Monday, March 2, 2009

Agama Islam dan Bangsa Melayu


Assalamualaikum

Aku orang Islam yang berbangsa Melayu. Lahir di Malaysia yang nama lamanya Tanah Melayu.

Ini bukan penulisan bersifat perkauman atau politik. Cuma sekadar luahan tentang bangsa Melayu.

Dalam hidup ini, kalau kita pandai dan sentiasa bersyukur kepada Allah SWT, akan rasalah kemanisan hidup yang tiada taranya. Hebat betul kalau kita melahirkan perasaan ini seikhlasnya serta bertepatan dengan definisi sebenar syukur itu.

Alhamdulillah. Aku syukur kerana Allah Azzawajjal, selepas mengurniakanku dengan nikmat menjadi seorang Muslim, mentakdirkan aku wujud di bumiNya ini sebagai seorang yang berbangsa Melayu.

Bukan kerana bangsa Melayu bangsa yang terbaik, tidak. Aku percaya bahawasanya yang menentukan kebaikan dan nilai seseorang manusia itu adalah keimanannya kepada Allah SWT serta amal ibadahnya.

Aku syukur kerana bangsa Melayu, atau lebih tepat lagi, nenek moyang orang Melayu menerima Islam sebagai agama mereka, menyebabkan secara tidak langsung zuriat-zuriat mereka selepas itu menjadi Islam secara warisan.

Walaupun ini bukan penentu darjat keimanan sesorang, lagi-lagi di era akhir zaman ini begitu ramai manusia, tidak kira Melayu, Arab dsb yang hanya Islam pada nama, secara peribadinya nikmat diwariskan dengan agama Islam atas sebab keturunan ini adalah sangat besar. Aku bersyukur kepada Mu ya Allah.

Apabila jiwa dan minda ku waras, yakni tidak dikongkong hawa nafsuku, setiap hela nafas ini penuh rasa syukur kerana aku Islam!

Rahmat Allah yang Maha Pemurah, meletakkan aku atas jalan kebenaran, cuma tinggal aku memilih, sama ada mahu berjalan terus atau serong ke laluan lain yang membinasakan. Nauzubillah.

Setiap bangsa di atas muka bumi ini ada ikatan dengan agama, maksudku sinonim dengan agama tertentu. Orang Arab, Melayu, Pakistan sinonim dengan Islam. Cina pula dengan Buddha, India dengan Hindu, masyarakat barat dengan Kristian, Yahudi dengan Judaism dsb.

Walaupun orang Melayu sering dilekehkan dengan label pemalas, manja dsb, ada sesuatu yang sangat bernilai dalam genetik bangsaku ini, iaitu kecenderungan tinggi untuk membezakan yang haq dan bathil.

Aku tidak bermaksud bangsa lain bermasalah, sebaliknya aku yakin sekali sesiapa sahaja yang mendambakan kebenaran asas dalam kehidupan, pasti akan dijemput oleh Allah SWT untuk menerima agama ini, walau apa bangsa sekalipun, kerana itu janji Allah.

Hai orang-orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan carilah jalan (yang mendekatkan) kepadaNya dan berjuanglah di jalan Allah, supaya kamu beruntung.

Surah AlMaa’idah. Ayat 035.

Walaupun tidak dinafikan ada juga orang Melayu, yang bukan lagi Islam pada nama, tetapi sudah murtad malah mengumumkan kemurtadan tersebut, tetapi pasti ada sebab mengapa bangsa Melayu tidak boleh dipisahkan dengan Islam, selain isu politik dan soal ketuanan yang meleret-leret.(Maaf, sedikit politik!)

Bukan senang untuk manusia menerima agama Islam, sekalipun agama ini sangat sempurna dan mudah. Ini kerana manusia, yang Allah kurniakan pelbagai kelebihan berbanding makhluk lain, gemar menongkas arus dan mengada-adakan sesuatu.

Tidak hairanlah bangsa yang paling banyak dikirim nabi dan rasul oleh Allah Azzwajjal, iaitu Yahudi, terus menerus memilih jalan sesat dan mengabaikan suruhan Allah.

Andaikan tiada Islam dalam hidup bangsa Melayu, apakah taraf kita agaknya? Mungkin sahaja kita ini menjadi manusia yang dipijak-pijak oleh bangsa lain.

Seperti bangsa Arab, yang asalnya begitu buruk amalan mereka serta tiada tamadun yang istimewa, tetapi berubah selepas rasulullah SAW yang tercinta melancarkan da'awah baginda.

Nyatalah di sini, Islam telah dan akan sentiasa memuliakan sesuatu kaum atau seseorang, yang betul-betul menghayati dan mengamalkan agama ini di dalam kehidupan.

Kembalikan diri kita ini ke pangkuan Islam yang tulen, agar kita tidak lagi diperkotak-katikkan oleh orang lain.

Bukanlah Islam itu yang perlu diselamatkan, kerana Allah Azzawajjal yang menjaga agama pilihanNya ini, sebaliknya yang harus diselamatkan ialah diri kita ini, yang akhir nanti ada dua sahaja pilihan rumah untuk didiami, iaitu syurga dan neraka.

Kebenaran sudah terbentang luas, jalankanlah tanggungjawab terhadap diri kita ini.

Barakallahufikum.

No comments: