Saturday, August 22, 2009

Menolak Bintang Dan Bulan


Assalamualaikum

Aku percaya ramai antara kita pernah mendengar cerita tentang bagaimana rasulullah SAW menolak tawaran berupa perempuan, kemewahan dan kuasa yang diberikan oleh Musyrikin Mekah agar baginda SAW menghentikan da'awah dan penyebaran syariat Allah dikalangan masyarakat Quraisy ketika itu.

Lihatlah ketegasan baginda SAW dalam mempertahankan perjuangan dan melindungi prinsip perjuangan baginda SAW itu sendiri.

Prinsip perjuangan? Ya, itulah yang aku ingin ketengahkan dalam penulisan kali ini kerana aku fikir selama ini kita hanya membicarakan tentang ketahanan jiwa nabi SAW dalam menghadapi godaan ini.


Memang tidak dinafikan, itulah kehebatan dan qualiti yang dimiliki oleh nabi SAW yang tercinta dalam mengharungi kepayahan dan cabaran da'awah, tetapi ada sesuatu lagi yang penting untuk kita renungi disebalik kisah ini.

Rasulullah SAW adalah manusia seperti kita juga, dan sudah menjadi suatu kemestian bagi baginda SAW merancang strategi da'awah baginda, disamping memohon pertolongan daripada Allah SWT.

Walaubagaimanapun, kejadian baginda SAW menolak tawaran pihak Musyrikin Mekah , serta membuat perumpamaan kiranya diberikan bintang di sebelah tangan kanan dan bulan di sebelah tangan kirinya, baginda tetap teguh dengan jalan da'awah sejati menunujukkan bahawa tiada kompromi dalam melaksanakan da'awah ini.

Wahai pejuang Islam yang bertarung dalam kancah pilihanraya demokrasi, hayatilah contoh agung ini. Ingat, sekalipun kita ini perancang terbilang dan memiliki niat yang utuh untuk mengembangkan ajaran Islam, prinsip perjuangan tidak boleh distrategikan sesuka hati.

Andai kuasa itu yang utama dalam meluaskan da'awah Islam, nescaya baginda SAW akan menerima tawaran tersebut, dan dengan kuasa yang ada ditangan baginda, sudah pasti Islam apat dibangunkan daripada dalam.

Sudah pasti perlahan-lahan organisasi masyarakat Quraisy kala itu akan diubah bentuk supaya cenderung menjadi proksi baginda SAW.

Dan dengan kuasa yang ada juga, sudah pasti rasulullah mempunyai access@ekses yang lebih besar untuk merombak undang-undang ketika itu, dengan menyelitkan lebih banyak perundangan Islam sedikit demi sedikit.

Persoalannya, berkembangkah ajaran Islam ini dengan langkah itu?


Sudah tentulah tidak, kerana andai kata itu yang terbaik, sudah pasti nabi Muhammad SAW telah memilih strategi itu. Tetapi baginda mengajar kita semua bahawa jalan meluaskan syariat Allah hanyalah da'awah yang berlandaskan nas-nas dan dalil-dalil, iaitu hujjah-hujjah yang berpaut dengan fakta dan realiti.

Itulah Islam ya akhi, satu agama yang bukan lahir dengan semangat emosi. Agama ini yang lengkap, logik dan rasional.

Buka minda kita semua. Tiada ertinya jika sirah perjuangan baginda ini kita eksklusifkan, sehingga faedah dan ilmu disebaliknya menjadi semakin sukar untuk kita hayati.

Da'awah wajib berada ditempat paling atas dalam struktur perjuangan kita, tidak kira untuk kumpulan politik, peniaga dsb. Jangan sesekali kita berfikiran bahawasanya kuasa ialah ekses utama dalam menghidupkan da'awah.


Jika itulah mentalitinya, nescaya keadaan akan bertambah buruk, seperti yang sedang berlaku dinegara kita yang tercinta ini.

Apabila kuasa menjadi matlamat, Islam tidak akan dijaga dengan jujur. Apabila undi menjadi sasaran, da'awah akan diganti dengan kempen emosi dan penuh sentimen. Apabila pengaruh menjadi impian, hilanglah kewarasan minda dan lidah.

Bumi ini milik Allah, dan seharusnya bumi ini dijaga oleh mereka yang mentauhidakan Allah. Cumanya, dalam kita melaksanakan tanggungjawab itu, janganlah kita melampaui batas, kerana Allah Azzawajjal tidak suka mereka yang melampaui batas.

Cukuplah hujjah Islam dijadikan sandaran, bukan hujjah demokrasi. Biarlah kalah pilihanraya, asalkan tidak kalah maruah sebagai manusia bernama Islam.

Barakallahufikum.

No comments: