di universiti-universiti di Timur Tengah?


Kita ini berjuang untuk membentuk satu legasi perjuangan bagi generasi seterusnya, kerana perjuangan itu tiada noktahnya. Menang dan kalah itu bukan diukur dengan undi dan kuantiti, sebaliknya akhir destinasi, samada syurga atau neraka.

Baiki perlaksanaan, jujur dalam bertindak, kurangkan sentimen dan tamatkan manipulasi minda orang ramai.

Duduk dan berbincanglah, buktikanlah yang anda-anda ini, wahai ahli-ahli politik Malaysia, dipilih rakyat kerana anda berpandangan jauh untuk survival umat, bukan survival parti anda.

Aku hanya memberikan pandangan, kerana melihat ada saudara-saudaraku bermati-matian untuk sesuatu yang sebenarnya perlu diberi lebih ruang untuk dibahaskan, secara ilmiah.

Alangkah indahnya kalau kita bersungguh-sungguh menggesa kerajaan mengubah atau memperbaiki sistem pendidikan Islam di sekolah, dengan menitik beratkan pendidikan hadith kepada semua pelajar Islam?

Sekadar pandangan dan luahan. InshaAllah aku akan menulis lagi.

Barakallahufikum.

Wednesday, March 4, 2009

Musuh Utama



Kita ini orang mahligai,
Berkelana ke dunia ada kisahnya,
Demi meredah onak dan badai,
Kerana benci dan sumpah durjana..

Apa yang menjelekkan dia,
Hanya kerana asal berbeza,
Dipilihnya menjadi penderhaka,
Akibat menyangka dirinya mulia..

Sudah tuhan beri amaran,
Nabi tak henti bagi ingatan,
Nafsu perasaan jadi sasaran,
Terang dan nyata itulah syaitan..

Bukan semata cuai beramal,
Malah dihasut mengadakan yang tiada,
Akhirnya umat menjadi khayal,
Menenung fadhilat yang palsu belaka..

Diajar pula berkata dusta,
Juga disemai kepuara-puraan,
Munafiq mengambil pentas utama,
Asingnya kejujuran di akhir zaman..

Kuasa dan harta mereka tawarkan,
Jadi senjata lemahkan iman,
Tidak ketinggalan gunakan perempuan,
Supaya manusia biakkan persundalan..



Perjuangan mereka demi berteman,
Mahu manusia menjadi kawan,
Moga nanti dapat berjiran,
Di alam neraka yang penuh siksaan..

Walau tangan tak dapat merasa,
Mata pula tak nampak mereka,
Sediakan hati kekal waspada,
Agar di sana nanti kita merdeka!




Barakallahufikum.

Monday, March 2, 2009

Agama Islam dan Bangsa Melayu


Assalamualaikum

Aku orang Islam yang berbangsa Melayu. Lahir di Malaysia yang nama lamanya Tanah Melayu.

Ini bukan penulisan bersifat perkauman atau politik. Cuma sekadar luahan tentang bangsa Melayu.

Dalam hidup ini, kalau kita pandai dan sentiasa bersyukur kepada Allah SWT, akan rasalah kemanisan hidup yang tiada taranya. Hebat betul kalau kita melahirkan perasaan ini seikhlasnya serta bertepatan dengan definisi sebenar syukur itu.

Alhamdulillah. Aku syukur kerana Allah Azzawajjal, selepas mengurniakanku dengan nikmat menjadi seorang Muslim, mentakdirkan aku wujud di bumiNya ini sebagai seorang yang berbangsa Melayu.

Bukan kerana bangsa Melayu bangsa yang terbaik, tidak. Aku percaya bahawasanya yang menentukan kebaikan dan nilai seseorang manusia itu adalah keimanannya kepada Allah SWT serta amal ibadahnya.

Aku syukur kerana bangsa Melayu, atau lebih tepat lagi, nenek moyang orang Melayu menerima Islam sebagai agama mereka, menyebabkan secara tidak langsung zuriat-zuriat mereka selepas itu menjadi Islam secara warisan.

Walaupun ini bukan penentu darjat keimanan sesorang, lagi-lagi di era akhir zaman ini begitu ramai manusia, tidak kira Melayu, Arab dsb yang hanya Islam pada nama, secara peribadinya nikmat diwariskan dengan agama Islam atas sebab keturunan ini adalah sangat besar. Aku bersyukur kepada Mu ya Allah.

Apabila jiwa dan minda ku waras, yakni tidak dikongkong hawa nafsuku, setiap hela nafas ini penuh rasa syukur kerana aku Islam!

Rahmat Allah yang Maha Pemurah, meletakkan aku atas jalan kebenaran, cuma tinggal aku memilih, sama ada mahu berjalan terus atau serong ke laluan lain yang membinasakan. Nauzubillah.

Setiap bangsa di atas muka bumi ini ada ikatan dengan agama, maksudku sinonim dengan agama tertentu. Orang Arab, Melayu, Pakistan sinonim dengan Islam. Cina pula dengan Buddha, India dengan Hindu, masyarakat barat dengan Kristian, Yahudi dengan Judaism dsb.

Walaupun orang Melayu sering dilekehkan dengan label pemalas, manja dsb, ada sesuatu yang sangat bernilai dalam genetik bangsaku ini, iaitu kecenderungan tinggi untuk membezakan yang haq dan bathil.

Aku tidak bermaksud bangsa lain bermasalah, sebaliknya aku yakin sekali sesiapa sahaja yang mendambakan kebenaran asas dalam kehidupan, pasti akan dijemput oleh Allah SWT untuk menerima agama ini, walau apa bangsa sekalipun, kerana itu janji Allah.

Hai orang-orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan carilah jalan (yang mendekatkan) kepadaNya dan berjuanglah di jalan Allah, supaya kamu beruntung.

Surah AlMaa’idah. Ayat 035.

Walaupun tidak dinafikan ada juga orang Melayu, yang bukan lagi Islam pada nama, tetapi sudah murtad malah mengumumkan kemurtadan tersebut, tetapi pasti ada sebab mengapa bangsa Melayu tidak boleh dipisahkan dengan Islam, selain isu politik dan soal ketuanan yang meleret-leret.(Maaf, sedikit politik!)

Bukan senang untuk manusia menerima agama Islam, sekalipun agama ini sangat sempurna dan mudah. Ini kerana manusia, yang Allah kurniakan pelbagai kelebihan berbanding makhluk lain, gemar menongkas arus dan mengada-adakan sesuatu.

Tidak hairanlah bangsa yang paling banyak dikirim nabi dan rasul oleh Allah Azzwajjal, iaitu Yahudi, terus menerus memilih jalan sesat dan mengabaikan suruhan Allah.

Andaikan tiada Islam dalam hidup bangsa Melayu, apakah taraf kita agaknya? Mungkin sahaja kita ini menjadi manusia yang dipijak-pijak oleh bangsa lain.

Seperti bangsa Arab, yang asalnya begitu buruk amalan mereka serta tiada tamadun yang istimewa, tetapi berubah selepas rasulullah SAW yang tercinta melancarkan da'awah baginda.

Nyatalah di sini, Islam telah dan akan sentiasa memuliakan sesuatu kaum atau seseorang, yang betul-betul menghayati dan mengamalkan agama ini di dalam kehidupan.

Kembalikan diri kita ini ke pangkuan Islam yang tulen, agar kita tidak lagi diperkotak-katikkan oleh orang lain.

Bukanlah Islam itu yang perlu diselamatkan, kerana Allah Azzawajjal yang menjaga agama pilihanNya ini, sebaliknya yang harus diselamatkan ialah diri kita ini, yang akhir nanti ada dua sahaja pilihan rumah untuk didiami, iaitu syurga dan neraka.

Kebenaran sudah terbentang luas, jalankanlah tanggungjawab terhadap diri kita ini.

Barakallahufikum.