Friday, March 9, 2012

Justifikasi Basi


Akulah pejuang tunggal,
Bermandi peluh..
Bermandi air mata,
Hingga bermandikan darah..
Demi menjadikan laungan keramat ini satu realiti,
Demi memasakkan panji suci di atas bumi..

Aku dan puakkulah kelompok yang diberkati,
Lolongan kami adalah bicara semangat,
Makian kami adalah hujjahan yang maha hebat,
Amukan kami adalah jihad yang dahsyat..

Tak perlu dipanjangkan kata,
Tak perlu dihuraikan madah,
Betul pada imamku betullah pada puakku,
Betul pada puakku betullah padaku,
Betul padaku wajib untuk warisku,
Kerana perjuangan ini tak pernah salah..

“Hey pejuang tunggal!
Siapa yang kata pejuanganmu itu salah?
Siapa yang lancang mengherdik matlamat puakmu?
Siapa yang biadap menolak imammu?”


Itulah mereka..
Mereka yang mendiami dunia kerugian,
Mereka yang menyusuri jalan kesesatan..


“Hey pejuang tunggal!
Yang salah itu ketaksubanmu..
Yang jelek itu rentak tari puakmu..
Yang disanggah itu ujub imammu..”


Diamlah kau penjunjung yang mungkar,
Diamlah kau penderhaka kepada hak,
Diamlah kau si bisu yang merelakan kezaliman,
Diamlah kau si buta yang membiarkan kekejaman,
Diamlah kau wahai pendukung kebathilan!

Kau sebahagian daripada mereka,
Atau kau berimpian seperti mereka,
Atau kau sememangnya adalah mereka..

Kerana hanya mereka yang tidak setuju dengan tuhan,
Kerana hanya mereka yang membantah utusan tuhan,
Kerana hanya mereka yang menidakkan kalam tuhan..

Sedangkan rakan kami pun tahu memetik firman,
Sedangkan rakan kami pun tahu menukilkan sabda,
Sesungguhnya rakan kami lebih benar daripada mereka..


“Hey pejuang tunggal!
Bila tak sama dianggap mereka,
Bila tak setuju disangka mereka,
Bila tak s
erta jawabnya neraka?

“Hey pejuang tunggal!
Mengapa dulu salah sekarang tidak?
Mengapa dulu nista sekarang tidak?
Mengapa dulu dosa sekarang tidak?”

Kau harus tahu zaman berubah,
Dan langkah ini juga perlu diubah,
Sebelum mara untuk mengubah..

“Hey pejuang tunggal!
Lalu mengapa benci kau tak pernah hilang?
Megapa mereka kau terus tentang?
Mengapa tali hubungan itu kau terus cincang?”

“Hey pejuang tunggul!
Penilaianmu berpandukan sangsi,
Perhitunganmu penuh emosi
Justifikasimu sudah basi..”

No comments: