Friday, April 30, 2010

Menangkan Apa?


Apa yang mahu tuan menangkan?
Menang atas kegagalan musuh?
Menang atas kejatuhan mereka?
Atau menang atas kemusnahan mereka?

Ada orang kata,
"Kita menangkan rakyat"
"Kita menangkan keadilan"
"Kita menangkan kebebasan"


Ada juga yang laungkan,
"Kita menangkan agama"
"Kita menangkan bangsa"
"Kita menangkan semua"


Mengapa tuan berdiri di sini?
"Kerana aku mahu menangkan kalian"
Apa yang rakyat mahu?
"Kebebasan, keadilan"
Bebas daripada apa?
Keadilan tentang apa?
"Bebas daripada musuhku, keadilan atas andaianku"

Apa yang sebenarnya tuan mahu menangkan?
Menangkan agenda tuan?
Atau menangkan agenda kami?
Atau menangkan agenda siapa sebenarnya?

"Agendaku adalah kalian"
"Launganku, darahku dan jiwaku demi membebaskan kalian"


Apa caranya untuk tuan ke situ?
"Biar aku jadi ketua kalian"
Mengapa tuan kata begitu?
"Kerana agendaku adalah kalian"
Apa pula agenda kami?
"Menangkan aku!"

Apa cara lain untuk tuan ke situ?
"Jangan jadikan mereka ketua kalian"
Mengapa tuan kata begitu?
"Kerana agenda mereka bukan kalian"
Jadi apa pula agenda kami?
"Gagalkan mereka"

Adakah kami tuhan tuan?
Adakah tuan tuhan tuan?
Atau adakah tuan tuhan kami?

"Bukan, bukan dan bukan..."

Lalu.., mengapa agenda tuan yang mahu dimenangkan?
Lalu.., mengapa agenda kami yang mahu dimenangkan?

Adakah kami nabi tuan?
Adakah tuan nabi tuan?
Atau adakan tuan nabi kami?

"Tidak, tidak dan tidak.."

Jadi.., mengapa agenda tuan yang perlu dimenangkan?
Jadi.., mengapa agenda kami yang mahu dimenangkan?

"Jangan tanya lagi.."
"Jangan tanya lagi....."


Kami bertanya sebelum nanti ditanya..,
"Menangkan apa?"


Thursday, April 22, 2010

Mana Boleh Semua Betul, Mana Boleh Semua Sama

Pada suatu petang yang normal, seorang ayah duduk di laman rumah sambil memerhatikan 3 ekor kucing peliharaanya bermain riang, menghargai peluang dilepaskan daripada kongkongan sangkar penginapan mereka. Gembira sungguh kucing-kucing itu, sampaikan seekor daripada mereka, berbulu perang dan bertubuh tegap terjelir lidahnya tanda sudah penat berlumba lari dengan yang lain.

Si ayah tersengih sendiri melihat aksi tersebut. Lalu datang anak kecilnya, yang berusia awal tadika menyapa ayahnya, " Ayah, Safiyyah ada benda nak tanya ayah. Safiyyah dah tanya ibu, tapi jawapan ibu tak bestla.." bicara anak kecil itu pada ayahnya.

"Mengapa sayang? Pasal cerita orang balas-balas baling botol lagi ke? Ke pasal mengapa orang lawan jadi imam dekat tv tu?" tanya si ayah kepada anaknya yang memang rajin bertanya..

"Bukan,bukan.. Safiyyah nak tanya pasal aunty yang duduk depan tu. Yang rumah dia ada anjing besar tu. Yang dekat rumah dia ada satu lagi rumah warna merah tu." Jawab si anak kepada ayahnya dengan besungguh-sungguh. Melihatkan puteri comelnya bersemangat, si ayah terus membuka ruang pertanyaan.

Tanya anaknya. "Ayah tau tak, hari tu rumah aunty tu ada ramai orang datang. Ibu cakap dekat Safiyyah ayah aunty tu meninggal sebab sakit. Lepas tu ramailah orang datang nak doa."

"Oh, waktu yang kita tak jadi keluar makan sebab dekat depan rumah ramai sangat orang tu ye? Aah, masa tu ramai orang datang nk doakan ayah aunty tu." balas si ayah.

"Mengapa doa diorang tak sama ayah? Safiyyah tanya dekat ibu, mengapa diorang doa tak sama macam kita? Safiyyah tak dengar diorang sebut Allah pun. Lepas tu ibu cakap, diorang tak sama dengan kita. Tuhan diorang lain." Anak kecil itu bersungguh-sungguh menyampaikan persoalannya.

Si ayah cuba menenangkan si anak. "Diorang tu tak sama dengan kita sayang.." Belum sempat si ayah menyambung kata-kata, anaknya yang memang rajin bercakap semenjak dikurniakan nikmat bercakap itu meneruskan ceritanya..

"Ibu pun cakap macam tu. Safiyyah tanya ibu, mengapa tuhan diorang lain bu? Ayah bagitau Safiyyah, yang cipta orang ni tuhan, tuhan orang tu Allah. Kalau tuhan diorang lain, mengapa Safiyyah dengan aunty tu sama je. Ada 2 tangan dan 2 kaki. Ada mata, hidung, mulut, telinga."

"Lepas tu ibu cakap apa dekat Safiyyah?" Tanya si ayah.

"Ibu tak cakap lagi, sebab Safiyyah je yang asyik tanya ibu. Safiyyah tanya, ada banyak tuhan ke bu? Kalau banyak tuhan, tuhan aunty tu dengan Allah kawan ke? Macam mana tuhan aunty tu buat aunty tu sama macam Allah buat ibu dengan Safiyyah? Siapa buat dulu bu?" cerita anaknya dengan kelancaran mengalahkan khatib yang membaca teks khutbah solat Jumaat.

"Ibu bagitau apa dekat Safiyyah?" tanya si ayah pula.

"Ibu senyum je ayah. Ibu ulang-ulang cakap "anak ibu ni kecik lagi, nanti dah besar anak ibu ni mesti faham tau.." Tapi Safiyyah cakap dekat ibu, takkan semua tuhan tu betul bu? Takkan semua tuhan tu sama bu? Kalau semua tuhan tu ada, siapa yang ikut siapa? Tapikan ayah, ibu senyum je. Safiyyah tanya banyak-banyak pun ibu senyum jugak. Lepas tu ibu cakap, nanti pergi tanya ayah. Betul ke tuhan diorang lain ayah?" si anak mengakhiri pertanyaannya dengan penuh harapan.

Si ayah hanya tersenyum.

Monday, March 22, 2010

Tuhan dan Agama


Assalamualaikum

Semua manusia percaya kepada tuhan. Biar apa pun agamanya, malah yang tidak mahu beragama, manusia itu percaya kepada tuhan. Apabila hati ini mengiakan akan adanya satu kuasa yang mengawal segala perjalanan alam, secara mudah atau konteks yang lebih rumit, manusia akan memperakui adanya tuhan, dengan kepelbagaian terma. Terma pula bergantung warisan dalam agama tersebut ataupun kepercayaan itu sendiri.

Memperakui adanya tuhan dengan 'secara mudah' adalah pilihan hampir kesemua manusia, terutama bagi yang memiliki agama dalam kehidupan mereka, sekalipun tidak dipratikkan. Namun, dalam level ini, manusia berbeza mengikut tauhid atau core dalam kepercayaan tersebut, berdasarkan teori atau didikan agama yang dianuti.

Sebab itulah ada konsep tuhan yang satu, trinity, dewa-dewi dsb.

Manakala bagi mereka yang mahu kompleks atau mengkomplekskan, biasanya golongan yang kononnya tidak percaya tuhan, atheist, free thinker dan seangkatan dengannya, jauh disudut hati dan benak mereka, tuhan itu ada. Cuma sekali lagi diulang, terma mungkin pelbagai, tetapi idea itu tetap sama.

Golongan yang mengkomplekskan adanya tuhan ini, kononnya mahu berdiri atas fakta logika dan saintifik, tanpa mereka tahu dihujung setiap hujjah mahupun andaian itu pastinya buntu, yang hanya akan terlerai apabila hati kecil mereka mudah mengiakan adanya kuasa yang sangat super yakni tuhan. Allahuakhbar!

Aku pernah berbicara dengan seorang manusia yang mengaku atheist, atas dasar apa beliau memilih menjadi demikian. Alhamdulillah, penghujjahan aku tidak memakan masa yang panjang, bagi mengeluarkan dirinya daripada 'tidak percaya adanya tuhan' kepada 'tidak percaya agama'..

Ya para pembaca, manusia tidak akan sekali-kali menolak akan adanya tuhan, kerana, seperti lapar habuannya makan, mengantuk jawabnya tidur, percaya kepada adanya tuhan itu adalah nature atau sifat semulajadi manusia.

Individu yang mengaku atheist itu, apabila aku ajukan pertanyaan tentang apa atau siapa di sebalik sistem alam ini contohnya sistem solar dsb, pada awalnya menghujjahkan resposif akan hal-hal berkaitan sistem ini adalah melalui kejadian saintifik.

Tetapi apabila aku mengajaknya untuk menyelam lebih dalam, beliau sendiri yang mengatakan "pasti ada sesuatu yang sangat berpengaruh menggerak dan mengawal hal-hal ini semenjak dari awal, yakni daripada sekecil-kecil proses sehingga ke fasa yang lebih jauh.."

Lalu apa yang sebenarnya ditolak oleh hati dan akal individu itu? Ia tidak lebih hanyalah kekusutan beliau dalam mempercayai agama, yang pada pandanganku, adalah keadaan biasa apabila seseorang itu tidak dididik atau mendidik dirinya dengan hal ehwal agama.

Hal seperti ini boleh dilihat, hatta dalam rumahtangga umat Islam sendiri, seperti kes-kes mempertikaikan pemakaian menutup aurat, keperluan solat, hiburan dsb. Cuma bezanya, belum sampai ke tahap menolak atau meninggalkan agama. Namun risiko itu kekal ada andainya individu tersebut terus sesat dalam penilaiannya. Nauzubillah.

Tuhan itu ada. Mudah, kerana itu adalah hakikat yang Allah SWT sertakan dalam jiwa manusia ciptaanNya. Sebab itulah, Islam itu datang dengan kalimah syahadahnya yang menyeru manusia memperakui bahawa 'tiada tuhan melainkan Allah'.., bukannya 'Allah itu ada' atau 'tuhan itu Allah'..

Baris-baris di atas berbeza maksud dan isinya. Kalimah syahadah adalah satu seruan kepada manusia, yang sememangnya percaya kepada adanya tuhan, agar mencari tuhan menggunakan jalan yang betul.

Maksud mudah, tolak semua tambahan atau penyelewangan yang telah dicipta dengan tangan manusia serta manipulasi oleh akalnya (manusia), tentang kononnya tuhan itu ada anak atau berbapa, atau kononnya berhala itu mewakili kepelbagaian jenis tuhan, atau matahari itu tuhan, atau pokok dsb itu tuhan, lantas memeluk konsep tauhid yang sebenar, iaitu tuhan itu satu, dengan lafaz tiada tuhan melainkan Allah!

Jadi, kepada saudara-saudaraku, apa yang kita harus kempenkan kepada umat manusia adalah kepada penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dengan bersandarkan jalan Islam. Jalan Islam?

Ya, jalan yang ditunjukkan oleh rasulullah SAW. Kempen nabi SAW adalah agar umat manusia meninggalkan keserabutan tuhan rekaan nafsu manusia, meninggalkan kehidupan bertuhankan sesama manusia (atas andaian kononnya adanya anak tuhan, firaun, ayah pin dsb)serta kemungkaran menyembah berhala (objek mahupun unsur lain) yang dibuat atas alasan ketuhanan, sebaliknya kembali kepada penyerahan diri secara total kepada tuhan sebenar dan yang satu, yakni Allah SWT.

Sebab itu, ucapkanlah 'la Ilahaillallah, Muhammadurrasulullah'.. Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah..

Di sinilah kita akan nampak apa relevannya agama, dan mengapa perlu selektif dalam menjadi insan yang mahu beragama. Nanti dulu, bukankah semua agama mahu memandu penganutnya ke jalan tuhan?


Inilah senjata penting untuk menidakkan idea-idea pluralisme atau pemikiran yang menganggap semua agama itu sama. Memang benar semua agama mahu memimpin ke arah jalan ketuhanan, tetapi bukankah panduan-panduan tersebut berbeza-beza antara satu agama dengan agama yang lain?

Bagaimana pula boleh dikatakan semua agama itu sama?

Inilah korupsi minda manusia yang cuba menidakkan hakikat. Pluralisme itu satu dakyah kosong tanpa hujjah yang benar. Bagaimanakah Islam mahu disamakan dengan Hindu? Bagaimanakah Kristian mahu disamakan dengan Islam?

Sesungguhnya, apabila intipati atau dasar agama itu sudah berbeza, sudah pastilah ada yang betul dan ada yang salah. Sebab itulah, jadilah selektif dan pilihlah jalan yang betul.

InshaAllah, apabila manusia jujur mencari kebenaran serta tidak putus-putus merintih padaNya, walau apa juga agama seseorang itu saat tersebut, dia pasti akan melafazkan kalimah 'la ilahaillalah Muhammadurrasulullah' selepas itu.


Ketahuilah semua, Allah SWT itu tidak lokek! Subhanallah.

Barakallahufikum

Tuesday, March 16, 2010

Nafas Terakhirku


Saat pertama hingga kini,
Entah sampai mana belumku pasti,
Untuk denyutan ini mendapat izinNya,
Lama mana lagikah jiwa ini akan mengembara?
Kembara di dunia yang gelap gelita..

Salahkah dunia?
Sedangkan ini semua momokan penghuninya,
Jahatkah dunia?
Sedang di dalamnya pelaku angkara,
Kejikah dunia?
Apabila yang taat menjadi asing semua..

Aku tak tahu kumpulan manakah diri ini,
Walau aku cinta menjadi yang asing,
Asing kepada agama harta,
Asing kepada yang berimamkan penghibur,
Asing kepada yang berkiblatkan kuasa..

Namun adakah aku layak di situ?
Sedangkan urusan penilaian ini bukan di pihakku,
Elok hari ini belum tentu berpanjangan,
Buruk saat ini boleh sahaja berterusan..

Mencari istiqamah itu memutihkan rambutku,
Mendampingi istiqamah itu melemahkan lututku,
Kerana nipisnya iman dihakis nafsu..

Tetapi takkan aku berhenti merintih merayu,
Kerana mengenangkan nafas terakhirku,
Yang belum tentu hala tuju,

Oh tuhan pedihnya janji azab itu,
Oh tuhan indahnya khabar gembira itu..

Kalaupun air mata ini demi simpati,
Hanya kerana aku dambakan naungan arasyMu..

Saat nafas terakhirku datang menghampiri nanti,
Adakah lebih baik daripada hari ini?
Sedangkan Kau sudah tahu..

Barakallahufikum.

Saturday, February 27, 2010

Muhammad bin Abdullah



Assalamualaikum

Semalam dunia umat Islam (yang terbabit sahaja) menyambut Maulud Nabi. Aku tidak bertujuan untuk membincangkan tentang perbezaan yang wujud tentang 'perayaan' ini, meskipun aku berada di pihak yang percaya rasulullah SAW tidak perlu diraikan.

Malah banyak lagi hal-hal lain yang mendorong aku untuk berpendapat sedemikian, seperti percanggahan para sarjana dan ahli sejarah Islam tentang tarikh sebenar kelahiran rasulullah SAW, fakta sejarah yang menunujukkan para sahabat ra yang tidak meraikannya, serta kedapatan persamaan dengan budaya agama lain, yang menyambut kelahiran tokoh mereka.

Selawat itu setiap hari, bukan setahun sekali! Tidak mengapa, kita tinggalkan hal itu untuk dibincangkan oleh mereka-mereka yang sepatutnya.

Rasulullah SAW merupakan seorang manusia yang telah dilantik oleh Allah SWT, agar kita dapat menjadikan baginda contoh untuk diikuti. Sebab itulah Allah menghadirkan rasul terakhir ini dari kalangan manusia, bukan malaikat, agar kita boleh mengikut sunnah-sunnahnya.

Rasullulah SAW bukan tinggalan sejarah semata-mata, bukan sesuatu yang utamanya untuk dikenangi. Baginda SAW bukannya bergantung undian rambang orang ramai atau pandangan individu tertentu dalam menentukan reputasinya.

Tetapi, hari ini kedudukan baginda SAW dinilai seolah-olah baginda SAW berada di luar atmosfera kemanuisaan yang normal. Apabila dibentangkan perihal kehidupan dan akhlak baginda yang hebat dan ampuh, kebanyakan umat Islam akan mengatakan "sebab baginda nabi'..

Ya, memang Muhammad bin Abdullah ini seorang nabi, tetapi pemikiran sedemikian rupa hanya akan menjadikan kita semakin perlahan dalam menilai setiap tinggalan dan pesanan baginda untuk dijadikan panduan. Jadi apa rasionalnya nabi ulung ini datang dari kalangan manusia?

Sebab itu, hal-hal seperti perkahwinan baginda dengan isteri-isteri baginda SAW misalnya tidak dapat kita lihat sebabnya, selain lidah asyik mengatakan "dah baginda tu nabi"..

Sebab itu hal seperti apa yang berada disebalik tindakan rasulullah SAW menikahi Siti Aisyah RA semasa beliau masih kanak-kanak gagal kita rungkaikan, sebaliknya jawapan "dah baginda tu nabi" terus dimanipulasikan.

Sebab itu kehebatan da'awah dan hujjah baginda SAW pun sampai dipinggirkan. Yang mendapat temapat ialah kewalian tok guru, yang kononnya boleh membaca hati orang lain, yang solat kononnya 1000 rakaat semalaman, yang boleh jalan atas air dan berbagai-bagai lagi kelabihan luar biasa, yang tidak dimiliki oleh Muhammad bin Abdullah, kekasih Allah Azzawajjal.

Sebab itu kehebatan da'awah dan hujjah baginda SAW pun dianaktirikan, sebaliknya kitab-kitab pemikiran barat yang dijulang. Malah, umat Islam dicabar memeluk demokrasi. Adakah ini kesan menuruti panduan nabi SAW?

Cuma, untuk menutup pekung ini, kebanyakan umat Islam diseluruh dunia, akan bersungguh-sungguh 'meraikan' kelahiran baginda SAW. Seolah-olah hal ini adalah syiar Islam, dan saat inilah kedengaran suara-suara yang bersemangat mahukan pesta selawat dan banner ini diraksasakan!

Maaf! Aku cuma pertikaikan, termasuk ke atas diriku sendiri, tentang apa yang sepatutnya kita cari. Apa yang sepatutnya kita turuti dan apa yang sepatutnya kita dekati.

Dan jangan pula menyangka aku bersekongkol (secara pendapat) dengan krisis Maulud di Pulau Pinang. Hal ini aku telah kupas dalam penulisan bertajuk Jawapan Selamat sebelum ini.

Muhammad bin Abdullah itu adalah rahmat seluruh alam, yang apabila tidak makan baginda boleh menjadi lapar, yang ada masa dan ketika berkeinginan untuk berkasih sayang dengan para isterinya, yang ada ketika bergurau senda dengan para sahabat, yang ada masanya mengantuk dan perlukan rehat, yang gemar daging kambing dibahagian bahu dan banyak lagi aktiviti atau perilaku kemanusiaan yang normal.

Cumanya, baginda SAW membawa pakej berupa akhlak daripada Al Quran. Apa itu Al Quran? Siapa yang mengkalimahkan Al Quran?

Bawalah rasulullah SAW dalam kehidupan kita sehari-hari. Olahlah dengan tertib dan tidak melanggar nas-nas Islam akan segala tunjuk ajar baginda SAW, samada perbuatnnya, lisannya atau reaksinya, agar dapat diselaraskan dengan keadaan semasa.

Dan yang paling utama, buktikan kecintaan terhadap baginda SAW melabihi cintanya kita kepada sang kekasih, sayangnya kita kepada alam kehidupan, anak isteri dan harta benda.

Pertahankanlah maruah baginda SAW, yang sering cuba digodam dan dibelasah musuh-musuh Islam, yang mungkin ada di antara mereka yang masih belum sedar akan kehebatan insan bernama Muhammad bin Abdullah ini.

Dan marilah hidupkan atau suburkan kembali kempen tauhid yang telah dipelopori baginda SAW hampir 1500 tahun yang lalu.

Percayalah, jika semua ini boleh kita lakukan, jalan menuju syurga dan peluang menerima naungan rahmat Allah itu semakin jelas, inshaAllah.


Barakallahufikum.