Friday, August 21, 2009

"RAMADAN MUBARAK"



Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Surah AlBaqarah. Ayat 183.





Salam Ramadan untuk semua. Mohon maaf dan keampunan atas salah dan silap.

"RAMADAN MUBARAK"

Barakallahufikum.

Friday, August 14, 2009

Kawan Baik


Kau melancar terbang,
Mencarinya di bulan,
Membawa benci yang dikongsi bersama,
Walau impian jauh berbeza,
Persetan demi kuda yang setia..



Ikrar dia kerana tuhannya,
Kau pula jauh tak serupa,
Untuk dunia dan dakyah manusia,
Kerana jiwamu bukan agama,
Namun kawanmu berkata tak apa..

Destinasi kalian seiring sekata,
Musnahkan sidurjana untuk kerusinya,
Impian yang berbeza simpan belaka,
Hulurkan tangan berjabat mesra,
Pinjamkan kitab cantikkan seloka..


Siasah ini kian punah,
Bila pejuang bertukar pujangga,
Prinsip dan sumpah hampir musnah,
Habuan kuasa mencantas curiga..

Kau umpama pasukan agung,
Madah-madahmu digila dan disanjung,
Sedang saudaranya dimaki hamun,
Hilang sayang bertukar celaan,
Gugur hubungan demi pertarungan..

Walau lidahmu bicara sembarangan,
Membentak mengherdik tiada berlapik,
Dia tetap tekun menatangmu,
Dia terus pasrah mempertahankanmu,
Begitulah setianya kawan baikmu..


Peringatan utuh dia pendamkan,
Tunjuk ajar mulia dia lupakan,
Asal ikatan suci ini tak terlerai,
Biarlah kau menghina kerana kau kawannya,
Tak perlu tarbiyah terimalah sahaja..





Siasah ini kian punah,
Bila pejuang bertukar pujangga,
Prinsip dan sumpah hampir musnah,
Habuan kuasa mencantas curiga..

Siasah ini mengundang musibah,
Bila falsafah tiada harga,
Namun masih ada yang kental dan tabah,
Takkan dunia menggantikan syurga..


Barakallahufikum.

Friday, July 3, 2009

Pengisytiharan Perang dan Kalah Menang


Assalamualaikum

Dalam beberapa minggu yang lepas, Menteri Dalam Negeri telah membuat pengisytiharan mahu memerangi along@ah long. Baguslah, memandangkan bukan sedikit manusia yang binasa akibat terjebak dengan bisnes penindasan ini.

Perangi pihak ini perlulah diteliti sebaik mungkin akan kaedahnya. Kekuatan armada perang sahaja tidak memadai, memandangkan kalau diukur saiz dan kemampuan, kerajaan yang menanungi pasukan Polis sudah pasti boleh membenam pasukan along@ah long ini dengan sehabis mudah!

Rosakkan sistem perkhidmatan mereka, dengan menyediakan prasarana pinjaman yang lebih mesra dan membantu rakyat. Kuatkan minda dan jatidiri penguatkuasa, agar mereka tidak dapat dijinakkan oleh wang yang cuba ditabur oleh para along@ah long yang mahu operasi keatas mereka ini dihentikan.

Cuma yang paling penting, janganlah hanya membuat deklarasi memerangi kumpulan tertentu, tetapi akhirnya kalah kerana kelalaian sendiri.



Maaf, tetapi inilah yang telah berlaku. Bukan pertama kali pihak kerajaan membuat pengisytiharan perang sebegini.

Sebelum ini, kerajaan telah melancarakan cogankata yang sama terhadap pihak yang terlibat dengan penjualan dvd atau vcd cetak rompak.

Namun, kita boleh lihat sendiri betapa mereka masih beroperasi dengan jayanya. Aku bukan gemar mengkritik, tetapi kalau dalam tempat tersohor seperti pusat membeli belah pun golongan-golongan ini boleh menyewa premis seterusnya memperdagangkan produk mereka yang berada dibawah klasifikasi barang yang diharamkan, lenakah pihak berwajib? Kuat betul pil tidur yang telah diberikan.

Datanglah ke pusat membeli belah Summit USJ, dan lihatlah sendiri. Mungkin banyak lagi tempat yang memiliki wajah sebegini.

Apapun, semoga berjaya diucapkan kepada kementerian yang terlibat, dan kepada pasukan perlaksana, daripada pimpinan tertinggi sehingga seterusnya, kuatkan jatidiri dan timbang-timbanglah unsur yang bakal menjadi darah dan daging anda, tentang baik buruk unsur itu.

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

Surah AlBaqarah. Ayat 168.

Barakallahufikum.

Tuesday, June 30, 2009

Debat dan Hujah


Assalamualaikum

Kecoh sana sini tentang cabaran debat seorang tokoh politik terhadap seorang lagi tokoh yang lain.

Debat bukan isu budaya. Apabila ada sesetengah pemimpin politik mengatakan debat tidak perlu kerana itu bukan budaya kita@Malaysia, pada hemat aku itu bukanlah komentar yang tepat.

Budaya luar jika baik apa salahnya diambil? Tetapi jika tidak baik usahlah ditimbang lagi.

Namun aku bersetuju bahawa debat bukan landasan yang baik bagi mencapai kebenaran. Debat itu sejenis bicara yang mencari pemenang.

Kebarangkalian untuk berhujah secara jujur atas pentas debat sangatlah terganggu oleh desakan mahukan kemenangan. Kehebatan lidah yang petah mengolah sesuatu isi boleh sahaja menjadikan yang bathil itu haq dan yang haq itu bathil.

Berhujahlah dalam keadaan yang aman dan tenang, kalau tidak harmoni sekalipun,bukan dengan gelombang pertarungan dan permusuhan.

Allah Azzawajjal sendiri meyuruh rasulullah SAW meminta kafir Quraisy yang menentang baginda SAW mengeluarkan hujah sekiranya mereka di pihak yang benar.

Adakanlah musyawarah atau setidak-tidaknya forum, dengan dikawal oleh seorang yang dihormati dan bijaksana, agar proses berhujah itu tidak melampaui batasan.

Sesungguhnya debat itu boleh dielakkan, namun keperluan berhujah tidak dapat disangkal cumanya biarlah pentasnya tidak seperti pentas muay thai!



Barakallahufikum.

Monday, May 11, 2009

Industri Hiburan


Assalamualaikum

Islam mengharuskan hiburan, tetapi dengan batas dan disiplin yang tertentu. Islam bukan agama yang hambar. Lagi-lagi agama ini sentiasa berinteraksi dalam keadaan yang lengkap dan harmoni dengan naluri manusia.

Dalam kehidupan rasulullah SAW dan para sahabat RA, mereka juga mendapatkan hiburan dengan kadar yang tidak mengalpakan, yakni tidak melampaui maksud keharusannya.

Di sini, kita boleh lihat betapa perlunya hiburan, tetapi dalam keadaan yang penuh terkawal, kerana kalau kita amati, Allah SWT mendidik kita dengan peringatan agar kita tidak melampaui batas.

Apabila hiburan itu menjadi sasaran atau matlamat, manusia akan keluar dari konteks sebenar keperluan hiburan itu sendiri. Sedangkan hiburan tidak boleh dilayan melebihi hadnya sebagai alatan kecil dalam menyeronokkan jiwa. Jika ini terjadi, maka manusia telah melampaui batas!

Melampaui batas aurat, pergaulan malah batas kerjaya! Banyak lagi kemerosotan moral yang berlaku apabila hiburan menjadi keutamaan.

Di negara kita, dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, masih sahaja produktiviti dalam bidang hiburan mengekalkan momentumnya.

Adakah kerana negara ini berdiri dengan industri hiburan? Bertaraf duniakah artis-artis tanahair? Yang aku lihat, jangan hendak harapkan mereka berda'awah dengan hiburan, menjawab soalan juga kadangkala macam manusia yang tidak celik agama langsung!

Namun, itulah hakikatnya. Dalam keadaan negara kita terutamanya umat Islam ketinggalan jauh dalam pelbagai bidang penting, Malaysia mampu melahirkan sekurang-kurangnya 30 artis baru setiap tahun! Hebat bukan.

90% adalah budak-budak, ada juga mak ayah budak, beragam Islam. Sungguh hebat penangan glamour dan duit segera ini. Yang nasyid juga sekadar nama.

Walaupun bukan semua, tetapi penglibatan secara serius serta penjenamaan industri kelas rendah ini sebagai kononnya sebuah industri yang pro aktif menyebabkan ianya semakin tepu. Tepu dengan maksiat dan kegilaan.



Sehingga ibu bapa menangisi kejayaan anak-anak dalam lapangan nyanyian, malah mendoakan survival anak-anak mereka sepertinya perjuangan dalam bidang ini setanding jihad fisabilillah.

Kita renungkanlah akan hal ini. Ia seperti hal nya selesema babi, tidak boleh didapati dengan mata yakni penglihatan biasa, tetapi apabila terkena, buruk padahnya.

Barakallahufikum.