Friday, December 4, 2009

Satu Hari Yang Sangkut



Satu hari aku sangkut,
Baca kitab lalu melangut,
Jiwa kacau mula merungut,
Tengok dunia yang makin semput..

Muda mudi dah tak berbudi,
Yang tua pula tak ingat diri,
Cari dunia tak henti-henti,
Akibat gelap dan buta hati..

Bukti dah keluar,
Tanda makin besar,
Nanti dah bergegar,
Alam pun bertukar..

Bila.....
Datang hari sangkut,
Nak melutut,
Nak berpaut,
Semua takut..

Satu hari dia sangkut,
Tengah berfoya kena angkut,
Datang wakil mahu menjemput,
Masuk kamar menunggu reput..

Hari sangkut hari indah,
Semua benda akan didedah,
Hari sangkut hari musibah,
Janji itu takkan berubah..

Bukti dah keluar,
Tanda makin besar,
Nanti dah bergegar,
Alam pun bertukar..

Bila.....
Datang hari sangkut,
Nak melutut,
Nak berpaut,
Semua takut..


Barakallahufikum.

Thursday, December 3, 2009

Kebenaran Itu Kadangkala Mengelirukan


Assalamualaikum

Hayati baris dialog di bawah:

Guru : Murid-murid, sila beri jawapan kepada operasi darab berikut, 100 x 55. Kamu, sila jawab soalan tadi.

Pelajar 1 : Saya tahu, jawapannya ialah 155!

Guru: Salah! Jawapannya yang betul adalah 5500.

Pelajar 1 : Mana mungkin, betullah jawapan saya.

Pelajar 2 : Ya! Jawapan dia (pelajar 1) betul. Cikgu mengajar sesuatu yang salah.

Pelajar 3 : Cikgu ini sesat. Mana mungkin 100 x 55 itu sama dengan 5500? Sepatutnya jawapan kepada soalan itu ialah 155!

Guru : Nanti dulu. Jangan hanya kerana kamu keliru, jawapan yang benar kamu tolak. Adakalanya kebenaran itu mengelirukan. Biar saya terangkan lagi..


Situasi yang aku reka di atas adalah bertujuan untuk menggambarkan satu suasana yang lebih besar, iaitu kemungkinan berlaku kekeliruan apabila hadir satu kebenaran yang sangat asing dalam kehidupan seseorang.

Tetapi menghukum sesuatu yang mengelirukan sebagai salah atau sesat amatlah tidak wajar. Ini kerana, kekeliruan itu adalah natijah juga lumrah daripada proses tidak tahu kepada tahu, tidak faham kepada faham dsb.


Kekeliruan boleh terjadi apabila seseorang itu disua dengan sesuatu hal, baik hal itu bersifat benar mahupun salah. Orang yang tahu akan jawapan kepada 5 x 5 = 25, tetapi apabila orang lain hadir dengan jawapan 5 x 5 = 20, orang yang betul jawapannya itu masih sahaja boleh keliru.

Sementara orang yang menjawab 10 x 3 = 13, apabila datang kepadanya orang lain yang menjawab 10 x 3 = 30, orang yang salah jawapannya juga sudah tentu keliru. (seperti yang digambarkan dalam dialog sebentar tadi.)

Kekeliruan wajar diatasi dengan kajian dan pendidikan. Kekeliruan bukan batu loncatan untuk menghukum sesuatu itu sebagai salah.

Allah SWT telah membekalkan kita dengan al quran, mengirim utusanNya iaitu rasulullah SAW beserta sunnahnya, serta mengurniakan akal kepada kita. Dengan kombinasi ini, inshaAllah sesuatu yamg mengelirukan pasti dapat dirungkai seterusnya meletakkan kebenaran di tempat yang betul.

Mendengar pelbagai dakwaan dan isu masa kini berkaitan perbezaan pendapat tokoh-tokoh agama yang akhirnya menjadikan satu pihak menuduh satu pihak yang lagi sebagai sesat, gara-gara tertuduh memberi pandangan yang mengelirukan sesetengah golongan telah menimbulkan satu unsur yang kurang sihat dalam masyarakat Islam khasnya.

Sedangkan kekeliruan itu wujud apabila unsur kebenaran tertentu tidak pernah hidup dalam golongan atau masyarakat tersebut. Mari kita renungkan secara mendalam akan perjuangan awal baginda SAW dalam menyebarkan da'awah Islam.

Baginda SAW datang dalam keadaan kebenaran hakiki itu sangat asing. Masyarakat Jahiliyyah telah memiliki budaya dan kepercayaan sendiri, yang kebanyakannya menyimpang daripada norma-norma kebenaran.

Apabila baginda SAW hadir dengan hujjah kebenaran daripada Al Quran, tidak semua orang pada masa itu dapat menerimanya, kerana, di samping mereka yang memang teguh menolak serta memalsukan kebenaran, seperti kebanyakan orang Yahudi, ada juga antara mereka yang keliru, lantaran da'awah baginda SAW yang begitu asing dengan amalan dan cara hidup mereka, yang bertunjangkan nafsu.

Jadi, adakah kekeliruan yang wujud pada masa itu boleh dijadikan asas untuk mengatakan da'awah rasulullah SAW itu salah? Sudah tentu tidak!


Itu halnya dengan nabi SAW, yang sangat hebat dan genius dalam berda'awah. Bagaimana pula dengan kita semua ini? Adakah jika ada individu tertentu, yang betul hujjahnya dengan disokong oleh kesahihan nas dan dalil, namun mengelirukan sesetengah pihak lantaran kurang faham atau tidak biasa dengan hal yang dihujjahkan, wajar dihukum sebagai penyebar dakyah sesat?



Jika benar, penghukum wajib mengutarakan hujjah balas tentang mengapa orang itu didakwanya sesat, dengan fakta yakni nas dan dalil sahih, bukannya mengadu domba tentang sesatnya orang itu kerana hujjahnya mengelirukan sesetengah pihak, walhal tertuduh membawa hujjah dengan sokongan nas dan dalil yang sahih.

Jangan setakat melabel orang lain dengan wahabi, perosak dsb, sedangkan label itu sendiri tidak dapat diikat denga definisi yang betul dan tepat.

Dan jangan pula mencacatkan protokol ilmu apabila berlaku perbezaan dan kekliruan. Kaji ruang perbezaan dan kekeliruan itu, ataupun berikan kesempatan kepada penghujjah untuk memanjangkan penerangannya, demi menghormati prinsip ilmu dan menyanjung kebenaran.

Sahabat-sahabat baginda SAW serta tokoh-tokoh yang hebat juga pernah berbeza pandangan serta keliru dengan hujjah satu sama lain, tetapi tidak pula mereka melaungkan hukum sesat terhadap satu sama lain dengan sewenag-wenangnya, malahan mungkin tiada hal sedemikian, yakni menghukum dengan mudah.

Barakallahufikum.

Sunday, November 29, 2009

Cemuh Biar Angkuh

Sekarang zaman gaduh,
Maruah murah sedia ditaruh,
Pakai air liur bikin keruh,
Cakap baik dah macam makruh..

Selak menyelak salak menyalak,
Makin hari makin galak,
Aib orang habis digelak,
Baik orang habis ditolak..

Langsung tak risau,
Walau dah sasau..

Langsung dah sasau,
Walau tak risau..

Medan itu kutuk mengutuk,
Seronok dengar tangan ditepuk,
Tak sedar diri dah terbatuk-batuk,
Badan lusuh nyawa dah lapuk..

Bila kuasa jadi impian,
Setan pun boleh jadi kawan,
Bila darjat jadi buruan,
Saudara sendiri sanggup dilawan..

Cerca jangan tangguh,
Baru nampak jaguh..

Maki sungguh-sungguh,
Cemuh biar angkuh!



Barakallahufikum.

Friday, November 27, 2009

Wednesday, November 25, 2009

Persepsi Sebagai Asas Tafsiran



Assalamualaikum

Agak lama aku tidak memposting wacana pemikiran ku di layar moden ini. Kesibukan memenuhi tuntutan naluri dan hal-hal masa depan membataskan aktivitiku, walaupun ada beberapa penulisan yang menunggu saat untuk dipublish.

Untuk post kali ini, aku hanya ingin menyentuh tentang perihal sesetengah manusia dalam hal membuat tafsiran atau pandangan.

Tafsiran adalah output selepas berlaku pertimbangan minda oleh seseorang. Yang perlu kita pastikan adalah sumber yang dipilih untuk dijadikan input, agar tafsiran kita menghampiri protokol ilmiah, menjurus kearah keadilan dan meniti titi kebenaran.

Walaupun atas satu hal yang sama tetapi mendapati lebih daripada satu tafsiran yang berbeza, selagi mana tafsiran-tafsiran tersebut didokong oleh input yang berwibawa, kita wajar memanfaatkan perbezaan tersebut, seandainya tafsiran-tafsiran tersebut menyuburkan lagi ladang ilmu dan meluaskan faedah kepada masyarakat.

Input yang berwibawa? Tidak lain dan tidak bukan iaitu fakta. Dalam konteks agama Islam, itulah nas-nas dan dalil-dalil yang sahih. Tafsiran perlu berasakan fakta agar ia selari dengan realiti akal dan kebenaran.

Namun, tidak semua antara kita memilih fakta dalam menafsir apalagi berhujah. Untuk membuktikan hal ini, aku cadangkan kita semua cukuplah dengan memandang barang sekilas dua keadaan semasa.

Lihatlah betapa manusia begitu cenderung menjadikan persepsi sebagai asas tafsiran, baik bidang agama, politik, pendidikan dan pelbagai lagi.

Fakta dipekup hidup-hidup, sedangkan persepsi diangkat menjadi major input dalam melahirkan tafsiran.

Persepsi kepada individu yang disanjung dan yang dibenci akan melahirkan tafsiran yang berbeza keatas hal dan situasi yang sama. Itulah yang menjadi tunjang dalam arena politik negara kita. Aku akan menyiarkan penulisan bertajuk 'Siasah Emosi' untuk mengupas hal ini.

Label rasuah akan dicampakkan kepada musuh, tetapi kepada orang yang disanjung, ia akan ditafsir sebagai sedekah ataupun hadiah.

Aku bukan menjurus kearah mana-mana pasukan siasah, tetapi aku cuma menggariskan realiti yang berlaku, apabila manusia sewenang-wenangnya melanggar etika dalam berhujah dan mentafsir.

Andai betul sekalipun dakwaan itu, kita sama sekali tidak wajar untuk mengangkat persepsi menjadi asas dalam menafsir sesuatu keadaan, kerana nilai keadilan, ilmu dan kebenaran seakan-akan dicabuli.

Dalam kecoh hal pertembungan yang berlaku antara jabatan agama dengan seorang pendakwah, kita boleh lihat dengan jelas bagaimana persepsi negatif yang telah dicalit keatas reputasi pendakwah tersebut dijadikan asas bagi menafsir aktiviti beliau, yang akhirnya mencacatkan reputasi jabatan itu sendiri, akibat ianya tidak lebih hanya sekadar andaian bukan hujah konkrit.

Sanjungan terhadap syiah dan Iran semuanya adalah atas revolusi pemikiran yang menjadikan persepsi sebagai nadi baru dalam mengutarakan hujah dan mengesahkan tafsiran. Malang sungguh mereka yang bersungguh-sungguh dengan kelompok ini, sehingga merencatkan pemahaman Islam yang sebenar.

Itu sebahagian daripada contoh yang suka untuk aku kongsikan. Anggaplah penulisan kali ini sebagai mukadimmah dalam aku membicarakan hal-hal berkaitan fakta vs emosi.

Mengapa kita perlu teliti dan bicara hal-hal ini? Kerana kebenaran hakiki yang dianjurkan Islam seperti yang dipelopori rasulullah SAW demi mencapai janji Allah SWT memerlukan kita, dengan dokongan iman, memandu akal kurniaan Illahi ini kearah kebenaranNya, yang semuanya dapat dirungkaikan dengan fakta dan hujah berpandukan Al Quran dan As Sunnah.



Tidak salah berpersepsi dan beremosi, kerana itulah hakikat makhluk bernama manusia, tetapi malang sekali, dalam keluasan ilmu dan bukti-bukti daripada Illahi, yang diberikan kepada makhlukNya, kita tidak manfaatkan bagi menerokai alam ilmu, menegakkan lagi tiang keadilan serta mencantikkan kehidupan dengan kebenaran!

Barakallahufikum.