Friday, March 27, 2009

Maksimumkah Modal Insan?



Assalamualaikum

Istilah modal insan telah dipopularkan oleh Perdana Menteri semasa negara kita. Di zaman teknologi dan duit ini, manusia telah diterapkan dengan pelbagai pemahaman seperti kebolehan berdaya saing, Melayu Glokal, Insan Madhani, Islam Hadhari dsb.

Semua baris-baris ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai satu injection atau suntikan kepada masyarakat atau insan, demi memaksimumkan produktiviti insan tersebut.

Namun, apa yang ingin aku utarakan disini adalah fokus yang dilemparkan terhadap usaha ini. Jika kita ambil negara kita sebagai contoh, kita boleh lihat bahawa usaha pembangunan modal insan ini berjalan dalam satu skop yang agak sempit.

Tumpuan yang boleh dikatakan keterlaluan dijalankan terhadap usaha melahirkan insan yang boleh menyapu bersih semua A dalam peperiksaan, membentuk insan yang berproduktiviti tinggi dalam bidang ekonomi, mewujudkan insan yang berjatidiri nasionalisme yang keras dsb.

Wajarkah hal-hal ini diberikan fokus sedemikian? Apakah sebenarnya yang kita, manusia, perlu sedar dan ambil tindakan dalam mengembalikan kehidupan kita dan manusia disekeliling kita kepada landasan yang sebenar-benarnya selamat?

Adakah cukup dengan melahirkan insan yang berkeputusan cemerlang dalam peperiksaan, bergaji dan berjawatan tinggi, semangat kebangsaan yang meluap-luap dsb? Maksimumkah modal insan itu sendiri dengan semua ini?

Tanpa menafikan hal-hal diatas ini ada kepentingannya, kita harus sedar bahawa insan harus diluntur jiwanya dengan tauhid dan akidah Islam yang tulen, kerana insan adalah hamba kepada Pencipta yang Maha Agung, iaitu Allah Azzawajjal.



Modal insan yang sepatutnya kita lahirkan ialah insan-insan yang faham akan relevannya Islam untuk dijadikan sebagai panduan mutlak kehidupan manusia.

Mudahnya, modal insan itu adalah mereka-mereka yang jatidirinya Islam serta tugas tetapnya adalah berda'awah!

Adakah rasulullah SAW menegah sahabat-sahabat baginda RA daripada menuntut ilmu? Pernahkah baginda SAW melarang sahabat-sahabatnya RA memajukan ekonomi mereka?

Tidak pernah sama sekali, malah ramai sekali sahabat-sahabat baginda SAW yang terkenal kerana kehebatan ilmu dan kekayaan mereka seperti Ibn Abbas RA, Saidina Ali RA dalam bidang ilmu serta Saidina Uthman Affan RA dan Abdul Rahman bin Auf RA dalam bidang ekonomi.

Nah, apakah tarbiyah nabi SAW terhadap sahabat-sahabat RA? Apa yang paling utama dilakukan oleh baginda SAW dalam melahirkan modal insan ini?

Acuan yang berlandaskan Al Quran dan sunnah bagindalah yang telah menjana kewujudan modal insan yang maksimum ini.

Setakat hendak melahirkan insan yang pandai, maju dalam ekonomi dan bertaat setia terhadap negaranya bukanlah sesuatu yang terlalu istimewa, kerana kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri betapa banyaknya negara dan bangsa yang bukan Islam sudah mencapai kejayaan ini.

Tetapi, untuk melahirkan modal insan yang bermula dengan rohani yang suci dan betul memerlukan kita untuk kembali kepada pendidikan ala madrasah nabi SAW, yang para pelajarnya adalah sahabat-sahabat RA yang agung.

Insan harus dijelaskan dengan fokus sebanar kehidupan, iaitu mengangkat kalimah tauhid ke tempat yang tertinggi. Pendidikan, ekonomi, siasah dsb merupakan sebahagian jalan yang harus dimanfaatkan demi tujuan ini.

Seperti mana bertaburannya modal insan yakni para sahabat RA ke serata dunia selepas lengkapnya Islam yang disampaikan oleh nabi SAW, itulah juga yang harus kita teladani dan jadikan sumber ilham dalam meneruskan survival kita.

Oleh itu, samada kita berada di lapangan pendidikan, ekonomi, politik dan apa sahaja, da'awah adalah tugas dan tanggungjawab utama kita. Tidak perlu menunggu hingga ada title ustaz, mufti dsb untuk berda'awah. Tidak perlu juga menunggu hingga habis menghafadz Al Quran untuk berda'awah.

Seperti sabda nabi SAW yang bermaksud sampaikanlah kata-kata baginda SAW walau sepotong ayat.

Barakallahufikum.

No comments: