Wednesday, March 4, 2009

Musuh Utama



Kita ini orang mahligai,
Berkelana ke dunia ada kisahnya,
Demi meredah onak dan badai,
Kerana benci dan sumpah durjana..

Apa yang menjelekkan dia,
Hanya kerana asal berbeza,
Dipilihnya menjadi penderhaka,
Akibat menyangka dirinya mulia..

Sudah tuhan beri amaran,
Nabi tak henti bagi ingatan,
Nafsu perasaan jadi sasaran,
Terang dan nyata itulah syaitan..

Bukan semata cuai beramal,
Malah dihasut mengadakan yang tiada,
Akhirnya umat menjadi khayal,
Menenung fadhilat yang palsu belaka..

Diajar pula berkata dusta,
Juga disemai kepuara-puraan,
Munafiq mengambil pentas utama,
Asingnya kejujuran di akhir zaman..

Kuasa dan harta mereka tawarkan,
Jadi senjata lemahkan iman,
Tidak ketinggalan gunakan perempuan,
Supaya manusia biakkan persundalan..



Perjuangan mereka demi berteman,
Mahu manusia menjadi kawan,
Moga nanti dapat berjiran,
Di alam neraka yang penuh siksaan..

Walau tangan tak dapat merasa,
Mata pula tak nampak mereka,
Sediakan hati kekal waspada,
Agar di sana nanti kita merdeka!




Barakallahufikum.

Monday, March 2, 2009

Agama Islam dan Bangsa Melayu


Assalamualaikum

Aku orang Islam yang berbangsa Melayu. Lahir di Malaysia yang nama lamanya Tanah Melayu.

Ini bukan penulisan bersifat perkauman atau politik. Cuma sekadar luahan tentang bangsa Melayu.

Dalam hidup ini, kalau kita pandai dan sentiasa bersyukur kepada Allah SWT, akan rasalah kemanisan hidup yang tiada taranya. Hebat betul kalau kita melahirkan perasaan ini seikhlasnya serta bertepatan dengan definisi sebenar syukur itu.

Alhamdulillah. Aku syukur kerana Allah Azzawajjal, selepas mengurniakanku dengan nikmat menjadi seorang Muslim, mentakdirkan aku wujud di bumiNya ini sebagai seorang yang berbangsa Melayu.

Bukan kerana bangsa Melayu bangsa yang terbaik, tidak. Aku percaya bahawasanya yang menentukan kebaikan dan nilai seseorang manusia itu adalah keimanannya kepada Allah SWT serta amal ibadahnya.

Aku syukur kerana bangsa Melayu, atau lebih tepat lagi, nenek moyang orang Melayu menerima Islam sebagai agama mereka, menyebabkan secara tidak langsung zuriat-zuriat mereka selepas itu menjadi Islam secara warisan.

Walaupun ini bukan penentu darjat keimanan sesorang, lagi-lagi di era akhir zaman ini begitu ramai manusia, tidak kira Melayu, Arab dsb yang hanya Islam pada nama, secara peribadinya nikmat diwariskan dengan agama Islam atas sebab keturunan ini adalah sangat besar. Aku bersyukur kepada Mu ya Allah.

Apabila jiwa dan minda ku waras, yakni tidak dikongkong hawa nafsuku, setiap hela nafas ini penuh rasa syukur kerana aku Islam!

Rahmat Allah yang Maha Pemurah, meletakkan aku atas jalan kebenaran, cuma tinggal aku memilih, sama ada mahu berjalan terus atau serong ke laluan lain yang membinasakan. Nauzubillah.

Setiap bangsa di atas muka bumi ini ada ikatan dengan agama, maksudku sinonim dengan agama tertentu. Orang Arab, Melayu, Pakistan sinonim dengan Islam. Cina pula dengan Buddha, India dengan Hindu, masyarakat barat dengan Kristian, Yahudi dengan Judaism dsb.

Walaupun orang Melayu sering dilekehkan dengan label pemalas, manja dsb, ada sesuatu yang sangat bernilai dalam genetik bangsaku ini, iaitu kecenderungan tinggi untuk membezakan yang haq dan bathil.

Aku tidak bermaksud bangsa lain bermasalah, sebaliknya aku yakin sekali sesiapa sahaja yang mendambakan kebenaran asas dalam kehidupan, pasti akan dijemput oleh Allah SWT untuk menerima agama ini, walau apa bangsa sekalipun, kerana itu janji Allah.

Hai orang-orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan carilah jalan (yang mendekatkan) kepadaNya dan berjuanglah di jalan Allah, supaya kamu beruntung.

Surah AlMaa’idah. Ayat 035.

Walaupun tidak dinafikan ada juga orang Melayu, yang bukan lagi Islam pada nama, tetapi sudah murtad malah mengumumkan kemurtadan tersebut, tetapi pasti ada sebab mengapa bangsa Melayu tidak boleh dipisahkan dengan Islam, selain isu politik dan soal ketuanan yang meleret-leret.(Maaf, sedikit politik!)

Bukan senang untuk manusia menerima agama Islam, sekalipun agama ini sangat sempurna dan mudah. Ini kerana manusia, yang Allah kurniakan pelbagai kelebihan berbanding makhluk lain, gemar menongkas arus dan mengada-adakan sesuatu.

Tidak hairanlah bangsa yang paling banyak dikirim nabi dan rasul oleh Allah Azzwajjal, iaitu Yahudi, terus menerus memilih jalan sesat dan mengabaikan suruhan Allah.

Andaikan tiada Islam dalam hidup bangsa Melayu, apakah taraf kita agaknya? Mungkin sahaja kita ini menjadi manusia yang dipijak-pijak oleh bangsa lain.

Seperti bangsa Arab, yang asalnya begitu buruk amalan mereka serta tiada tamadun yang istimewa, tetapi berubah selepas rasulullah SAW yang tercinta melancarkan da'awah baginda.

Nyatalah di sini, Islam telah dan akan sentiasa memuliakan sesuatu kaum atau seseorang, yang betul-betul menghayati dan mengamalkan agama ini di dalam kehidupan.

Kembalikan diri kita ini ke pangkuan Islam yang tulen, agar kita tidak lagi diperkotak-katikkan oleh orang lain.

Bukanlah Islam itu yang perlu diselamatkan, kerana Allah Azzawajjal yang menjaga agama pilihanNya ini, sebaliknya yang harus diselamatkan ialah diri kita ini, yang akhir nanti ada dua sahaja pilihan rumah untuk didiami, iaitu syurga dan neraka.

Kebenaran sudah terbentang luas, jalankanlah tanggungjawab terhadap diri kita ini.

Barakallahufikum.

Friday, February 27, 2009

Pokok Da'awah



Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu dan memberi hidayat petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat). (13)

Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab agama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu. (14)

Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan). (15)

Dan orang-orang yang berhujah menyangkal dan membantah tentang kebenaran agama Allah sesudah disambut dan diterima agamaNya itu bantahan (dan tuduhan palsu) mereka itu sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka dan mereka pula ditimpa kemurkaan (dari Allah) serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya. (16)

Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya). (17)

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong. (18)

Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan) dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (19)


Surah Ash-Shura Ayat 013 - 019

Barakallahufikum.

Saturday, February 21, 2009

Hak Memilih Bukti KeadilanNya



Assalamualaikum

Seringkali kita dengari ungkapan atau keluhan yang berbunyi "Sudah takdir Tuhan, nak buat apa lagi.." dan yang sewaktu dengannya.

Manusia memang begitu. Sifat mencari sesuatu untuk disalahkan seakan-akan sudah menjadi tabiat wajib dalam diri masing-masing. Asal boleh dicari, pasti ada sesuatu untuk dijadikan kambing hitam.

Tetapi lain pula jika yang dikecapi itu sesuatu yang manis. Manusia lebih cenderung untuk mencari seberapa banyak kebaikan daripada diri sendiri agar dapat dihebahkan kepada umum.

Apa pun,kita harus sedar bahawa di dalam hidup ini segala yang kita lakukan adalah atas pilihan kita sendiri. Ketahuilah sesungguhnya Allah Azzawajjal telah menganugerahkan kita dengan kebolehan membuat pilihan, berdasarkan batas jiwa dan minda kita.

Banyak ayat di dalam Al Quran yang menunjukkan manusia ini diizinkan Allah untuk memilih apa yang mereka mahu.

Tetapi kamu memilih kehidupan dunia,

Surah AlA'laa. Ayat 016.

Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang mengandungi amaran) ini menjadi peringatan oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah ia mengambil/memilih jalan yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat).

Surah AlMuzammil. Ayat 019.


Menyedari tentang hakikat ini sangat penting, supaya kita dapat mengerti dengan lebih jelas akan hubungan kita dengan Pencipta, serta dapat mendalami lagi apa itu Maha Berkuasa dan Maha Adil.

Allah dan rasulNya telah menyediakan jalan yang terbaik untuk kita pilih demi survival kita, iaitu jalan Al Quran dan As Sunnah. Tetapi dalam masa yang sama, Allah Yang Maha Adil memberi hak memilih kepada manusia, sekalipun yang dipilih itu adalah jalan derhaka. Nauzubillah.

Mari kita fahami dua potong ayat suci ini:

Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.


Surah AlAhzab. Ayat 035 - 036.


Allah mentakdirkan atau mengizinkan sesuatu itu terjadi, tetapi kebebasan memilih adalah milik manusia, cumanya yang harus kita faham, semua pilihan itu akan dinilai olehNya. Akhirnya, Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Adil dalam masa yang sama.


Baru-baru ini aku berbual dengan beberapa orang sahabat. Aku menyentuh perihal manusia yang suka menyalahkan orang atau benda lain, dan kalau boleh di Masyar nanti syaitan dan iblis pun hendak disalahkan!

Dalam rancak aku berkata-kata, seorang sahabat melontarkan pandangan. Beliau percaya yang syaitan iu diciptakan oleh Allah sebegitu rupa, yakni jahat dan derhaka, hanyalah untuk menjadi medium menyalurkan anasir jahat.

Aku tidak bersetuju, dan meminta ruang untuk memberikan pendapatku. Perbualan itu sangat tenang.

Memang syaitan dan iblis itu laknatullah. Mereka adalah penghuni neraka, dan kewujudan mereka kini adalah demi mempengaruhi seberapa banyak manusia untuk bersama mereka di Jahannam. Nauzubillah.

Tetapi kita harus sedar, Allah SWT tidak mencipta sesuatu itu sebagai buruk dan jahat kalau bukan mereka sendiri yang memilihnya! Hayati kembali sejarah pernderhakaan iblis laknatullah, yang terkandung di dalam Al Quran.

Dan ketika Kami mengatakan kepada malaikat: Tunduklah kamu kepada Adam. Lalu mereka tunduk, selain iblis; dia enggan dan menyombongkan dirinya, dan dia termasuk orang-orang yang tidak beriman.

Surah AlBaqarah. Ayat 034.

Bukankah iblis asalnya beriman dan tingaal di syurga? Penderhakaan itu berlaku atas pilihannya, dan itulah dosa yang besar dan sangat berat. Lalu Allah menyesatkan mereka, tetapi barang di ingat, bukan sengaja disesatkan kalau bukan kerana penderhakaan itu.

Mereka memilih untuk berdendam dengan Nabi Adam AS serta keturunannya daripada memilih untuk bertaubat kepada Allah SWT. Inilah hakikat sebenar kekafiran iblis.

Aku terus memberikan beberapa hujah. Pada pandanganku, perkara ini bukan perkara remeh, kerana jika kita salah faham mengenainya, kita boleh secara tidak sedar menyalahkan takdir atau ketentuan, tanpa kita tahu Allah SWT itu Maha Adil.

Umpama seorang perogol mengatakan "Nak buat macam mana, sudah ditakdirkan aku menjadi perogol oleh Allah.." Bukankah salah anggapan ini? Sedangkan orang itu yang memilih untuk menjadi hamba kepada nafsunya, serta melupakan pesanan Allah agar berwaspada terhadap iblis dan tenteranya.

Kedurjanaan Yahudi juga adalah kerana kegelapan hati mereka, serta sikap angkuh dan racism/perkauman mereka yang melampau. Dinafikan kebenaran Islam antara puncanya ialah kerana junjungan tercinta Muhammad SAW itu bukan daripada kalangan mereka.

Alla itu Maha Adil. Tidakalah Yahudi ini (sebahagian) diciptakanNya untuk menjadi penjenayah di dunia ini. Begitu juga iblis, melalui Al Quran kita dapat mengetahui bahawa merekalah yang memilih jalan yang sesat.

Cumanya Allah akan menambahkan keteguhan iman seseorang yang benar-benar mencari ketaatan dan ketaqwaan, dan dalam masa yang sama menambahkan kesesatan orang-orang yang jahat dan tidak insaf.

Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih kecil dari itu, dan orang-orang yang beriman itu mengetahui bahawa perumpamaan itu kebenaran dari Tuhan. Orang-orang yang tidak beriman mengatakan: Apa maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan? Disesatkan Tuhan dengan perumpamaan itu kebanyakan orang dan dipimpinNya pula dengan itu kebanyakan orang, sedang yang disesatkanNya dengan perumpamaan itu hanya orang-orang jahat.

Surah AlBaqarah. Ayat 026.

Jadi, wajarlah kita ketahui bahawa Allah telah menyerahkan hak memilih itu kepada kita, sebagai bukti keadilanNya. Cuma terserah kepada kita sama ada mahu menjadikan petunjuk Allah dan rasulNya sebagai panduan, atau mengalah kepada hasutan iblis serta tuntutan nafsu yang melampaui batas.

Hayati kata-kata Ali Zainal Abidin, cicit rasulullah SAW.

"Wahai Tuhanku, jangan Engkau serahkan aku ini pada diriku kerana aku tidak mampu untuk menguruskannya. Dan jangan pula Engkau serahkan diriku ini kepada orang lain, nescaya mereka akan mencuaikanku.."


Carilah petunjuk Allah melalui kitabNya, serta pesanan rasulullah SAW melalui hadith-hadithnya, agar kita dapat memanfaatkan hak yang diberikanNya ini, untuk mencerahkan jalan menuju ke syurga.


Fahamilah akan keagungan Allah, serta selamilah ke dasar lubuk sanubari kita, agar kita kenal akan diri ini. InshaAllah, kita akan nampak betapa besarNya kekuasaan Allah, dan betapa pentingnya menjejaki jalan baginda SAW, demi keselamatan di dunia dan akhirat.

Barakallahufikum.

Sunday, February 15, 2009

Hayat dan Legasi


Assalamualaikum

Pastikan hari ini lebih baik daripada hari semalam. Pastikan hari esok akan lebih baik daripada hari ini.

Ini adalah baris-baris yang aku rasa sudah sinonim dengan kehidupan manusia yang berjangka hayat. Berjangka hayat?

Kita ada hari, minggu, bulan dan tahun. Kita ada istilah dekad, suku abad, setengah abad dan satu abad. Kita ada saat, minit dan jam. Semua ini kerana manusia itu berjangka hayat.

Jangka hayat menyebabkan manusia memerlukan sesuatu panduan untuk menongkat survival kehidupan mereka. Sama ada ianya berbentuk assumption/andaian atau fakta kukuh, manusia tetap tidak akan lari daripada mencari sesuatu yang boleh dijadikan sebagai asas kepada tindakan mereka.

Di kala ini misalnya, ahli ekonomi umpama nujum, di mana andaian mereka sangat ditagih oleh pelbagai pihak terutamanya kerajaan. Apa sahaja buah fikiran dan analisa mereka akan diberi fokus yang tinggi, memandangkan suasana semasa ekonomi dunia yang tidak menentu.

Ramalan kaji cuaca, analisa politik, sukan dsb. Semua perkara ini mendapat tempat dalam penilaian manusia yang mahu menilai (sesuatu).

Namun, jika kita selidiki betul-betul, apakah yang sebenarnya perlu dinilai oleh manusia amnya dan Muslim khasnya? Apakah sekadar mengenal pasti solution atau alternatif terhadap sesuatu kemungkinan?

Apa yang seharusnya diadakan agar hari ini akan menjadi lebih baik daripada semalam? Dan apa pula yang perlu dilaksanakan esok agar ianya lebih baik daripada hari ini?

Itulah legasi. Hari ini (semasa) adalah warisan hari semalam. Dan begitulah seterusnya.


Manusia pula memiliki umur. Inilah sifat sesuatu yang berjangka hayat. Umur bukan dibawah kawalan manusia, ia ketentuan Pencipta.

Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari air mani, kemudian itu dijadikanNya kamu berpasangan (laki-laki dan perempuan). Seorang perempuan tiada akan mengandung dan tiada akan melahirkan kandungannya, melainkan dengan ilmu Allah. Dan tiada akan dipanjangkan umur orang yang panjang umurnya, dan tiada akan dikurangi umurnya, melainkan tertulis dalam Kitab. Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah mudah belaka.

Surah Faatir. Ayat 011.


Bila jangka hayat ini dihubungkan dengan legasi, manusia seharusnya boleh mencapai satu kepastian yang lebih tepat. Manusia akan lebih nampak realiti yang rasional.

Realiti perlu sesuatu yang bersifat rasional. Realiti semata-mata tetapi tidak rasional akan melahirkan tindakan yang bersifat dangkal, lemah dan yang paling besar sekali adalah bongkak atau penting diri.

Apabila realiti bersifat rasional, pelaku akan meninggalkan sesuatu yang sangat bermanfaat untuk pewaris.

Umpamanya dalam perjuangan. Apabila seseorang yang berada di kerusi pemimpin bertindak tanpa sesuatu yang rasional, realiti yang dilahirkan nanti akan mengundang pelbagai petembungan yang menggugat perjalanan kerja dan perjuangan itu sendiri.

Bukan mencari salah, tetapi inilah kepentingan berpandangan jauh dan bertindak atas prinsip fardhu kifayah.

Lihatlah apa jadi kepada struktur pendidikan negara kita sendiri. Walaupun setiap tahun kita melahirkan para pelajar yang membalun semua A selagi boleh, adakah kita sudah boleh mendabik dada tentang kekuatan bidang ilmu di negara kita, atau setidaknya berpuas hati dengan sistem tersebut?

Cuba renung kembali, bukankah kita masih sahaja bergantung dengan bijak pandai dari luar negara? Kita masih sahaja menagih pelaburan dari syarikat luar, hatta industri makanan sekalipun. Mana perginya semua bjak pandai itu?

Tanpa menafikan kecemerlangan pelajar itu sendiri, aku berpendapat mereka semua akhirnya hanyalah alat yang akan jadi pengukur kepada prestasi pemimpin, dalam konteks ini ialah barisan Kementerian Pendidikan itu sendiri.

Kalau boleh, setiap kali bertukar tangan jawatan-jawatan ini, akan lahirlah sistem baru dan penghapusan sistem lama, tanap menilai sedalam-dalamnya akan keperluan dan rasionalnya mempertahankan atau memansuhkan yang lama.

Inilah antara masalah yang boleh timbul jika tiada kesinambungan dalam legasi. Salah ini harus ditanggung oleh yang lama dan juga penggantinya.

Kita perlu berjuang untuk membentuk legasi perjuangan itu sendiri. Lihatlah apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sendiri. Adakah baginda SAW memohon kepada Allah SWT agar dipanjangkan umur baginda SAW supaya da'awah boleh disambung terutamanya ke kawasan luar Mekah dan Madinah? Tidak bukan!

Baginda SAW telah tinggalkan landasan perjuangan yakni da'awah yang berdasarkan Al Quran dan As Sunnah. Baginda SAW, sebagai manusia normal, yang akan menghadapi kematiaan atau pengakhiran hayat kehidupan telah melakukan sesuatu yang sewajarnya, sesuatu yang kena dan tepat untuk zaman awal Islam, iaitu memperkukuhkan minda dan rohani Muslimin zaman itu.

Lihatalah kesannya. Hasil pembangunan rohani itulah terbentuknya legasi perjuangan yang sangat utuh, di mana Islam tersebar dengan sungguh meluas di zaman para sahabat RA.

Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman di antara kamu dan mengerjakan perbuatan baik, bahawa mereka akan diberi warisan kekuasaan di muka bumi, sebagaimana telah diberikan kepada orang-orang yang sebelum mereka, dan akan diteguhkan kedudukan agama mereka yang telah disukai oleh Tuhan, dan akan menukar mereka sesudah ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka menyembah Aku dan tidak mempersekutukan barang sesuatu dengan Daku. Barangsiapa yang ingkar sesudah itu, merekalah orang-orang yang jahat.

Surah AnNuur. Ayat 055.


Kita perlu ukur baju di badan sendiri. Kita tidak boleh syok sendiri. Terimalah hakikat tentang hayat dan umur kita, dan mulalah berfikir serta bertindak dengan serasional mungkin, agar landasan yang bakal ditinggalkan adalah yang sebaik mungkin untuk generasi kemudian.

Jika kita sentiasa mahu melihat dengan mata kepala kita sendiri akan kejayaan, nescaya kita akan menghalalkan banyak perkara yang salah. Kita akan jadi penting diri.

Lihatlah perjuangan Israel. Mereka memang perosak yang durjana, tetapi jika kita teliti perancangan mereka, kita boleh lihat betapa bersistemnya hal tersebut.

Mereka ini tidak sedikit pun mengejar darjat peribadi, sebaliknya apa yang mereka sasarkan ialah kemenangan total untuk puak mereka. Setiap pemimpin mereka akan menyambung legasi perjuangan pemimpin terdahulu.

Walaupun tetap ada perubahan, namun ia tidak sehingga merencatkan kesinambungan agenda mereka. Mekanisme sebeginilah yang penting dalam mewujudkan legasi perjuangan yang teratur.

Aku tidak memuji, tetapi sekadar mahu kita berfikir.

Padahal, Rasulullah SAW dan para sahabat RA telah meninggalkan satu legasi yang cukup baik dan kemas. Cumanya, kesilapan demi kesilapan serta sabotaj pihak musuh menyebabkan kita alpa dan tersasar!

Inilah hakikatnya. Perjuangan kebanyakan pihak sekarang adalah bersifat peribadi. Naik pemimpin yang baru, habis dicantasnya tinggalan pemimpin lama, baik perkara positif mahupun negatif.

Perjuangan ini bukan kerana nama. Perjuangan ini adalah tanggungjawab, iaitu bagaimana mahu memastikan da'awah Islam sentiasa relevan.

Kita tiada jaminan akan hidup di zaman kemenangan Islam, tetapi Allah SWT memberikan kita segenap peluang untuk menjadi sebahagian daripada jemaah yang akan mempelopori perjuangan suci ini.

Sekiranya ia berlaku di masa depan, biarlah landasannya di bina daripada sekarang, dan moga kitalah yang menjadi buruhnya.



Barakallahufikum.