Friday, January 1, 2010

Allah, Islam, Kristian dan Hujjah



Assalamualaikum

Hari ini merupakan hari tahun baru. Dan tahun baru ini kita buka dengan berita tentang kebenaran yang diberikan oleh mahkamah kepada Gereja Katholik untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald - The Catholic Weekly.

Aku percaya, ramai umat Islam di Malaysia rasa tertampar dengan keputusan ini termasuklah aku. Tetapi inilah realitinya, undang-undang yang kita ikuti membolehkan perkara ini diadili sedemikian.

Namun aku cuba berfikir rasional. Samada cuba rasional dalam menentang atau akur akan hal ini, rasional dalam mencari yang positif dalam hal ini, dan rasional dalam menduga prospek atas kejadian ini.


KEPUTUSAN MAHKAMAH - TENTANG ATAU AKUR?


Aku akur lunas undang-undang telah diguna pakai dengan sebaiknya oleh pihak perayu yakni Gereja Katholik dalam menjalankan tuntutan mereka. Namun, aku menentang keputusan ini atas dasar sensitiviti.

Pihak gereja harus tahu betapa mahalnya nilai keharmonian dalam negara ini. Walaupun di satu sudut, ada ulama yang tidak menyangkal, dan aku juga berpendapat sedemikian, tentang bolehnya pihak bukan Islam menggunakan kalimah Allah atas nilai bahasa, bukan istilah Islam, tuntutan ini terlalu bersifat penting diri oleh pihak gereja. Bayangkan jika ada pihak bukan Islam mahu menggunakan nama 'masjid' bagi menggantikan rumah ibadat mereka...

Sudah tentulah sebahagian masyarakat Islam tanah air akan marah dan tidak puas hati. Benar, ada negara tertentu yang sudah menerima dengan baik situasi seperti ini, seperti Indonesia, Eropah dan negara-negara Arab, tetapi tidak di Malaysia. Aku tahu, hujjah aku untuk menentang keputusan mahkamah ini tidak kuat, tetapi nilailah ia atas dasar sensitiviti! Sensitiviti bukan asas hukuman atau perundangan, tetapi sensitiviti harus diteliti dan dihormati.

POSITIF!


Sebagai hamba Allah SWT, aku mahu positif atas setiap ketentuanNya, baik yang berwajah indah atau buruk di mata kita. Kita bukan di zaman lampau, yang mana Allah mengirim bala sebagai bala/hukuman. Kita di satu zaman, yang mana, setiap izin dan perkenan Allah Azzawajjal disertakan olehNya rahmat dan hikmah.

Berbalik kepada hal ini, memang tak dinafikan, selain menganggap kalimah Allah sebagai hak eksklusif Islam, terdapat sesetengah umat Islam merisaukan tentang kekeliruan yang akan wujud dalam umat Islam di Malaysia ini, apabila akan terdapat 2 versi tentang Allah, yakini Allah yang ahad (satu) dan juga Allah versi Kristian, nauzubillah.

Ya, aku sedar akan hal itu. Dengan mengambilkira tentang pegangan sebahagian orang Islam zaman ini yang longlai dan rapuh, tidak mustahil. kalaupun mereka tidak keluar agama, nauzubillah, secara perlahan-lahan minda bawah sedar mereka akan dipengaruhi untuk menerima versi yang tak sepatutnya.

Namun ada sinar atas kepayahan ini. Aku yakin, orang bukan Islam khususnya penganut Katolik akan berdepan hal yang serupa. Apabila mereka menerima kalimah Allah untuk diversikan kepada agama mereka, secara tak langsung, versi Islam, iaitu ketauhidan atas Allah yang satu akan secara tanpa mereka sedari akan terlintas dalam benak mereka.

Laungan azan setiap hari, baik melalui pembesar suara masjid atau surau mahupun di televisyen atau radio akan menjadi medium memperkenalkan versi tauhid Islam, walaupun sedikit, kepada mereka-mereka ini.Amin ya Allah.

Dan kita sendiri, yang sudah biasa membasahkan lidah dengan menyebut Allah akan memenuhi sedikit ruang minda mereka tentang realiti 2 versi ini, yang aku percaya, akan menimbulkan kekeliruan pada yang sedar. Namun percayalah, kekeliruan yang disusuli dengan perasaan ingin tahulah yang InshaAllah, akan membolehkan versi tauhid Allah yang satu akan menjadi pilihan mereka yang mencari!

PROSPEK DAN MASA DEPAN


Perjuangan dan pejuang Islam boleh mendapat momentum baru dalam hal ini. Tanpa menafikan kehampaan dan kerisauan, bantuan Allah SWT itu tetap ada. Dan biarlah kita sedikit takut dan risau, kerana itu lebih mendekatkan diri kita ini dengan Allah dan sunnah nabi Muhammad SAW.

Sedarlah semua saudaraku, kekuatan utama Islam adalah kerana hujjahnya yang bersifat fakta! Rasional, logik, memenuhi tuntutan dan pertanyaan naluri!

Da'wah Islam adalah perjuangan menyemai intipatinya dalam sanubari manusia, bukan perjuangan yang disokong oleh kekuatan material. Hujjah agama Allah ini adalah kerana kebenaran firman yang terkandung dalam Quran itu sendiri.

Pintu berhujjah telah terbuka disebalik 'kejayaan' pihak gereja dengan tuntutan mereka ini. Dalam aku sedikit sugul, aku ucapkan Alhamdulillah, dan terima kasih kepada yang telah menuntut hal ini, walau apa pun agenda kalian!

Ingat, selepas daripada hari ini, isu ini akan menjadi polemik. Polemik ini akan menyusup dalam minda sebahagian masyarakat, mungkin semua. Dan apabila datang kepada mencari kepastian, ayuh saudara-saudarku, kita berhujjah. Bukan untuk menang, bukan untuk maruah, bukan untuk megah. Tetapi lebih daripada itu.

Untuk kebenaran!! Yang sewajarnya dipeluk oleh semua insan, tidak kira bangsa dan warna. Kepada paderi Lawrence, sedialah anda berhujjah, bukan dengan kami para Muslimin, tetapi dengan anak-anak anda yakni penganut Katolik yang akan sedar keperluan mencari hakikat disebalik perkara ini.

Dilayar penulisanku ini, aku ajukan cabaran kepada semua, terutamanya yang bukan Islam khususnya penganut Katolik, hayati kedua-dua versi ini, Allah yang satu yakni konsep tauhid Islam atau Allah yang dituntut oleh pihak anda, yakni tuhan bapa, nauzubillah.

Bukan mencari jaringan gol, tetapi atas prinsip kebenaran. Mungkin anda Kristian hari ini, tetapi esok tiada siapa yang tahu..

Aku bersedia, dengan kapisiti ilmuku, seperti yang pernah aku lakukan dengan kerap sebelum ini, baik semasa aku berkelana di tempat orang mahupun disini, untuk berbincang dan berhujjah terutamanya dalam mengenal Allah yang sebenar.

Tidaklah Nabi Muhammad SAW itu diutusNya untuk memperkenalkan tentang kewujudan Allah kepada manusia, kerana percaya kepada tuhan adalah sifat naluri manusia, tetapi diutusNya demi menunjukkan jalan yang tepat dan benar dalam mencariNya.

La ilaha illallah Muhammadurrasulullah.




Barakallahufikum.

1 comment:

Anonymous said...

ini adalah cabaran yg diberiakn kepada hamba yakni umat islam..hanya peganagan yang teguh disamping pemikiran yang jitu bisa membezakan dan menjadikan seseorang itu di pihak yang benar atau zalim..