Wednesday, May 12, 2010

Bahaya Sinonim



Assalamualaikum

Kita semua memahami erti sinonim sebagai satu gambaran tentang persamaan antara beberapa perkara, hal atau individu dengan yang lain. Sinonim ini memperlihatkan sesuatu itu dengan kembarnya.

Namun, sedarkah semua bahawa budaya 'mensinonimkan' sesuatu dengan sesuatu ini bukan sesuatu yang semestinya tepat? Sudah banyak hal di dalam kehidupan ini menjadi sempit dan tidak adil, akibat gejala 'mensinonimkan' ini. Dan sudah banyak perkara dalam kehidupan ini mendapat kredit mahupun pandangan positif dan bersih, sekalipun kenyataanya perkara tersebut adalah mungkar ataupun salah, semua gara-gara kerakusan manusia mendampingkan hal tersebut dengan sesuatu benchmark yang baik dan elok.

Dalam penulisan kali ini, suka aku untuk menarik keluar beberapa contoh, samada sejarah mahupun yang semasa, kesan hal yang cuba dilontarkan dalam perenggan tadi.

Barang diingat, sinonim bukan semestinya salah, tetapi sangat jauh dan tidak wajar untuk menjadi penunjuk ataupun indicator kepada betul atau salah sesuatu itu. Ia sebenarnya menyebabkan sesuatu yang subjektif dan terdedah kepada tafsiran dan perbincangan menjadi sempit.


Apabila kebanyakan orang Islam era akhir zaman ini mensinonimkan rambut (wanita) dengan aurat, kita boleh lihat akan kesannya. Bagaimana ramainya kaum wanita yang menitik beratkan hal ehwal pemakaian tudung, namun bagi pakaian lainnya, yakni baju mereka diremah-temehkan. Mereka-mereka ini percaya kononnya apabila rambut atau kepala itu sudah ditutup, lengkaplah sudah dress code seorang Muslimah! Sedangkan pakaian mereka masih sahaja ketat dan mencabar mata.

Lebih teruk lagi, pernah seorang artis wanita bertudung,apabila didapati dalam satu persembahannya, beliau tidak bertudung, mendakwa yang beliau tidak sedikit pun menunjukkan auratnya, kerana menurut beliau, rambut sejatinya telah ditutup oleh rambut palsu (yang dipakai untuk menghidupkan wataknya dalam teater tersebut). Sedangkan lehar dan dada beliau terdedah! Lucu tapi benar.

Benar, rambut itu aurat wanita, tapi ada lagi bahagian dan keperluan lain yang wajib ditutup, demi menuruti kehendak syarak. Nasihatku, janganlah anda wahai wanita Islam di luar sana menjadi seperti yang diingatkan baginda SAW, tentang wanita yang berpakaian tetapi seperti bertelanjang! Nauzubillah.

Satu lagi kemudharatan yang dibawa akibat tindakan 'mensinonimkan' ini ialah apabila kita berpegang kepada falsafah Melayu itu Islam. Pertama sekali, kita semua harus sedar bahwasanya ketentuan tentang bangsa/keturunan dan suku seseorang itu bukan sesuatu yang boleh dipilih. Lahir Melayu, Melayulah bangsa orang itu. Lahir Arab, Arablah bangsa orang itu, dan sebagainya.


Tidak seperti halnya dengan agama atau kepercayaan, kerana manusia telah dibekalkan hak oleh Pencipta untuk membuat pilihan. Lalu, marilah kita kembali kepada hakikat sebenar kehidupan ini. Jangankan kita orang Melayu, mereka yang berbangsa Arab pun, iaitu bangsa pertama yang kenal akan keindahan dan kehebatan Islam (yang disebarkan oleh baginda SAW), iaitu mereka yang sebangsa dengan rasulullah SAW yang tercinta, tidak 100% Islam.


Aku bukan mahu bicara soal murtad, tetapi lebih kepada penyelewengan, samada secara sengaja atau tidak, yang berlaku akibat berpegang kepada persamaan 'Melayu=Islam'. Lihatlah apa jadi kepada fekah itu sendiri, sempit dan menyusahkan, apabila ramai percaya budaya keMelayuan itu harus digabungkan atau dihybridkan dengan hukum Islam.


Lihat sahaja kepayahan yang wujud dalam hal ehwal pernikahan dan perkahwinan. Dari A-Z, perkahwinan zaman sekarang boleh membuat impian seseorang itu terbantut. Sedangkan rasulullah SAW dan Islam menganjurkan satu konsep yang sangat mudah dan menceriakan, demi menzahirkan cinta sesama manusia itu ke jalan yang diredhai Allah SWT.

Persamaan Melayu=Islam ini juga boleh kita lihat dalam struktur politik orang Melayu di negara tecinta ini. Aku percaya dan yakin, terdapat ramai pejuang politik dalam parti politik Melayu terbesar di negara kita ini, ada niat untuk memperjuangkan Islam. Tetapi, akibat terlalu berdamping dengan teras 'bangsa' di dalam agenda parti, mereka-mereka ini tidak kelihatan ultra Islam. Dan mungkin juga, mereka-mereka ini menyangka apa sahaja untuk Melayu, adalah untuk Islam.


Sedangakan Islam itu tersangatlah luas. Apa sahaja untuk Islam, adalah untuk semua manusia dan dunia. Itulah gambaran ataupun falsafah perjuangan politik Islam, yang wajar dikepalai oleh usaha da'awah, bukan politik somborono tarik undi, melempar cacian dan penuh sentimen. Dengan tegas aku katakan, politik somborono ini bukan politik Islam ala rasulullah SAW dan para sahabat RA.

Mungkin huruf 'M' itu, yang selama ini dikenali sebagai 'Melayu', boleh kita tukarkan kepada Muslim. InshaAllah, prospek akan menjadi lebih luas, matlamat pula lebih segar, jelas dan jitu. Tapi jangan hanya tukar nama sahaja, objektif, misi dan visi wajib diperbetulkan.


Islam itu bukan calang-calang untuk disinonimkan dengan apa atau siapa. Islam itu milik Allah SWT, bukan Sultan, Raja, Menteri, Ulama, Tok Guru, De Facto dan lain-lain. Kerana Allah Azzawajjal mengingatkan kita bahawasanya di akhir zaman ini, Islam itu diguna pakai oleh pihak tertentu untuk meluaskan/melariskan agenda mereka sendiri.

Tidak salah beragenda, andai agenda itu adalah agenda memperluaskan syariat Allah (dengan cara yang betul). Dan tidak salah mengguna pakai Islam, kerana selain kebenarannya, itulah tanggungjawab kita semua sebagai hamba.

Banyak lagi bahaya sinonim yang kita boleh lihat. Aku berharap, dengan contoh-contoh di atas, yang lebih bersifat pendedahan dalam bentuk pandangan peribadiku, kita semua akan lebih sensitif dan waras.

Tiada hukum salah atau betul berkaitan hal ini, cuma terletak kepada kita untuk membimbing minda dan idea kita ke arah jalan lurus milik Allah SWT.

Barakallahufikum.

Monday, May 3, 2010

Retorik

Umar merupakan seorang pemuda yang mengambil berat hal semasa. Mungkin kerana kegemarannya kepada tulisan ilmiah, terutamanya yang berunsur Islamik, Umar agak lantang dalam membahasakan hasil di kilang mindanya.

Tidak dapat dinafikan bahawasanya pemuda ini mencintai agamanya, iaitu Islam. Walaupun, seperti yang sering diakuinya, akan kekurangan ilmunya serta betapa beliau menganggap banyak lagi yang perlu beliau pelajari, Umar tidak pernah merencatkan kesungguhanya untuk berdialog dengan orang lain, apa lagi jika beliau merasakan orang atau pihak tertentu melakukan sesuatu yang 'entahapehapeentah..'

Di kawasan kejiranan Umar, terdapat sebuah pertubuhan Islam yang bernama Pertubuhan Islam Unggul (PAU). PAU merupakan kumpulan yang berniat untuk menyebarkan Islam. Ini termaktub dalam perlembagaan penubuhan kumpulan ini.

Namun, Umar sangat kurang senang dengan PAU. Walaupun jauh di sudut hatinya ada rasa sayang kepada PAU kerana mengenangkan agenda terasnya, Umar beranggapan PAU sudah terlalu kepolitikan.

Umar sangat berhasrat untuk bersemuka dengan orang yang menyertai PAU, lagi veteran lagi beliau idamkan, almaklumlah,yang muda-muda semuanya daras panas, otak singkat.

Masih terkenang di benak Umar akan satu kejadiaan yang beliau saksikan semasa pemilihan ketua balai raya kawasan kejiranannya, apabila ada antara penyokong muda PAU yang beraksi seakan-akan mereka sedang berhadapa dengan tentera Israel, sedangkan yang mereka depani adalah satu pertubuhan Melayu Islam, yang memang terkenal dengan sifat pening-pening lalat mereka. Laungan jihad dan takbir oleh muda mudi PAU ini menggelikan hati Umar, yang sekali sekala boleh menjelekkan.

Pada Umar, ahli PAU, mungkin sebahagian, kalau tidak semua terlalu syok sendiri. Mereka menyangka Islam itu hak mereka, hingga apa yang dibuat semuanya jihad, dan apa yang di buat pertubuhan yang agak-agak pening-pening lalat itu semuanya durjana.

Bagi Umar, apabila beliau kenangkan perangai ahli-ahli PAU tersebut, boleh menimbulkan kesangsian dalam perutnya. Kalau tak terkawal, kadang-kadang memualkan dan boleh termuntah.

Sebenarnya, banyak hal yang ingin Umar lepaskan jika beliau berpeluang bertemu atau berbual atau berbincang dengan individu daripada PAU. Isu berkawan dengan bukan Islam, isu hukum hudud negara Islam, hukum memaki orang lain dan banyak lagi.

Tetapi, ada satu perkara yang paling tidak menyenangkan Umar, dan beliau sangat ingin meluahkannya kepada ahli PAU, andai mereka bertemu. Hal tersebut adalah tentang perubahan retorik atau cogankata PAU, yang dulunya berbunyi ' Islam Untuk Semua', tapi kini diubah kepada 'PAU Untuk Semua'...

Umar sangat berbulu akan isu ini. Lalu beliau mendapatkan seorang ahli PAU, Arif, yang beliau kenal sebagai seorang yang hidup matinya adalah PAU.

Tanya Umar, " Arif, ana ada benda nak tanya dan kalau perlu hentam. Pasal PAU enta tu.."

Selesai Arif memberi respon 'ya', walau dalam keadaan yang sedikit kurang selesa, Umar melanjutkan soalannya.

" Mengapa ditukar slogan PAU, daripada 'Islam Untuk Semua' kepada 'PAU Untuk Semua'? Mengapa tidak dikekalkan sahaja perkataan Islam itu? Bukankah perjuangan enta semua adalah Islam?"

Arif kelihatan sangat tenang, seolah-olah sebab musabab kepada isu itu sudah lama terpahat di sanubari tegarnya itu. Lalu Arif bereaksi..

"Itukah persoalannya? Biar ana terangkan. Ada 2 sebab utamanya ya akhi.

Pertamanya ialah kaitan PAU dan Islam itu sendiri. Tidakkah enta tahu, PAU itu sinonim dengan Islam. Mungkin agak terlalu berat untuk mengatakan Islam itu PAU dan PAU itu Islam, tetapi pada ana dan kemungkinan menjadi pandangan seluruh saf kepimpinan ulama' dan profesional dalam PAU yang mulia dan tercinta ini, persamaan itulah yang paling tepat. Maklumlah, tanpa PAU, siapa lagi yang kita nak harapkan ya akhi?"


Berderau darah Umar mendengar penjelasan tersebut, namun beliau cuba berlaku tenang sambil meminta hujjah kedua daripda Arif.

Balas Arif.. "Keduanya, kita umat Islam harus sedar bahawasanya dalam tempoh 10-20 tahun kebelakangan ini, musuh-musuh Islam telah berjaya memalitkan Islam dengan pelbagai unsur negatif, seperti keganasan, penindasan dan lain-lain. Senang cerita saudaraku, Islam telah menjadi label yang buruk. Orang takut dengan Islam, terutamanya bukan Islam.

Jadi, sebab itu lah PAU dengan bangganya menukar slogan retorik itu, agar bukan Islam, terutamanya daripada Pertubuhan Roket Sama Rata (ERAP)boleh duduk semeja untuk bekerjasama dengan PAU bagi menghapuskan pertubuhan pening-pening lalat itu. Lagipun, seperti hujjah pertama ana tadi, PAU dan Islam itu kan sinonim!"


Begitulah yakinnya Arif menyampaikan hujjahnya, tanpa beliau sedari, Umar menunggu masa untuk meledak.

"Kalau itulah sebabnya, enta dan pak guru-pak guru enta sungguh memalukan dan memualkan. Pertamanya, siapakah sebenarnya yang merasakan Islam iu sudah menjadi label yang buruk? Non Muslim kah atau enta dan sanjungan-sanjungan enta tu? Ada ke pertambahan saudara baru selepas perubahan slogan itu? Atau paling tidak, berubahkan pandangan mereka pada Islam? Tidak pula ana lihat, makin keliru adalah!

Lagi satu, enta tahu tak siapa yang beri nama Islam kepada agama kita ini? Bukan pak guru-pak guru enta. Bukan wali Songo, hatta bukan Rasululllah SAW pun. Siapa enta tahu? Allah SWT. Ya, Allah SWT yang memberi nama pada agama suci ini. Ana dah banyak membaca kitab-kitab agama lain, dan tiada satu pun agama-agama bathil tersebut yang tercatat akan nama agama mereka dalam kitab utama mereka. Semua nama agama mereka datang daripada rekaan ketua mereka.

Jadi, apakah hak kita untuk merasakan nama mulia ini bermasalah? Dan pernahkah enta membaca dalam sirah Rasulullah SAW, baginda menyembunyikan atau menggantikan terma Islam itu dengan terma lain, supaya masyarakat Arab tidak takut dengan gelombang da'awah baginda? Pernahkah?"




Umar dengan lancar namun terkawal kata-kata dan emosinya memberikan pandangan yang tepat lagi tajam kepada Arif.

Arif, yang memang terkenal dengan jatidiri PAUnya itu menjawab, "Pandangan enta itu agak kurang ilmiah dan tidak matang. Enta perlu banyak belajar lagi strategi perang politik ni, macam pak guru-pak guru yang begitu mahir dan hebat."

Saturday, May 1, 2010

Mencari Erti Di Luar Kepompong Simpati, Memilih Arah Di Luar Pengaruh Amarah

Assalamualaikum

Ringkas sahaja untuk kali ini. Berkaitan kejadiaan malang melibatkan pihak berkuasa dan pelajar sekolah baru-baru ini, aku ingin menyeru semua pihak terutamanya orang ramai, supaya bertenang dan bertanggungjawab dalam hal menilai, memberi pandangan mahupun mengherdik mereka-mereka yang terlibat dalam kejadian yang menginsafkan ini.

Semua orang ada pandangan tersendiri dalam hal ini, tetapi adalah tidak wajar untuk kita berlebihan dalam memberi penilaian, apa lagi jika luahan dan penilaian kita itu bersandarkan rasa benci mahupun sikap extreme dalam mempertahankan kepentingan kita.

Aku percaya, semua pihak, samada yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung, wajib memikul tanggungjawab atas kejadiaan ini. Dan aku membidas mereka-mereka yang memainkan isu ini untuk kantung pengaruh serta kepentingan politik sempit mereka,demi menjadi hero sejagat. Andai ada yang memilih mahu memainkan isu ini atas niat sedemikian, ketahuilah oleh kalian bahawasanya kelebihan politik yang dicapai itu tidak lebih tidak kurang hanya akan menjadi fitnah di kemudian hari.

Allah SWT telah izinkan berlakunya hal ini, demi pelbagai sebab dan pengajaran. Sebagai Muslim, carilah hikmah di sebalik perkara ini, untuk membantu kita supaya lebih merendah diri kepadaNya.

Mencari erti di luar kepompong simpati, memilih arah di luar pengaruh amarah..

Barakallahufikum.

Friday, April 30, 2010

Menangkan Apa?


Apa yang mahu tuan menangkan?
Menang atas kegagalan musuh?
Menang atas kejatuhan mereka?
Atau menang atas kemusnahan mereka?

Ada orang kata,
"Kita menangkan rakyat"
"Kita menangkan keadilan"
"Kita menangkan kebebasan"


Ada juga yang laungkan,
"Kita menangkan agama"
"Kita menangkan bangsa"
"Kita menangkan semua"


Mengapa tuan berdiri di sini?
"Kerana aku mahu menangkan kalian"
Apa yang rakyat mahu?
"Kebebasan, keadilan"
Bebas daripada apa?
Keadilan tentang apa?
"Bebas daripada musuhku, keadilan atas andaianku"

Apa yang sebenarnya tuan mahu menangkan?
Menangkan agenda tuan?
Atau menangkan agenda kami?
Atau menangkan agenda siapa sebenarnya?

"Agendaku adalah kalian"
"Launganku, darahku dan jiwaku demi membebaskan kalian"


Apa caranya untuk tuan ke situ?
"Biar aku jadi ketua kalian"
Mengapa tuan kata begitu?
"Kerana agendaku adalah kalian"
Apa pula agenda kami?
"Menangkan aku!"

Apa cara lain untuk tuan ke situ?
"Jangan jadikan mereka ketua kalian"
Mengapa tuan kata begitu?
"Kerana agenda mereka bukan kalian"
Jadi apa pula agenda kami?
"Gagalkan mereka"

Adakah kami tuhan tuan?
Adakah tuan tuhan tuan?
Atau adakah tuan tuhan kami?

"Bukan, bukan dan bukan..."

Lalu.., mengapa agenda tuan yang mahu dimenangkan?
Lalu.., mengapa agenda kami yang mahu dimenangkan?

Adakah kami nabi tuan?
Adakah tuan nabi tuan?
Atau adakan tuan nabi kami?

"Tidak, tidak dan tidak.."

Jadi.., mengapa agenda tuan yang perlu dimenangkan?
Jadi.., mengapa agenda kami yang mahu dimenangkan?

"Jangan tanya lagi.."
"Jangan tanya lagi....."


Kami bertanya sebelum nanti ditanya..,
"Menangkan apa?"


Thursday, April 22, 2010

Mana Boleh Semua Betul, Mana Boleh Semua Sama

Pada suatu petang yang normal, seorang ayah duduk di laman rumah sambil memerhatikan 3 ekor kucing peliharaanya bermain riang, menghargai peluang dilepaskan daripada kongkongan sangkar penginapan mereka. Gembira sungguh kucing-kucing itu, sampaikan seekor daripada mereka, berbulu perang dan bertubuh tegap terjelir lidahnya tanda sudah penat berlumba lari dengan yang lain.

Si ayah tersengih sendiri melihat aksi tersebut. Lalu datang anak kecilnya, yang berusia awal tadika menyapa ayahnya, " Ayah, Safiyyah ada benda nak tanya ayah. Safiyyah dah tanya ibu, tapi jawapan ibu tak bestla.." bicara anak kecil itu pada ayahnya.

"Mengapa sayang? Pasal cerita orang balas-balas baling botol lagi ke? Ke pasal mengapa orang lawan jadi imam dekat tv tu?" tanya si ayah kepada anaknya yang memang rajin bertanya..

"Bukan,bukan.. Safiyyah nak tanya pasal aunty yang duduk depan tu. Yang rumah dia ada anjing besar tu. Yang dekat rumah dia ada satu lagi rumah warna merah tu." Jawab si anak kepada ayahnya dengan besungguh-sungguh. Melihatkan puteri comelnya bersemangat, si ayah terus membuka ruang pertanyaan.

Tanya anaknya. "Ayah tau tak, hari tu rumah aunty tu ada ramai orang datang. Ibu cakap dekat Safiyyah ayah aunty tu meninggal sebab sakit. Lepas tu ramailah orang datang nak doa."

"Oh, waktu yang kita tak jadi keluar makan sebab dekat depan rumah ramai sangat orang tu ye? Aah, masa tu ramai orang datang nk doakan ayah aunty tu." balas si ayah.

"Mengapa doa diorang tak sama ayah? Safiyyah tanya dekat ibu, mengapa diorang doa tak sama macam kita? Safiyyah tak dengar diorang sebut Allah pun. Lepas tu ibu cakap, diorang tak sama dengan kita. Tuhan diorang lain." Anak kecil itu bersungguh-sungguh menyampaikan persoalannya.

Si ayah cuba menenangkan si anak. "Diorang tu tak sama dengan kita sayang.." Belum sempat si ayah menyambung kata-kata, anaknya yang memang rajin bercakap semenjak dikurniakan nikmat bercakap itu meneruskan ceritanya..

"Ibu pun cakap macam tu. Safiyyah tanya ibu, mengapa tuhan diorang lain bu? Ayah bagitau Safiyyah, yang cipta orang ni tuhan, tuhan orang tu Allah. Kalau tuhan diorang lain, mengapa Safiyyah dengan aunty tu sama je. Ada 2 tangan dan 2 kaki. Ada mata, hidung, mulut, telinga."

"Lepas tu ibu cakap apa dekat Safiyyah?" Tanya si ayah.

"Ibu tak cakap lagi, sebab Safiyyah je yang asyik tanya ibu. Safiyyah tanya, ada banyak tuhan ke bu? Kalau banyak tuhan, tuhan aunty tu dengan Allah kawan ke? Macam mana tuhan aunty tu buat aunty tu sama macam Allah buat ibu dengan Safiyyah? Siapa buat dulu bu?" cerita anaknya dengan kelancaran mengalahkan khatib yang membaca teks khutbah solat Jumaat.

"Ibu bagitau apa dekat Safiyyah?" tanya si ayah pula.

"Ibu senyum je ayah. Ibu ulang-ulang cakap "anak ibu ni kecik lagi, nanti dah besar anak ibu ni mesti faham tau.." Tapi Safiyyah cakap dekat ibu, takkan semua tuhan tu betul bu? Takkan semua tuhan tu sama bu? Kalau semua tuhan tu ada, siapa yang ikut siapa? Tapikan ayah, ibu senyum je. Safiyyah tanya banyak-banyak pun ibu senyum jugak. Lepas tu ibu cakap, nanti pergi tanya ayah. Betul ke tuhan diorang lain ayah?" si anak mengakhiri pertanyaannya dengan penuh harapan.

Si ayah hanya tersenyum.