Wednesday, November 25, 2009

Persepsi Sebagai Asas Tafsiran



Assalamualaikum

Agak lama aku tidak memposting wacana pemikiran ku di layar moden ini. Kesibukan memenuhi tuntutan naluri dan hal-hal masa depan membataskan aktivitiku, walaupun ada beberapa penulisan yang menunggu saat untuk dipublish.

Untuk post kali ini, aku hanya ingin menyentuh tentang perihal sesetengah manusia dalam hal membuat tafsiran atau pandangan.

Tafsiran adalah output selepas berlaku pertimbangan minda oleh seseorang. Yang perlu kita pastikan adalah sumber yang dipilih untuk dijadikan input, agar tafsiran kita menghampiri protokol ilmiah, menjurus kearah keadilan dan meniti titi kebenaran.

Walaupun atas satu hal yang sama tetapi mendapati lebih daripada satu tafsiran yang berbeza, selagi mana tafsiran-tafsiran tersebut didokong oleh input yang berwibawa, kita wajar memanfaatkan perbezaan tersebut, seandainya tafsiran-tafsiran tersebut menyuburkan lagi ladang ilmu dan meluaskan faedah kepada masyarakat.

Input yang berwibawa? Tidak lain dan tidak bukan iaitu fakta. Dalam konteks agama Islam, itulah nas-nas dan dalil-dalil yang sahih. Tafsiran perlu berasakan fakta agar ia selari dengan realiti akal dan kebenaran.

Namun, tidak semua antara kita memilih fakta dalam menafsir apalagi berhujah. Untuk membuktikan hal ini, aku cadangkan kita semua cukuplah dengan memandang barang sekilas dua keadaan semasa.

Lihatlah betapa manusia begitu cenderung menjadikan persepsi sebagai asas tafsiran, baik bidang agama, politik, pendidikan dan pelbagai lagi.

Fakta dipekup hidup-hidup, sedangkan persepsi diangkat menjadi major input dalam melahirkan tafsiran.

Persepsi kepada individu yang disanjung dan yang dibenci akan melahirkan tafsiran yang berbeza keatas hal dan situasi yang sama. Itulah yang menjadi tunjang dalam arena politik negara kita. Aku akan menyiarkan penulisan bertajuk 'Siasah Emosi' untuk mengupas hal ini.

Label rasuah akan dicampakkan kepada musuh, tetapi kepada orang yang disanjung, ia akan ditafsir sebagai sedekah ataupun hadiah.

Aku bukan menjurus kearah mana-mana pasukan siasah, tetapi aku cuma menggariskan realiti yang berlaku, apabila manusia sewenang-wenangnya melanggar etika dalam berhujah dan mentafsir.

Andai betul sekalipun dakwaan itu, kita sama sekali tidak wajar untuk mengangkat persepsi menjadi asas dalam menafsir sesuatu keadaan, kerana nilai keadilan, ilmu dan kebenaran seakan-akan dicabuli.

Dalam kecoh hal pertembungan yang berlaku antara jabatan agama dengan seorang pendakwah, kita boleh lihat dengan jelas bagaimana persepsi negatif yang telah dicalit keatas reputasi pendakwah tersebut dijadikan asas bagi menafsir aktiviti beliau, yang akhirnya mencacatkan reputasi jabatan itu sendiri, akibat ianya tidak lebih hanya sekadar andaian bukan hujah konkrit.

Sanjungan terhadap syiah dan Iran semuanya adalah atas revolusi pemikiran yang menjadikan persepsi sebagai nadi baru dalam mengutarakan hujah dan mengesahkan tafsiran. Malang sungguh mereka yang bersungguh-sungguh dengan kelompok ini, sehingga merencatkan pemahaman Islam yang sebenar.

Itu sebahagian daripada contoh yang suka untuk aku kongsikan. Anggaplah penulisan kali ini sebagai mukadimmah dalam aku membicarakan hal-hal berkaitan fakta vs emosi.

Mengapa kita perlu teliti dan bicara hal-hal ini? Kerana kebenaran hakiki yang dianjurkan Islam seperti yang dipelopori rasulullah SAW demi mencapai janji Allah SWT memerlukan kita, dengan dokongan iman, memandu akal kurniaan Illahi ini kearah kebenaranNya, yang semuanya dapat dirungkaikan dengan fakta dan hujah berpandukan Al Quran dan As Sunnah.



Tidak salah berpersepsi dan beremosi, kerana itulah hakikat makhluk bernama manusia, tetapi malang sekali, dalam keluasan ilmu dan bukti-bukti daripada Illahi, yang diberikan kepada makhlukNya, kita tidak manfaatkan bagi menerokai alam ilmu, menegakkan lagi tiang keadilan serta mencantikkan kehidupan dengan kebenaran!

Barakallahufikum.

No comments: