Wednesday, March 14, 2012

Prejudis


Ayuh bicara tentang Islam di Malaysia. Kita mulakan tentang penganut agama suci ini terlebih dahulu. Seperti asal kehadirannya di dunia ini, seruan Islam adalah untuk seluruh manusia tanpa ada pembeza walau sebesar atau lebih kecil daripada zarah.





Inilah nilai pembuka yang sangat luar biasa berkenaan Islam. Unik, luas, lengkap dan terjamin adalah intipati yang perlu wujud untuk sesuatu agama yang menyeru kesemua umat manusia tanpa ada pembeza kepadanya.

Berbeza dengan agama-agama wahyu sebelumnya, Islam adalah universal. Bukan untuk kaum dan zaman yang tertentu. Ini bukan sekadar dakwaan tetapi sejarah telah membuktikan akan hal ini. Malah sifat universal itu turut merangkumi mereka yang tidak menganut agama ini. Semenjak bertapaknya agama ini di bumi arab hampir 1500 tahun yang lampau sehinggalah ke masa ini, ajaran Islam yang tulen masih kekal, walaupun tidak dinafikan pelbagai versi telah mucul, termasuklah pecahan-pecahan yang menyimpang dan sebagainya.

Pecahan dan penyimpangan ini walaubagaimanapun telah pun diberitahu atau diwarwarkan oleh dua sumber utama Islam iaitu Al Quran dan Hadith-hadith nabi SAW. Mudahnya, point-point dalam agama Islam ini cukup sifatnya- penceritaan sejarah, keadaan semasa serta gambaran masa depan. Dengan satu perkataan iaitu petunjuk, itulah yang boleh disimpulkan tentang agama yang sempurna ini. Dan kerana yang Maha Berkuasa itu adalah Maha Pemegang Janji, serta utusanNya yang tidak menyembunyikan apa-apa pun daripada pengetahuan manusia, lalu wajarlah kita umat manusia melatakkan keyakinan yang tertinggi terhadap kebenaran agama ini.

Perbezaan tafsiran, kefahaman serta pilihan tindakan dalam hal-hal atau cabang-cabang agama adalah normal, kerana unsur akal dan ilmu dalam diri manusia itu sendiri. Namun, perhitungan yang paling utama yakni akidah tidak patut disisihkan. Nauzubillah.

Apabila perhitungan tentang akidah tidak diusik atau ditukar, inshaAllah kita dapat merasa dan memahami tentang hakikat rahmat disebalik perbezaan-perbezaan yang berlaku (selagi mana berpandukan nas-nas yang sahih).

Kembali kepada tajuk yang memfokuskan tentang keadaan di Malaysia. Apa yang boleh kita singkap tentang suasana agama Islam dan penganutnya di bumi yang makmur ini? Fikir sejenak, dan kita akan sedar yang pecahan-pecahan kecil juga besar telah pun berlaku dalam negara ini.

Tetapi, dalam kekalutan perbezaan dan perselisihan ini, ada satu hal yang kelompok-kelompok utama ini (abaikan kelompok Syiah, terlalu berbeza) berkongsi laungan atau aspirasi yang sama iaitu Ahlus Sunnah Wal Jamaah.



Dalam suasana politik misalnya, kita ada dua parti utama yang berahlikan orang Islam iaitu UMNO dan PAS. Usah kita menjadi penghukum tentang darjah keIslaman seseorang itu, kerana bukan itu tugas kita di alam dunia ini. Cukuplah kita tahu (dalam konteks ini), kedua-dua parti besar ini menyatakan dalam perlembagaan mereka tentang niat serta tujuan perjuangan yang mahu mempertahankan serta menegakkan Islam di Malaysia. Dan sekali lagi tidak perlu anti klimaks untuk tuju-menuju atau singkap-menyingkap tentang prestasi masing-masing, keran tiada kena mengena untuk membicarakan konteks penulisan ini.

Seterusnya, kedua-dua parti utama umat Islam di Malaysia ini menisbahkan entiti mereka sebagai pengikut mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Sekali lagi, bukan PAS atau UMNO, tetapi PAS dan UMNO kedua-duanya sekali.

Tinggalkan perihal persekitaran politik untuk seketika. Sekarang kita lihat pula kepada kumpulan-kumpulan utama (maaf jika terma ini tidak cukup cantik) yang wujud dalam suasana agama Islam di Malaysia. Kita ada gerakan sunnah , jemaah tabligh, gerakan tajdid, Majlis-majlis Agama Islam setiap negeri, NGO-NGO Islam (terbaru Jati), PERKIM dan banyak lagi. Semua kumpulan dan gerakan ini menisbahkan diri mereka sebagai pengikut mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Namun, apakah isu yang patut kita sedar dan faham berkenaan dunia Islam di tanahair kita ini? Banyak agen perjuangan dan da’wah? Kehebatan dua parti besar dalam memartabatkan Islam?

Fikirkan lagi dan lagi dengan meneliti konteks yang diangkat dalam penulisan ini.
Ahlus Sunnah Wal Jamaah pada pegangan, lisan dan inshaAllah pada kefahaman. Namun apa yang dizahirkan dalam bentuk hubungan? Apa realiti sebenar semua ini?

Cakap lebih senang daripada buat, tetapi membatu jauh lebih memualkan daripada usaha atas kata-kata. Malah biarlah berkata-kata dahulu dengan harapan tingkah laku yang utuh akan menyusul sebagai pelengkap usaha.

Lalu renungi realiti kita semua yang kononnya bermazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah ini. Sebelum itu, aku mohon maaf sekiranya ada antara hujjah dalam penulisan ini di perenggan-perenggan yang lepas atau akan menyusul yang sebenarnya tidak begitu atau langsung tidak tepat.

Adakan di Malaysia ini, pengikut jemaah tabligh sanggup keluar untuk pergi ke majlis ilmu tokoh/ulama/ustaz yang bukan tergolong dalam jemaah mereka namun tersohor dan dihormati akan ilmu dan pengetahuan agamanya?

Sementara adakah pengikut gerakan sunnah dan tajdid menyertai jemaah tabligh dalam pemusafiran atau setidak-tidaknya beramah-mesra di markas mereka?

Pernahkah penguasa Majlis-majlis Agama bermuzakarah dengan gerakan sunnah? Pernahkah NGO-NGO Melayu Islam menyertai program PERKIM dan sebaliknya?

Persoalannya di sini, adakah gerakan-gerakan ini ada persaingan tertentu yang mungkin mereka sendiri tidak sedari?

Tanpa sedikit pun menolak keperluan untuk berkumpulan demi kesinambungan sesebuah gerakan atau organisasi, payung besar yang memayungi semua iaitu fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah perlu diutamakan. Apa guna kita laungkan persaudaraan dan berkongsi fahaman yang sama kalau akhirnya kita duduk menyendiri dalam gerakan kita sahaja?

Ya, memang ada isu-isu tertentu sesuatu gerakan terhadap gerakan yang lain, seperti gerakan sunnah dengan jemaah tabligh dalam hal-hal hadith, atau pembawaan da’awah yang tidak sama. Namun perlukah kita memisahkan haluan ini?

Apa lagi kalau mengenang dua parti utama umat Islam negara ini. Beranikah PAS menyatakan yang UMNO bukan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, atau beranikah pula UMNO mendakwa PAS sebagai sedemikian?

Jika tidak, mengapa susah sangat, kalau tidak menjadi satu pun (teramatlah susah rasanya) sekurang-kurangnya berbaik sangka?

Kalau dalam persekitaran politik, persaingan kekuasaan dengan berfaktorkan (atau mungkin beralasankan) perjuangan menegak syiar Islam, tiadakah nilai-nilai yang sama untuk dikongsi?

Sementara dalam urusan gerakan-gerakan Islam yang banyak itu, tiadakah unsur-unsur persamaan yang boleh menyatukan?

Jadi apa gunanya sama-sama mengishtihar diri sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah? Mengapa berjauhan? Mungkin tidak di hati, tetapi mengapa secara zahir terlalu jauh?


Kalau ada perbezaan sekalipun, tidakkah lencana sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah patut membawa kita semua ke meja perbincangan, dengan tujuan diskusi atau setidak-tidaknya beramah mesra? Indah sungguh kalau boleh berdiskusi dengan ramah-mesra.

Inilah bahana prejudis. Sebenarnya, bukan perbezaan yang wujud itu menjadi sandaran pemisahan yang berlaku, tetapi punca utamanya adalah sikap prejudis yang melampau!

Buktinya, mengapa dengan syiah yang kita semua tahu bukan daripada kalangan kita, serta dengan golongan kafir juga, gerakan-gerakan tertentu boleh berbaik sangka malah duduk semeja tidur sekatil mandi sekamar tetapi dengan saudara sendiri yang berakidah dan berfahaman sama tidak boleh, malah nampak mustahil di masa-masa tertentu?

Penguasa alam dan kekasihNya SAW memang sudah mengingatkan akan kejadian perpecahan ini, namun tidakkah kita juga diingatkan serta diseru untuk bersatu-padu? Tidakkah kita didedahkan tentang kemenangan yang akan dikecapi nanti inshaAllah? Bukankah kerana umat sudah bersatu?

Janji itu pasti berlaku, tetapi mahukah kita tidak terlibat dengan kemenangan itu? Mahu menjadi golongan yang rugi? Sudah tentu tidak.



Kenalpasti agenda yang disyariatkan, bukan yang direkacipta. Sedarlah siapa saudara dan kewajipan berkasih sayang. Berunding dan berbincanglah tentang isu yang bertentangan, atas dasar, sekali lagi, Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Tapi yang paling utama, buanglah prejudis yang melampau terlebih dahulu.

Barakallahufikum.

No comments: