Tuesday, April 21, 2009

Sistem Yang Keliru



Assalamualaikum

Masyarakat dunia kini berhadapan dengan kemelesetan ekonomi yang sangat berat. Mengikut pengamatan aku, kemelesetan atau kegawatan ini bukan menumpahkan implikasinya kepada ekonomi semata-mata, malah banyak lagi perkara lain yang akan terheret sama.

Kapitalis secara kasar, mengikut kefahaman aku bererti selagi mana sesuatu pihak itu mampu memaksimum pemilikan atau kepentingannya, itu dikira sebagai hak pihak tersebut.

Sebab itulah kita boleh lihat di era ini, masih ada sahaja manusia yang tidak makan seperti manusia@super miskin, tetapi dalam masa yang sama ramai juga manusia lain yang bukan sahaja boleh makan berlebihan, malah menginsuranskan bahagian-bahaagian badan pun ada!

Kapitalis bukan sistem ekonomi semata-mata tetapi merupakan ideologi pemikiran. Barat atau lebih tepat Amerika Syarikat mengiklankan konsep ini sejajar dengan sistem pemerintahan yang bernama demokrasi.

Ya, demokrasi, suatu sistem yang dipandang hebat oleh manusia zaman ini, termasuk juga yang mengaku pejuang Islam.

Demokrasi dan kapitalis datang secara berpakej. Apabila sesuatu perundangan itu berdasarkan atau bertumpu kepada people request atau kehendak rakyat, dengan bertermakan hak asasi, sudah pasti apa jua lapangan akan menuntut prospek yang sama, yakni sama rata sebagai asas kepada hak masing- masing.

Kepentingan manusia atau rakyat memang wajib dibela, tetapi perlu ada sempadannya. Dalam konteks ini, demokrasi gagal bertindak dengan secukupnya. Ialah, kadar demokrasi itu sahaja adalah begitu terbatas, baik pengertiannya mahupun kapasitinya.



Tanpa disedari, akibat mendahulukan suara manusia sehingga meletakkannya ditempat tertinggi, perlahan-lahan jiwa kapitalis akan lahir. Apabila semua orang menzahirkan sesuatu yang didakwa sebagai hak mereka, tiada siapa mahu mengalah lagi.

Disaat itu, bertembunglah pelbagai tuntutan, yang kalau kita ukur menggunakan konsep demokrasi, tiada siapa yang boleh dipertikaikan keinginannya.

Sebab itulah, seperti yang kita tahu, kaum songsang atau gay disesetengah negara barat dengan lantang menuntut hak mereka untuk mengamalkan hidup gaya pelik mereka itu, atas dasar hak asasi dan demokrasi.

Inilah kesan apabila manusia ditatang secara melampau. Pelbagai golongan akan mencipta hak dan kemudiannya keluar menuntut hak tersebut. Lalu, bercakaranlah antara hak yang wujud semenjak azali dengan hak yang direkacipta manusia berkiblatkan nafsu dan emosi.

Umpama seorang maknyah berkelahi dengan seorang gadis demi merebut seorang teruna, siapa yang lebih berhak? Bukankah dalam amalan demokrasi, manusia itu terjamin haknya?

Persoalannya disini, bagaimanakah hak itu boleh diukur? Mampukah demokrasi menjadi pengukur yang tepat?

Jika ya, mengapakah dikala ini manusia tersepit dalam pelbagai situasi yang kritikal? Seperti situasi politik di Thailand, Sri Lanka, Indonesia juga Malaysia. Adakah demokrasi itu meringankan atau sebaliknya?

Di Thailand, rusuhan yang berlaku dialasankan dengan kepincangan amalan demokrasi oleh kerajaan memerintah. Benarkah? Sampai manakah tahap kepincangan tersebut boleh dikenalpasti?

Inilah padah bila semua orang menggila mahu memiliki upper hand atau kelebihan atas satu sama lain, dengan alasan demokrasi.

Aku tidak menyokong mana-mana kerajaan atau parti, malah aku bukan peminat setia kerajaan negara kita ketika ini, namun tidak bermakna proses menukar atau membaik pulihnya harus beralatkan emosi rakyat atau pengundi, yang terang-terang dijajah madah orang politik.

Negara-negara yang mengamalkan demokrasi semuanya gagal, bukan kerana lemahnya pentadbiran, tetapi kerana demokrasi itu sendiri terlalu fleksibel dan mudah dimanipulasikan.

Apabila Malaysia misalnya, mengagungkan amalan demokrasi, secara jujur, seharusnya tidak perlu mana-mana akta pun untuk melindungi hak pihak atau kaum tertentu, kerana jika itu berlaku, tidak tercapailah erti demokrasi itu.

Tetapi, jika semua pihak mendapat nilai yang sama tanpa ukuran yang tepat, berdasarkan sejarah dan keperluan semasa, mampukah sesebuah negara itu menjadi stabil?

Misalnya, apabila peratus jumlah orang Cina kurang daripada Melayu, tetapi kuota kemasukan ke IPTA adalah sama, adilkah itu? Secara demokrasi, seharusnya tidak perlu pilih warna, tetapi secara zahir, mampukah demokrasi menanganinya?

Contoh lain, perlukah golongan pengkid diberi ruang untuk mempengkidkan hidup mereka, sehingga menggangu gugat hak lelaki tulen, baik dalam urusan mencari teman akibat dikebas kaum pengkid mahupun hal-hal lain? Jika kita katakan tidak, adakah amalan demokrasi itu terlaksana?

Demokrasi sangat mengelirukan!

Negara barat sering menggambarkan diri mereka sebagai jagoan demokrasi, tetapi sebenarnya merakalah bangsa yang sangat terperangkap dengan dakyah mereka itu.

Ini sangat ketara bila mereka dengan bongkaknya mencampuri urusan negara lain. Demokrasi itu tidak salah, cumnaya sistem ini terlalu lemah untuk dilaksanakan keatas manusia yang memiliki jiwa.

Akhirnya, jiwa manusia itu perlu diikat terlebih dahulu dengan satu sumber yang kuat dan spritual, barulah manusia akan lebih jelas tentang hala tuju kehidupan mereka.

Seperti memperkenalkan rukun negara keatas rakyat Malaysia, agar semua rakyat terikat dengan janji yang sama, sekalipun akhirnya rukun negara ini tidak lebih hanyalah sekadar omong kosong.

Di negara barat, pengikut ideologi-ideologi selain demokrasi dan kapitalis seperti socialis, anarki dsb sudah mula keluar untuk mempromosikan ideologi mereka, selepas mereka sedar betapa kapitalis dan demokrasi tidak dapt mengungguli keperluan manusia.

Perlu kita sedar, ideologi-ideoligi ini semua adalah hasil minda manusia semata-mata, yang akhirnya pasti akan mengembalikan kebuntuan yang tak sudah-sudah.

Cumanya, mereka berani kedepan. Bagaimana pula dengan kita umat Islam yang sering melaung-laungkan kesempurnaan agama ini? Adakah mahu menang sorak sahaja?


Apapun, ada sesuatu yang perlu kita sedar. Tiada satu pun pihak yang kedepan untuk mengetengahkan solution kepada kebuntuan demokrasi dan kapitalis hadir dengan satu sistem berdasarkan agama.

Adakah kerana mereka terlalu liberal dan sekular atau sememangnya agama mereka kosong?


Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.


Surah AlMaa’idah. Ayat 049 - 050.


Da'awah Islam akan menang, itu satu kepastian. Persoalannya, mahukah kita memiliki saham-saham dan bon-bon melalui da'awah tersebut?

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;

Surah Faatir. Ayat 029.

Barakallahufikum.

No comments: