Tuesday, January 12, 2010

Hak Siapa?


Assalamualaikum

Hidup dan hak adalah seiring. Semenjak alam bermula, dan manusia diciptakan, hak telah menjadi satu tanggungan keatas manusia sejagat untuk dijaga dan dihormati.

Sedar tak sedar, perjuangan asas manusia adalah bagi mendaulatkan hak. Sedar tak sedar juga, tanggungjawab wajib manusia adalah mempertahankan hak semampunya.

Dalam arus akhir zaman yang semakin pantas mencapai hujungnya ini, kita semua boleh lihat betapa manusia begitu bersungguh-sungguh berjuang, bersuara mahupun bertikam lidah untuk hak.

Palitan warna demokrasi terhadap sistem kehidupan manusia juga membuatkan hal ini semakin kritikal. Tidak perlu disanggah, kerana, seperti perenggan awal tadi telah dinyatakan bahawa hidup dan hak adalah seiring.

Cuma, yang harus kita sedar, hak yang dijaga itu adalah berbeza. Hak yang dilaungkan itu adalah tidak sama bagi zaman-zaman tertentu.



Pernah ada zaman yang hak raja menguasai kehidupan semua orang. Pernah ada zaman yang hak ketenteraan membaluti hidup orang lain. Sementara zaman sekarang, yang dibentuk oleh acuan demokrasi, hak asasi manusia adalah tunjang kehidupan masyarakat.

Adakah kita perlu memikirkan mahupun mengkaji hak mana yang sebenarnya harus didokong? Hak manakah yang harus disokong?


Kalau kita perhatikan perjuangan para pejuang yang bermediumkan demokrasi, baik yang Islam atau non Islam, baik Islam kopiah atau Islam non kopiah, hak asasi dirajakan dalam bahasa perjuangan mereka.







Hak asasi ini telah diasimilasikan dalam retorik perjuangan kebanyakan manusia pada hari ini. Terma-terma seperti ketuanan rakyat, juara rakyat dsb muncul sebagai mata kail yang tajam bagi memancing pandangan ramai? Apakah umpannya?

Tak lain tak bukan, hak asasi menjadi tarikannya. Apa sahaja yang terlintas dan dimahukan, akan diteorikan sebagai hak, dan kemahuan tersebut akan dijanjikan untuk dizahirkan! Bagus atau tidak?

Aku bukan anti ahli politik, aku bukan anti pejuang rakyat dan aku bukan anti hak asasi!! Aku mengkritik suasana ini kerana, aku percaya sekali bahawa manusia tidak boleh berpaksikan keinginan manusia semata-mata.


Hujah aku mudah, kerana manusia ini memiliki keterbatasan dalam segala hal. Walau memiliki akal dan perasaan, manusia tetap tidak mampu untuk menyelesaikan pertikaian dalam soal hak.

Dasar hak asasi adalah berputar disekeliling demand dan permintaan kumpulan manusia itu sendiri. Apakah masalah yang bakal timbul apabila hal ini tidak diperhatikan?

Salah satunya adalah excessive of demands atau melampau dalam meminta! Manusia akan meminta-minta sesuatu yang dimata mereka adalah hak mereka, tanpa memikirkan kesan akibat tindakan tersebut.

Di barat misalnya, golongan gay meminta agar hak mereka sebagai gay diiktiraf. Mereka mengibarkan bendera hak asasi, kerana mereka gay dan mahu hidup dalam alam songsang mereka.



Mengikut sistem masa kini, yang meletakkan hak asasi manusia sebagai batu asas, seharusnya dengan senang hati kita iktiraf sahaja kemahuan golongan ini! Wujudkan jantina baru misalnya. Tetapi nanti dulu, fikirkan kesan jangka panjang atas hal ini.


Populasi bumi akan terganggu, penyakit kelamin berleluasa, dan keamanan kehidupan harian seseorang akan terancam, apabila mereka diburu oleh kaum sejenis. Nah, lihatlah kedangkalan hak asasi apabila diwartakan sebagai asas hukum.


Perempuan mahu setaraf laki-laki, ini juga dilaungkan sebagai hak asasi. Benarkah? Kalau setaraf, apa relevannya kita ini dicipta lelaki atau perempuan?

Hak asasi yang difahami dan diperjuangkan di era ini sebenarnya terlalu bebas dan menyongsang.

Siapa atau apa yang seharusnya dijadikan batu asas dalam memperkatakan tentang hak?

Kita masuk dalam konteks hidup sebagai seorang Islam. Bolehkah kita sebut "aku tidak bersolat kerana itu hak aku!"?

Inilah akibatnya kalau tunjang kepada hak itu adalah kemahuan manusia semata-mata. Wahai semua, jangan lupa hak Allah SWT.

Ya, Allah SWT lah yang memiliki sekalian hak atas alam sejagat dan segala isinya. Dan menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga hak ini. Bukan kerana Allah itu terkesan sekiranya kita jaga atau langgar hakNya, kerana zat Yang Maha Kuasa itu tidak terusik sedikit pun, tetapi memenuhi dan mempertahankan hak Allah adalah demi hasilnya yang akan kembali kepada kita semua, baik di dunia ini mahupun hari kemudian.



Apabila Allah memerintahkan kita bernikah bukan berzina, kesannya kembali kepada kita. Apabila Allah haramkan kita melakukan maksiat, kesannya juga kembali kepada kita.

Renungkanlah akan hakikat hidup ini. Adakah Allah yang mencipta sekalian alam ini meninggalkan ciptanNya terkontang-kanting? Dan apabila kita hayati hak Allah keatas kita semua, adakah menurutinya menjadi beban dan masalah?

Umpama membeli sebuah mesin basuh, tetapi membuang manualnya, lalu mesin basuh itu diletakkan dalamnya semangkuk makanan untuk dipanaskan. Bijakkah? Bolehkan bila ditegur oleh pembikin mesin basuh tersebut, "cik, ini mesin basuh, bukan microwave..".. lalu dijawab pemilik, "aku punya sukalah..".. Kemudian belalulah pembikin mesin basuh itu sambil hatinya berdetik, "Lantak kaulah, yang penting barang aku terjual.."



Barakallahufikum.

No comments: