
Assalamualaikum
Kita semua memahami erti
sinonim sebagai satu
gambaran tentang persamaan antara beberapa perkara, hal atau individu dengan yang lain. Sinonim ini memperlihatkan sesuatu itu dengan
kembarnya.Namun, sedarkah semua bahawa budaya
'mensinonimkan' sesuatu dengan sesuatu ini
bukan sesuatu yang semestinya tepat? Sudah banyak hal di dalam kehidupan ini menjadi
sempit dan tidak adil, akibat gejala 'mensinonimkan' ini. Dan sudah banyak perkara dalam kehidupan ini mendapat
kredit mahupun pandangan positif dan bersih, sekalipun kenyataanya perkara tersebut adalah
mungkar ataupun salah, semua gara-gara kerakusan manusia
mendampingkan hal tersebut dengan sesuatu
benchmark yang baik dan elok.
Dalam penulisan kali ini, suka aku untuk menarik keluar beberapa contoh, samada
sejarah mahupun yang semasa, kesan hal yang cuba dilontarkan dalam perenggan tadi.
Barang diingat, sinonim
bukan semestinya salah, tetapi
sangat jauh dan tidak wajar untuk menjadi penunjuk ataupun indicator kepada betul atau salah sesuatu itu. Ia sebenarnya menyebabkan sesuatu
yang subjektif dan terdedah kepada tafsiran dan perbincangan menjadi sempit.
Apabila kebanyakan orang Islam era akhir zaman ini mensinonimkan
rambut (wanita) dengan aurat, kita boleh lihat akan kesannya. Bagaimana ramainya kaum wanita yang menitik beratkan hal ehwal pemakaian tudung, namun bagi pakaian lainnya, yakni
baju mereka diremah-temehkan. Mereka-mereka ini percaya
kononnya apabila rambut atau kepala itu sudah ditutup, lengkaplah sudah dress code seorang Muslimah! Sedangkan pakaian mereka masih sahaja ketat dan mencabar mata.

Lebih teruk lagi, pernah seorang artis wanita bertudung,apabila didapati dalam satu persembahannya, beliau tidak bertudung, mendakwa yang beliau tidak sedikit pun menunjukkan auratnya, kerana menurut beliau, rambut sejatinya telah ditutup oleh rambut palsu (yang dipakai untuk menghidupkan wataknya dalam teater tersebut). Sedangkan lehar dan dada beliau terdedah! Lucu tapi benar.
Benar, rambut itu aurat wanita, tapi ada lagi bahagian dan keperluan lain yang wajib ditutup, demi menuruti kehendak syarak. Nasihatku, janganlah anda wahai wanita Islam di luar sana menjadi seperti yang diingatkan baginda SAW,
tentang wanita yang berpakaian tetapi seperti bertelanjang! Nauzubillah.
Satu lagi kemudharatan yang dibawa akibat tindakan 'mensinonimkan' ini ialah apabila kita berpegang kepada
falsafah Melayu itu Islam. Pertama sekali, kita semua harus sedar bahwasanya
ketentuan tentang bangsa/keturunan dan suku seseorang itu
bukan sesuatu yang boleh dipilih. Lahir Melayu, Melayulah bangsa orang itu. Lahir Arab, Arablah bangsa orang itu, dan sebagainya.

Tidak seperti halnya dengan
agama atau kepercayaan, kerana manusia telah
dibekalkan hak oleh Pencipta untuk membuat pilihan. Lalu, marilah kita kembali kepada hakikat sebenar kehidupan ini. Jangankan kita orang Melayu, mereka yang berbangsa Arab pun, iaitu bangsa pertama yang kenal akan keindahan dan kehebatan Islam (yang disebarkan oleh baginda SAW), iaitu mereka yang sebangsa dengan rasulullah SAW yang tercinta, tidak 100% Islam.

Aku bukan mahu bicara soal murtad, tetapi lebih kepada
penyelewengan, samada secara sengaja atau tidak, yang berlaku akibat berpegang kepada persamaan 'Melayu=Islam'. Lihatlah apa jadi kepada
fekah itu sendiri,
sempit dan menyusahkan, apabila ramai percaya
budaya keMelayuan itu harus digabungkan atau dihybridkan dengan hukum Islam. 
Lihat sahaja kepayahan yang wujud dalam
hal ehwal pernikahan dan perkahwinan. Dari A-Z, perkahwinan zaman sekarang boleh membuat
impian seseorang itu terbantut. Sedangkan
rasulullah SAW dan Islam menganjurkan satu konsep yang sangat mudah dan menceriakan, demi menzahirkan cinta sesama manusia itu ke jalan yang diredhai Allah SWT.
Persamaan
Melayu=Islam ini juga boleh kita lihat dalam
struktur politik orang Melayu di negara tecinta ini. Aku percaya dan yakin, terdapat
ramai pejuang politik dalam parti politik Melayu terbesar di negara kita ini, ada niat untuk memperjuangkan Islam. Tetapi, akibat terlalu berdamping dengan
teras 'bangsa' di dalam agenda parti, mereka-mereka ini
tidak kelihatan ultra Islam. Dan mungkin juga, mereka-mereka ini menyangka apa sahaja untuk Melayu, adalah untuk Islam.

Sedangakan
Islam itu tersangatlah luas. Apa sahaja untuk Islam, adalah untuk semua manusia dan dunia. Itulah
gambaran ataupun falsafah perjuangan politik Islam, yang wajar
dikepalai oleh usaha da'awah, bukan
politik somborono tarik undi, melempar cacian dan penuh sentimen. Dengan tegas aku katakan, politik somborono ini bukan politik Islam ala rasulullah SAW dan para sahabat RA.
Mungkin huruf 'M' itu, yang selama ini dikenali sebagai 'Melayu', boleh kita tukarkan kepada Muslim. InshaAllah, prospek akan menjadi lebih luas, matlamat pula lebih segar, jelas dan jitu. Tapi jangan hanya tukar nama sahaja, objektif, misi dan visi wajib diperbetulkan.
Islam itu
bukan calang-calang untuk disinonimkan dengan apa atau siapa. Islam itu milik Allah SWT, bukan Sultan, Raja, Menteri, Ulama, Tok Guru, De Facto dan lain-lain. Kerana Allah Azzawajjal mengingatkan kita bahawasanya di akhir zaman ini, Islam itu diguna pakai oleh pihak tertentu untuk meluaskan/melariskan agenda mereka sendiri. Tidak salah beragenda,
andai agenda itu adalah agenda memperluaskan syariat Allah (dengan cara yang betul). Dan tidak salah
mengguna pakai Islam, kerana selain kebenarannya, itulah tanggungjawab kita semua sebagai hamba. Banyak lagi bahaya sinonim yang kita boleh lihat. Aku berharap, dengan contoh-contoh di atas, yang
lebih bersifat pendedahan dalam bentuk pandangan peribadiku, kita semua akan lebih sensitif dan waras.
Tiada hukum salah atau betul berkaitan hal ini, cuma terletak kepada kita untuk membimbing minda dan idea kita ke arah jalan lurus milik Allah SWT.Barakallahufikum.