Thursday, August 27, 2009

Akal Wajib Berselimutkan Fakta


Assalamualaikum

Manusia telah dibekalkan oleh Penciptanya dengan akal. Apa rasionalnya akal?

Akal perlu berinteraksi dengan fakta untuk memaksimumkan fungsinya.Lagi pula, akal yang sihat dan waras sebenarnya tidak mampu menafikan kebenaran sesuatu hal, walaupun ia(abiliti akal tersebut) bergantung kepada kapasiti pemiliknya.

Apabila kapasiti akal seseorang itu bertembung dengan sesuatu fakta yang sukar untuk dirungkai oleh akal individu itu, maka akan keluarlah perkataan "Aku tak tahu" atau "Aku tak pasti" dsb.

Itu adalah lumrah, kerana, kapasiti akalnya tidak mengizinkan orang itu mengerti. Dan kerana sebab inilah, manusia belajar.

Tapi, kapasiti akal boleh ditambah, bergantung sejauh mana pemiliknya belajar dan menggerakkan pemikiran mindanya.

Kita belajar tambah dan tolak dalam Matematik tahun 1, darab dan bahagi dalam Matematik tahun 2. Andai kata soalan tentang darab dan bahagi ditanya semasa seseorang itu masih di tahun 1, sudah pasti pelajar tersebut tidak dapat menjawabnya, kerana kapasiti akalnya masih belum dikembangkan.

Tetapi apabila pelajar tersebut masuk ke tahun 2, sudah pasti pelajar tersebut dapat menjawab soalan berkaitan darab dan bahagi, kerana akalnya telah dilatih untuk mengerti hal tersebut.



Itulah yang aku faham tentang akal kurniaan Allah SWT. Dengan kata lain, akal dikurniakan oleh Allah SWT bertujuan supaya manusia dapat menilai sesuatu hal yang diwujudkan olehNya dengan rasional dan kewarasan.

Menambah kapasiti akal serta mempertajamkannya lagi memerlukan sumber lain. Sumber itu haruslah memenuhi keinginan akal, yang mahu berinteraksi dengan fakta!

Tidak dinafikan, tidak setiap masa akal itu boleh memahami fakta, kerana pelbagai sebab. Tidak faham atau belum belajar dsb adalah antara faktornya. Apapun, sekiranya sesuatu itu adalah fakta, sifatnya pasti tepat dan betul!

Lalu, sumber manakah yang dapat menangani keinginan akal? Apakah pembekal fakta bagi menyelimuti akal manusia?

Jika ingin memahami tentang sains, kita akan menelaah buku sains. Jika kita ingin belajar matematik, kita perlu membuka buku matematik.

Bagaimana dalam konteks yang jauh lebih luas iaitu kehidupan? Yang lebih specifik lagi kehidupan rohani? Perlu kita tahu, rohani kita memerlukan belaian agama@kepercayaan. Sebab itu hampir seluruh manusia di dunia ini beragama, sekalipun mungkin orang itu tidak celik agama.

Kerana tidak celik agamalah, manusia cenderung memilih sesuatu yang fiksi dan emotion driven@dipengaruhi emosi, bukan fakta.

Ingatlah, walaupun agama itu sering dikaitkan dengan spritual, agama tetap perlu hadir dengan hujjah yang ditunjangi oleh fakta!

Agama sama sekali tidak boleh dihidupkan dengan andaian, apa lagi kisah-kisah khayalan dan mitos.

Bagaimanakah agama, iaitu sesuatu yang menjadi pusat kebenaran didirikan dengan andaian?

Sebab itulah, selama 23 tahun, nabi SAW keluar berdepan dengan masyarakat untuk menyampaikan Islam melalui fakta. Dan dalam tempoh ini, hujjah baginda SAW tertumpu kepada rohani dan psikologi.

Lihatlah sendiri akan mukjizat terbesar baginda SAW, iaitu Al Quran. Satu kitab yang penuh dengan hujjah kebenaran. Tidaklah nabi itu berda'awah dengan hal-hal yang sukar diterima akal.

Tidak pernah pun rasulullah SAW, dalam misi menegakkan da'awah Islam, berjalan diatas air, menjadi halimunan dan pelbagai lagi hal luar biasa demi mempengaruhi masyarakat ketika itu.

Walaupun memang ada hal-hal luar pemikiran kita dilakukan oleh baginda SAW, tetapi itu semua adalah sampingan untuk menyerlahkan kenabian baginda SAW.

Tetapi dalam bab-bab hujjah, baginda mendekati minda manusia dengan fakta. Baginda SAW menyeru manusia menghambakan diri kepada Allah SWT secara selari dengan kehendak manusia itu sendiri yang mahu berkasih dan mendekati diri dengan tuhannya.

Tiada amalan yang menentang arus kemanusiaan, seperti mencederakan diri, mengelak perkahwinan, tidak makan itu dan ini dsb demi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kerana ada nafsu seks dan mahu berkasih sayang, maka Islam menganjurkan perkahwinan.

Kerana bahana zahir dan batin yang dibawa oleh arak dan bahan-bahan yang memabukkan terhadap manusia, Allah SWT mengharamkan manusia mengambil bahan-bahan tersebut.

Kerana adanya segelintir kumpulan manusia yang suka memilih kekerasan dan peperangan untuk menegakkan kepercayaan mereka serta mendominasi orang lain, maka terkandung didalam Islam itu jihad berperang.

Kerana ramainya jumlah wanita berbanding lelaki, Islam menyediakan poligami sebagai salah satu penyelesaian kepada masalah wanita yang tidak dapat berkahwin.

Kerana tidak mungkin semua pasangan suami isteri itu mampu hidup dengan rukun dan harmoni untuk selamanya, Allah SWT telah menghalalkan penceraian supaya segala kesulitan dan pertelingkahan tidak berlarutan.

Ingat, jangan pandang buruk kepada peceraian, kerana tanpa sistem ini, suami isteri yang sudah tidak sehaluan hanya akan menambah lagi kesilapan dan keburukan dalam rumah tangga mereka.

Dan banyak lagi fakta-fakta yang menyokong kebenaran Islam. Kalau kita rajin mencari dan mengkaji,pasti kebenaran itu akan terserlah dalam jiwa kita.

Seperti sedarnya manusia tentang putaran bumi, kewujudan bintang, bulan, sistem fizikal manusia, aturan kejadian manusia dan banyak lagi adalah atas pendedahan yang terkandung di dalam Al Quran.


Apabila akal itu wajib berselimutkan fakta, maka ambillah Islam itu sepenuhnya agar kesihatan minda kita terjamin, lalu dapat menjernihkan jiwa ini dalam menjadi manusia yang sepatutnya.

Manusia sepatutnya, iaitu yang berasal dari syurga.

Barakallahufikum.

No comments: