Thursday, March 19, 2009

Menang Kalah Yang Mutlak


Assalamualaikum

Manusia mencari kemenangan. Tiada siapa yang mahukan kekalahan. Bila kita lihat dunia ini, boleh dikatakan semua manusia, secara sedar atau tidak, berjuang mencari kemenangan tersebut. Paling tidak pun, manusia akan bertungkus lumus untuk tidak kalah dalam lapangan yang diceburi oleh mereka.

Walaubagaimanapun, nilai kemenangan itu adalah bersifat subjektif, iaitu bergantung kepada penilaian individu itu sendiri.


Lagi pula bila kita bicara tentang definisi kemenangan dan kekalahan dalam era manusia yang semakin jauh dengan ketulenan agama. Kita boleh saksikan bagaimana tiadanya sempadan dosa dan pahala serta maruah dan etika dalam manusia menjejaki sasaran mereka ini.

Misalnya dalam bidang politik, asal sahaja ada ongkos, penilaian tentang hal ini boleh sahaja berubah. Mereka yang terlibat tidak segan silu membeli label kemenangan itu dengan wang ringgit, bukan dengan kejujuran dan ketelusan.

Taktik kotor, serangan peribadi, menjaja fitnah, pengundi hantu, langgar prinsip dan banyak lagi menjadi sesuatu yang halal dalam proses menjana kejayaan di lapangan politik dunia amnya dan politik Malaysia khasnya, yang kalau kita amati akhir-akhir ini, sudah sampai ke satu tahap yang begitu teruk!

Sehinggakan mereka yang bergerak dengan nama agama juga tidak terlepas daripada melakukan perkara yang serupa.

Semuanya gara-gara kemenangan yang diukur oleh manusia itu sendiri. Demokrasi menyebabkan manusia menjadi khayal. Perjuangan dilihat daripada konteks yang berbeza dengan apa yang dianjur oleh Islam.

Kekeliruan dalam menilai erti kemenangan yang sebenar boleh diatasi jika kita memanjangkan view atau penilaian kita terhadap maksud kehidupan itu sendiri.

Apabila kita sedar hakikat tentang kehidupan selepas kematian, inshaAllah kita akan tahu betapa rasionalnya memadankan perbuatan kita di dunia ini dengan ciri-ciri pemenang yang mutlak, yakni mereka yang akan ditempatkan di syurga Allah SWT.


Sebab itulah memikirkan tentang kejadian hari akhirat, yang tiada lain selain menjadi satu perbicaraan yang melahirkan resolusi akhir iaitu syurga dan neraka, adalah sangat kritikal dan relevan!

Kita semua hanya ada dua sahaja destinasi, bahagia iaitu syurga atau sengsara iaitu neraka. Inilah dia menang dan kalah yang mutlak.

Mutlak? Ia, kerana kelayakan untuk berada di salah satu tempat ini akan diberikan oleh Allah Azzawajjal, yang mana ianya terjamin adil dan saksama.

Bukankah Allah itu Hakim yang paling Adil?

Surah AtTin. Ayat 008.


Kemenangan akhir ini sangatlah tulen, tiada taktik atau nilai wang yang mampu membelinya. Dan Allah, sebagai Penguasa yang Maha Bijaksana tidak akan tersalah dalam penghakimanNya.

Dan sedarlah semua, amal perbuatanlah yang akan menjadi perkara yang diadiliNya nanti. Sebab itulah mengerti kehidupan selapas kematian sangat rasional dalam meniti kemenangan yang mutlak ini.

Dan neraca pada hari itu betul, maka siapa yang berat timbangan (kebaikannya), itulah orang-orang yang beruntung.

Dan siapa yang ringan timbangan (kebaikannya), itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka tidak mempercayai keterangan-keterangan Kami.


Surah AlA’raaf. Ayat 008 - 009.


Apabila kita berbicara tentang amal, janganlah pula kita alpa dengan menyangka amal itu adalah ibadah khusus semata-mata. Dan jauhilah merenung fadhilat kecuali yang difirmankan oleh Allah Azzawajjal serta yang disampaikan oleh rasulullah SAW.

Sesungguhnya, kehidupan ini adalah satu perjuangan dalam mencari kemenangan, iaitu kejayaan menjadi ahli syurga atau kejayaan mengelak seksaan neraka.

Biarlah kita kalah dalam penilaian manusia, asal sahaja kita tidak hilang nilai di depanNya nanti.

Dan kalaulah di dalam dunia yang sementara ini wujud kemenangan, itulah dia kemenangan jiwa yang diusapi keimanan serta ketaqwaan kepada Allah SWT.

Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Sentiasa ada segolongan umat ku yang selalu memperjuangkan yang hak. Mereka selalu menang sampai hari kiamat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1872.

Akhir kata, marilah kembali kepada maksud sebenar kehidupan kita di dunia ini, dan moga akhir destinasi kita adalah kemenangan yang sebenar dan mutlak.



Barakallahufikum.

No comments: